Daily Archives: June 16, 2008

Cubaan wujudkan rasa curiga sesama komponen BN – Ka Ting

sumber agendadaily

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting menyifatkan dakwaan Penasihat Parti Keadilan rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim adanya Ahli Parlimen MCA yang akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) bermotifkan politik.

Katanya, dakwaan tersebut hanya bertujuan hendak mewujudkan rasa saling curiga mecurigai sesama anggota parti komponen BN.

“Tidak ada kebenaran langsung dakwaan adanya Ahli-Ahli Parlimen MCA akan lompat atau tinggalkan BN. Dakwaan (Anwar itu) hanya bertujuan wujudkan rasa curiga di kalangan komponen BN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sistem pesanan ringkasnya (SMS) kepada Agendadaily yang meminta komen beliau berhubung dengan dakwaan Anwar kononnya ada Ahli parlimen MCA akan sertai pakatan pembangkang tidak lama lagi.

Anwar membuat dakwaan tersebut pada satu majlis ceramah di Pualau Pinang, Ahad malam.

Menurut Ka Ting, kenyataan Anwar tersebut jelas bermotifkan politik dan cuba mengelirukan rakyat. – 16/6/2008

—————————-

Dakwaan terbaru Anwar…

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan perang saraf terbaru apabila mendakwa ada kalangan Ahli-Ahli Parlimen MCA akan lompat parti menyertai pakatan pembangkang.

Berucap dalam ceramah di Pulau Pinang Ahad malam, Anwar mendakwa pakatan pembangkang makin hampir ke Putrajaya.

Beliau juga menjangkakan Perdana Menteri akan mengumumkan pilihan raya mengejut jika lompat parti dari BN ke pembangkang berlaku.

Sebelum ini ekoran perang saraf awal Anwar heboh diperkatakan, terdapat kalangan Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak akan melompat parti menyertai pembangkang.

Anwar juga mendakwa pihaknya telah memperolehi jumlah Ahli Parlimen BN yang sedia lompat parti bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan menggantikan BN.

Pada majlis ceramah tersebut, Anwar turut mengambil kesempatan mengkritik kerajaan ekoran penstrukturan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol dan diesel.

Anwar juga terus dengan dakwaannya jika pakatan pembangkang membentuk kerajaan ‘hari ini’ keesokan harinya harga minyak akan diturunkan. – 16/6/2008

nota: posting terdahulu di sini

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar Ibrahim Dewa Politik Malaysia?

Dalam malaysiakini hari ini, DSAI memaklumkan bahawa MP BN dari MCA akan melompat utk menyertai Pakatan Rakyat. Di dalam mstar pula, DSAI berkata beliau tahu parti komponen BN yang mana yang ingin keluar dari BN. Beliau sendiri juga berkata bahawa kerajaan persekutuan yang baru akan dibentuk menjelang 16 September tahun ini. Tidakkah lagak beliau seperti seorang Dewa politik…menentukan semua hala tuju politik tanahair…Tidakkah beliau terfikir bahawa jika benar MP BN ingin melompat…takkan adakah MP pakatan rakyat juga yang akan melompat?? Adakan beliau rasakan kemuafakatan yang dijalinkan oleh PKR-PAS-DAP dijalinkan atas dasar yang ikhlas…atau ia dibentuk bagi men’dewa’kan DSAI??

Wahai DSAI, sedarlah bahawa rezeki datang dari Allah Ta’ala….sekiranya di dalam buku hidup kita…memang PM jawatan kita….maka kita akan jadi PM dengan cara yang baik….bukan lah dengan cara membayar tambang ke Hong Kong untuk berbincang mengenai isu melompat…bukankah ini adalah RASUAH politik??

Ya Allah…sedarkanlah pemimpin Islam di pakatan rakyat…yang semakin hari semakin angkuh tindak tanduk mereka…..adakah mereka lupa bahawa tiada yang kekal di dunia ini.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pak Lah tetap pertahankan jawatan

sumber utusan

PUTRAJAYA 15 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengulangi bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti yang dijadualkan pada Disember ini.

Beliau berkata, tiada alasan bagi beliau untuk tidak bertanding.

Semasa ditanya mengenai tarikh peralihan kuasa kepimpinan, Abdullah berkata, ini akan dibincangkan dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami masih belum bersetuju secara tepat tarikh peralihan kuasa itu. Bukan dalam masa satu, dua atau tiga bulan akan datang,” kata beliau pada dialog dengan kira-kira 30 ketua media Forum Ekonomi Dunia di sini hari ini.

Mengenai ekonomi Malaysia, Abdullah berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dapat mencapai pertumbuhan 5.5 peratus tahun ini walaupun negara menghadapi cabaran ekonomi, terutama harga minyak yang melonjak.

Dengan harga minyak mentah yang tinggi, terdapat keperluan untuk menangguhkan projek-projek mega dan memberi penekanan terhadap projek pembangunan yang memberi tumpuan kepada rakyat serta projek pertanian dengan kesan segera, katanya.

“Beberapa projek tidak semestinya ditangguhkan tetapi akan disesuaikan,” kata Perdana Menteri.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tan Sri Isa Samad kembali

sumber agendadaily

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan datang sudah tentu akan menjadi tumpuan kepada pelbagai pihak.

Beberapa keputusan yang sepatutnya dibuat oleh MT dinanti-nantikan kerana ia memberikan kesan kepada iklim dan perjalanan politik dalaman UMNO sendiri.

Antara keputusan tersebut ialah apakah MT akan berkongsi sama hasil permukiman MT UMNO yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini.

Keduanya, yang paling menarik ialah bagaimana dengan nasib bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Isa Samad yang akan tamat tempoh penggantungannya pada 24 Jun ini.

Tiga tahun lalu,bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dikenakan hukuman oleh Lembaga Disiplin UMNO gantung jawatan untuk tempoh satu penggal atau tiga tahun.

Kalau ikutkan tarikh hukuman dijatuhkan, 24 Jun ini merupakan ‘hari pembebasan’ yang sepatutnya dinikmati oleh Isa.

Apa kesan daripada keputusan tersebut?. Yang paling di tunggu-tunggu ialah Isa akan menikmati semula haknya sebagai ahli untuk memilih dan dipilih memegang sebarang jawatan.

Tahun ini adalah tahun pemilihan di semua peringkat bermula daripada Cawangan Julai ini, Bahagian Oktober dan kemuncaknya pemilihan jawatan tertinggi parti pada Disember 2008.

Pembebasan Isa tidak dapat tidak akan terus dilihat daripada sudut, apakah Isa akan melakukan ‘misi memberishkan semula namanya’ dengan menawarkan diri untuk bertanding semula jawatan Naib Presiden yang dilucutkan daripadanya ekoran kesalahan atas dakwaan politik wang.

Kalangan pemerhati politik, berpendapat Isa tidak akan kehilangan apa-apa jika menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Naib Presiden. Malah akan memperolehi banyak keuntungan daripada usahanya bertanding semula.

Selain boleh membersihkan namanya, Isa juga akan menjadi calon yang mungkin dapat menarik banyak undi simpati serta menjadi calon alternatif yang boleh menjadi suara ‘bebas’ daripada kalangan mereka yang berada dalam sistem kekuasaan negara.

Isa sendiri apabila dihubungi oleh Agendadaily untuk bertanya mengenai tarikh pembebasannya hanya berkata, lebih baik tunggu keputusan MT dahulu.

Ditanya apakah beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO semula jika dibebaskan, beliau tetap tenang memberikan jawapan.

Katanya dibebas atau tidak belum tahu lagi masakan beliau boleh bercakap soal hendak bertanding atau tidak.

Namun, hakikatnya, pembebasan Isa memang ditunggu-tunggu khususnya kalangan para penyokong beliau yang kelihatan sudah mula ‘hidup enjin’ untuk menobatkan semula bos mereka sebagai salah seorang pimpinan tertinggi parti pada pemilihan Disember depan.

Apapun mengikut peraturan UMNO beliau wajib dapat ‘surat pembebasan’ dari MT UMNO sebelum boleh mengatur langkah.

Selain, kedudukan Isa, ada juga yang hendak tahu apakah keputusan MT pada mesyuarat akan datang mengenai permohonan bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Noor untuk menyertai semula UMNO dan beberapa bekas pemimpin parti itu termasuk bekas Ketua PKR Permatang Pauh, Anuar Shaari.

Permohonan mereka menarik perhatian kerana kedua-duanya bukan sahaja bekas pemimpin PKR tetapi merupakan orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ezam adalah bekas Setiausaha Politik Anwar manakala Anuar pula bekas Setiausaha Sulitnya.

Banyak pandangan diberikan termasuk kemungkinan Ezam menjadi ‘hadiah kuda trojan’ yang menjadi musuh dalam selimut UMNO untuk kepentingan politik pembangkang.

Apa yang pasti, mesyuarat MT akan datang sudah tentu menarik sama ada irama politik negara makin rancak atau sebaliknya – 15/6/2008

nota: Ramai yang tidak mengetahui peranan penting yang telah dimainkan oleh Tan Sri Isa semasa isu ahli UMNO melompat sibuk diperkatakan. Bertindak sebagai seorang ‘mediator’, peranan beliau tidak boleh dinafikan. Syabas Tan Sri dan diharap dengan kembalinya Tan Sri berkhidmat untuk UMNO, maka kekukuhan orang Melayu dapat terjamin semula.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ku Li dan Najib Tiada Peluang Pada PAU akan datang?

sumber mstar

KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin tiada siapapun termasuk Tengku Razaleigh Hamzah yang ‘berpeluang’ untuk menandingi jawatan Presiden Umno pada Disember ini.

“Pada pemilihan Umno akan datang Presiden (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) akan menang, tidak akan ada siapa yang boleh tanding Presiden kerana tiada siapa yang boleh memperoleh 60 pencalonan.

“Ini dikawal oleh Presiden seperti yang berlaku dulu… Tengku Razaleigh hendak lawan, beliau cuma mendapat satu sahaja, bahagian beliau yang mencalonkan beliau, bahagian beliau sendiri mencalonkan beliau,” katanya.

Bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno itu menyatakan demikian dalam satu temu bual dengan mStar Online baru-baru ini.

Jelas Dr. Mahathir, sama ada Tengku Razaleigh ataupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak memang tidak berpeluang untuk menyaingi Abdullah yang menggantikan beliau lima tahun lalu.

Pemilihan pucuk kepimpinan pusat Umno akan berlangsung pada Disember ini.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dan bekas Naib Presiden Umno telah menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi Presiden Umno pada Disember ini.

Kini beliau mengadakan pertemuan di seluruh negara untuk mencari sokongan melepasi kelayakan pencalonan yang diwajibkan untuk menentang Abdullah.

Berdasarkan pendirian yang diumumkan sejak kebelakangan ini, Najib dipercayai hanya akan kekal mempertahankan kerusi Timbalan Presiden Umno.

Ketika mengulas mengenai peralihan kuasa pula, Dr. Mahathir memberitahu, beliau tidak setuju dengan kata sepakat yang telah dicapai oleh Abdullah dan Najib sebelum ini.

“(Saya) tak setuju, lama sangat, tahun 2010… tak ada masa untuk memulihkan parti untuk pilihan raya akan datang,” katanya.

Empat hari selepas Dr. Mahathir ditemui mStar Online, semalam Abdullah memberitahu bahawa tarikh tepat berhubung peralihan kuasa kepada Najib masih belum ditetapkan lagi.

Menurut Abdullah, sepertimana yang diperjelaskannya kelmarin beliau akan menyerahkan jawatannya itu kepada Najib apabila tiba masanya sepertimana yang difahami oleh kedua-dua mereka.

Dr. Mahathir juga menyentuh soalan sama ada Umno masih relevan ataupun sebaliknya khususnya selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Kata beliau: “Bagi banyak orang, Umno sudah tidak relevan.”

Mengenai keperluan menubuhkan parti baru, beliau berkata: “Sekarang ini pilihan antara masuk parti lawan, ada tiga parti lawan (dan) mungkin mereka (ahli Umno yang tidak berpuas hati) menyertai parti lawan.”

Jelas beliau, parti baru juga sukar untuk ditubuhkan kerana tiada pihak yang berani untuk keluar Umno.

“Saya tidak mahu parti baru, saya patuh kepada Umno yang asal, ini bukan Umno yang asal,” katanya.

Dr. Mahathir keluar daripada Umno pada 19 Mei lalu.

nota: penulis merujuk kepada kenyataan Tun – “”Ini dikawal oleh Presiden seperti yang berlaku dulu… Tengku Razaleigh hendak lawan, beliau cuma mendapat satu sahaja, bahagian beliau yang mencalonkan beliau, bahagian beliau sendiri mencalonkan beliau,” katanya.” Adakah kenyataan ini merujuk kepada diri Tun sendiri. Penulis kagum dan amat menyanjungi Tun Mahathir tetapi sejak kebelakangan penulis merasakan Tun tidak seharusnya terus mengkritik pentadbiran negara pada masa kini. Terimalah hakikat tidak semua yang dirancang menjadi kenyataan. Di dalam setiap pentadbiran ada kelemahan dan kekuatan yang sendiri. Jangan samakan pencapaian Tun dengan Pak Lah. Bagi penulis apa yang diperlukan sekarang ialah pengukuhan umat Melayu supaya umat ini terus maju.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda