Hishammuddin kecam Mukhriz letak syarat desak Pak Lah undur

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengecam tindakan Datuk Mukhriz Mahathir yang meletakkan syarat agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur daripada semua jawatan sebelum Julai ini.

Tegas Hishammuddin, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen dan Exco Pergerakan Pemuda Umno tidak wajar memberikan syarat-syarat sedemikian.

“Saya kecewa dengan kenyataan Mukhriz,” kata beliau kepada pemberita di Parlimen.

Semalam, Mukhriz, anak Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan yang beliau akan tetap kekal dalam Umno.

“Selaku Ketua Pemuda, saya merasakan kesetiaan kepada parti tidak boleh dijual beli dan dipersendakan. Bayangkan perasaan akar umbi yang sedang bertungkus-lumus menyelamatkan parti dan mereka tetap setia.

“Macam mana perasaan mereka apabila mendengar seorang pemimpin yang bakal bertanding memimpin Ketua Pemuda meletakkan syarat sebegini.

“Tergamaknya beliau meletakkan syarat dengan memberi tempoh kepada Presiden untuk meletakkan jawatan. Ini merupakan perkara yang berbeza daripada apa yang diluahkan dalam surat (kepada Abdullah dua bulan lalu),” katanya.

Bagaimanapun, Hishammuddin tetap mengakui bahawa kata dua Mukhriz itu sebagai satu bentuk ancaman kepada parti.

“Proses peralihan kepimpinan parti tidak akan berjalan lancar sekiranya kita meletakkan desakan dan ugutan,” katanya lagi.

Sebaliknya, beliau menggesa Abdullah agar berundur untuk menyelamatkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Malam kelmarin, Mukhriz telah mengadakan pertemuan dengan Hishammuddin dan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin di kediaman Hishammuddin.

Semalam, beliau berkata,Majlis Tertinggi (MT) Umno juga perlu membuka seluas-luasnya ruang demokrasi kepada anggota Umno untuk menyuarakan pandangan mereka termasuk melalui mesyuarat agung luar biasa.

Katanya, MT Umno juga tidak harus menghalang atau mengeluarkan arahan mengekang mana-mana anggota atau pemimpin daripada apa-apa perkara untuk kebaikan parti selagi ia selari dengan prinsip demokrasi seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

Ketika ditanya sama ada Mukhriz akan dikenakan tindakan disiplin, Hishammuddin memberitahu, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Pengurusan untuk memutuskan.

“Sebagai Ketua Pemuda saya tegas dengan apa yang berlaku ini dan terpulang kepada jawatankuasa itu sama ada akan mengenakan tindakan disiplin terhadap Mukhriz atau tidak memandangkan Pemuda tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sedemikian,” katanya.

Hishammuddin berkata, beliau juga akan bertemu tiga lagi anggota exco Pemuda Umno iaitu Pengerusi Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Azizul Nizam Bidin; Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan, Harisson Hassan dan Timbalan Pengerusi Biro Pendaftaran dan Daftar Pemilih, Kamarulzaman Kamdias yang berada bersama Mukhriz pada sidang akhbar semalam dan menyokongnya.

“Saya nak tahu apa sebenarnya pendirian mereka…apakah mereka bersetuju dengan tindakan Mukhriz…tetapi berdasarkan maklum balas yang diterima dari akar umbi, tindakan (Mukhriz) meletakkan syarat itu merupakan prinsip dan dasar perjuangan yang tidak boleh diterima dan amat mengecewakan.

“Sebelum ini (Mukhriz) pernah menyatakan akan berbincang terlebih dahulu dengan rakan-rakan exco sebelum mengambil sebarang pendirian. Jelas prinsip ini bercanggah dengan semangat perjuangan dalam berpasukan,” katanya.

Mukhriz nafi keluar Umno Julai

KUALA LUMPUR: Anggota Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir hari ini menafikan yang beliau akan keluar parti jika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak meletakkan jawatan parti dan kerajaan sebelum Julai ini.

“Saya tidak kata menjelang Julai jika Perdana Menteri tidak berundur, maka saya akan keluar parti,” jelas beliau kepada pemberita di Parlimen di petang ini – beberapa jam selepas Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengecam kenyataannya dikeluarkan semalam.

Jelas Mukhriz, apa yang disuarakan semalam ialah beliau mempunyai hak untuk mengubah pendirian pada bila-bila masa mengikut perkembangan semasa dan beliau tidak menyatakan hanya ada satu cara iaitu keluar parti sedangkan banyak lagi cara lain yang boleh diambil.

Hishammuddin kesal dengan kenyataan Muhkriz semalam sambil menegaskan, beliau akan merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno.

Dalam reaksinya, Mukhriz menambah, beliau sedia untuk menghadapi sebarang tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya dan merasakan proses dilalui sekarang ini akan terus memberikan kekuatan kepada Pemuda Umno.

“Saya tidak akan keluarkan sebarang kenyataan kalau saya sendiri tidak sanggup menerima tindakan termasuk daripada Jawatankuasa Pengurusan,” katanya sambil menganggap kenyataan Hishammuddin itu ekoran daripada salah faham terhadap kenyataannya semalam.

Mukhriz berkata, beliau akan menghadiri mesyuarat Exco Pemuda Jumaat ini seperti biasa kerana ini bukan kali pertama beliau berdepan dengan kritikan dari kalangan rakanrakannya sendiri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, bulan Julai merujuk kepada mesyuarat cawangan yang akan bermula dan beliau berharap satu perubahan drastik akan berlaku sebelum mesyuarat cawangan bermula dan bukan mengambil keputusan keluar parti.

Mukhriz pada sidang akhbar semalam, dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengubah pendiriannya itu jika sehingga Julai, Abdullah tidak meletak jawatan.

Malah, Mukhriz juga menyatakan tidak akan mengikut jejak langkah bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang keluar dari Umno kelmarin.

Beliau berkata, tidak perlu keluar dari parti kerana banyak lagi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan diperjuangkan bukan sahaja untuk parti malah bagi kawasan Parlimen yang diwakilinya.

nota: walau sejak mutakhir ini kita lihat YB Mukhriz amat lantang mengkritik kepimpinan UMNO/Pak Lah, adalah diharapkan agar YB Mukhriz dapat ‘cool down’ buat seketika. Ramai berpendapat bahawa YB Mukhriz adalah pemimpin masa depan di dalam UMNO. Janganlah disebabkan perselisihan faham Tun Mahathir dan Paklah, YB Mukhriz juga campur tangan. Perjalanan politik YB Mukhriz masih lagi panjang dan amat cerah sekiranya beliau dapat mengorak langkah yang betul. Adakah YB Mukhriz ingin menyarung baju PKR atau PAS pada pilihanraya yang akan datang sesudah Ketua Umum PKR dilabelkan sebagai agen yahudi oleh YB Mukhriz di dalam parlimen tempoh hari? Nasihat penulis agar YB Mukhriz tidak terlalu agresif dan tidak juga terlalu lembut di dalam mengkritik kepimpinan UMNO masa kini. Tetapi kritikan yang dilakukan haruslah jujur dan jangan kritikan dihamburkan bersama unsur peras ugut(meletakkan syarat). Penulis yakin bahawa Pak Lah akan berundur tidak lama lagi. Cuma pada fikiran penulis, biarlah PAU diadakan dahulu. Biarlah Pak Lah berundur secara terhormat dan bukannya disingkirkan akibat tekanan luaran. Apakah kita sesama Melayu gembira melihat budaya jatuh-menjatuhkan sesama sendiri berlaku? Adakah benar cakap orang yang mengatakan orang melayu kaya dengan perasaan hasad dengki?? Fikir-fikirkan..

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

3 responses to “Hishammuddin kecam Mukhriz letak syarat desak Pak Lah undur

  1. Kuntakinte

    cool le Dato Hisham, sebenarnya itu juga lah yang sedang berlaku di merata tempat, kita kena hormati suara orang lain jangan kita asyik nak orang menghormati suara kita je, walaupun suara kita sumbang, cara Mukriz memenuhi citarasa golongan muda zaman kini yang dah berpemikiran bijak dan terbuka,Pemuda UMNO kuntakinte lihat mahu tak mahu kena guna methodologi baru, pemimpin pemuda kena menjadi pendesak, kena brutal, kena berani asal kan tidak derhaka kepada Parti dan digeruni oleh bangsa lain dan Parti pembangkang, Pak Lah ahli UMNO juga bayar yuran RM1.00, perlu hadir Persidangan Tahunan Cawangan juga, tarafnya sama dengan ahli UMNO yang lain, jadi apa masalahnya kalau Pak Lah di tegur atau diminta buat itu, buat ini, masing2 punya hak dan pandangan tersendiri yang harus di hormati oleh pemimpin lain, Kalau Mukriz jadi Ketua Pemuda mungkin dia lebih baik dari Dato Hisham sendiri yang terkongkong dengan jawatan Menteri, Dato, Pemuda UMNO longlai dan lemah, pondan dan bapuk sekarang ini, kena bangun kembali Dato, nak bangun Ketua Pemuda kena yang gagah dan berani macam Hang Jebat sanggup mati untuk betulkan kebenaran, itulah model ketika ini. P/s cadang Kuntakinte Ketua Pemuda Mukriz, Naib Ketua KJ, gagah dan berani le Pemuda jadinya. Takbir! (sebut lemah lembut)

  2. “SAYA kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa. Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya,” kata Penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI, Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said.

    Semua orang rasanya maklum saya seorang pengarang sastera yang selepas pilihanraya umum lalu berasa tidak senang dengan semua parti politik yang ada. Justeru, secara peribadi saya merasakan; untuk menghubungkan tindakan pejuang bahasa yang membantah PPSMI dengan politik pembangkang seperti yang diusahakan oleh media elektronik dalam Buletin Utama dan Buletin 1:30 (Ahad lalu) memang dangkal.

    Manipulasi sedemikian hanya akan menyebabkan pejuang bahasa dan intelektual Melayu semakin menjauhi pemerintah. Sesungguhnya kita tidak boleh menafikan yang isu bahasa adalah isu politik. Isu pendidikan adalah isu politik. Di Korea Selatan, Perancis, dan Jerman isu pendidikan adalah isu yang diketengahkan dalam pilihanraya dan selalu membawa pelajar dan pengajar ke jalan raya.

    Lama dahulu sebelum saya menjelajah dunia sastera ini, ketika berguru dengan Pak Samad Said di celah-celah tiang Masjid Negara, sebelum mencicip kopi bersama Az di McGoo Deli, sambil menunggu Kak Shidah pulang dari kerja, Pak Samad memberitahu saya: “Untuk menguasai seni menulis itu mudah saja, bapak akan belikan buku-buku yang baik dan Faisal baca. Tetapi yang paling payah ialah menguasai seni bersikap.”

    Hari ini kita tahu mengapa Pak Samad menjadi ikon sehingga foto beliau dicetak pada t-shirt anak-anak muda yang turun ke jalan raya pada 7 Mac lalu. Seorang seniman hanya dapat dihormati dan dipercayai kerja-kerjanya apabila dia bersikap. Selagi tidak bersikap, kerja atau karyanya (waima menang hadiah) hanyalah satu karangan indah yang tiada makna.

    Hayati sikap Datuk A Samad Said ini:

    1. Setiap orang Melayu yang mencintai bahasanya harus membuang undi menyanggah pucuk pimpinan yang tidak melestarikan bahasa ibundanya. Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita.

    2. Saya juga kecewa dengan kenyataan Menteri Pelajaran yang mengatakan dia malu bila pejuang bahasa pergi ke jalanan dan seharusnya menggunakan lorong-lorong tertentu. Pejuang bahasa memilih jalanan kerana sudah tidak ada lagi lorong-lorong yang boleh dimasuki.

    3. Saya fikir pemimpin tertentu sahaja begini. Yang saya dengar kalangan akar umbi Umno juga menolak PPSMI. Tetapi bila yang berkuasa terlalu diberi kuasa maka jadinya pucuk pimpinan sentiasa benar. Pucuk pimpinan tidak bersedia untuk berkompromi. Saya fikir penghakisan pengaruh Umno antara sebabnya saya fikir kerana mereka terlalu bertelinga satu dan mereka terlalu berlidah dua.

    Oleh kerana persidangan Agung Umno semakin hampir, setiap pemimpin Umno tidak mahu tersilap. Kalau tersilap mereka akan tersingkir lebih awal. Mereka mahu masuk dalam lingkungan itu hingga Mac. Di situ kita boleh lihat wajah sebenar mereka ini. Beruntunglah kalau benar-benar politik rasuah itu dapat disisihkan. Saya mahu lihat yang bukan RM200 ditangkap tetapi yang berjuta ringgit. Yang tangkap jumlah kecil ini cuma wayang gambar tetapi saya mahu lihat yang besar-besar juga ditangkap.

    4. Memang ini penghinaan. Bukan saja penghinaan saya fikir ketidakyakinan dan tidak bersedia memartabatkan bahasa oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kalau orang lain atau bangsa lain tidak berbuat begitu, saya tidak kisah dan saya boleh tidur dengan lena. Tetapi yang mengecewakan saya adalah pemimpin Melayu itu sendiri tidak yakin dengan bahasanya.

    5. Jadi memang sesuatu sudah terbuku di hati, sudah tetap mahu dilaksanakan supaya bahasa Inggeris itu dijadikan bahasa pengantar. Kalau Menteri Pelajaran kata ada lorong untuk diusahakan sebenarnya lorong itu sudah lama tiada maka sebab itu kami pergi ke jalanan.

    6. Kalau dalam Gapena, saya fikir akhir-akhir agak samar. Saya tidak tahu apakah Gapena benar-benar menyokong perjuangan bahasa ini. Terakhir saya dengar Gapena mahu menyaman kerajaan. Saya tidak pasti sama ada itu satu pengucapan yang serius atau tidak. Memang tidak ternampak tokoh-tokoh Gapena berada di tempat-tempat yang sepatutnya. Contohnya di Sogo, saya tidak nampak, mungkin ada di belakang-belakang, saya tidak tahu tapi sepatutnya mereka ke depan.

    Saya fikir penyertaan Gapena yang agak total perlu kerana mereka adalah gabungan penulis-penulis Melayu. Kalau tidak ke depan maka ia semacam ada yang tidak kena kerana mereka adalah induk jadi mereka perlu lebih ke depan.

    Saya dengan rasa penuh hormat terhadap Professor Ismail Hussein dan rakan-rakannya menyatakan sikapnya dengan jelas dan total. Mereka mahu melestarikan bahasanya atau tidak.

    7. Malah ketika dibawah pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, beliau tidak cuba melestarikan bahasa. Dan itu tidak dilakukan. Dan saya tidak tahu apakah yang sudah tersusup dalam hati nurani mereka hingga mereka tidak percaya kepada bahasa mereka sendiri. Dikatakanlah bahawa bahasa Melayu itu kuat.

    Pertanyaan saya, apakah yang dilakukan oleh elita kuasa Melayu ini untuk menguatkan bahasa Melayu? Apa yang saya nampak mereka semakin menguncupkan bahasa dan menghala kepada penazak bahasa dan akhirnya akan menjadi pengubur bahasa. Yang salah terbukti elita kuasa Melayu ini kerana tidak berusaha melestarikan bahasa Melayu. Yang kita dengar bahasa Melayu ini tidak cukup kuat untuk memberikan rezeki, apa ini? Yang memberikan rezeki itu Tuhan bukan bahasa. Dan ini adalah dosa-dosa bahasa orang-orang yang mengucupkan bahasa ini.

    (Begitulah intipati wawancara Harakah dengan A Samad Said.)

    Nah, apa hubung kait dengan lelaki berkeris di atas (penulis letakkan gambar Hishamuddin Hussein dalam blognya)? Mengapa Menteri Pelajaran menafikan desas-desus yang peluangnya untuk memenangi Naib Presiden Umno terjejas ekoran bantahan rakyat terhadap PPSMI? Mungkinkah kerana sebetulnya, peluang beliau semakin menipis.

    Kata-kata Pak Samad: ‘Ertinya kalau dimana-mana pun kalau ada calon yang menentang bahasa ibundanya, kita harus tentang mereka dengan tidak undi mereka. Kenapa kita mesti pilih orang yang mahu mengucupkan bahasanya. Kita ada undi, ajar mereka dengan undi kita’ akan menghantui beliau.

    Untuk mereka yang tidak hadir sama ke acara tunjuk kasih 7 Mac lalu dengan alasan ia menjadi medan politik, sila baca alasan Pak Samad mengapa beliau ikut sama berarak di jalanraya sehingga sanggup disembur gas pemedih mata.

    Ingatlah kata Pak Samad, yang beri rezeki buat kita ialah Tuhan, bukan bahasa. Ini basis keimanan, serlahkan ia terhadap anak-anak.

    Mencontohi Pak Samad yang berani menyatakan sikap terhadap teman-temannya dalam GAPENA, saya juga ingin menyatakan sikap terhadap teman-teman pengarang:

    Menulis sastera Melayu tanpa menyertai perjuangan mempertahankan bahasa Melayu ,di saat ia memerlukan, adalah bacul. Kerana saat bahasa Melayu ini terkubur kelak, novel yang ditulis pun akan turut terpadam. Membiarkan bahasa Melayu dipertahankan oleh anak-anak muda dari parti politik, sedang kita menyulam pelbagai alasan untuk tidak turun padang, adalah dayus. Ini masanya, bak kata Allahyarham Usman Awang; nama kalian telah diseru, sahutlah sebelum jadi bisu.

    Nota Tambahan (saranan Sofwah, terima kasih!):

    Bagi sesiapa yang ingin menjawab blog-blog penyokong PPSMI yang semakin bercambah, saya berharap ia dilakukan dengan tenang dan rasional. Saya lihat mereka suka membuat kesimpulan:

    1. Ia bermotif politik.

    2. Pejuang bahasa pun cakap Bahasa Inggeris, jadi, kenapa nak tentang PPSMI?

    3. Pejuang BM anti Bahasa Inggeris.

    4. Anak, anak sedara, adik sedara, anak sepupu sepapat, anak dua tiga empat pupu, suka PPSMI, jadi, anak orang lain, anak sedara orang lain, adik sedara orang lain pun akan suka PPSMI.

    5. Pakcik makcik sepupu sepapat dua tiga empat pupu papat mengajar Sains dan Matematik dalam BI suka PPSMI, jadi, kenapa pejuang Bahasa tak suka PPSMI?

    6. PPSMI akan membantu pengajaran BI.

    7. PPSMI tidak akan menganggu-gugat BM; dan banyak lagi persepsi cetek.

    Ternyata mereka tidak membaca sebarang kajian. Kita ingin mengingatkan pejuang bahasa bukan bodoh wahai Datuk Seri Hishamuddin, kita bertindak selama enam tahun dengan penuh kesabaran sambil melakukan kajian mendalam. Dan pihak beliau telah menutup jalan rundingan, sehingga Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said yang diketahui bersikap berkecuali dari segi politik telah memilih pentas politik.

    Saya ingin menyarankan sesiapa yang bertemu dengan blog-blog penyokong PPSMI untuk memautkan kajian/pandangan alternatif seperti contoh di bawah ini:

    1. Kajian Akademik

    2. Profesor Shaharir Md. Zain

    3. Bahasa Melayu untuk Sains, Matematik tetap realistik

    4. Profesor-Profesor Melayu dalam Bidang Sains yang Menentang PPSMI

    5. Kosmologi Bahasa

    6. Menjawab Gabungan Pro PPSMI; dan meminta mereka berfikir lebih dalam lagi.

    Untuk penguasa, saya ingin mengingatkan yang belum ada politikus menang dalam melawan seniman. Di hujung, meski panjang jalannya – seniman selalu akan menang.

  3. Bakal PM

    duhai khalifah malaya …:

    saya x mahu komen la mengenai A Samad Said.. bg saya mungkin beliau ikhlas membela bahasa tp???
    saya cuma pelik dan tertanya2 mengapa pemimpin2 pembangkang bersekongkol dgn beliau?? Apakah sekadar meraih populariti??? tidak ingat kah isu papan bahasa cina tanda di pulau pinang?? adakah PAS dan PKR membantah tindakan DAP??? senyap jer…

    nak perjuangkan bahasa melayu mesti ada sebabnya… Knp?? kerana bahasa melayu termaktub dalam perlembagaan sebagai bahasa rasmi dan itu adalah hak keistimewaan kita… tp pembangkang rasanya nak menghapuskan hak keistimewaan org melayu yang mana bahasa melayu juga merupakan salah satu keistimewaan kita… nak jd mcm singapore??? bahasa melayu tidak lg menjd perantara kerana terhapusnya ketuanan melayu…

    kesimpulannya bg yg ikhlas berjuang sila2 kan suarakan pandangan anda melalui saluran yg betul… bohong sekiranya kata tiada cara untuk berunding kerana kementerian telah membuka seluas2nya pintu rundingan cuma budaya terlompat2 dijalanan juga yg dipilih…

    bg yg x tahu malu sekadar menempel muka nak join bantahan tu buangla budaya munafik tu… berpura2 jer… nak bela bahasa tp hapuskan keistimewaan bangsa sendiri buat apa… bawak bertaubat… berjuang dgn ikhlas bukan berpura2…

    ok… tu je… sebelum tertinggal kalau nak martabatkan bahasa melayu rasanya pas dah boleh suruh pemimpinnya pg tuisyen menyebut setiap perkataan dalam bahasa melayu dgn betul dan fasih… x mahu la dgr mcm nik aziz sebut… contoh ambo malas nak ghoyak lg… dah tok tahu nak sebut lagu mano… ntah kalau dalam peperiksaan bahasa melayu rasanya karangan mcm ni bahasanya dapat markah apa la…

    lim keat ciang dan kapal sink pun mcm tu jgk… sebut betul2… yer… bertutur kena fasih… kalau x fasih mintak Dato A samad Said complain…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s