Harga minyak global AS$108 setong
KUALA LUMPUR 11 Mac – Harga minyak mentah global diniagakan hampir dengan paras rekod tertinggi AS$108 (RM345.11) setong hari ini setelah pelabur membeli kontrak komoditi itu sebagai pelindung nilai terhadap peningkatan kadar inflasi dan kejatuhan nilai dolar.
Harga kontrak hadapan minyak berkualiti tinggi `Light Sweet’ bagi penghantaran bulan April kini berlegar di paras AS$107.67 (RM344.06) setong pada pukul 1.50 petang ini waktu Malaysia, selepas mencecah paras rekod tertinggi dalam sejarah iaitu AS$108.21 (RM345.78) setong awal pagi tadi.
Peniaga berkata, pelabur global ketika terus membeli kontrak-kontrak komoditi seperti minyak mentah, emas, minyak sawit, soya dan sebagainya, yang kini dianggap sebagai pelaburan paling selamat dalam ketidaktentuan ekonomi global.
“Pelabur bimbang jika Amerika Syarikat menurunkan sekali lagi kadar faedah bagi membendung krisis ekonominya, dan menyebabkan nilai dolar AS terus susut.
“Oleh demikian pelabur-pelabur akan menjual pegangan pelaburan dalam dolar AS dan membeli kontrak-kontrak pelaburan yang selamat seperti kontrak minyak mentah,” katanya.
– Utusan
nota: harga cpo tatkala ini semakin hari semakin naik…apakah formula pembangkang untuk kurangkan kenaikan ini…atau meringankan beban rakyat..sama-sama kita nantikan..