sumber mstar
KOTA BAHARU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melahirkan kenyataan senada dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau juga tidak akan merosakkan Umno.
Jelas beliau, seperti yang dinyatakan oleh Najib yang menegaskan bahawa beliau tidak akan melakukan sesuatu yang akan merosakkan parti yang diasaskan oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak, beliau juga tidak sekalikali akan memecahbelahkan parti keramat Umno.
“Saya tidak akan memecahbelahkan Umno. Di utara, Umno di asas oleh bapa dan datuk saya sendiri,” kata Presiden Umno pada majlis makan malam anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini malam tadi.
Beliau dipetik Bernama berkata, apa yang berlaku kepada Umno selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas tidak melemahkan Umno dan parti itu tetap mempunyai kekuatan untuk bangkit semula.
Di London dua hari lalu, Najib berkata, beliau merupakan “anggota parti yang setia” dan bukannya anak lelaki yang akan memusnahkan parti, yang bapanya pernah terbabit dalam penubuhan parti itu, hanya demi kepentingan untuk memegang kuasa.
Anak sulung Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein berkata, beliau “percaya peralihan kuasa (dalam Umno) perlu dilakukan secara tradisi konvensional dan bukannya dengan mewujudkan puak-puak”.
Dalam kenyataannya di sini Abdullah berkata: “Saya sedih dan terharu menerima keputusan pilihan raya yang lalu. Tetapi kita masih lagi ada tenaga, kita masih ada kekuatan.”
Merujuk kepada keputusan pilihan raya umum lepas, Abdullah berkata, anggota Umno tidak perlu merasa kecewa sehingga sanggup berbalah sesama sendiri dan akhirnya boleh merosakkan parti.
“Umno telah melalui pelbagai ujian sejak sebelum merdeka lagi sehinggalah sekarang, tetapi Alhamdulillah Umno masih kukuh dan mempunyai pejuang untuk mempertahankan bangsa dan negara.
“Sepertimana PAS di Kelantan yang pernah menang tipis tetapi kali ini kuat semula, dan saya yakin Umno juga akan seperti itu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, dalam lawatannya ke beberapa negara lain, beliau pernah ditanya mengenai Barisan Nasional (BN) yang kini memerintah negara tanpa memprolehi majoriti dua per tiga.
Kata mereka, BN menang selesa sebenarnya dan tidak ada sebab bagi kerajaan yang ada tidak berbuat sesuatu untuk membangunkan negara dan rakyat.
“Saya berazam untuk pulihkan semula Umno,” katanya.
Menurut Abdullah, dalam lawatan seharinya ke Kelantan hari ini, beliau mendapati Umno Kelantan masih kuat walaupun kekuatannya masih belum mencukupi untuk merampas kembali Kelantan.
Sehubungan itu, beliau meminta anggota Umno di peringkat cawangan untuk lebih berusaha keras bagi memperkasakan cawangan masingmasing.
“Kuatnya cawangan kuatlah bahagian dan saya gembira perpaduan yang ada di kalangan mereka cukup kuat,” katanya.
Yang turut hadir ialah Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa serta lebih 2,000 anggota Umno.