Kemiskinan Tegar Sifar Menjelang 2010

PUTRAJAYA 21 April – Kerajaan memberi jaminan akan memastikan sasaran kemiskinan tegar sifar serta matlamat mengurangkan kemiskinan relatif tanpa mengira kaum dapat dicapai menjelang 2010.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pada masa sama, beliau mahu pembangunan modal insan yang berkualiti dipertingkatkan termasuk dalam kalangan tenaga eksekutif muda daripada sektor swasta sebagai satu strategi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.

“Pembasmian kemiskinan tegar ini satu janji dan ia tercapai (dikurangkan) daripada 2 peratus pada 2006 kepada 0.7 peratus pada 2007… kita perlukan lebih daripada itu.

“Pada masa sama, berilah perhatian untuk tambah nilai pembangunan modal insan, ia bukan setakat di sekolah sahaja, tetapi yang bekerja ini perlu ditunjuk ajar menerusi kursus untuk tenaga eksekutif,” kata Abdullah yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Konsultasi Bajet 2009 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Menurut Abdullah, isu keselamatan dan keamanan juga tidak kurang penting dan menjadi salah satu agenda utama negara untuk diberi tumpuan.

“Dalam hubungan ini, saya menyeru supaya semua pihak dapat memberi pandangan yang membina bagi meningkatkan tahap keselamatan awam serta membanteras jenayah.

“Selain itu, isu alam sekitar wajar diberi perhatian memandangkan kesan pemanasan global yang semakin ketara sejak kebelakangan ini yang boleh menjejaskan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru sektor swasta menyumbang dalam memacu peningkatan nilai tambah, memantapkan daya saing dan ketahanan serta mempelbagaikan ekonomi negara.

“Dalam konteks memastikan kemakmuran hasil daripada pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati semua rakyat, pihak swasta perlu juga memainkan peranan dalam menjayakan agenda sosioekonomi negara termasuk pemantapan tanggungjawab sosial korporat,” katanya. sumber-umno online

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

3 responses to “Kemiskinan Tegar Sifar Menjelang 2010

  1. john rambo

    moga dapat tercapai impian ni

  2. ruyom

    Ada ketikanya, apabila kita merenung kembali ungkapan “Tidak Melayu hilang di dunia” yang didakwa telah diucapkan oleh Hang Tuah, seorang pahlawan yang sumber pensejarahannya cuma sebuah buku, juga berjudul Hang Tuah dan Sejarah Melayu tulisan Tun Sri Lanang, kita terpaksa bertanya apakah bangsa Melayu pernah hidup dalam satu tamadun yang gemilang? Umno dan fantasi ‘Ketuanan Melayu’

    Jika kita mahu mengambil Kesultanan Melayu Melaka (1402-1511) sebagai sebuah tamadun Melayu misali, maka kita perlu akur kepada hakikat bahawa Parameswara yang mengisytiharkan dirinya sebagai raja dengan menggunakan nama Sultan Iskandar Shah adalah seorang putera berketurunan Hindu berasal dari Kerajaan Srivijaya.

    Mungkin identifikasinya sebagai orang Melayu berasaskan hakikat Parameswara telah memeluk Islam apabila berkahwin dengan seorang puteri Raja PASai.

    Dalam era kegemilangan yang berakhir selama kira-kira 109 tahun itu, ekonomi Melaka boleh di katakan di kuasai oleh para pedagang Hindu dari India Selatan, seperti Nina Chatu dan ramai pembesar negeri pula terdiri daripada mereka yang bukan berdarah Melayu seperti Tun Mutahir yang menjadi Bendahara Melaka menggantikan Tun Perak.

    Tun Mutahir adalah ketua Muslim Tamil yang cukup berpengaruh di negeri Melaka dan bertanggungjawab melantik mereka yang berketurunan Muslim Tamil memegang jawatan penting dalam kerajaan. Hal ini dimarahi oleh orang Melayu.

    Raja Mendeliar dan Laksamana Khoja Hassan akhirnya berkomplot memfitnah Tun Mutahir kononnya mahu menjatuhkan Sultan Mahmud.

    Selepas perisitiwa ini, segala-galanya adalah sejarah. Sifat tamak, dengki, khianat, sikap mementingkan diri sendiri, sikap terlalu mementingkan harta dan kedudukan, tidak amanah, belot dan politik istana yang berpuak-puak serta tidak menjiwai ajaran Islam yang sepatutnya menjadi ciri-ciri utama telah memusnahkan apa yang dianggap sebuah empayar dibina sejak seabad lalu. Kedatangan Portugis menakluki Melaka hanyalah satu kebetulan.

    Di manakah ‘ketuanan Melayu’ ketika itu? Selain daripada Tun Perak dan beberapa orang pembesar Melaka yang berketurnan Melayu, termasuk Laksamana Hang Tuah (sekiranya dia benar-benar wujud)? Siapakah orang Melayu yang paling berkuasa pada ketika itu? Apakah orang Melayu yang menduduki bumi Melaka sebelum 1402 itu dapat menerima bulat-bulat seorang anak raja Hindu hanya kerana Parameswara terlihat peristiwa ganjil pelanduk mengejar anjing?

    Tentu sekali tidak ada ketuanan Melayu pada ketika itu sebagaimana tidak adanya ketuanan Melayu setelah Portugis berkuasa dan seterusnya Belanda, kembali kepada Portugis, British, Jepun dan kembali kepada British untuk tempoh masa 446 tahun.

    Sebagai sebuah bangsa, Melayu bukan sahaja dianggap sebagai bangsa hamba kerana bertuankan penjajah tetapi dianggap sebagai sebuah bangsa yang “pemalas dan membuat rumah di atas pokok”.

    Pengarang British Anthony Burgess (The Malayan Trilogy) mendefinisikan Melayu sebagai: “satu bangsa berkulit coklat, agak menarik, pemalas, telah diIslamkan oleh pedagang Arab tetapi kabur tentang asal-usul pemelukan agama itu.”

    Dalam trilogi yang menceritakan banyak tentang sikap asli orang Melayu itu, tidaklah diketahui mengapa Burgess yang pernah bertugas di Malaya sebelum Merdeka, termasuk di Kolej Melayu Kuala Kangsar, menggunakan sebuah negeri Melayu imaginasi yang dinamakan sebagai negeri “Lanchap”.

    Tetapi Burgess bukan keseorangan. W. Somerset Maugham, Joseph Conrad, Henri Fauconnier Malaisie tidak pernah mengangkat orang Melayu sebagai tuan di dalam tulisan-tulisan mereka.

    Malah tokoh berketurunan Arab-India, Abdullah Abdul Kadir (Munshi), juga bergelar Bapa Sastera Melayu Moden juga tidak mempunyai sesuatu baik untuk ditulis mengenai orang Melayu di dalam bukunya.

    Sekiranya inilah deskripsi bangsa Melayu yang digambarkan oleh pengarang Melayu dan bukan-Melayu pada satu ketika dulu dengan segala sifat dan amalan yang tidak Islamik, apakah kita mahukan sebuah bangsa Melayu yang memenuhi kriteria ini terus hidup?

    Apakah orang Melayu jenis ini yang dimaksudkan oleh Hang Tuah dalam ungkapan immortal atau abadinya “Tak Melayu Hilang Di Dunia”?

    Kalau begitu, apakah bezanya orang Melayu hari ini dengan bangsa-bangsa lain yang masih hidup tetapi tidak diketahui umum seperti kaum Red Indian, Chawtow, Navajo dan lain-lain yang masih terus hidup tetapi lagi dikenali umum?

    Hari ini, walaupun orang Melayu telah berjaya menjadi penumpang kapal angkasa, namun masih ramai lagi warga dunia yang tidak kenal siapakah orang Melayu dan di manakah letaknya Malaysia.

    Jika kita mempunyai pilihan, sudah tentu kita tidak mahu bangsa Melayu kita dinilai dan diberikan persepsi sebegitu rupa.

    Sebenarnya, kita memang mempunyai pilihan. Apabila kita menentang gagasan Malayan Union British, kita menggunakan slogan “Hidup Melayu”. Tetapi slogan tinggal slogan apabila pada tahun 1951 Umno mengubah slogan “Hidup Melayu” kepada slogan “Merdeka”.

    Sebaik sahaja selepas Merdeka, slogan hidup Melayu tidak lagi kedengaran. Umno yang memimpin kerajaan pada ketika itu sepatutnya sudah mempunyai perancangan bagi menghidupakan satu bangsa Melayu yang benar-benar progresif dan bertamadun.

    Namun, ini tidak dilakukan. Tidak ada rancangan konkrit bagi mengangkat darjat orang Melayu dari sekadar menjadi petani, posmen, budak pejabat, kerani, pemandu dan anggota polis pangkat rendah yang disebut-sebut sebagai mata-mata gelap.

    Ketuanan Melayu pula hanyalah terletak kepada Perdana Menteri yang berketurunan Melayu dan beberapa orang Menteri Melayu dan Ahli-Ahli Parlimen Melayu. Tetapi bagi rakyat Melayu biasa mereka adalah hamba.

    Dari segi ekonomi, orang Melayu tidak pernah menjadi tuan punya sebarang perniagaan atau perusahaan. Untuk menjadi tuan kepada ekonomi Malaysia, tentulah jauh sekali. Malah tanaman padi yang diusahakan dan menjadi identiti orang Melayu sejak dulu lagi juga tertakluk kepada perhambaan kewangan.

    Dalam tulisannya berjudul “Malay Padi Planters Need Help” (The Straits Times, 30 Oktober 1949), Dr Mahathir Mohamad (Tun) menulis (terjemahan):

    “Justeru, apabila tiba musim menanam padi berikutnya, mereka (penanam padi Melayu) mendapati mereka tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli baja, menyewa kerbau dan secara umumnya menyediakan tapak untuk tanaman berikutnya. Tapi mereka tak perlu bimbang, mereka sentiasa boleh mendapatkan wang dari sistem padi kunca. Dalam sistem ini, peminjam wang akan membeli padi untuk tuaian musim akan datang? Adakalanya RM40 dibayar untuk nilai padi yang sepatutnya diPASarkan pada harga RM120? Mereka yang paling beruntung adalah pekedai China di kampung-kampung.”

    Sistem padi kunca yang meletakkan orang Melayu sebagai kurang dari menjadi tuan ini beransur lenyap selepas Merdeka disebabkan oleh pelbagai bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada penanam padi. Namun sistem pajak gadai yang menjadi talian-hidup orang Melayu berterusan.

    Kemisikinan orang Melayu selepas Merdeka masih bersifat fenomenal. Bukan sahaja orang Melayu tidak memiliki sebarang saham dalam syarikat awam, tetapi sebagai peniaga pemilikan tunggal yang berjaya pun boleh dikatakan amat kecil.

    Kegagalan Umno inilah yang telah menghakiskan kepercayaan orang Melayu terhadap Umno pada Pilihanraya Umum Ke-3, 1969.

    Untuk memperbetulkan keadaan ini Umno memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) menerusi Rancangan Malaysia Ke-2 (1971-1975). Apabila Kajian Separa Penggal, Rancangan Malaysia Kedua, 1971-1975 diterbitkan maka terserlah hakikat orang Melayu cuma mempunyai kurang daripada 2 peratus saham dalam syarikat-syarikat awam, sementara kaum Cina menguasai 23 peratus dan orang luar menguasai 61 peratus.

    Pada akhir tahun 1990, tahun terakhir sasaran awal DEB, penguasaan orang Melayu dalam PASaran modal mencatatkan angka terakhir, lebih sedikit daripada 20 peratus dan kurang 10 peratus dari sasaran yang telah ditetapkan ketika DEB dilancarkan pada tahun 1971. Sementara penguasaan kaum Cina meningkat kepada 45 peratus dan tidak ada sebarang peningkatan ketara untuk kaum India yang kekal pada tahap pegangan 1 peratus di sepanjang tempoh pelaksaan DEB.

    Selepas tempoh tersebut, Umno mungkin menyedari perjuangannya membela nasib orang Melayu tidak mungkin akan tercapai. Tentulah tidak boleh diterima betapa dasar afirmatif selama hampir 20 tahun dalam pelaksanaan hanya berjaya melahirkan kontraktor kelas E dan F, graduan Melayu kelas kedua dan ketiga dari universiti-universiti awam yang tidak lebih merupakan kilang untuk anak-anak Melayu mendapatkan segulung ijazah.

    Peniaga asal Melayu yang mendapat pinjaman MARA dan juga pinjaman bank komversial menerusi skim Perbandanan Jaminan Kredit dan terlibat dalam pelbagai perniagaan runcit ? dari perniagaan PASar mini sehinggalah perniagaan import-eksport beransur-ansur gulung tikar sehingga hanya segelintir sahaja yang masih beroperasi pada akhir tahun 2000. Malah cita-cita menjadi agensi kerajaan seperti Pernas menjadi sebuah sogo-sosha seperti Mitsubishi, Mitsui atau C.Itoh hanya tinggal kenang-kenangan.

    Akhirnya, Dr. Mahathir sendiri yang begitu menonjol dalam menyuntikkan psaikologi tentang kehebatan Melayu yang boleh membuat itu dan ini tidak dapat menyembunyikan rasa putus asa beliau. Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2002, Dr. Mahathir berkata:

    “Orang Melayu yang juga orang Islam yang teramai sekali di Malaysia belum selamat. Orang Melayu masih menjadi kaum yang lemah, kaum yang termiskin di negara kita ini. Ya, Malaysia sudah banyak maju, tetapi orang Melayu masih kurang maju. Jika kita keluarkan orang Cina dengan segala-gala yang dibina dan dimiliki oleh mereka, tidak akan ada bandar kecil atau besar di Malaysia, tidak akan ada perniagaan dan perusahaan, dan tidak akan ada dana daripada cukai pendapatan dan korporat untuk membiayai segala subsidi, bantuan dan kemudahan untuk orang Melayu. Orang Melayu akan kembali ke zaman mereka dijajah dahulu, miskin, tidak berpelajaran dan dihina oleh siapa sahaja. Jangan fikir selepas Umno, PAS tetap akan memerintah. Dalam politik, yang tidak dijangka boleh berlaku.”

    Sekiranya pelbagai langkah diambil di zaman Dr. Mahathir untuk merealisasikan ketuanan Melayu tetap menemui kegagalan, maka di zaman Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang jauh lebih lesu, slogan Ketuanan Melayu tidak lebih dari retorik Umno yang digunakan sebagai benteng terakhir dalam mempertahankan hakisan kepercayaan orang Melayu terhadap parti tersebut dan sering ditonjolkan melalui ciuman keris oleh Ketua Pemuda Umno, Dato Hishamuddin Tun Hussein.

    Benar. Usul Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Abdul Hadi Awang agar Umno, PKR dan PAS bersepakat mencari jalan bagi menyatukan orang Melayu adalah satu usul tepat, ikhlas dan terkehadapan. Begitupun, kita harus menanti apabila Umno tidak lagi membuang masa dengan fantasi Ketuanan Melayunya. Kenyataan Naib Presiden PAS Dato? Husam Musa yang menyifatkan usaha mencari persepakatan sedemikian sebagai membuang masa, adalah relevan.

  3. mok

    ruyom,

    Isu yang kau ucapkan ini sebenarnya tak lebih daripada pengulangan seekor buru kakak tua milik LK Yew. Begitu nyaring mengikut tuannya, tapi ekor bergelumang ta*k.
    Tak perlu aku buang masa melayan kau, cukup sekadar aku betulkan beberapa fakta. Kalau kau rajin, pegilah rujuk detailnya.

    ************************************
    Sultan Iskandar Shah adalah seorang putera berketurunan Hindu berasal dari Kerajaan Srivijaya.
    ************************************
    Apa masalahnya ? Kau faham Rumpun Kepulauan Melayu ? Itu melayu, bukan India tau! Memang root kita berugama hindu/buddha & anamisme, kerana itu agama tertua di dunia sebelum kedatangan Islam.

    **************************************
    Tun Mutahir adalah ketua Muslim Tamil yang cukup berpengaruh di negeri Melaka dan bertanggungjawab melantik mereka yang berketurunan Muslim Tamil memegang jawatan penting dalam kerajaan. Hal ini dimarahi oleh orang Melayu.
    **************************************
    Baguslah !! Dimarahi orang melayu, bukannya mereka tu suka dan mengikut sahaja. Apa masalahnya ?

    *************************************
    Apakah orang Melayu yang menduduki bumi Melaka sebelum 1402 itu dapat menerima bulat-bulat seorang anak raja Hindu hanya kerana Parameswara terlihat peristiwa ganjil pelanduk mengejar anjing?
    **************************************
    Apa benda ni ? Orang melayu masa tu hindu, Parameswara tu melayu. Apa masalahnya ? Orang melayu zaman itu kuat percaya semangat, kalau kau hidup zaman tu pun sama je. Hidayah belum sampai.

    *************************************
    Tentu sekali tidak ada ketuanan Melayu pada ketika itu sebagaimana tidak adanya ketuanan Melayu setelah Portugis berkuasa dan seterusnya Belanda, kembali kepada Portugis, British, Jepun dan kembali kepada British untuk tempoh masa 446 tahun.
    **************************************
    Mengarut ! Sebelum Portugis, memang wujud ketuanan melayu…

    **************************************
    Tetapi Burgess bukan keseorangan. W. Somerset Maugham, Joseph Conrad, Henri Fauconnier Malaisie tidak pernah mengangkat orang Melayu sebagai tuan di dalam tulisan-tulisan mereka.
    **************************************
    Kau nak penjajah puji ? Sampai kucing bertanduk la…

    *************************************
    Kalau begitu, apakah bezanya orang Melayu hari ini dengan bangsa-bangsa lain yang masih hidup tetapi tidak diketahui umum seperti kaum Red Indian, Chawtow, Navajo dan lain-lain yang masih terus hidup tetapi lagi dikenali umum?
    **************************************
    Benar ! Kalau tak ada DEB dah lama kita jadi Red Indian. Hasil usaha Tun Razak menyelamatkan melayu termasuk kau.

    **************************************
    Tidak ada rancangan konkrit bagi mengangkat darjat orang Melayu dari sekadar menjadi petani, posmen, budak pejabat, kerani, pemandu dan anggota polis pangkat rendah yang disebut-sebut sebagai mata-mata gelap.
    **************************************
    Itu agenda British, dasar pecah perintah. Sekolah melayu memang dia target untuk pekerjaan di atas. Orang cin di bandar taraf pendidikannya tinggi melangit. Salah melayu ke, pada waktu itu ? Orang cin adalah anak emas penjajah Inggeris.

    **************************************
    Dari segi ekonomi, orang Melayu tidak pernah menjadi tuan punya sebarang perniagaan atau perusahaan. Untuk menjadi tuan kepada ekonomi Malaysia, tentulah jauh sekali.
    **************************************
    Melayu diperosok ke luar bandar, tanpa kemudahan paling asas. Cin di bandar semua ada serba-serbi. Analogi: Lumba lari 800m, orang lain dah lari 400m, baru nak ajak berlumba. Adil ke ? Sebab itu DEB relevan.

    Mentor kau LK Yew kata dia sama dengan orang melayu sebab melayu pun bukan asal dari sini macam dia. Sebab tu dia perjuangkan Malaysian Malaysia sama macam DAP sekarang.
    Agaknya lombong bijih timah dah maju masa Parameswara kut ?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s