sumber mstar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan beliau menyifatkan Datuk Yong Teck Lee sebagai tamak kerana Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu lebih tertarik dengan tawaran yang diberikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berkemungkinan jawatan tinggi berbanding kedudukan ditawarkan Barisan Nasional.
“Saya dah tahu beliau mulakan macam-macam tindakan semasa saya pergi ke Sabah. Saya mahu berjumpa beliau tetapi semasa saya membuat pengumuman mengenai perkara yang dibangkitkan Sabah, berkaitan pembangunan dan lain-lain, beliau tidak datang dan saya diberitahu beliau berada di Sandakan.
“Nampaknya dia mula membuat cerita lain. Justeru, saya fikir buat apa hendak memberi kepada beliau (jawatan).
“Akhirnya kita tahu apa yang beliau hendak… rupanya beliau lebih berminat apa yang ditawarkan Anwar. Apa yang ditawar, wallahualam… mungkin jawatan tertinggi dan sebagainya,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Barisan Nasional (BN) di sini petang tadi.
Perdana Menteri menambah, Yong sebenarnya mahu bertanding dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, namun tidak berjaya berikutan kerusi yang diperuntukkan kepada SAPP sudah penuh.
“Saya masih ingat apabila kita memutuskan wakil yang bertanding untuk pilihan raya lalu, beliau (Yong) telah memutuskan ahli-ahli partinya yang akan bertanding.
“Bagaimanapun, beliau turut mahu bertanding tetapi tiada kerusi yang cukup diperuntukkan untuk partinya. Justeru beliau meminta untuk bertanding kerusi Kota Kinabalu yang diperuntukkan kepada Parti Bersatu Sabah (PBS). Mereka (PBS) tidak mahu memberinya, justeru dia tidak gembira,” katanya.
Abdullah berkata, beliau juga bercadang untuk melantik Yong sebagai Wakil Khas berkaitan BIMPEAGA.
“Saya kata pada dia you akan dijadikan sebagai Special Envoy yang ada hubungkait dengan BIMPEAGA, dengan itu dia akan ada peranan yang boleh dilaksanakan seperti hal berkaitan dengan promosi perdagangan dan pelancongan serta hal berkaitan masalah sempadan dan pendatang asing tanpa izin.”
“Dia kata ok, that’s good (eloklah tu), saya pun mulalah ambil tindakan dan maklumkan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan dia senang hati tetapi tibatiba dia (Yong) buat perangai,” katanya.
Abdullah berkata bagaimanapun tawaran jawatan itu tidak dapat dilaksana dengan kadar segera kerana perlu melalui beberapa prosedur termasuk mengemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri berkata ketika beliau ke Sabah baru-baru ini dan mengumumkan beberapa insentif dan projek pembangunan bagi rakyat di negeri itu, Yong tiada dalam acara itu kerana difahamkan berada di Sandakan.
Nampaknya dia sudah mula buat cerita lain, jadi buat apa saya hendak bagi (jawatan Senator dan Wakil Khas) kepada dia.
“Akhirnya kita tahulah apa yang dia hendak, ruparupanya dia lebih berminat dengan apa yang Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat Parti Keadilan Rakyat) tawarkan kepada dia, mungkin dia hendak yang lebih besar, apa yang ditawar saya tidak tahu,” katanya.
Abdullah turut kesal dengan tindakan Yong kerana jika tidak bekas Ketua Menteri Sabah itu dapat menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat Sabah dengan jawatan yang diberikan itu.