Daily Archives: July 12, 2008

Tiada Perjanjian Pangkor II

dari utusan

Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menafikan beliau telah menandatangani apa yang didakwa sebagai ‘Perjanjian Pangkor II’ dengan DAP yang antara isi kandungannya melarang menteri besar menyebut negeri Perak diperintah oleh lslam.

Ketika membuat penafian itu pada satu sidang akhbar khas di pejabatnya di sini, Mohammad Nizar menyifatkan dakwaan itu sebagai satu tohmahan yang tidak berasas sama sekali.

“Saya boleh katakan setiap kali dalam mesyuarat exco (kerajaan negeri), mana-mana isu berkenaan pentadbiran Islam memang tidak pernah dikomen oleh DAP atau Parti Keadilan Rakyat.

“Bahkan kami telah membuat persetujuan bahawa seluruh ahli dewan undangan negeri dan seluruh ahli mesyuarat negeri (exco) berpegang kepada peruntukan-peruntukan yang ada dalam perlembagaan negara berkenaan dengan keistimewaan hak- hak agama Islam sebagai agama rasmi. Kita juga berpegang kepada kedudukan Islam dalam Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri,” katanya.

Mohammad Nizar mengulas laporan akhbar Ahad lepas yang memetik abangnya, Fadhil Jamaluddin, sebagai berkata bahawa beliau tidak layak menjadi menteri besar kerana telah menandatangani Perjanjian Pangkor II dengan DAP yang kononnya turut melarang menteri besar daripada menyebut mana-mana terma yang berkaitan dengan PAS atau bahasa Arab seperti Hudud, Qisas dan lain-lain.

Beliau berkata, sesiapa yang mempercayai dakwaan itu adalah mereka yang tidak mempunyai maklumat dan berfikiran singkat.

Mohammad Nizar berkata abangnya itu berkemungkinan telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya tidak menyalahkan abang saya. Sebagai adik saya tetap menghormati beliau,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan menambah bilangan ahli majlis mesyuarat pihak berkuasa tempatan kaum India daripada 48 orang kepada 60 orang seperti yang diminta oleh Hindraf dalam memorandum yang diserahkan semalam kepada pejabat Menteri Besar, Mohammad Nizar berkata, buat masa ini tiada penambahan ahli akan dibuat kerana tempat untuk ahli majlis adalah terhad dan penambahan ahli harus menggunakan wang kerajaan negeri.

“Prestasi ahli majlis yang ada sekarang akan dinilai dalam masa enam bulan hingga hujung tahun ini dan ahli majlis yang tidak menunjukkan pencapaian memuaskan akan diganti oleh ahli dari mana-mana golongan yang layak tanpa mengira kaum,” katanya

nota: Persoalannya…pernahkah isu berkenaan pentadbiran Islam dibincangkan di dalam mesyuarat EXCO?? sekiranya tidak pernah sudah tentu DAP tidak akan membuat sebarang komen.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda