sumber utusan
NEW YORK, 20 Mei — Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati anggota UMNO supaya tidak tergopoh gapah dalam membuat keputusan yang boleh merosakkan parti, kedudukan orang Melayu dan negara.
Beliau berkata tindakan perlu diambil secara bijaksana dan berhemah supaya keadaan tidak bertambah buruk lagi.
Terkejut dengan tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang keluar dari parti itu secara serta merta semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata adalah penting bagi anggota UMNO menjaga keselamatan parti dan kedudukan orang Melayu kerana parti komponen Barisan Nasional akan hilang keyakinan jika UMNO terus bergolak.
“Kalau ada mesej daripada tindakan yang memeranjatkan ini, apa yang perlu dibuat adalah melalui proses demokrasi dalam parti melalui musyawarah, muzakarah dan perbincangan.
“Kalau mereka tidak puas hati ada caranya seperti proses pemilihan parti.
Di situ ahli parti boleh memberikan cadangan yang perlu dibuat untuk menyelesaikan kemelut di dalam UMNO,” katanya kepada pemberita selepas seminar Peluang Perniagaan Malaysia-Amerika Syarikat di sini pada Isnin.— BERNAMA
