Daily Archives: April 22, 2008

Kemiskinan Tegar Sifar Menjelang 2010

PUTRAJAYA 21 April – Kerajaan memberi jaminan akan memastikan sasaran kemiskinan tegar sifar serta matlamat mengurangkan kemiskinan relatif tanpa mengira kaum dapat dicapai menjelang 2010.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pada masa sama, beliau mahu pembangunan modal insan yang berkualiti dipertingkatkan termasuk dalam kalangan tenaga eksekutif muda daripada sektor swasta sebagai satu strategi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

“Pembasmian kemiskinan tegar ini satu janji dan ia tercapai (dikurangkan) daripada 2 peratus pada 2006 kepada 0.7 peratus pada 2007… kita perlukan lebih daripada itu.

“Pada masa sama, berilah perhatian untuk tambah nilai pembangunan modal insan, ia bukan setakat di sekolah sahaja, tetapi yang bekerja ini perlu ditunjuk ajar menerusi kursus untuk tenaga eksekutif,” kata Abdullah yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konsultasi Bajet 2009 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Menurut Abdullah, isu keselamatan dan keamanan juga tidak kurang penting dan menjadi salah satu agenda utama negara untuk diberi tumpuan.

“Dalam hubungan ini, saya menyeru supaya semua pihak dapat memberi pandangan yang membina bagi meningkatkan tahap keselamatan awam serta membanteras jenayah.

“Selain itu, isu alam sekitar wajar diberi perhatian memandangkan kesan pemanasan global yang semakin ketara sejak kebelakangan ini yang boleh menjejaskan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru sektor swasta menyumbang dalam memacu peningkatan nilai tambah, memantapkan daya saing dan ketahanan serta mempelbagaikan ekonomi negara.

“Dalam konteks memastikan kemakmuran hasil daripada pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati semua rakyat, pihak swasta perlu juga memainkan peranan dalam menjayakan agenda sosioekonomi negara termasuk pemantapan tanggungjawab sosial korporat,” katanya. sumber-umno online

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda