(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengecam tindakan Datuk Mukhriz Mahathir yang meletakkan syarat agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur daripada semua jawatan sebelum Julai ini.
Tegas Hishammuddin, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen dan Exco Pergerakan Pemuda Umno tidak wajar memberikan syarat-syarat sedemikian.
“Saya kecewa dengan kenyataan Mukhriz,” kata beliau kepada pemberita di Parlimen.
Semalam, Mukhriz, anak Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan yang beliau akan tetap kekal dalam Umno.
“Selaku Ketua Pemuda, saya merasakan kesetiaan kepada parti tidak boleh dijual beli dan dipersendakan. Bayangkan perasaan akar umbi yang sedang bertungkus-lumus menyelamatkan parti dan mereka tetap setia.
“Macam mana perasaan mereka apabila mendengar seorang pemimpin yang bakal bertanding memimpin Ketua Pemuda meletakkan syarat sebegini.
“Tergamaknya beliau meletakkan syarat dengan memberi tempoh kepada Presiden untuk meletakkan jawatan. Ini merupakan perkara yang berbeza daripada apa yang diluahkan dalam surat (kepada Abdullah dua bulan lalu),” katanya.
Bagaimanapun, Hishammuddin tetap mengakui bahawa kata dua Mukhriz itu sebagai satu bentuk ancaman kepada parti.
“Proses peralihan kepimpinan parti tidak akan berjalan lancar sekiranya kita meletakkan desakan dan ugutan,” katanya lagi.
Sebaliknya, beliau menggesa Abdullah agar berundur untuk menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Malam kelmarin, Mukhriz telah mengadakan pertemuan dengan Hishammuddin dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di kediaman Hishammuddin.
Semalam, beliau berkata,Majlis Tertinggi (MT) Umno juga perlu membuka seluas-luasnya ruang demokrasi kepada anggota Umno untuk menyuarakan pandangan mereka termasuk melalui mesyuarat agung luar biasa.
Katanya, MT Umno juga tidak harus menghalang atau mengeluarkan arahan mengekang mana-mana anggota atau pemimpin daripada apa-apa perkara untuk kebaikan parti selagi ia selari dengan prinsip demokrasi seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Ketika ditanya sama ada Mukhriz akan dikenakan tindakan disiplin, Hishammuddin memberitahu, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Pengurusan untuk memutuskan.
“Sebagai Ketua Pemuda saya tegas dengan apa yang berlaku ini dan terpulang kepada jawatankuasa itu sama ada akan mengenakan tindakan disiplin terhadap Mukhriz atau tidak memandangkan Pemuda tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sedemikian,” katanya.
Hishammuddin berkata, beliau juga akan bertemu tiga lagi anggota exco Pemuda Umno iaitu Pengerusi Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Azizul Nizam Bidin; Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan, Harisson Hassan dan Timbalan Pengerusi Biro Pendaftaran dan Daftar Pemilih, Kamarulzaman Kamdias yang berada bersama Mukhriz pada sidang akhbar semalam dan menyokongnya.
“Saya nak tahu apa sebenarnya pendirian mereka…apakah mereka bersetuju dengan tindakan Mukhriz…tetapi berdasarkan maklum balas yang diterima dari akar umbi, tindakan (Mukhriz) meletakkan syarat itu merupakan prinsip dan dasar perjuangan yang tidak boleh diterima dan amat mengecewakan.
“Sebelum ini (Mukhriz) pernah menyatakan akan berbincang terlebih dahulu dengan rakan-rakan exco sebelum mengambil sebarang pendirian. Jelas prinsip ini bercanggah dengan semangat perjuangan dalam berpasukan,” katanya.
Mukhriz nafi keluar Umno Julai
KUALA LUMPUR: Anggota Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir hari ini menafikan yang beliau akan keluar parti jika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak meletakkan jawatan parti dan kerajaan sebelum Julai ini.
“Saya tidak kata menjelang Julai jika Perdana Menteri tidak berundur, maka saya akan keluar parti,” jelas beliau kepada pemberita di Parlimen di petang ini – beberapa jam selepas Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengecam kenyataannya dikeluarkan semalam.
Jelas Mukhriz, apa yang disuarakan semalam ialah beliau mempunyai hak untuk mengubah pendirian pada bila-bila masa mengikut perkembangan semasa dan beliau tidak menyatakan hanya ada satu cara iaitu keluar parti sedangkan banyak lagi cara lain yang boleh diambil.
Hishammuddin kesal dengan kenyataan Muhkriz semalam sambil menegaskan, beliau akan merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno.
Dalam reaksinya, Mukhriz menambah, beliau sedia untuk menghadapi sebarang tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya dan merasakan proses dilalui sekarang ini akan terus memberikan kekuatan kepada Pemuda Umno.
“Saya tidak akan keluarkan sebarang kenyataan kalau saya sendiri tidak sanggup menerima tindakan termasuk daripada Jawatankuasa Pengurusan,” katanya sambil menganggap kenyataan Hishammuddin itu ekoran daripada salah faham terhadap kenyataannya semalam.
Mukhriz berkata, beliau akan menghadiri mesyuarat Exco Pemuda Jumaat ini seperti biasa kerana ini bukan kali pertama beliau berdepan dengan kritikan dari kalangan rakanrakannya sendiri.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, bulan Julai merujuk kepada mesyuarat cawangan yang akan bermula dan beliau berharap satu perubahan drastik akan berlaku sebelum mesyuarat cawangan bermula dan bukan mengambil keputusan keluar parti.
Mukhriz pada sidang akhbar semalam, dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengubah pendiriannya itu jika sehingga Julai, Abdullah tidak meletak jawatan.
Malah, Mukhriz juga menyatakan tidak akan mengikut jejak langkah bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang keluar dari Umno kelmarin.
Beliau berkata, tidak perlu keluar dari parti kerana banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan diperjuangkan bukan sahaja untuk parti malah bagi kawasan Parlimen yang diwakilinya.
nota: walau sejak mutakhir ini kita lihat YB Mukhriz amat lantang mengkritik kepimpinan UMNO/Pak Lah, adalah diharapkan agar YB Mukhriz dapat ‘cool down’ buat seketika. Ramai berpendapat bahawa YB Mukhriz adalah pemimpin masa depan di dalam UMNO. Janganlah disebabkan perselisihan faham Tun Mahathir dan Paklah, YB Mukhriz juga campur tangan. Perjalanan politik YB Mukhriz masih lagi panjang dan amat cerah sekiranya beliau dapat mengorak langkah yang betul. Adakah YB Mukhriz ingin menyarung baju PKR atau PAS pada pilihanraya yang akan datang sesudah Ketua Umum PKR dilabelkan sebagai agen yahudi oleh YB Mukhriz di dalam parlimen tempoh hari? Nasihat penulis agar YB Mukhriz tidak terlalu agresif dan tidak juga terlalu lembut di dalam mengkritik kepimpinan UMNO masa kini. Tetapi kritikan yang dilakukan haruslah jujur dan jangan kritikan dihamburkan bersama unsur peras ugut(meletakkan syarat). Penulis yakin bahawa Pak Lah akan berundur tidak lama lagi. Cuma pada fikiran penulis, biarlah PAU diadakan dahulu. Biarlah Pak Lah berundur secara terhormat dan bukannya disingkirkan akibat tekanan luaran. Apakah kita sesama Melayu gembira melihat budaya jatuh-menjatuhkan sesama sendiri berlaku? Adakah benar cakap orang yang mengatakan orang melayu kaya dengan perasaan hasad dengki?? Fikir-fikirkan..