Ismail, Saifuddin nafi sertai PKR

KUALA LUMPUR: “Saya bukan gila hendak melompat ke parti yang tidak tentu hala,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri mengenai dakwaan bahawa beliau adalah antara empat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai Parti Keadilan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal, Ismail menegaskan, tidak ada sebarang sebab untuk beliau bertindak demikian.

“Saya kini menteri dalam Kabinet. Saya bukan terencat akal nak masuk parti yang entah apa-apa,” katanya ketika menafikan dakwaan dalam satu blog bahawa beliau akan berpaling tadah.

Selain Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saifudin Abdullah turut didakwa seorang lagi wakil rakyat BN yang akan melompat parti.

Dakwaan itu dibuat melalui satu artikel oleh penulis yang menggunakan nama Greeboc dalam satu blog hari ini.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Parlimen, Ismail berkata, beliau tidak berkawan rapat dengan mana-mana pemimpin PKR termasuk penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Ismail, beliau tidak faham mengapa namanya dikaitkan dengan isu itu sedangkan beliau seorang pemimpin yang berprofail tinggi.

“Saya bukannya seorang yang berkontroversi. Saya juga bukannya bercadang hendak bertanding apa-apa jawatan penting parti.

“Jadi saya tidak faham mengapa nama saya dikaitkan,” katanya sambil menambah, beliau mungkin mengambil tindakan terhadap penulis artikel itu sekiranya beliau dapat mengenal pasti identitinya.

Ismail, yang juga Ketua Umno Bahagian Bera berkata, artikel dalam blog itu sengaja ditulis untuk mengelirukan penyokong BN selain mengalih perhatian rakyat kepada tuduhan liwat yang dihadapi Anwar sekarang.

“Lepas pilihan raya lepas, PKR terutamanya Anwar tak habis-habis dengan pengumuman ada orang (BN) keluar, lompat parti tapi sampai sekarang ia tak berlaku,” katanya.

Saifudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh juga menafikan dakwaan itu sambil berkata, kesetiaan beliau kepada Umno dan BN tidak berbelah bagi.

Katanya, sebagai ahli Umno sepanjang hayat, tidak pernah terlintas di hati beliau untuk menyertai parti lain.

“Saya yakin rakyat terutamanya pengundi-pengundi saya di Temerloh tidak akan percaya kepada spekulasi itu kerana mereka kenal yang saya seorang ahli Umno yang setia sejak dari dahulu lagi.

“Saya dipilih menjadi ahli Parlimen Temerloh atas tiket Umno dan BN kerana itu saya tidak akan menghampakan harapan dan kepercayaan oleh pengundipengundi saya.

“Saya dipilih menjadi Timbalan Menteri pun atas tiket Umno dan BN, dan saya tidak akan menghampakan kepercayaan yang Perdana Menteri telah berikan kepada saya,” katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan dalam artikel itu bahawa beliau telah mengadakan pertemuan sulit dengan Anwar ketika berada di luar negara baru-baru ini.

“Lebih 10 tahun saya tidak bertemu Anwar. Saya juga telah lama tidak  keluar negara,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis artikel itu kerana menghormati hak sesiapa sahaja untuk menyatakan pandangan masing-masing.

Apa yang dimuatkan di dalam artikel itu, katanya, hanyalah spekulasi politik dan ia tidak mengandungi ungkapan yang memburuk-burukkan beliau secara peribadi.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s