petikan malaysiakini
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir di mesyuarat perhubungan PKR Selangor bagi membincangkan pelbagai isu panas yang melanda negeri dan parti itu, antaranya pergolakan dalaman selepas penggantungan tugas pegawai kanan menteri besar kelmarin.
“Insya Allah, saya akan turut hadir dalam mesyuarat PKR Selangor malam nanti,” kata penasihat PKR dalam blognya hari ini.
Mesyuarat jam 9 malam ini akan diadakan di ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.
anwar ibrahim pc 120508 01Dua lagi isu yang sedang menantinya: penyaluran wang derma syarikat- syarikat swasta, sepatutnya milik kerajaan negeri, kepada akaun PKR negeri dan rasa tidak puas hati 17 bahagian berhubung pelantikan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
Wang derma sempena sambutan 100 hari kerajaan negeri Pakatan Rakyat dilaporkan dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin PAS, khususnya exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang mengetuai jawatankuasa sambutan tersebut.
Selain isu keanggotaan PBT, ketua-ketua bahagian itu juga membangkitkan isu kebajikan dan pembelaan terhadap aktivis-aktivis Gerakan Reformasi yang didakwa diabaikan oleh PKR Selangor.
Mesyuarat badan perhubungan itu, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dijadual akan turut dihadiri bekas pegawainya Mohd Yahya Mat Sahri.
Yahya, yang digantung tugasnya sebagai pegawai tugas-tugas khas Abdul Khalid susulan siasatan dakwaan salah guna kuasa, meletakkan dua jawatan pentingnya, termasuk setiausaha badan perhubungan PKR negeri.
Beliau memaklumkan kehadirannya di mesyuarat malam ini selepas bertemu Anwar semalam untuk membincangkan masalah penggantungan jawatannya dan juga rasa tidak puas hati 17 bahagian parti itu.
Anwar, di blognya itu, cepat-cepat mendakwa desas-desus kemelut dalaman itu angkara “permainan media Umno-BN.”
“Isu yang digembar-gemburkan dalam media Umno-BN tidak menggugat seperti yang dipaparkan. Penyelesaian baik dicapai,” katanya.
“Alhamdulillah, saya dapat segera menghubungi Tan Sri Khalid sebaik kembali dari Madinah.
“Kemudian saya turut ngobrol (berbual) panjang dengan Yahya Sahri (semalam) sambil menikmati mee mamak tanpa teh tarik.”
Sementara itu, Angkatan Muda PKR Selangor enggan mengulas lanjut isu pemindahan wang kerajaan negeri ke dalam akaun parti tersebut.
petrol hike 30 cents 280206 khairul anuar ahmad zainudin”Perlu ada siasatan dijalankan, saya tidak oleh berbuat apa-apa kenyataan dalam masa siasatan tersebut,” kata ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (foto) kepada Malaysiakini.
Mengulas dakwaan kerajaan negeri membelakangkan ahli PKR dalam pentadbirannya, beliau yang turut hadir di mesyuarat malam ini berkata perkembangan itu “bagus” untuk partinya.
“PKR tidak pernah ada pengalaman memegang kuasa. Kes yang berlaku bagus (kepada kerajaan negeri) kerana ia adalah proses pembelajaran sama ada yang mempunyai kuasa, jawatan ataupun tidak,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat masih dalam proses membuat penyesuaian, maka tidak hairan timbul perkara- perkara yang tidak diingini.
Mengulas dakwaan Yahya bahawa beliau mempunyai 70 hingga 80 peratus pengaruh di peringkat bahagian dan ketegangan Yahya dengan Abdul Khalid sebagai simbol keretakan PKR negeri, Khairul Anuar berkata:
“Masalah dalaman parti, media bukan tempat berbincang untuk menyelesaikan masalah parti. Parti ada salurannya.”
Dalam perkembangan berkaitan, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) mencadangkan majlis hisbah (ombudsman) dibentuk bagi memastikan kerajaan negeri ditadbir secara bersih dan telus.
Pengerusinya Mohd Nazree Mohd Yunus juga berkata kerajaan Pakatan harus mencerminkan sikap berbeza dengan pentadbiran BN sebelumnya yang didakwa tidak menjalankan tadbir urus yang baik dan tidak telus.
Mengulas siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Yahya, beliau berkata:
“Kedudukan sebagai pegawai kanan bukan lesen untuk dikecualikan daripada tindakan dan hukuman sekiranya didapati bersalah.”
Gerak juga menggesa BPR menjalankan siasatan terhadap pemindahan wang kerajaan ke dalam akaun PKR.
nota: merujuk kepada petikan awal di laman ini mengenai isu MB Selangor , ternyata ada kebenaran di sebalik cakap-cakap mengenai krisis pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat. Akhbar harian utusan juga melaporkan bahawa Pemuda Pas Selangor kecewa dengan tindakan PKR memasukkan wang sumbangan sambutan 100hari pentadbiran Pakatan Rakyat di dalam akaun PKR. Menurut satu sumber dalaman yang penulis terima, lewat ini terdapat banyak ‘cakap-cakap’ dari orang kuat PKR iaitu DSAI dan YB Azmin Ali. Menurut sumber, ‘cakap-cakap’ ini sebenarnya ialah untuk salah satu cara untuk menutupi krisis politik Pakatan Rakyat di negeri Selangor. Perang saraf yang digunakan oleh DSAI merupakan satu-satunya cara terbaik bagi mengalih tumpuan khususnya rakyat Selangor mengenai krisis politik negeri Selangor.
Krisis politik di dalam pakatan rakyat bukan sahaj berlaku di negeri Selangor, malahan negeri Kedah juga mengalami fenomena yang hampir serupa. Walaupun negeri pimpinan PAS itu , krisisnya bukanlah membabitkan Menteri Besar mereka, tetapi ia lebih kepada urusan pentadbiran negeri yang dilihat akan memungkiri janji manifesto mereka. Isu keinginan menebang balak di hutan simpanan sebagai alasan untuk perbelanjaan pentadbiran negeri, ia jelas menunjukkan bahawa keikhlasan Pakatan Rakyat mentadbir negeri mereka sudah terhakis. Ini memberi jelas bahawa kerajaan negeri di bawah naungan Pakatan Rakyat tidak mempunyai kredibiliti kepimpinan yang dapat memacu negeri untuk terus maju berbanding kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional.