Daily Archives: April 28, 2008

Abdullah minta UMNO bahagian tidak adakan EGM

KUALA LUMPUR 28 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta UMNO bahagian di seluruh negara tidak mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), sebaliknya memfokuskan kepada usaha menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.

Perdana Menteri berkata, perubahan dalam parti boleh dilakukan apabila tiba masa mesyuarat untuk memilih pucuk pimpinan tidak lama lagi.

“Berilah perhatian kepada isu-isu yang menghimpit rakyat.

“Hal parti kita akan bincang apabila tiba masanya, ahli-ahli boleh mainkan peranan dalam perubahan kepimpinan parti,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn di sini petang ini. – sumber Utusan

nota: Presiden UMNO telah membuat permintaan agar UMNO bahagian tidak mengadakan satu mesyuarat luar biasa (EGM). Penulis bersetuju dengan saranan beliau kerana penulis merasakan bahawa tindakan mengadakan EGM ini tidak kena pada masanya. Ini disebabkan perhimpunan/pemilihan agung akan diadakan pada Disember nanti di mana sebelum pemilihan agung ini diadakan, seluruh cawangan dan bahagian akan mengadakan satu persidangan dan seterusnya pemilihan jawatankuasa. Apakah keputusan yang boleh dibuat di dalam EGM jika hanya ia adalah salah satu platform untuk meluahkan perasaan tidak puas hati kepada kepimpinan parti. Penulis berpendapat agar pada pemilihan di peringkat bahagian dan cawangan nanti, ia merupakan platform terbaik bagi ahli-ahli UMNO untuk menyuarakan pendapat masing-masing dengan tidak mencalonkan mana-mana pemimpin yang didapati kurang kualitinya. Tumpuan utama sekarang adalah memperkukuhkan parti dan bukan untuk menjatuhkan parti. Apakah tindakan kita dengan meminta Presiden untuk letak jawatan dapat memperkukuhkan semula parti. Tidak salah sekiranya kita nantikan pemilihan Disember ini untuk menurunkan seseorang itu dari tampuk kepimpinan kerana dengan cara ini ialah lebih melicinkan pentadbiran sesebuah parti mahupun negara. Harus diingat bahawa Presiden UMNO adalah Perdana Menteri Malaysia, maka dengan itu proses utk meminta Pak Lah berundur hendaklah diadun, dan dibuat secara teliti supaya kestabilan negara terjamin.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Wan Junaidi, Ronald Kiandee dipilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

Kuala Lumpur 28 April – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Ronald Kiandee dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi proses pengundian hari ini.

Ahli Parlimen Santubong dan Beluran itu menewaskan satu lagi calon daripada DAP Dr. Tan Seng Giaw yang merupakan ahli Parlimen Kepong.

Jumlah undi yang diperolehi oleh Junaidi ialah 141, Ronald (140) dan Seng Giaw (81).

– sumber Utusan

nota tahniah diucapkan kepada Datuk Wan Junaidi dan Datuk Kiandee. Diharap persidangan dapat berjalan dengan lancar.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Selamat Bersidang Kepada Semua Yang Berhormat

Perdana Menteri dahului upacara angkat sumpah di Dewan Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas mendahului acara mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, hari ini.


KUALA LUMPUR 28 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendahului 222 ahli Parlimen mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pukul 10.15 pagi ini.

Ia diikuti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menteri-menteri kanan dan menteri-menteri yang baru sebelum disusuli ahli-ahli Parlimen lain.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Malaysiakini mohon maaf kepada Khairy

Laman web berita Malaysiakini memohon maaf kepada Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin kerana menyiarkan berita yang tidak benar berhubung dengan kemenangan Khairy pada pilihan raya umum yang lalu bagi Parlimen Rembau.

Berdasarkan surat penjelasan yang dihantar oleh Khairy kepada Malaysiakini dan tuntutan permohonan maaf di atas laporan yang tidak benar itu, Malaysiakini melalui Nota Editornya memohon maaf kerana menyiarkan dakwaan tersebut dalam berita yang dilaporkan sebelum ini.

“Pada malam pilihan raya, kami dimaklumkan oleh calon PKR Badrul Hisham Shaharin bahwa dia diberitahu oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa akan ada kiraan semula dibuat.

“Berita kami adalah bersandarkan maklumat itu. Bagaimanapun akhirnya kami mendapat maklumat bahawa tidak ada kiraan semula dibuat. Dengan itu kami memohon maaf kepada Khairy Jamaluddin kerana menyiarkan dakwaan tersebut dalam laporan kami sebelum ini,” demikian bunyi permohonan maaf yang dibuat oleh Malaysiakini.

Berdasarkan laporan Malaysiakini berhubung dengan isu itu, Malaysia kini melaporkan bahawa keputusan pilihan raya bagi Parlimen Rembau menimbulkan kontroversi kerana selepas kiraan pertama Khairy kalah sebanyak 800 undi.

Bagaimanapun Khairy telah meminta kiraan semula dan hasilnya beliau diisytihar sebagai pemenang dengan majoriti 5,726.

Berdasarkan laporan itu, Khairy menghantar surat penjelasan dan tuntutan permohonan maaf kepada Malaysiakini.

Menurut Khairy, pada hakikatnya tidak ada kiraan semula yang dibuat bagi parlimen Rembau.

Malah katanya, pada malam 8 Mac di pusat penjumlahan undi, beliau hadir di situ dan tidak ada kiraan undi semula dibuat malah calon PKR, Badrul Hisham tidak kelihatan di pusat penjumlahan undi tersebut.

Khairy berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak tepat tetapi diulang dalam berita yang disiarkan pada 11 dan 18 April oleh Malaysiakini.

“Laporan yang disiarkan adalah tidak bertanggungjawab dan nakal.

“Dengan itu, adalah adil untuk kepentingan umum khususnya para pengundi di Rembau, Malaysiakini hendaklah menarik balik dakwaannya itu dan menyiarkan pembetulan dengan disertakan permohonan maaf,” ujar Khairy. – SUMBER AGENDADAILY

nota: tindakan media alternatif seperti malaysiakini yang kebanyakan berita diterbit tanpa usul periksa akhirnya mengundang padah. Tindakan mereka yang menyiarkan bulat-bulat berita sumber dari calon PKR Badrul Hisham Shaharin adalah sesuatu yang tidak profesional dan berat sebelah. Diharap media-media alternatif pada masa hadapan dapat membuat ‘due diligence’ yang lebih komprehensif sebelum menerbitkan sesuatu berita. Ini kerana sebagai salah satu sumber maklumat alternatif, maklumat yang diterbitkan mestilah sahih dan tidak berat sebelah.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda