Demonstrasi tidak salah, tetapi bukan penyelesaian

PETALING JAYA: Tidak semua demonstrasi itu salah kerana ia adalah sebahagian cetusan hati rakyat untuk menyuarakan apa yang dihadapi hari ini.

Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusof berkata, perhimpunan seperti demonstrasi tidak boleh dianggap tidak betul dan hanya membawa kekacauan.

“Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memahami mengapa ia berlaku dan bagaimana untuk menyekatnya daripada terus terjadi,” katanya kepada mStar Online ketika diminta mengulas mengenai demonstrasi yang disertai lebih 5,000 penyokong pembangkang bagi membantah kenaikan harga minyak.

Perarakan selama dua jam bermula kira-kira pukul 1.30 tengah hari dari Masjid Kampung Baru bagaimanapun berakhir dengan aman.

Mohammad Agus berkata, walaupun masalah kenaikan harga minyak turut dihadapai negara-negara lain namun senarionya agak berbeza di negara ini.

“Di Malaysia, kita akan dapat menyaksikan rantaian kenaikan harga barangan lain secara terus-menerus. Sekarang pun banyak harga yang telah naik dan saya percaya akan ada lagi selepas ini.

“Ini akan memberi kesan kepada rakyat terutama golongan miskin. Bagaimanapun, saya yakin mereka masih bersama kerajaan namun biasalah, jika ‘perut’ mereka diusik, mereka akan marah,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kerajaan ada memberi insentif termasuk pembayaran gaji dua kali sebulan kepada kakitangan awam, itu tidak akan menyelesaikan masalah kerana rakyat bukan hanya memerlukan wang untuk makan bahkan untuk membayar hutang.

“Wang ansuran kereta, rumah dan bil-bil contohnya datang sebulan sekali. Jika pembayaran gaji dilakukan dua kali sebulan, rakyat terpakasa menyelesaikan bil dalam masa dua minggu dan ini akan menghalang mereka daripada menyimpan (wang),” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat demonstrasi seperti itu tidak menguntungkan mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Pada saya, penunjuk perasaan ini tidak sabar dan berfikiran seperti kanak-kanak.

“Harga minyak bukan di bawah kawalan kita sebaliknya kuasa besar seperti Amerika. Kalau orang dah jual mahal, kita terpaksa beli dengan harga yang mahal, justeru kenapa kita nak marah.

“Kita dapat lihat kerajaan banyak melakukan usaha untuk membantu rakyat dalam mengurangkan beban kos kenaikan harga minyak seperti pembayaran gaji dua kali sebulan kepada kakitangan kerajaan dan pembayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Pada saya, usaha kerajaan sudah memadai dan rakyat juga perlu berfikir, takkan kalau harga minyak naik hari ini, ia akan turun hari ini juga. Ia akan ambil masa dan kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Ahmad Atory berkata, bagaimanapun, beliau percaya ini adalah sebahagian usaha pembangkang untuk mengeruhkan suasana dan menjatuhkan kerajaan.

“Mereka mahu meniupkan rasa benci rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno dan sememangnya dari segi politik, hal ini akan memberi tekanan yang kuat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Pak Lah tak boleh berhenti sekarang, Bagaimanapun, beliau akan berhenti juga dan jawatannya akan diambil alih oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Bagaimanapun, saya percaya Datuk Seri Najib juga tidak mampu menyekat kenaikan harga minyak kerana ia masalah global dan jika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil alih sekali pun, beliau juga tidak akan mampu menyelesaikannya,” katanya. – sumber mstar

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s