2 pemimpin nafi lompat parti, Ku Li dakwa komponen BN keluar bulan ini

sumber mstar
(Mutakhir) PETALING JAYA: Sementara dua pemimpin Barisan Nasional (BN) menafikan akan ada wakil rakyat Sabah melompat parti, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula mendakwa sebuah parti komponen BN akan meninggalkan parti itu sebelum hujung bulan ini.

Bekas Menteri Kewangan itu yang dipetik Bernama bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar dari BN itu.

“Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini,” dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-Cawangan Umno Pahang di sini hari ini.

BN terdiri daripada komponen Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu SUPP, SAPP, Parti Bersatu Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Bersatu Rakyat Sabah, Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko), dan Parti Demoktratik Progresif Sarawak (SPDP) serta Parti Rakyat Sarawak.

Dalam pada itu, hari ini dua Ahli Parlimen – seorang dari Semenanjung dan seorang lagi dari Sabah menafikan spekulasi beberapa wakil rakyat dari negeri itu akan menyertai Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang baru.

Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhammad Taib ketika dihubungi mStar Online di Kota Kinabalu memberitahu, selama empat hari berada di Sabah beliau tidak mendengar tentang akan ada Ahli Parlimen dari negeri itu bakal menyertai Pakatan Rakyat.

“Rakyat sudah bosan dengan cakap-cakap seperti ini. Hanya beberapa personaliti yang membangkitkan isu seperti ini, nak sambung-sambung cerita yang mengatakan akan ada mereka yang akan melompat parti.

“Hanya mereka seperti (Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang suka mengatakan perkara seperti ini,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini yang berada di Sabah sejak Rabu lalu.

“Jika PAS dan DAP hendak menubuhkan kerajaan, sepatutnya mereka berbuat demikian 100 hari yang lepas. Sekarang sudah 100 hari selepas pilihan raya umum diadakan, mengapa masih hendak menimbulkan isu lompat-melompat ini.

“Mereka sepatutnya membantu kerajaan menjalankan projek pembangunan, bukan membuat kenyataan-kenyataan seperti ini. Apa yang mereka dapat?

“Mereka wajar berhenti bercakap mengenai isu melompat ini,” kata beliau sambil menambah, selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan 13 insentif untuk Sabah baru-baru ini, rakyat negeri itu ingin melihat projek pembangunan serta janji pilihan raya ditunaikan.

Beliau mengatakan demikian ketika diminta mengulas perkembangan semasa politik tanah air ekoran timbulnya isu bahawa kemungkinan wakil rakyat BN dari Sabah akan melompat Pakatan Rakyat tidak lama lagi.

Isu itu timbul lagi selepas seminggu lalu Anwar mengumumkan bahawa beliau masih kekal dengan sasaran 16 September ini untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Kelmarin, Agenda Daily melaporkan dua Ahli Parlimen dari Parti Rakyat Sabah (SAPP) disebut secara terbuka merupakan mereka yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada BN.

Kedua-dua mereka Enchin Majimbun dan Datuk Chua Soon Bui masing-masing Ahli Parlimen Sepanggar dan Tawau.

Portal itu menyebut, bagaimanapun Majimbun telah menafikan khabar tersebut tetapi menambah, “tapi kita tidak tahulah di masa depan macam mana.”

Chua juga menafikan laporan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Penyokong Kerajaan BN Sabah di Dewan Rakyat, Datuk Anifah Aman yang pernah ‘mencuri’ perhatian kerana menolak kedudukan dalam Kabinet dan Pengerusi Kumpulan Ahli Parlimen UMNO (UMPG) di Dewan Rakyat juga menafikan khabar angin tersebut.

“Saya tidak tahu. Saya tidak dengar apa-apa setakat ini,” katanya ketika dihubungi.

Kata beliau, pihaknya juga belum ada membincangkan desas-desus terbaru itu dan belum ada rancangan untuk bertemu ahli-ahli Parlimen dari BN di Sabah.

Dewan Rakyat akan mula bersidang semula pada 23 Jun ini.

Kini di Dewan Rakyat BN mempunyai 140 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 82 kerusi.

Umno mempunyai 79 kerusi, MCA (15), MIC (tiga), Gerakan (dua), PBB (14), SUPP (enam), SPDP (empat), PRS (enam), Upko (tiga), PBS (tiga), SAPP (tiga), PBRS (satu) dan LDP (satu).

Pertengahan bulan lalu, Anifah mencetuskan suasana hangat ketika berucap di Dewan Rakyat dengan mendakwa rakyat Sabah dianaktirikan dan dihina dengan dakwaan mahu melompat parti.

Kata Anifah, wakil rakyat Sabah dipandang serong semata-mata kerana menyampaikan keluhan rakyat negeri itu yang beliau dakwa sekian lama dipinggirkan daripada arus pembangunan.

nota: posting terdahulu mengenai ahli mp BN melompat di sini

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s