Daily Archives: June 11, 2008

Debat Khas RTM – fokus utama PAS bukan berdebat..tetapi SMS penonton

petikan harakahdaily-

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) – Rata-rata pengirim sistem pesanan ringkas (SMS) dalam rancangan debat ‘Penstrukturan Subsidi Minyak’ di RTM1 malam tadi mengirin SMS memaki hamun kepada kerajaan.

Debat yang dianjur RTM1 jam 9.00 malam tadi menampilkan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Shahrir Samad selain dua wakil media, Hanafiah Man dan Syed Munawar.

Antara isu yang diperkatakan melalui SMS tersebut ialah bagaimana kerajaan dilihat tergesa-gesa dalam menaikkan harga minyak yang sekaligus akan mengakibatkan kenaikan harga barangan keperluan.

Ada juga pengirin SMS yang menyatakan bahawa tindakan kerajaan ini hanya akan mengakibatkan rakyat terus berada dalam kemiskinan.

Selain itu ramai pengirim SMS yang menyatakan menteri-menteri hanya pandai bercakap mengenai rasional kenaikan harga minyak dengan pelbagai alasan.

Namun pengirin SMS juga berpandangan keperitan akibat kesan kenaikan harga minyak tidak dirasai para menteri kerana gaji, elaun dan ‘claim’ minyak yang dinikmati menteri tidak memungkinkan mereka menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

Ramai juga pengirim SMS dari Sarawak yang mempertikai tindakan kerajaan menaikkan harga minyak yang menyebabkan harga barangan di Sarawak kini melambung tinggi.

Ada juga pengirim SMS yang mendedahkan beberapa fakta mengenai perbandingan harga minyak antara negara pengeluar minyak di dunia dengan Malaysia yang mana Malaysia menawarkan harga minyak jauh lebih mahal.

Antara yang disebutkan ialah harga minyak di Venezuela (16 sen) dan Turkmenistan (25 sen) yang mana antara negara pengeluar minyak yang menawarkan harga rendah sedangkan nilai simpanan negara tersebut kurang berbanding Malaysia.

Namun dalam rancak pengirim SMS mengecam tindakan kerajaan menaikkan harga minyak, beberapa pengirim SMS juga menghantar kiriman ayat menyokong langkah kerajaan.

Antaranya pengirim mencadangkan agar rakyat Malaysia menggunakan basikal untuk bergerak, namun sebaik sahaja SMS tersebut terpapar dalam skrin televisyen rakan penulis yang turut serta bersama penulis menonton debat tersebut menyatakan rasa meluatnya dengan mesej tersebut.

Beliau berkata, rasionalkah jika seseorang yang kini menaiki kereta ke tempat kerja yang jaraknya lebih 50 kilometer menaiki basikal.

Kata rakan penulis, ini bukannya cadangan bernas menyelesaikan masalah rakyat, tetapi ianya mahu menjadikan rakyat Malaysia ‘lembu’ yang terus-menerus akan diperbodohkan kerajaan dengan alasan mengarut. –

nota: sepatutnya pada siaran debat khas semalam, fokus utama yang harus dilihat merupakan isi pendebatan antara panel dan bukannya kiriman sms dari para penonton. jika kita lihat di sini, pihak PAS lebih gemar untuk melihat isu-isu seperti maki-hamun terhadap kerajaan berbanding dengan hujah-hujah yagn disampaikan oleh ahli panel. Adakah pihak PAS bersifat adil dengan tidak menyiarkan beberapa buah komen dari penonton yang memuji langkah kerajaan menaikkan harga minyak?

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tan Sri Sanusi Junid juga mempunyai blog sendiri

sila layari http://www.sanusijunid.blogspot.com/

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Hadiah’ untuk pengundi Pakatan Rakyat di Selangor

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, penduduk di sebuah taman perumahan yang majoritinya beragama Islam di Shah Alam, gempar apabila tersebar berita sebuah gereja yang terbesar di Asia Tenggara, bakal dibina berhampiran di kawasan mereka.

Ekoran itu, penduduk dan jawatankuasa masjid berhampiran menubuhkan jawatankuasa bertindak membantah cadangan pembinaan gereja itu dengan menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa termasuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Malah, jawatankuasa berkenaan turut menganjurkan forum yang mana salah seorang daripada ahli panel ialah peguam, Mohamed Hanipa Maidin, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, yang menjelaskan secara panjang lebar mengenai kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan.

Setelah isu itu senyap, tiba-tiba rakyat negara ini dikejutkan dengan kenyataan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier Jayakumar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin bukan Islam daripada pelbagai kaum, Jumaat lalu.

Tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat Islam, Dr. Xavier memaklumkan cadangan kerajaan negeri menghapuskan peraturan keluasan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh melebihi 10,000 kaki persegi atas alasan larangan terhadap saiz, panjang dan ketinggian itu tidak lagi sesuai.

Sambil meminta pemaju perumahan mengambil kira keperluan penduduk bukan beragama Islam agar menyediakan tapak yang lebih luas berbanding hanya 0.4 hektar sahaja ketika ini, beliau juga berjanji akan menambah peruntukan tahunan kepada rumah ibadat bukan Islam daripada RM3 juta ketika ini.

Dr. Xavier mungkin menyedari langkah itu bakal mendapat pujian masyarakat bukan Islam yang akan mengangkatnya sebagai ‘pejuang’, di samping menggunakan sepenuhnya peluang menduduki kerusi Exco kerajaan negeri ketika pakatan pembangkang berkuasa.

Persoalannya di mana suara wakil-wakil Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lain yang beragama Islam. Meskipun ia baru di peringkat cadangan, tetapi adakan disebabkan alasan untuk memenuhi keperluan penganut agama lain, mereka sedia bertolak-ansur mengenai perkara itu.

Adakah pemimpin-pemimpin Pas negeri kini semakin menyimpang daripada matlamat membina negara Islam yang menjadi wadah perjuangan mereka selama ini, sehingga sanggup mendengar sahaja kenyataan seorang pemimpin yang satu ‘selimut’ dengan mereka mahu menghapuskan peraturan mempertahankan kedudukan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan, sesuatu yang sentiasa tidak disenangi puak- puak cauvinisme.

Tenggelam nada itu disuarakan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang melihat biarpun ada wakil Pas dalam barisan kerajaan negeri, tetapi perjuangan Islam mereka seperti tenggelam manakala PKR pula asyik dengan konsep kesamarataan mereka, hatta terhadap masjid atau surau dengan rumah ibadat bukan Islam.

Baginya, cadangan itu sekiranya dipersetujui, seakan memberi lampu hijau bahawa rumah ibadat boleh dibina tanpa sebarang had walaupun di kawasan perumahan yang didiami pelbagai kaum sedangkan selama ini peraturan yang hendak dihapuskan itu berlandaskan garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berupaya memastikan keperluan sesuatu rumah ibadat di Selangor seimbang dengan jumlah penganutnya sekali gus dapat memelihara keharmonian kaum.

Di Selangor, penduduk beragama Hindu berjumlah kira-kira 700,000 orang tetapi mempunyai lebih 1,000 kuil sedangkan hanya terdapat 380 masjid di seluruh negeri dengan jumlah penduduk beragama Islam seramai empat juta orang.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad sambil mempertahankan cadangan itu berpendapat, walaupun tidak ada had dari segi saiz, namun pembinaan rumah ibadat bukan Islam tetap tertakluk kepada peraturan dengan mengambil kira sensitiviti penduduk setempat.

Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Pandan itu melihat cadangan berkenaan mampu mengawal bilangan rumah ibadat bukan Islam yang dibina secara haram.

Beliau memberikan contoh di sebuah penempatan setinggan di Selayang yang mempunyai sehingga 20 buah kuil Hindu.

“Mungkin keperluan penduduk kawasan itu tidak mencukupi, jika dibina sebuah kuil yang besar, ia sudah memadai dan tidak akan ada lagi kuil-kuil pada jarak hanya beberapa ratus meter sahaja antara satu sama lain.

“Oleh itu saya melihat cadangan ini tidak menimbulkan masalah kerana pembinaannya tetap tertakluk kepada syarat dan hanya sesuai di penempatan majoriti bukan Islam, bukan boleh dibina dengan sewenang-wenang sahaja.

“Hak orang bukan Islam pun perlu dijaga, itu hak mereka dengan syarat mereka tidak menjejaskan atau mengancam hak orang lain. Boleh besar tetapi kena tengok tempat, jika menyebabkan sensitiviti umat Islam, ia tidak seharusnya dibina,” katanya yang mengakui perkara itu pernah disentuh mesyuarat Exco tetapi belum ada kata putus dicapai.

Beliau menolak tanggapan Pas bersetuju dengan cadangan itu demi kepentingan politik kerana menurutnya, jika tidak ditangani dengan betul, ia boleh menimbulkan kemarahan penduduk Melayu pula.

Apa pun, hakikatnya peraturan yang mengehadkan saiz itulah yang mahu dihapuskan Dr. Xavier, yang mungkin tidak disedari oleh Iskandar.

Tidak mustahil apabila dihapuskan peraturan itu, kita boleh melihat rumah ibadat bukan Islam yang menyamai keluasan Masjid Shah Alam memandangkan mereka sudah tentu tidak akan menghadapi masalah dari segi kewangan.

Sudah banyak orang Melayu beralah kepada tuntutan dan desakan kaum lain, jadi sebelum terlambat, kata putus perlu dicapai bagi memastikan suasana harmoni yang dinikmati sebelum ini, teguh terpelihara.

Setelah berkeras mahu melaksanakan projek ternakan babi yang didakwa menggunakan sistem termoden di Sepang, pakatan pembangkang di Selangor terus ‘menunaikan janji’ dengan menghadiahkan sesuatu yang tidak dijangka oleh umat Islam, semata-mata atas prinsip kesamarataan. sumber klpos

nota: Di mana suara Hassan Ali…?? adakah dia sedang lena dibuai oleh sikap tamakkan kuasa atau diam  membisu akibat dirantai dengan perjanjian kuasa yang dibuat oleh Pakatan Rakyat..?? Berapa ramai pemimpin Pas yang bersuara demi menegakkan dan mempertahankan kedaulatan umat Islam di Selangor atau mereka semua sudah menukar impian mereka dari ingin melihat sebuah kerajaan Islam kepada sebuah kerajaan berkebajikan yang pruden tanpa berpaksikan Islam??

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

“Khalid perlu insaf sebagai MB Melayu dan Islam”

sumber klpos

HARI-HARI mendatang terus memberi cabaran dan menguji kebijaksanaan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Mungkin kini beliau baru tahu mengurus sebuah kerajaan tidak semudah mengurus sebuah badan Korporat atau ladang. Menjadi MB tidak semudah menjadi CEO kepada syarikat GLC. Itu jelas!

Sebagai menteri besar, Khalid harus berani membuat keputusan dan juga menolak mana-mana permohonan yang dikira tidak wajar dan boleh mencemarkan kesucian Islam dan menodai kemurnian bangsa.

Beliau tidak perlu terikat dengan mana-mana konvensyen politik semasa. Beliau juga perlu insaf sebagai MB Melayu dan beragama Islam beliau harus meletakkan kepentingan itu di hadapan dan mengatasi kepentingan lain.

Kelemahan dan terlalu tolak ansur kerana kepentingan politik merbahayakan masa depan Khalid. Beliau mungkin popular dari kalangan satu puak tetapi beliau dibenci dan dimarah oleh puak lain.

Khalid kena berhati-hati dan perlu meluaskan bingkai ruang politiknya sebelum membuat sesuatu keputusan bagi mengelakkan kontroversi dan menanggung kerugian.

Beliau tidak boleh dibelit oleh penasihat politik yang bersifat parasit seperti pokok dedalu. Kerana lama kelamaan beliau akan mati seperti pohon mangga yang mati kerana dibelit oleh pohon dedalu secara halus dan licit!

Ingat sikap dan rasmi dedalu mulanya ia menumpang sahaja lama kelamaan menjadi raja atas bangkai orang yang ditumpanginya.

Projek ladang babi mega (pinjam istilah Khir Toyo) bernilai RM100 juta mungkin sudah selesai dan Khalid berjaya dalam isu kontroversial ini.

Projek itu memberi penyelesaian kepada semua kaum walaupun secara spesifiknya ia menguntungkan satu kaum saja, Cina. Kesilapan pertama itu boleh dimaafi.

Apa yang menarik dan sedang menanti kini ialah mengenai cadangan untuk merombak peraturan saiz pembinaan rumah ibadat selain Islam di Selangor agar melebihi 10,000 kaki persegi seperti mana yang dihadkan sebelum ini.

Cadangan ini nampak cukup liberal namun ianya sangat sensitif dan bahaya.

Peraturan dan kawalan ini sudah ada. Tidak perlu ianya dirombak. Menjadi tugas Khalid untuk mempertahankan peraturan yang sedia ada ini.

Perlu diingat sesuatu yang baik yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu wajar dikekalkan dan tidak payah dipinda-pindakan lagi.

Kita bimbang kalau permohonan ini diterima, Khalid akan berhadapan dengan masalah. Orang Melayu dan Islam Selangor akan marahkan Khalid. Lagipun tidak ada logiknya untuk dirombak peraturan itu.

Statistik yang ada kini menjelaskan tidak ada keperluan untuk berbuat demikian. Dari nisbah penduduk orang India di Selangor hanya 700,000 orang namun bilangan kuilnya sebanyak 1,000 buah. Manakala Melayunya seramai lebih 4 juta tetapi masjid hanya 380.

Jika diukur dari segi jumlah ini jelas Islam di Selangor tidak proaktif bebanding dengan Hindu?

Pada saya cadangan yang dikemukakan oleh Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar itu dan Exco Jawatankuasa Pengerusi Tetap Kerajaan Tempatan, Pendidikan dan Pembangunan Negeri, Ronnie Liu cukup merbahaya dan bakal menambahkan kemarahan orang Melayu.

Kalau Khalid tidak hati-hati dan bijak menangani cadangan itu ianya akan menjadi pemulaan kepada sengeketa antara penyokong Pakatan Rakyat di Selangor.

Mengenai hal ini rakan-rakan PKR di dalam Pakatan Rakyat jangan terlalu agresif sangat memperjuangkan hak masing-masing. Mereka sepatutnya menumpukan kepada soal-soal kepentingan bersama secara sihat dan bukannnya menitik berat kepada soal-soal kepentingan peribadian.

Ingatan kerajaan Pakatan Rakyat baru bertunas dan ubun-ubunnya belum keras. Jangan tunas yang mula hendak berkembang itu patah dan relai begitu saja kerana kegelojohan tuan yang menanamnya ingin memakan hasil!

Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan “Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, “Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,”Saya Mahafiraun”, “Hitam Putih: Darul Arqam” dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com

nota: penulis sudahpun menulis artikel mengenai peraturan had rumah ibadat bukan Islam di Selangor di dalam posting terdahulu – syabas selangor!

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

K’tangan awam boleh lakukan kerja sambilan

dari malaysiakini

Timbalan menteri sumber manusia Datuk Noraini Ahmad mengalu-alukan kakitangan awam untuk melakukan kerja sambilan pada hujung minggu untuk menambahkan pendapatan mereka bagi menghadapi masalah kenaikan harga barangan.

Noraini berkata, pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melarang kakitangan awam melakukan pekerjaan sampingan.

“Tetapi dengan kenyataan Tan Sri Amirsham semalam, kami merasakan memang amat-amat mengalu-alukan asalkan kita (kakitangan awam) tahu tanggungjawab mereka ataupun tugas utama mereka.

“Tidak melebihkan kerja sampingan takut mengganggu produktiviti,” katanya selepas pelancaran buku panduan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Gombak hari ini.

Noraini diminta mengulas kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz berhubung kakitangan awam dibenarkan kerja sambilan seperti disarankan oleh Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Noraini menambah, kebenaran untuk berbuat demikian hendaklah diperoleh daripada JPA terlebih dahulu.

nota: penulis mengalu-alukan langkah membenarkan kakitangan awam utk membuat kerja sambilan. Ini disebabkan faktor kos sara hidup yang di dapati meningkat terutama sejak kenaikan harga minyak dan harga barang. Pihak kerajaan disarankan agar dapat menaikkan kadar gaji minimum bagi setiap kadar gaji bagi setiap sektor. Ini dapat memastikan supaya rakyat tidak keciciran dalam soal belanja hidup di dalam menghadapi dunia yang mencabar hari ini. Pihak kerajaan juga ingin dicadangkan agar menggalakkan sektor-sektor swasta untuk memberikan elaun sara hidup kepada para pekerja mereka. Cara ini juga secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan beban sara hidup pekerja.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Elaun Ketua Menteri, Speaker, Exco dan Adun BN Melaka dikurangkan 10 peratus

MELAKA: Kerajaan Melaka turut mengikut langkah kerajaan pusat apabila membuat potongan 10 peratus elaun keraian bagi Ketua Menteri, Speaker, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pengurangan elaun yang berkuatkuasa 1 Julai ini, dibuat bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri dalam menangani kesan kenaikan harga minyak di samping dapat digunakan untuk kebajikan rakyat.

Ketika ini elaun keraian bulanan bagi Ketua Menteri ialah RM5,500 diikuti Speaker dan anggota Exco masingmasing RM1,000 dan ADUN sebanyak RM250, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengumumkan elaun keraian Perdana Menteri, timbalannya, menteri dan timbalan menteri dikurangkan sebanyak 10 peratus mulai 1 Julai.

Mohd Ali berkata kerajaan negeri juga akan mengurangkan lawatan ke luar negara dengan mengutamakan lawatan yang perlu sahaja.

“Pegawai yang mengikuti sesuatu lawatan kerja juga akan dikurangkan,” katanya.

Sementara itu di Kuching, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, semua anggota kabinet Sarawak bersedia melakukan pemotongan gaji sebanyak 10 peratus secara sukarela sebagai langkah untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Taib berkata setakat ini anggota kabinet negeri pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan pemotongan gaji masing-masing dalam masa terdekat berikutan kenaikan harga minyak global.

“Sebaik saja rakan kabinet saya bersetuju dengan saya, di mesyuarat kabinet akan datang, kami akan laksana potongan gaji tersebut, pada bulan pertama berikutnya,” kata Taib kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching selepas menghantar pulang Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengadakan lawatan sehari ke Sarawak hari ini. BERNAMA

sumber mstar

nota: tahniah kepada KM Melaka kerana mengikuti jejak langkah kerajaan persekutuan untuk menurunkan kadar elaun bagi semua wakil rakyat BN di Melaka. Walaupun penurunan ini dianggap tidak memberi kesan oleh sesetengah pihak, penulis berpendapat bahawa sebagai langkah permulaan ke arah perbelanjaan berhemah, ia merupakan satu langkah yang positif. Langkah yang sama juga harus dilakukan oleh syarikat-syarikat korporat yang pada hari ini dilihat banyak memberi elaun-elaun yang tinggi terutama kepada pengurusan syarikat. Sehingga hari ini, masih belum sebarang pengumuman dibuat oleh negeri-negeri yang diterajui oleh PR di dalam usaha menuju ke arah perbelanjaan yang berhemah.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda