Daily Archives: June 13, 2008

Hanya 2,000 berarak bantah kenaikan harga minyak

KUALA LUMPUR: Kira-kira 2,000 orang menyertai perarakan membantah kenaikan harga minyak di ibu negara yang diadakan selepas solat Jumaat, hari ini.

Bagaimanapun, perarakan yang awalnya dijadual bermula di Masjid Jamek Kampung Baru ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) ditukar dan berakhir di Ibu Pejabat Pas Pusat, di Jalan Raja Laut.

Pertukaran itu dipercayai berikutan tindakan polis menghalang dan menutup laluan berkenaan sejal awal pagi tadi.

Perhimpuan itu bagaimanapun menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Tuanku Abdul Rahman kerana penganjur turut mengadakan siri ucapan di situ. Antara yang berucap ialah naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub.’ sumber Bharian

nota: Amat tepat telaan penulis yang mengatakan PAS tidak ikhlas apabila mengatakan mereka duduk semeja dengan kerajaan untuk berbincang mengenai kenaikan harga minyak. Kenyataan tersebut dibuat hanya untuk meraih populariti politik sahaja. Penulis juga ingin juga tahu adakah benar-benar ikhlas niat para peserta demo sebentar tadi untuk solat jumaat di Masjid yang berdekatan. Adakah kusyuk solat tersebut apabila semasa bersembahyang sudah tentu mereka memikirkan apa yang patut dilaungkan ketika berdemo. Penulis sangat hampa apabila diberitahu yang meramaikan demo ini adalah orang Melayu Islam sahaja. Penyertaan bangsa lain amat kurang. Betul kata pemimpin kita satu ketika dahulu, Melayu ini hancur bukan disebabkan oleh bangsa lain tetapi disebabkan oleh bangsa Melayu itu sendiri.

Penulis tidak nafikan ramai orang marah terhadap kenaikan harga minyak termasuklah penulis sendiri. Tetapi adakah ia sesuatu yang dapat dielakkan. Lihat di dada akhbar dan internet, hampir serata dunia merasa kenaikan harga minyak ini. Wahai rakan sebangsaku, sedarlah, jangan lagi mudah tertipu dengan petualang bangsa seperti pemimpin demo jalanan ini yang sememangnya mahu menghancurkan Melayu itu sendiri.

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Abdullah-Najib telah sepakat tentukan masa penyerahan kuasa

sumber utusan

KOTA BHARU 13 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini sekali lagi memperjelaskan bahawa hubungannya dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sememang terjalin baik tanpa sebarang masalah dan kedua-dua mereka telah sepakat dalam menentukan masa yang terbaik bagi penyerahan kuasa.

Perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri berikutan masih ada pihak yang sangsi hubungan antara beliau dan timbalannya itu termasuk ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin Umno Kelantan pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri itu hari ini.

“Saya dan Datuk Seri Najib dah tentukan bila masanya yang sesuai bagi saya menyerahkan jawatan kepada be liau.

“Kami tiada masalah dan hubungan kami berdua adalah baik,” katanya semasa berucap pada majlis makan tengah hari bersama pemimpin masyarakat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan sempena lawatan seharinya ke Kelantan di sini.

Abdullah yang juga Presiden Umno berkata “bila tiba masanya nanti” penyerahan kuasa itu akan pasti berlaku.

Terdahulu, sejurus tiba di sini, Abdullah mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan itu selama dua jam. – BERNAMA.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

AMK Keadilan akan anjur ceramah dan demo di 30 lokasi

sumber malaysiakini

Angkatan Muda (AMK) PKR akan mengadakan siri jelajah seluruh negara dalam bentuk ceramah dan demonstrasi kecil bagi membantah kenaikan mendadak harga minyak minggu lalu.

AMK bersama beberapa kumpulan bukan kerajaan termasuk Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membentuk gabungan baru Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (Geramm) untuk tujuan tersebut.

Jelajah itu akan berlangsung selama dua minggu, bermula dari 14 Jun di Pahang hingga 29 Jun di Selangor, Johor dan Sabah.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata kira-kira 30 lokasi telah dikenal pasti untuk program tersebut.

Dalam sidang media pagi ini, beliau juga berkata isu kenaikan harga minyak akan dibincangkan dalam bentuk ilmiah.

“Ada satu usaha yang sedang dilakukan oleh Geramm juga, bagi mengkaji tentang kenaikan harga minyak secara ilmiah dan fakta kerana kita tidak mahu tindakan kita seolah-olah tidak menggambarkan fakta tentang ekonomi dan kewangan negara,” katanya, yang mempengerusikan gabungan itu.

“Saya percaya perkara ini akan dilakukan dalam bentuk forum yang akademik dan intelektual.”

Dalam siri jelajah tersebut, kata naib ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainuddin  yang turut hadir sidang media yang sama, menjelaskan pendekatan yang akan diambil oleh Geramm.

“Pendekatan kita, road show yang berbentuk ceramah di seluruh negara, yang kita telah susun dan kita juga akan mengadakan protes-protes kecil di setiap masjid terutama di negeri-negeri dalam radius Lembah Kelang,” katanya.

Siri bantahan itu meliputi Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka, tambahnya.

Geramm juga mengadakan kempen ‘petisyen rakyat’ untuk mendapatkan sejuta tandatangan orang ramai terutama kelompok muda yang begitu terjejas dengan keputusan tiba-tiba kerajaan ini yang dianggap kadar kenaikan petrol dan diesel paling besar serta mengejutkan.

“Petisyen itu juga boleh didapati secara dalam talian di laman web http://www.geramm.org,” kata Shamsul Iskandar.

Beliau juga berkata Geramm akan menyertai kempen dan perhimpunan besar-besaran anjuran Gabungan Anti-Inflasi (Protes) di Kuala Lumpur yang dijadual 5 Julai nanti.

Turut hadir di sidang media Geramm, setiausaha Pemuda PAS Sabki Yusoff.

nota: apakah fungsi sebenar AMK Keadilan yang kononnya mirip Pergerakan Pemuda UMNO? adakah mereka cuba menjadi satu kumpulan penegak kebenaran dan pembela rakyat dengan mengadakan demo jalanan? Apakah ini ciri pemimpin masa depan Malaysia yang kita inginkan? Apakah sumbangan AMK ini di dalam politik tanahair kita. Sehingga hari ini, AMK umpama sebuah kapal tiada nakhoda yang tiada arah tuju yang jelas. Hanya populariti yang dicari oleh pergerakan ini dan bukan pengalaman berpolitik yang dicari.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tun Mahathir Gagal??

sumber mstar

KUALA LUMPUR: Selepas tiga minggu keluar Umno, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau “nampak gagal” dalam perjuangannya yang terbaru, tetapi tindakan ke atas beliau oleh kepimpinan parti akan membawa kesan terhadap Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

“Saya nampak gagal tapi saya percaya kesannya dalam pilihan raya akan datang kerana tindakan parti terhadap saya, ramai pengundi akan tolak BN,” kata beliau dalam temu bual bersama mStar Online di pejabatnya di Menara Berkembar Petronas di sini.

Ditanya mengenai peluang beliau berjaya dalam ‘perjuangan’ melawan kepimpinan parti kali ini, Dr. Mahathir berkata: “Mungkin tiada peluang, tapi tak apa.”

“Saya dapat menunjukkan saya menentang. Kalau orang hendak kata saya salah, OK.”

Bekas Presiden Umno itu keluar parti pada 19 Mei lalu. Isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang turut keluar Umno berada di pejabat Dr. Mahathir ketika sesi temu bual dengan mStar Online.

Kedua-dua mereka memegang nombor keahlian Umno 0000001 dan 0000002.

Umno dan BN buat pertama kali telah berhadapan dengan prestasi paling buruk dalam pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu.

Ketika kepimpinan beliau, BN pernah kehilangan dua negeri iaitu Kelantan pada 1990 dan disusuli Terengganu 1999, yang ditawan semula tahun 2004.

Bagaimanapun dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan 10 daripada 11 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dikuasai pembangkang manakala majoriti dua pertiga dipegang BN di Dewan Rakyat juga dinafikan.

Sama ada yakin atau tidak akan mencapai kejayaan dalam usaha untuk mengubah kepimpinan Umno, kata Dr. Mahathir, apa yang penting ialah beliau menyuarakan pandangannya apabila tidak setuju dengan kepimpinan parti.

Dr. Mahathir, yang lantang bersuara dalam banyak perkara dan berhadapan dengan pelbagai isu sepanjang kepimpinan 22 tahun sebagai Perdana Menteri pernah dianggap sebagai pemimpin yang makin berpengaruh dan mantap apabila berhadapan isu-isu yang mencabar.

Menjawab soalan itu, beliau hanya berkata, “saya tidak tahu, kamu tengok sahajalah.”

Dr. Mahathir juga mengakui beliau seolah-olah kelihatan seorang diri cuba membawa perubahan dalam Umno sejak keluar parti 19 Mei lalu.

Selain Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah, yang turut keluar secara terbuka ialah anak mereka, Datuk Mokhzani dan bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

“Ya, nampak saya seorang diri, tapi ramai yang sokong, mereka tak ambil tindakan, tak berani ambil tindakan,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini tiada pihak yang datang menemui untuk meminta beliau mengubah pendirian dalam soal tersebut.

“Saya duri dalam daging, sekarang sudah dikeluarkan, tak akan nak masuk balik,” kata Dr. Mahathir dan menambah, beliau tidak akan kembali sama sekali ke Umno selagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kekal sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Majlis Tertinggi Umno meskipun menerima keputusan keluar parti tetapi bersedia untuk menerima beliau jika Dr. Mahathir berhasrat untuk kembali semula.

“Dulupun, saya balik ke Umno apabila Tunku (Abdul Rahman Putra Al-Haj) sudah tarik diri (berundur). Inipun saya kata kalau Abdullah tarik diri, keluar daripada parti atau letak jawatan, saya masuk parti.

“Bagi saya, saya tiada pilihan, selagi ada Pak Lah, saya tak (akan) kembali,” katanya.

Selepas tiga minggu keluar Umno, Dr. Mahathir berkata, keadaan tidak banyak berbeza.

“Tiada beza, bila saya ada dalam Umno selepas saya letak jawatan (tahun 2003), saya terus berada dalam Umno.

“Layanan kepada saya seolah-olah saya daripada parti lawan, saya disekat tidak boleh bercakap, tak boleh bertemu dengan orang Umno, menteri tak boleh jumpa saya, saya tak boleh jumpa menteri, kalau saya ada syarahan, ahli Umno tidak boleh hadir, ketua bahagian tidak boleh hadir.

“Jadi sekarang ini saya bukan ahli Umno, (keadaan) sama saja. Keadaan itu tidak berbeza,” katanya.

Dr. Mahathir memberitahu, beliau memang bebas pada masa lalu tetapi orang tidak berani menemui dan masih tidak berani berbuat demikian.

“Sekarang ini pun tak berani datang jumpa, dia (mereka) takut. Hari ini (Selasa lalu) saya bercakap di Bankers Club. Walaupun ada ahli Umno jadi anggota Bankers Club, tetapi tidak hadir,” katanya.

Ekoran itu, tambah beliau, jika situasi tersebut berterusan ramai akan tetap merasa kecewa dengan Umno dan akan menyokong parti lawan sehingga bakal membawa kepada kekalahan BN dalam pilihan raya akan datang.

Dr. Mahathir juga menyentuh mengenai UMNO dan pilihan raya umum ke-12 dalam blognya hari ini.

nota: Jutaan terima kasih penulis kepada ayahanda pembangunan dan pemodenan Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir. Jasanya sangat banyak untuk dikira. Kejayaan demi kejayaan dicipta. Walaubagaimanapun, penulis amat berharap sekiranya Tun dapat terus memberi nasihat kepada kerajaan dan bukannya pendedahan panas kerana ini membawa kehancuran kepada umat melayu khasnya. Diharap Tun dapat membimbing YB Mukhriz supaya beliau mempunyai gaya kepimpinan seperti Tun.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Dua MP Sabah dari SAPP Melompat

sumber agendadaily

Cerita lompat parti muncul kembali…kali ini khabar terbaru yang tersebar ialah dua Ahli Parlimen dari Parti SAPP, pimpinan Datuk Yong Teck Lee telah membuat keputusan untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN).

Menurut seorang yang rapat dengan kalangan Ahli Parlimen yang memberitahu Agendadaily, cerita mengenainya kini tersebar luas di kalangan Ahli-Ahli Parlimen.

Malah, dua Ahli Parlimen dari parti SAPP disebut secara terbuka merupakan mereka yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada BN.

Kedua-duanya ialah Ahli Parlimen Sepanggar, Enchin Majimbun dan Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui.

Bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, Agendadaily telah menghubungi kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan.

Majimbun yang menolak khabar kononnya beliau telah meninggalkan BN berkata, sehingga kini mereka masih lagi kekal bersama parti itu.

“Tapi kita tidak tahulah di masa depan macam mana,” katanya.

Sambil menyifatkan berita yang tersebar itu sebagai khabar angin, beliau berkata, apa yang penting beberapa perkara yang disampaikan kepada kerajaan Pusat untuk negeri Sabah hendaklah ditunaikan.

“Kita ucap terima kasihlah kepada beberapa perkara yang telah diberikan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tapi kita masih tungu perkara-perkara lain yang belum dipenuhi,” jelasnya.

Kenyataan beliau dipercayai berkaitan dengan beberapa isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Sabah termasuk soal pembangunan di negeri berkenaan kepada kerajaan Pusat.

Bulan lalu, dalam temuraham dengan Agendadaily Teck Lee memberikan isyarat ada dua pintu sebagai pilihan kepada mereka dalam mencari penyelesaian isu-isu yang berkaitan dengan negeri Sabah.

Katanya, pintu pertama ialah menyelesaikan semua tuntutan yang dibuat atau jika tidak pintu kedua ialah keluar meninggalkan BN. Beliau memberikan tempoh sehingga Ogos depan untuk penyelesaian dibuat.

Sementara itu Ahli Parlimen Tawau, Chua Soon pula berkata, beliau tidak tahu menahu tentang cerita yang disebarkan itu.

“Hari ini kita hadir taklimat Bajet BNBBC (Kelab Penyokong Kerajaan BN) sama-sama dengan Perdana Menteri. Jadi saya tidak tahu menahu soal cerita ini,” katanya.

nota:  walaupun dakwaan ini dinafikan oleh kedua2 YB, pada hemat penulis tindakan Presiden SAPP untuk memberi kata dua kepada BN pusat supaya memenuhi semua tuntutan sebelum Ogos adalah satu tindakan yang kurang ajar terutama terhadap semangan muafakat dikalangan parti komponen BN. Penulis merasakan perasaan dendam presiden SAPP terhadap pemansuhan sistem penggiliran KM Sabah masih lagi membara. Tuntutan yang dibuat bukanlah boleh diselesaikan dalam tempoh setahun malah ia sepatutnya dilakukan secara berperingkat. Presiden SAPP sila maklum bahawa bukan Sabah sahaja yang memerlukan pembangunan malah negeri lain di Malaysia juga dahagakan pembangunan dan kemajuan. Penulis ingin mengutarakan kepada Presiden SAPP, apakah kemajuan yang dibawa oleh beliau semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sabah satu ketika dahulu?

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda