Daily Archives: May 29, 2008

Ezam rela diperalat serang Anwar, dua lagi sertai Umno

terkini! sumber mstar

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Mohamad Ezam Mohd. Nor hari ini menegaskan, beliau kembali ke pangkuan Umno semalam demi prinsip, tetapi rela diperalatkan untuk melawan bekas ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pembangkang.

Lima jam selepas beliau mendedahkan rahsia menyertai Umno, dua lagi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan permohonan untuk menyertai Umno kerana mendakwa sudah hilang kepercayaan ke atas Anwar

Bekas Ketua Bahagian PKR Bahagian Permatang Pauh, Anuar Shaari, 40, dan bekas Exco Pemuda Keadilan Pusat, Khairul Anuar Ramli, 27, menyerahkan borang permohonan mereka kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan di Parlimen petang ini.

Terdahulu, Ezam ketika menjawab soalan sama ada beliau bersedia diperalatkan Umno untuk menangkis pengaruh Anwar, penasihat PKR berkata:

“Saya orang politik. Dalam politik kita sentiasa dipergunakan. Saya rela untuk dipergunakan Umno demi kebaikan,”

Sehari selepas menghantar borang menganggotai semula Umno kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, parti yang telah memecatnya pada 1998, Ezam pada sidang akhbar di sini pagi ini, secara terbuka mengkritik Anwar yang dianggapnya seorang pemimpin yang terlalu obses dengan kuasa.

Walaupun pada awal sidang akhbar Ezam menggunakan pendekatan mengkritik bekas mentornya itu secara beralas, tetapi selepas bertubi-tubi soalan diajukan mengenai pendiriannya tentang Anwar, beliau tidak lagi berselindung.

Anwar, katanya, berdosa besar kerana setelah dibebaskan dari penjara, telah mengubah prinsip perjuangan PKR daripada sebuah parti berbilang kaum yang berasaskan Melayu menjadi sebuah parti yang telah membuang terus perjuangan Melayunya itu.

Beliau juga dengan sinis mengkritik Anwar sebagai pemimpin yang mengamalkan politik menghalalkan cara sehingga sanggup memperalatkan Dasar Ekonomi Baru dalam kempen pilihan raya umum ke-12 hanya untuk menarik sokongan bukan Melayu.

Anwar, jelas Ezam telah membawa PKR keluar daripada landasan perjuangannya semata-mata untuk kepentingan peribadi beliau.

“Jika tidak percaya, tanyalah pemimpin-pemimpin peringkat negeri dan bahagian. Janganlah tanya pemimpin besar, kerana mereka sudah kenyang,” ujar Ezam, bekas Ketua Angkatan Pemuda PKR, yang keluar parti itu April 2007.

Ditanya apakah punca menyebabkan beliau terus hilang kepercayaan terhadap Anwar setelah hampir 10 tahun berjuang dalam Parti Keadilan, Ezam menjawab:

“Sebabnya besar. Ia satu perselisihan yang serius. Jangan lupa, saya dan Datuk Nala (S Nalakaruppan yang turut hadir pada sidang akhbar itu) adalah dua orang yang pernah masuk penjara kerana Anwar. Semuanya kami akan dedahkan nanti.”

Ezam juga menafikan spekulasi bahawa beliau ditawarkan jawatan untuk menyertai Umno.

Katanya, jika tawaran menjadi ukuran sudah lama beliau menganggotai semula Umno dan bukannya sekarang.

Sebelum ini, dedah Ezam, beliau pernah ditawarkan jawatan dan kedudukan tinggi untuk meninggalkan Keadilan (kini PKR) oleh pemimpin kerajaan, tetapi tidak berminat kerana tidak ada tanda-tanda reformasi dalam Umno.

Beliau mengulangi bahawa minatnya kepada Umno bangkit semula berikutan perubahan dasar yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam isu rasuah dan institusi kehakiman.

Ditanya sama ada benar beliau ditawarkan jawatan pengerusi di salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau pantas menjawab: “Tidak, walaupun saya berharap ia benar.”

Ezam berkata, beliau juga tidak bimbang untuk berhadapan dengan pemimpin-pemimpin Umno yang pernah beliau kritik satu masa dahulu kerana tuduhan-tuduhan rasuah serta salah guna kuasa kerana beliau berpegang pada perinsip kebenaran.

“Itu bukan satu masalah bagi saya, tetapi mungkin bagi mereka. Mereka semua kini perlu berhadapan dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang lebih bebas,” tegasnya.

Walaupun kini berada dalam Umno, Ezam berkata, beliau bukan sahaja akan meneruskan agendanya menentang rasuah, malah akan juga akan menyuarakan tentangan terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggapnya satu akta yang kejam.

Ezam merupakan antara mereka yang pernah ditahan di bawah ISA.

Beliau juga berazam membuka mata seramai mungkin pemimpin dan penyokong PKR tentang kepincangan parti itu serta mengajak mereka beramai-ramai menyertai Umno dengan melancarkan program bergerak ke seluruh negara tidak lama lagi.

Katanya, hanya konsep perkongsian kuasa yang didukung Barisan Nasional sahaja boleh menjamin masa depan Malaysia, seperti yang terbukti lebih 50 tahun selepas merdeka.

Perkongsian kuasa antara PKR, DAP dan Pas di bawah nama Pakatan Rakyat, kata beliau bukan satu alternatif kerana walaupun baru sahaja ditubuhkan untuk membolehkan mereka memerintah di beberapa negeri, telah terdapat bibit keretakan.

“Siapa tidak tahu bahawa sejak kebelakangan ini pemimpin DAP telah pun bertindak memboikot semua mesyuarat Pakatan Rakyat. Tetapi jika ditanya pemimpin Pakatan Rakyat, sudah pasti mereka akan nafikan,” katanya lagi.

Ditanya kemungkin beliau bertanding jawatan tinggi, termasuk jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti akhir tahun ini, Ezam tidak mengiya atau menidakkannya tetapi berkata, ia sesuatu yang akan ditentukan oleh pihak lain kerana ia bergantung pada pencalonan yang akan beliau terima.

Pada sidang media itu, Ezam juga mengumumkan kemasukan ke dalam Umno lima rakan seperjuangannya ketika dalam Pergerakan Pemuda PKR dahulu.

Dalam pada itu, Anuar dan Khairul Anuar menyerahkan borang permohonan mereka kepada Najib di bangunan di Parlimen petang ini.

Kedua-dua mereka dikatakan sudah hilang kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan PKR dan ingin menyertai Umno atas dasar keikhlasan dan kesedaran serta mahu berjuang untuk agama dan bangsa.


NAJIB Tun Razak menerima borang menyertai Umno daripada Anuar Shaari dan Khairul Anuar Ramli di Kuala Lumpur petang tadi.

Menurut Anuar yang pernah menjadi ahli Umnodan juga bekas Setiausaha Sulit Menteri Kewangan (jawatan yang pada ketika itu disandang Anwar) sehingga 1998, berkata, beliau telah menemui Najib tahun lalu dan menyatakan hasratnya.

“Penyertaan semula ke dalam Umno ini adalah atas kesedaran kerana saya sudah berada dalam Umno dan PKR.

“Justeru setelah membuat perbandingan dan kesimpulan, saya harus kembali kepada akar iaitu agama dan bangsa yang diperjuangkan Umno.

“Saya telah meninggalkan PKR pada tahun lalu sebelum menjadi Ahli Lembaga Pengarah Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK),” katanya.

Menurut Anuar, beliau telah mengumumkan kenyataan keluar daripada PKR kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinanan di hadapan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tahun lalu.

“Hari ini, saya mengumumkan penyertaan semula ke dalam Umno sebagai ahli biasa dan saya perlu bekerjasama dengan ahli-ahli lain serta menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.

Anuar turut mengakui terdapat lagi ahli PKR yang akan menyertai Umno.

Sementara itu, Khairul Anuar yang tidak pernah menjadi ahli Umno sebelum ini berkata, sikap Anwar yang tidak konsisten dalam tutur katanya menyebabkan beliau hilang kepercayaan terhadap enasihat PKR itu.

“Saya sebenarnya menyertai Umno dari sekolah lagi kerana menyangka ia satu wadah bagi rakyat.

“Kemudian, saya melihat sikap Anwar dengan Pas, cakap lain, dengan DAP cakap lain, itu yang menyebabkan saya hilang kepercayaan kepada beliau,” katanya yang pernah bertanding atas tiket bebas merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Kulim pada pilihan raya umum lalu.

Ditanya sama ada penyertaan mereka ke dalam Umno telah dirancang memandangkan Ezam mengumumkan penyertaan beliau semalam, Anuar berkata, itu hanya kebetulan dan mereka tidak pernah merancang.

“Saya suka kalau mereka mahu masuk Umno secara ikhlas. Saya tak pernah ajak ahli lain,” katanya.

nota: penulis percaya ramai ahli PKR yang sayangkan bangsa melayu akan keluar dari PKR kerana mereka melihat PKR diperkudakan oleh DAP. Sesungguhnya tiada parti yang kekal berhubung dengan DAP atas sikap mereka yang tidak menghormati kaum-kaum lain dan sering memainkan isu perkauman di Malaysia

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ezam masuk Umno kerana yakin usaha Abdullah perangi rasuah

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor berkata beliau menyertai semula Umno kerana yakin dengan usaha terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengembalikan integriti badan kehakiman negara dan memerangi gejala rasuah.

Beliau berkata perkembangan terbaru dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) membuka hatinya untuk menyertai semula Umno yang ditinggalkannya pada 1999.

“Saya masuk politik berasaskan kepada cita-cita (membuat) perubahan… dan saya yakin lebih banyak perubahan akan dibuat (oleh Perdana Menteri) pada masa akan datang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini bagi menjelaskan keputusannya memohon menyertai semula Umno.

Semalam, Abdullah yang juga Presiden Umno mengumumkan penerimaan kemasukan semula Mohamad Ezam ke dalam Umno tanpa sebarang syarat setelah tiada bantahan daripada Majlis Tertinggi (MT) dan Pemuda Umno.

Sebelum menyertai Parti Keadilan Nasional (sebelum PKR diwujudkan) pada 1999, Mohamad Ezam, 41, adalah Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan dari 1993 hingga 1996, Setiausaha Pemuda Umno Selangor dari 1996 hingga 1998 dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan.

Beliau pernah bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan dari 1996 hingga 1998 dan juga felo Institut Kajian Dasar dari 1998 hingga 2005. — Bernama

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Permohonan Ezam sertai Umno perlu kelulusan MT: Muhyiddin

sumber bharian

KANGAR: Permohonan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor untuk menyertai Umno perlu mendapat kelulusan Majlis Tertinggi (MT) kerana beliau “ada rekod”, kata Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Katanya, MT perlu membuat pertimbangan itu kerana Ezam pernah meninggalkan parti dan menyertai pembangkang dan kini memohon menyertai semula Umno.

“MT mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat mengenai tata etika Umno kepada pemimpin Umno Perlis di sini hari ini.

Muhyiddin berkata Ezam tidak boleh diterima sebagai anggota parti secara automatik kerana rekod politiknya.

“Kalau tak ada rekod tak apa. Ini (kes yang ada rekod) mesti dibawa ke MT,” katanya.

Semalam, Mohamad Ezam yang menyertai PKR pada 1999 dan meninggalkan parti itu sejak April tahun lalu menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden Umno.

Penyerahan borang serta wang yuran keanggotaan seumur hidup berjumlah RM100 itu mendapat liputan meluas media massa, termasuk stesen televisyen.

Muhyiddin hairan mengapa permohonan Ezam diberi liputan secara besar-besaran oleh media kerana menurutnya Umno adalah parti yang terbuka kepada semua orang Melayu dan Bumiputera untuk menyertainya.

“Kita tak mahu sangka buruk (kepada Ezam). Terserah kepada beliau sendiri.

“Beliau pernah jadi ahli Umno (kemudian) keluar dan masuk parti lawan. Lepas tu masuk balik. Orang kurang jelas apa sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata, sudah pasti Mohamad Ezam akan terbeban untuk membuktikan keikhlasannya menyertai Umno untuk membantu parti kerana keikhlasan itu terletak pada beliau sendiri.

Semalam Abdullah dilaporkan berkata Mohamad Ezam menyertai Umno secara ikhlas dan tanpa syarat serta tidak akan diberi layanan istimewa. — Bernama

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Umno wajar buka pintu kepada ahlinya yang pernah dikenakan tindakan disiplin

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata Umno perlu adil kepada semua anggotanya yang pernah dikenakan tindakan disiplin tetapi ingin menyertai semula parti itu.

Beliau berkata kemasukan bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor ke dalam Umno seharusnya membuka ruang kepada semua anggota Umno yang pernah dikenakan tindakan disiplin untuk turut kembali menyertainya.

“Kita tidak mahu hanya kerana Ezam yang mahu masuk semula menyertai Umno, kita terima semula.

“Bagaimana pula dengan ahli-ahli UMNO yang pernah dikenakan tindakan disiplin, adakah Umno juga akan menerima mereka semula” katanya mengulas penyerahan borang keahlian Umno oleh Ezam kepada Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam.

Ezam adalah bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. -sumber bharian

nota: penulis bersetuju sekiranya UMNO membuka keahlian semula kepada ahli yang pernah dikenakan tindakan disiplin. Walaubagaimanapun, keahlian semula ini hendaklah diberikan mengikut dan bukan secara membuta tuli. Ini dapat menguatkan kembali umno.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Idris Jusoh letak jawatan

sumber agendadaily

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh hari Rabu mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri itu berkuat kuasa esok (Khamis). Petang ini, Idris mengadakan pertemuan kira-kira 45 minit dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen.Langkah ini dipercayai adalah untuk memberi laluan kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dilantik ke jawatan itu.Dari segi politiknya adalah rumit bagi Ahmad Said mengurus parti di negeri itu jika tidak memegang jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri.- 28/5/2008

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Lagi bekas pemimpin PKR nak sertai UMNO

Tiga orang bekas Ketua Pemuda PKR negeri iaitu Kedah,Perlis dan Selangor istihar nak mohon sertai UMNO ikut jejak bekas Ketua Pemuda Ezam Mohd Nor.Turut ikut serta ialah bekas orang kuat PKR Permatang Pauh Anuar Shaari yang juga bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim.Mereka akan serah borang kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen jam 1 tengahari ini – sumber agendadaily 29/5/2008

12 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Luluskan projek mega ternak babi tetapi haramkan Islam Hadhari?

satu petikan menarik dari ruangan forum utusan malaysia hari ini.

SAYA dan mungkin umat Islam yang lain berasa kesal dengan tindakan Datuk Dr. Hassan Ali yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor mengharamkan segala aktiviti dan program yang bersangkutan dengan Islam Hadhari di Selangor. Aksi beliau semasa berhujah boleh disaksikan dalam Buletin Utama TV3. Begitu bersemangat sekali beliau memperjuangkan untuk mengharamkan apa yang tidak diharamkan. Sempat lagi membacakan ayat-ayat al-Quran untuk menguatkan lagi tindakan beliau itu. Pesanan saya biarlah Majlis Mufti yang mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan segala aktiviti yang berkaitan dengan Islam Hadhari.

Selepas sahaja saya menyaksikan aksi beliau di kaca televisyen, terlintas di fikiran saya mengapa aksi bersemangat begitu tidak ditunjukkan semasa isu projek ternakan babi di Sepang yang telah pun diluluskan oleh Kerajaan Selangor tempoh hari. Jika beliau ikhlas untuk menegakkan kebenaran Islam di negeri Selangor mengapa beliau tidak menentang sekeras-kerasnya kelulusan projek tersebut. Terdapat banyak ayat al-Quran yang memberitahu kepada semua umat manusia bahawa babi adalah tergolong dalam najis berat dan haram disentuh apa lagi untuk dijamah dagingnya. Mengapa tidak terbaca ayat-ayat tersebut sedangkan al-Quran itu untuk dibacakan kebenarannya kepada seluruh umat manusia tidak kira agama dan bangsa.

Jika hendak menentang sesama Islam begitu berani dan tegas tetapi amat mendukacitakan apabila menjadi penakut dan bacul untuk menentang apa yang terang-terangan adalah haram di sisi Islam.

Kepada Yang Berhormat Hassan, cubalah menjadi hero kepada umat Islam di Selangor khasnya dan di seluruh Malaysia amnya. Tentanglah projek ternakan haram itu.

Antikhinzir Bayan Lepas, Pulau Pinang

19 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Najib – Ezam tahu banyak perkara

sumber agendadaily

“Saudara Ezam tahu banyak perkara…maknanya dia tahu waktu dia dalam PKR dan dia boleh terangkan kenapa dia tidak yakin lagi dengan perjuangan PKR,” itulah reaksi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika mengulas mengenai kemasukkan semula bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohamad Nor ke dalam UMNO.

Menurut Najib, penyertaan semula Ezam ke dalam UMNO membuktikan beliau telah hilang keyakinan terhadap PKR dan sekaligus menerima UMNO sebagai wadah perjuangannya.

“Kita mengalu-alukan hasrat Saudara Ezam untuk masuk sebagai ahli UMNO. Jelas sekali Ezam yakin bahawa UMNO adalah wadah perjuangan yang sepatutnya dia sokong dan sekaligus bererti dia sudah hilang keyakinan dengan PKR,” katanya.

Ditanya mengenai bantahan daripada beberapa cabang Pergerakan Pemuda UMNO terhadap penyertaan semula Ezam dalam parti itu, Najib menegaskan, sebagai sebuah parti, UMNO perlu menerima dan membuka pintu kepada pihak yang memilih untuk menyokong mereka.

“Kita mesti faham sebagai sebuah parti kita perlu menerima dan membuka pintu kita (kepada) mereka yang ingin menyokong kita.Kalau kita bersikap untuk memilih sesetengah pihak dan setengah lain kita tak pilih masuk, bererti bahawa kita akan hilang banyak pihak yang sebenarnya ingin menyokong kita,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Najib berkata, berdasarkan sejarah perjuangan UMNO, parti itu telah menerima semula banyak pihak termasuk yang menentang UMNO dan kerajaan dan sengan itu penyertaan semula Ezam bukan merupakan satu isu.

“Walaupun dalam kes Saudara Ezam ni dia menentang kita dahulu tapi dalam sejarah perjuangan kita, kita menerima banyak pihak yang dulu menentang kita dan kemudian sudah insaf untuk menyokong parti mereka,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui agak sukar bagi mendapatkan sokongan 100 peratus terhadap penyertaan semula Ezam ke dalam UMNO kerana penglibatan beliau yang menentang kerajaan dan parti itu sebelum ini.

“Saya rasa agak sukar untuk mengharapkan sokongan 100 peratus tetapi asalkan keputusan majoriti menerima… terpulang kepada Ezam untuk meraih kembali keyakinan daripada ahli-ahli UMNO yang lain,” katanya. – 28/5/2008

nota: dengan jawatan Ezam di dalam PKR sebagai Ketua AMK, sudah tentu banyak ‘rahsia’ dan kelemahan PKR berada di tangan beliau. Kemasukan beliau di dalam UMNO sememangnya amat dinantikan ramai pihak. Diharap saudara Ezam dapat berjuang dengan ikhlas demi bangsa kita. Sehingga semlm DSAI masih belum mengeluarkan apa2 kenyataan media mengenai Ezam.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Antara Komen Ezam nak masuk UMNO

petikan agendadaily

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden Azmin Ali senada menilai langkah bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pemuda parti itu Ezam Mohd Noor nak masuk UMNO langsung tidak menjejaskan pembangkang.

Kedua-dua mereka yang ditemui di lobi Parlimen berkata ini kerana Ezam sudah lama bukan lagi ahli PKR.

“Itu pilihan dia,”kata Wan Azizah.Manakala Azmin yang mulanya agak keberatan nak komen berkata, “ saya tak perlu komen kerana dia bukan ahli Parti Keadilan Rakyat….bahkan parti bukan bersandarkan kepada satu individu…kekuatan parti bersandarkan kepada sokongan rakyat yang mahukan agenda perubahan.

“Dari segi lojiknya orang yang paling lama dalam UMNO Tun Dr Mahathir pun sudah istihar UMNO sebuah parti yang rosak…dia sendiri telah keluar dari UMNO jadi saya tak perlu komen lebih dari itu,”katanya yang diketahui umum mempunyai hubungan yang dingin dengan Ezam.

Kedua-dua Azmin dan Ezam sebelum ini merupakan tunjang Parti Keadilan Nasional iaitu nama asal PKR.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang diminta mengulas pula memberitahu beliau bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Ezam.

“Kami kawan lama,maklumlah dia keluar (dari UMNO ) dulu bukan dalam keadaan yang menyeronokan .Kita bersihkan yang lama supaya nanti tiada yang membelenggu beliau berjuang bersama kita.

“Saya terfikir juga bagaimana dia tergerak hati untuk bersama-sama dengan kita,mengapa orang yang begitu rapat dengan Anwar seperti Chandra ( Dr Chandra Muzaffar) dan Nalla ( Datuk Nallakaruppan) juga sudah kecewa dengan Anwar.

“Semua ini menimbulkan tandatanya kepada saya secara peribadi hingga berjumpa dia nanti.Tempat dan tarikh belum ditetapkan,”katanya.

Ditanya mengenai penerimaan ahli UMNO pada Ezam beliau berkata itu bergantung kepada cara dan pendekatan Ezam sendiri dan ia perlu dari peringkat bawah.

Ahli Exco Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir pula tidak setuju dengan kemasukan semula Ezam ke dalam UMNO.

“Ada sesuatu yang tidak kena di sini,”katanya.

Malah katanya ”saya risau apakah kemasukan Ezam menjadi satu petanda awal bahawa bekas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali menyertai UMNO.”

Ketua Pemuda UMNO Johor Razali Ibrahim berkata beliau sentiasa bersikap terbuka dalam apa jua langkah yang boleh kuatkan lagi parti.

“Pada saya untuk kita bangunkan negara ini adalah menjadi tanggongjawab semua pihak bukan saja kepimpinan tetapi juga rakyat dan saya percaya tidak ada seorang individu yang boleh bangunkan negara ini secara berseorangan selain dari kerjasama dari seluruh lapisan masyarakat.

“Atas kata-kata itu kita hendaklah mempunyai tanggongjawab untuk melaksanakan tugas kita dengan jujur dan amanah serta ikhlas.Saya berpandangan bahawa apa yang berlaku hari ini (Ezam nak masuk UMNO) boleh jadi sesuatu yang beri kebaikan kepada usaha kita meletakan kembali negara kita dalam keadaan yang stabil.

Namun begitu Razali yang juga Ahli Parlimen Muar memberi amaran bahawa jangan sesekali kepercayaan yang diberikan itu digunakan atas kepentingan peribadi.

“Kalau ini berlaku saya rasa tidak apa yang dapat kita berikan selepas harapan kepercayaan kesanggupan UMNO untuk menerima beliau kembali dan selepas ini saya harap beliau akan membuktikan bahawa beliau benar-benar ikhlas dan dapat menyumbang walaupun sebagai ahli biasa.

“Bagi saya sumbangan bukan bererti kita mempunyai kedudukan kerana setiap seorang ahli UMNO selama ini telah menyumbang tenaga masa dan keringkat untuk membawa negara ini ke tahap yang tinggi.”katanya.

Bagi Ahli Parlimen Bebas kawasan Pasir Mas Kelantan, Datuk Ibrahim Ali keputusan Ezam masuk balik UMNO adalah sesuatu yang tidak diduga.

” Itu hak peribadinya dan kita mesti menghormati keputusannya.Setiap orang ada kehendak dan pendirian masing-masing,”katanya.

Ditanya mengenai kesannya keatas pembangkang,beliau berkata setakat ini ia sukar diukur.

“Base politik Ezam ialah di Selangor.Kena tengoklah nanti sejauh mana Ezam berperanan.Setiap orang politik ada base masing-masing.

“Cuma saya duga PKR tentu terkejut terutamanya Datuk Seri Anwar sendiri kerana Ezam adalah bekas Setiausaha Politik beliau,”katanya. – 28/5/2008

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda