Daily Archives: July 8, 2008

Ezam kepada BN: Usah bimbang bayang-bayang politik baru Anwar, Pakatan

sumber mstar

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN), selepas menyaksikan prestasi pilihan raya umum yang paling buruk dalam sejarahnya pada 8 Mac lalu, tidak harus bimbang dengan caturan politik baru Pakatan Rakyat, yang digerakkan oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya BN harus kembali kepada asas asal dan mengekalkan formula sejarah penubuhannya yang diamalkan sejak lima dekad lalu, kata Mohamad Ezam Mohd. Nor.

Ezam, yang kembali ke pangkuan Umno – parti dominan BN pada Mei lalu memberitahu, asas bagi masa depan BN dan kesemua 14 parti komponennya ialah kembali kepada amalan prinsip dan nilai bersama yang diamalkan dan diguna pakai sejak awal 1950-an.

“Ada banyak cadangan mengenai penjenamaan semula BN dan sebagainya. Berdasarkan pengalaman saya, formula BN (semasa) adalah yang terbaik. Cara kita mengendalikan politik, mempunyai entiti berasingan bagi pelbagai kaum yang berlainan, perkongsian kuasa… itu adalah yang terbaik,” kata beliau dalam temu bual khas dengan mStar Online dan The Star di sini.

“Saya ingin menekankan kita perlu memahami dan mengamalkan nilai dan prinsip yang digunakan oleh pengasas-pengasas yang kemudiannya muncul dengan gerakan politik dan pakatan politik dalam bentuk Perikatan dan BN,” katanya.

Perikatan yang awalnya dianggotai Umno, MCA dan MIC diubah nama sebagai BN selepas pilihan raya umum 1969 – tahun yang ia turut menyaksikan prestasi kurang memberangsangkan Perikatan yang ketika itu diketuai Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu, BN bukan sahaja kehilangan lima negeri malah terlepas penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Kata Ezam, keadaan BN semasa berpunca daripada tindakan dalaman yang telah menghakis prinsip asas diketengahkan oleh pengasas-pengasas BN termasuk Tunku Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Cheng Lok dan mendiang Tun V.T. Sambanthan.

“Kita telah berkongsi negara, politik secara bersama, tahap toleransi yang cukup tinggi di kalangan mereka, sifat-sifat sebagai pemimpin politik (di kalangan pengasas) yang cukup tinggi… mereka (pengasas-pengasas) bukan merupakan pemidato tersohor, mereka orang biasa.

“Tetapi mempunyai sifat-sifat ahli politik yang cukup tinggi… bermakna mereka meletakkan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi, ini antara ciri yang paling penting di kalangan pengasas, aspek-aspek yang penting BN,” kata beliau dan menambah:

“Maaf untuk mengatakan sejak beberapa tahun yang lalu, aspek-aspek asas ini sudah hilang.”
# Ezam: ‘Ada anggap saya harapan, juga anggap saya ancaman’
# Gejala rasuah negara, Anwar sama-sama bertanggungjawab – Ezam
# Ezam ada pendedahan baru jatuhkan Pakatan Rakyat?

Ahli-ahli politik mula angkuh, sudah tiada sifat sebagai pemimpin politik, tidak berintegriti, amalan kesederhanaan mula terhakis dan gaya hidup mewah keterlaluan di kalangan pemimpin selain mengetepikan kejujuran.

Tambah Ezam: “Saya tidak melihat ini (nilai-nilai positif) dalam politik baru di Malaysia, yang mula dijenamakan oleh Anwar dan kumpulannya.”

“Mereka cuba mempromosikan politik pelbagai kaum. Jika anda benar-benar mengkaji, politik pelbagai kaum telah dimulakan oleh pengasas (BN) dan mereka berupaya untuk melakukannya.

“Ia adalah asas terbaik bagi BN. Ia adalah terbaik bagi masyarakat pelbagai kaum.

“Dan, kumpulan Anwar datang dengan idea politik baru dan saya dapat melihat pemimpin BN pula mula menjurus ke arah permainan mereka, dan melakukan penjenamaan semula,” katanya.

Kata Ezam, beliau tidak menentang proses penjenaaam semula tetapi menentang sebarang usaha untuk menghakis prinsip dan idea pengasas-pengasas BN selama ini.

“Mana-mana negara yang mantap ketamadunan, mereka akan memegang kukuh pada asas-asas pengasas negara. Tetapi saya merasakan ia sangat kurang di negara ini,” ujarnya.

Jelas Ezam, perubahan yang menghakis nilai-nilai teras pengasas negara terhakis sejak era pascapetroleum di negara ini.

“Anda boleh melihat perubahan itu… mungkin disebabkan wang petrol, pembangunan ekonomi, kita mendapati beberapa ramuan penting khususnya soal integriti telah diabaikan,” kata beliau.

nota: Penulis berpeluang bertemu dengan bekas orang kuat Anwar Ibrahim iaitu saudara Azwan Din Hamzah. Alhamdulillah, banyak perkara dikongsi terutama mengapa Ezam Keluar dari PKR. Penulis akan berkongsi dengan para pembaca sedikit masa lagi.

Advertisement

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ezam ada pendedahan lagi..

PETALING JAYA: Mohamad Ezam Mohd. Nor mungkin mengetengahkan pendedahan-pendedahan terbaru?

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini, yang kembali ke pangkuan Umno lima bulan lalu, tidak menolak kemungkinan ke arah itu -bakal mendedahkan lebih banyak kes salah guna dan rasuah membabitkan Pakatan Rakyat.

Kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS diberi nama Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Kata Ezam, beliau mempunyai beberapa kes untuk diumumkan tetapi ia akan dilakukan secara teratur sebaik sahaja mendapat bukti-bukti yang kukuh.

“Saya seorang yang serius dengan fakta (bukti). Ya (akan didedahkan), bergantung pada bukti, kita akan mendedahkannya,” kata beliau dalam temu bual khas di sini hari ini.

Selepas kembali Umno, baru-baru ini Ezam mendakwa PKR Selangor telah menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan lambang Pejabat Menteri Besar pada kepala surat untuk mendapatkan sumbangan daripada syarikat swasta bagi meraikan sambutan 100 hari pentadbiran kerajaan campuran negeri itu.

Sebahagian sumbangan itu kemudian disalurkan ke dalam akaun PKR.

Malah penghujung bulan lalu beliau juga mendedahkan pelantikan adik Anwar Ibrahim, Rusli sebagai penasihat syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Ezam memberitahu, pendedahan buat peringkat ini akan ditumpukan ke atas Selangor semata-mata.
Ketika ditanya sejauh mana Pakatan Rakyat akan dapat bertahan, Ezam berkata, beliau bukan tukang meramal nasib dalam soal itu tetapi mengambil kira perkembangan semasa adalah “sukar bagi Pakatan Rakyat” untuk bertahan.

Kata beliau, kedudukan Pakatan Rakyat juga kemungkinan menjadi tanda tanya selepas tarikh sasaran 16 September yang ditetapkan oleh Anwar untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Beliau juga tidak yakin bahawa Anwar dan Pakatan Rakyat akan mencapai sasaran tersebut.

Anwar kini berhadapan dengan isu dakwaan meliwat bekas pembantu khasnya.

Ketika ditanya apakah mesej yang akan disampaikan jika bertemu Anwar pada bila-bila masa mulai sekarang, Ezam memberitahu: “Saya akan minta beliau menjadi seorang negarawan, menjadi negarawan, dan memiliki sifat-sifat sebagai seorang negarawan.”

Kata beliau: “Kita memerlukan seorang pemimpin yang kuat, seorang pemimpin Melayu yang berpengaruh untuk negara ini.”

Justeru, tambah Ezam, beliau tidak akan meluangkan masa dan tenaganya untuk mempromosikan Anwar sebagai pemimpin negara ini.

Baru-baru ini beliau menyifatkan Anwar tidak berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Mengenai isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula, Ezam memberitahu, Presiden PKR itu tidak relevan dalam soal kepercayaan kepimpinan.

“Teras ini berkaitan dengan Keadilan dan Anwar Ibrahim,” katanya lagi.

Ezam berkhidmat dengan Anwar sejak 1991 dan dilantik sebagai Setiausaha Politiknya lima tahun kemudian.

Beliau dipecat daripada Umno pada 1998 bersama Anwar.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda