Parti Komponen Berang Minyak Naik Harga

sumber malaysiakini

Presiden Parti Maju Sabah (Sapp), Datuk Yong Teck Lee mengecam tindakan kerajaan menaikkan secara mendadak harga minyak seperti diumumkan kelmarin.

Sapp, sebuah parti komponen BN, memberi amaran kepada perdana menteri tentang ketegangan besar BN, manakala Pemudanya mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kabinetnya meletakkan jawatan.

Yong, bekas ketua menteri, berkata keputusan kerajaan yang terburu-buru meningkatkan harga minyak boleh memburukkan lagi masalah yang dihadapi BN.

Beliau juga mempertikaikan perdana menteri sama ada beliau sudah mengkaji segala akibat kenaikan harga minyak.

“Jika kerajaan hilang kepercayaan rakyat, maka ia lebih payah untuk mentadbir,” katanya.

Abdullah mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen – dari RM1.92 seliter ke RM2.70. Harga diesel pula meningkat sebanyak 63.3 peratus – dari RM1.58 seliter ke RM2.58.

Kenaikan harga ini dilakukan kerana mahu mengurangkan subsidi minyak yang naik mendadak yang dikatakan sebanyak RM56 billion tahun ini.

Yong juga berkata, wakil rakyat dan kakitangan awam kemungkinan akan merasai lebih tekanan daripada orang ramai agar “berbuat sesuatu” bagi mengurangkan tanggungan ekonomi mereka.

Tambahnya, kenaikan harga minyak dibuat sejurus selepas kenaikan harga beras dan beberapa jenis makanan asas.

“Bagi seseorang yang berpendapatan mencukupi setiap bulan, kenaikan ini menjadi tamparan hebat kerana terpaksa membayar lebih di stesen minyak dan ketika membeli barang dapur,” kata Yong lagi.

Katanya, golongan berpendapatan sederhana dengan gaji antara RM4,000 hingga RM5,000 akan mengalami  kesan inflasi akibat kenaikan harga minyak.

Sehubungan itu, Yong meragui kesan positif rebet RM625 untuk pemilik kenderaan dan RM125 bagi pengguna motosikal kerana wujud jurang antara masa wang dihabiskan untuk minyak dengan masa subsidi itu diperolehi.

Yong menambah, orang ramai akan terus bertanya sebab Malaysia sebagai pengeluar bersih petroleum hingga 2014 turut mengalami dampak negatif susulan peningkatan harga minya dunia.

“Orang biasa bingung mengapa mereka terpaksa menanggung beban padahal Petronas mendapat untung yang banyak,” katanya.

Ketua Pemuda Sapp, Au Kam Wah, lebih berterus-terang dengan mendesak pemimpin yang “gagal melindungi kepentingan rakyat” agar melepaskan jawatan.

Dalam kenyataannya dari Kota Kinabalu, beliau berkata pemimpin-pemimpin ini harus membenarkan orang lain yang lebih berkebolehan mengambil alih pucuk kepimpinan.

Wakil rakyat kawasan Elopura itu turut berkata, kerajaan telah mungkir janji untuk tidak menaikkan harga minyak dalam tahun ini seperti jaminan BN pada pilihanraya lepas.

Jaminan seumpamanya, tambahnya, juga diulang oleh menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna Datuk Shahrir Samad.

Katanya, pendirian kerajaan seumpama inilah yang menyebabkan mahu atau tidak rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan.

Beliau juga berhujah, langkah menaikkan harga minyak benar-benar bertentangan dengan janji BN untuk memberikan “keselamatan, keamanan dan kemakmuran” dalam menisfesto pilihanraya ke-12.

“(Langkah) ini mencipta tanggapan buruk kepada rakyat bahawa kerajaan bertindak berlawanan dengan kenyataannya sendiri,” katanya.

Beliau juga bimbang, kenaikan mendadak ini akan mencetuskan “tsunami ekonomi” yang akan membebankan masyarakat.

“Rakyat tidak boleh menerima alasan kerajaan bahawa kenaikan terbaru harga minyak demi memberi subsidi makanan dan barang lain.

“Kenaikan harga minyak hanya menyebabkan harga barangan meningkat dan rebet yang diberikan oleh kerajaan tidak signifikan berbanding kos tambahan yang ditanggung oleh rakyat, akibat kenaikan harga minyak,” katanya.

Desakan yang sama disuarakan oleh ahli parlimen DAP Dr Hiew King Cheu yang meminta seluruh anggota kabinet meletakkan jawatan kerana gagal menguruskan kekayaan dan sumbr negara dengan berhemah.

“Lebih baik jika mereka (anggota kabinet) berundur sekarang dan membenarkan Pakatan Rakyat mengambil alih kepimpinan untuk menyelamatkan negara ini daripada musnah,” katanya.

Dalam kenyataannya dari Kota Kinabalu semalam, beliau juga menganggap 40 peratus kenaikan harga petrol dan 60 peratus harga diesel sebagai “tidak berasas dan tidak boleh diterima” kerana Malaysia negara pengeksport minyak.

Beliau juga mempersoalkan jika ada sesuatu yang sengaja disorokkan oleh kerajaan mengenai jualan minyak mentah negara.

“Adakah benar minyak mentah negara dijual pada ‘harga tetap’ tanpa membenarkan naik turun harga untuk beberapa tahun?” katanya.

Tambahnya, jika kebimbangannya itu benar berlaku, ia tidak adil kepada rakyat Sabah apabila negeri itu penyumbang utama eksport minyak mentah negara.

Beliau juga menganggap rebet RM625 sebagai “bahan jenaka”.

“Sekurang-kurangnya 10 juta kenderaan di Malaysia yang berhak mendapat rebet minyak. Ia bermakna kerajaan terpaksa membayar sekurang-kurangnya RM6 bilion setahun.

“Kenapa tidak gunakan jumlah ini untuk mensubsidi minyak? Keseluruhan cadangan ini tidak amali dan tidak masuk akal,” jelasnya.

nota: penulis berpendapat sekiranya parti komponen di dalam BN mempunyai buah fikiran yang baik utk bagi menangani harga minyak, idea tersebut hendaklah dikemukakan kerajaan. Ini juga termasuk kepada pihak pembangkang sekiranya ada cadangan untuk menangani masalah kenaikan ini, kemukakanlah kepada kerajaan. Jangan jadikan isu global ini untuk mendapat kepentingan politik sahaja. Lihatlah masalah ini secara ‘total’ kerana kesan kenaikan harga minyak ini dirasai oleh setiap lapisan masyarakat. Penganjur protes besar-besaran yang akan diadakan pada 12 Julai ini juga, penulis sarankan agar mengadakan pertemuan dengan kerajaan bagi membincangkan masalah kenaikan harga minyak ini. Penulis percaya harga kenaikan sebanyak RM.078sen ini dikuatkuasakan atas sebab-sebab munasabah dan telah diperhalusi terlebih dahulu. Walaubagaimanapun, kemungkinan kenaikan ini boleh dibuat secara berperingkat.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

8 responses to “Parti Komponen Berang Minyak Naik Harga

  1. Mamak Penang

    salam!
    Tengah baca atikel di atas Mamak teringat Zaman kanak-kanak dulu…seronok zaman kanak-kanak tak kenal susah …pergi sekolah ,balik sekolah dah grenti ada makan..tidur…main…makan…tidur…sekolah…rutin yang amat senang dalam dunia!.tapi selepas nikah…ya..Allah…masa itu teringatkan betapa susahnya ibubapa beri kita rutin seperti ini…mula sayang kat ibubapa..cucur air mata berlinangan terkenangkan ibu dan ayah yang sudah tiada lagi!!!.Mamak teringat pulak lagu tiga kupang yang digemari di zaman kanak-kanak apabila baca al -kisah atas tadi :
    Lagu Tiga Kupang
    …………………………..
    Raja dalam rumah buat kira-kira
    Suri dalam Dapur Makan Roti gula
    Dayang tepi kolam jemur tepong

  2. Mamak Penang

    Harap maaf mamak kena sambung lagu ini…..
    Lagu ini sungguh istimewa baca lirik dan bandingkan dengan atikel di atas yang Adik-adik (parti komponen) marah kat abang UMNO!!!.
    Lagu tiga kupang
    Saku penuh padi
    Enam ekor Burung
    Masuk dalam kuali
    Bila sudah Masak
    Burung nyanyi saja
    Tentu sedap Makan
    Beri pada Raja
    Raja dalam rumah
    Buat kira-kira
    Suri dalam dapur
    Makan roti gula
    Dayang Tepi kolam
    Mahu jemur tepong
    Datang burung hitam
    Patuk batang hidung.

    Lirik yang simple tapi maksudnya dalam.Inilah orang Melayu yang Sir.Stamford Raffles kata,”Orang Melayu ini suatu bangsa yang selalu pandai sembunyikan perasaan sebenar dan sukar dijustifikasi”!!!!.

  3. assalamualaikum ..
    mamak cukup steady betoi, teman termenung kejap bila mamak dok flash back lagu tu.. nostalgia sungguh mamak …la ni tengah dok pikir pulak lagu mana ada orang dok bising pasal barang naik! bila raya cina dah simpan stok sampai dua minggu, habis satu kampung borong ikan masin. tapi peliknya tak ada pulak yang merunggut barang naik ke? barang tak ada ker?. pandai-pandailah tanam sayur, jimat cermat tak timbul pun cerita subsidi.

    tentang minyak ni mamak, saya pun prlik.. kita ni ketegori orang yang dok di bawah pun paham tapi depa mamak orang yang dok atas patut lagi tau la.. sebab depalah yang akan dok perjelas kat rakyat .. ini lain pulak depa yang dok jerit kat kita

    ni sekupang dua nak habak! hangpa dok pikiak sendiri, pak lah terpaksa ambik risiko kerana tanggung jawab pada negara bukan mau jadi pemimpin POPULAR macam anuar ibrahim la, pak lah memang cukup tertekan dan dia boleh turunkan harga minyak, kerajaan boleh tambah subsidi pakai duit negara…memang boleh tapi kesannya sama macam india, indonesia dan banyak lagi ….bangkrup.. bukan pasal apa kalau dok guna duit lepas tu kalu nazak kena dok pinjam dengan depa …sapa lagi. india mengambil masa 10 tahun untuk pulih semula dan la ni depa dah serik dok beringat tak mau lagi kalau jadi, biak pi la harga minyak melambung ..hangpa beli kreta bulih.. minyak tak boleh bayak ka? mana boleh srupa!… la hang dok nikah sama marka kawin buleh,makan dia hangpa tak mau tanggung…lagi nak cari subsidi malulah sikit …alo kawan dok rilek sikit na hangpa pikiak sendiri na ,

    Bukan kata ANUAR IBRAHIM harga Minyak bulih turun… saya pun boleh kata MINYAK BULEH TURUN..pakai duit gomen…peduli apa! Kalau dia jadi PM memang dia bulih pasai dia peduli apa kerajaan nak bangkrup dalam masa 4 tahun lagi rosak negara dia lari lah… siapa nak tanggung …dia senang kita ni macamana.. rosak kerajaan negara jadi fakir dia dah cukup kenyang lepas tu bagi kat kita negara yang miskin dan huru hara, rakyat tertipu mesti kata anuar ibrahim cukup bijak ..pandai … buleh bagi harga minyak bukan macam pak lah, SAYA NAK CABAR sinuar ni hang bagi TURUN HARGA MINYAK di perak la ni tengok! hang dok janji masa pilihanraya nak turun … la ni hang pun dah memerintah perak kenapa hang tak turun harga minyak

    dia dok klentong orang, harga minyak kita dok banding dengan negara yang import minyak bukan negara keluar minyak macam brunei, arab saudi dan lain-lain. bangsa kena tipu hidup-hidup.

    negara macam brunei, arab saudi dan lain-lain minyak bukan kerajaan punya… tapi raja-raja depa punya .. kalau depa nak juai seringgit pun buleh! untung pi kat depa … bukan kerajaan..bukan nak pikiak buat universiti ka, hospital ka, jambatan ka dan macam-macam lagi.

    lagi satu kalau dok banding macam iraq, iran dan lain lain negara disana. iran contohnya keluar minyak 7 juta tong sehari, iraq 5 juta tong, brunei 2juta tong.. kita ni keluak 700 ribu tong je sehari… tapi dok pakai untuk kenderaan saja 500 ribu lebih…lagu mana nak simpan kalu dok guna semua lagi nak bagi subsidi, depa setan ni… memang tunggu peluang nak lingkup MALAYSIA, depa peduli apa.. jadi hangpa pikiak la sendiri lagu mana nak jadi?

    mamak penang, sekupang dua cukup la ni tak ambik kisah berapa harga minyak nak naik walaupun cek bukan orang senang, biak pi la berapa nak naik sebab cek tau kerajaan tengah cari jalan jangan supaya anak-anak kita akan menjadi mangsa, menderita, rosak akibat kita tak beringat masadepan bangsa kerana dok kena tipu dengan sinuar perosak bangsa. ada betui ka mamak?

    Senang cerita mamak! suruh DEPA BOIKOT HARGA MINYAK MALAYSIA! suruh depa jangan isi minyak kat malaysia pi lah isi kat siam dengan singapore…PI… PI… PI.. lahbaru tau sapa dok untung dan BODO… betui ka mamak?

  4. Kuntakinte

    Salam, Mamak!!!!! sudah lapar 2 hari tarak makan, nasi kandarrr tambah sama ayam kurang minyak satu!!!! air suam gelas besar satu!!!!

    Mamak dan sekupangdua, kuntakinte tak hairan lah ada orang UMNO dan ahli parti komponen terutamanya pemimpin menyuarakan pandangan dan kritikan, itulah dia orang UMNO membela nasib rakyat dengan menyuarakan suara rakyat,
    BUKTI orang UMNO dan komponen bukan kaki ampu dan bodek seperti yang digendangkan dek puak2 pelik yang ada di Malaya ni. realiti ada yang setuju ada yang tak setuju dan ada yang berdiam diri, ada yang melatah sakan.

    Kuntakinte semalam hadir disatu majlis dialog bersama Ahli Parlimen UMNO tempat kuntakinte dengan penduduk di beberapa kampung dan NGO yang terdapat di tempat tinggal kuntakinte, amat menghairankan dan memeranjatkan kuntakinte, tiada seorang pun yang bangun menyuarakan dan bertanya, apalagi yang marah pada kerajaan tentang kenaikan harga minyak kecuali terdapat pandangan dari 2 wakil penduduk menyuarakan kerajaan harus mengawal harga makanan. Pening juga kuntakinte tentang apa yang berlaku, tertanya juga kuntakinte siapa sebenarnya yang mengeruhkan keadaan mengenai isu minyak ini?. dalam majlis tersebut Ahli Parlimen tersebut sendiri yang melontarkan penjelasan mengenai rasional nya kerajaan menaikan harga minyak dan makanan kepada yang hadir malah AP tersebut guna papan puteh lagi melakarkan beberapa rajah, dan ini difahami oleh masyarakat yang hadir. Tahniah!!!! YB atas usaha berani tersebut.

    Seperti kuntakinte katakan ia menjadi tanda tanya siapakah yang sebenarnya mengeruhkan keadaan ini?, hari sabtu kuntakinte balik ke kampung sempat juga berbual dengan orang2 tua dan muda kampung di kedai kopi, mereka tidak risau pun minyak petrol naik, kuntakinte tanya sebab apa, jawabnya kami naik motosikal kuat2 keluar ke pekan berhampiran dan selainnya ke kebun, ke kedai kopi dan meronda kampung, kami isi minyak motor RM3.00 untuk 4 hari ini biasa kata mereka, yang sedikit kerisauan kata mereka harga beras yang naik, lain2 makanan mereka tidak risau sebab banyak tanaman kampung yang mereka usahakan untuk dijadikan santapan mereka hari2. mereka yakin diatas kewibawaan Kerajaan selama ini akan mengatasi kenaikan harga barangan pening2….. siapa ye.. yang menyucuk2 isu minyak ni ye..

    Restoran, pusat membelibelah, KFC, PIZZA HUT, Sushi King, malah kuntakinte seperti biasa pergi main bowling, ramai seperti biasa juga yang main bowling, berhampiran dengan Bowling Center ada Pawagam, ramai yang pergi menonton, kereta di jalan raya berduyun2 juga, seperti tiada apa yang berlaku, kuntakinte teringat pepatah Melayu lama “alah bisa tegal biasa” kut…

    Abangtuah, mok, sekupangdua, Mamak dan sahabat2 lain boleh tolong jawab kepeningan kuntakinte.

  5. AbangTuah

    Bro Kuntakinte…siapa lagi yang memeningkan seluruh rakyat malaysia selain mereka yang dah kaya raya tu….takut dengan kenaikan harga minyak kekayaan mereka susut fasal subsidi kepada mereka dah di channelkan kepada orang kampung yang susah

  6. Memang kenaikan mendadak ini tidak patut le. Kami di sarawak susah. Mungkin org berada ok la. Akan tetapi org yg tiada pendapatan tetap akan menderita. Kebimbangan saya ialah kes jenayah kecurian, ragut rompak, rasuah akan menjadi2 selepas kenaikan minyak ini. Baca Borneo Post tkejut saya macam kejadian jenayah blaku dlam masa 24 jam. Begitu juga dengan kegiatan along akan berleluasa. Pihak bank pula tidak ada kurangnya sama dengan along cuma dilesenkan. Di Sarawak ni banyak orang susah. Bayang pengangkutan utama masyarakat luar bandar ialah air. Takkanlah nak brkayuh melawan arus sungai. Bayangkan kos membeli setong gas memasak ialah RM50.00. Beras lagi, minyak masak, minyak rambut, minyak urut, minyak lintah semuanya naik. Adoi..adoi.Susah juak rakyat. Mun minyak mahal cari benda lain untuk dijual di luar supaya dapat mengimbangi penurunan pendapatan contohnya molah seluar katak pelik2 untuk org putih, tikar kulit kayu banyak agik. Cuba kreatif sikit. Harap hasil tanaman…susah kami di sini. Memang susah. Orang susah harus dibantu ttpi naiknya minyak ini semakinlah susah. Janganlah bandingkan 1.8 juta org susah dengan 0.2juta yg senang. Tolonglah. Para pemimpin jgn gago bergaduh. Polah jak kerja benar2 sak rakyat senang, mun rakyat senang daknya agik senang. Adakan kempen makei basikal dan beca 3 hari dalam seminggu. Moto lain sik boleh keluar kecuali kecemasan. Udara jadi fresh. Coba dak menteri makei basikal tentu banyak org awam makei basikal. Mun sik percaya coba. Kelak madak agik. Lelah tok bini dah nunggu. Malam Jemat pok!!!

  7. AbangTuah

    Putera Santubung…sedih kawan mendengar keluhan dari Sarawak dan Sabah tu. Sebenarnya kami di Semenanjung pun ramai juga orang-orang susah. Sekali fikir memang terasa kerajaan kejam, tapi apabila mengenangkan ini adalah inflasi global maka adalah tidak adil meletakan semua kesalahan ini kepada kerajaan sahaja.

    Siapa pun yang memerintah terpaksa melakukan perkara yang sama sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan. Masalah yang dihadapi kini amat berbeza dari inflasi sebelumnya, iaitu, ini adalah masalah berkembar, kenaikan harga minyak dunia dan kenaikan harga barangan makanan utama dunia. Mungkin kerajaan boleh mengekalkan harga minyak, tetapi harga barangan makanan utama pula tidak akan dapat dikekalkan atau dikawal. Sekiranya kerajaan bertindak mengekalkan atau mengawal kedua-duanya maka kerajaan terpaksa mengabaikan peruntukan untuk projek yang mendatangkan pendapatan untuk negara dan akhirnya paling lama kerajaan akan dapat bertahan selama setahun dua sebelum jatuh muflis.

    Cuba kita lihat negara jiran terdekat iaitu Brunei, mereka merupakan negara yang kaya dengan minyak dengan penduduk yang sedikit pun terpaksa menaikan harga minyak mereka. Kalau tak silap kawan harga petrol dinaikan dari RM 1.65 kepada RM 2.80…bukan begitu.

    Banyak negara telah terjadi rusuhan seperti Haiti, Argentina, Mesir dan lain-lain, apakah kita juga hendak merusuh sebagaimana yang dilakukan di negara tersebut. Di Haiti, sebagaimana yang dilaporkan oleh TV, disebabkan oleh rusuhan dan kacau-bilau bekalan barangan makanan terus sukar didapati.

    Yang boleh kita lakukan sekarang adalah menyahut saranan kerajaan agar semua rakyat lebih produktif dan berbelanja dengan berhemah. Selain itu kita perlulah berdoa agar harga minyak dan bekalan barangan utama dunia kembali normal. Sekiranya harga minyak masih tidak dapat dikawal sehingga naik ke tahap USD 180 ke 200…makanya alamatnya bencana besar akan terjadi. Adalah diramalkan oleh penganalisa2 ekonomi banyak negara di Asia akan kacau-bilau dan runtuh sekiranya krisis ini berlanjutan.

    Kawan harap orang di Sabah dan Sarawak tidak kecil hati dengan sedikit pandangan kawan ni ya, kerana kawan rasa kita perlu mendapat gambaran sebenar tentang apa yang sedang berlaku.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s