Daily Archives: July 15, 2008

Datuk Ahmad Basri Akil meninggal dunia

sumber utusan

Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Basri Akil, 68, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star hari ini.

Beliau dipercayai mengalami serangan jantung kira-kira 2.30 petang di Istana Anak Bukit ketika mahu menghadiri majlis pelancaran setem kenang-kenangan sempena sambutan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah.

nota: Takziah diucapkan kepada keluarga Datuk Ahmad Basri. Pemergian orang kuat pasukan bola sepak Kedah dan KFA ini pasti dirasai oleh seluruh peminat bola sepak Kedah. Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang beriman. Al Fatihah.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PKR kecewa debat Anwar-Shabery

PKR melahirkan kekecewaan berhubung perubahan saat-saat akhir program debat isu kenaikan harga minyak antara penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menteri penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek malam ini.

Debat yang asalnya dijadual sepanjang 90 minit kini dikurangkan kepada sejam, termasuk lapan minit iklan, kata ketua penerangannya Tian Chua.

Beliau juga kecewa dengan keputusan menukar saluran televisyen kepada TV9, asalnya TV3, yang belum mempunyai liputan menyeluruh.

Bernama TV dan Astro Awani akan turut menyiarkan siaran langsung debat “Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak” mulai jam 9 malam ini.

“Apa yang mengecewakan lagi ialah, disebabkan oleh pertukaran stesen penyiaran dari stesen kerajaan kepada stesen swasta, masa penyiaran telah dikurangkan dari satu jam setengah kepada 52 minit ditambah dengan 8 minit iklan,” kata Tian dalam satu kenyataan.

“Pertukaran stesen penyiaran dan pengurangan masa siaran jelas adalah untuk menyekat orang awam daripada mengikuti perdebatan yang jarang ini bagi mendengar penjelasan Anwar Ibrahim berhubung dengan isu harga minyak.

“Tindakan ini timbul tidak lain daripada rasa takut BN untuk berhadapan dengan Anwar dalam isu yang menjadi perhatian semua rakyat.”

Bagaimanapun, tambahnya, Anwar akan tetap menghadiri program debat tersebut anjuran Agendadaily.com yang diadakan di bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.

sumber malaysiakini

nota: pihak pkr harus memahami mengapa masa debat dipendekkan ke 60 minit daripada rancangan asal selama 90minit. Kemunculan program debat ini pada masa puncak siaran sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan pihak penyiaran akibat pembatalan waktu-waktu pengiklanan yang terpaksa diubah demi memberi laluan kepada siaran langsung debat khas ini. Tempoh 8 minit iklan ini juga merupakan salah satu cara untuk ruang bagi ‘menarik nafas’ bagi panelis yang akan terlibat pada malam ini disebabkan debat ini pastinya sesuatu yang akan ditontoni jutaan rakyat Malaysia.

94 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Dr M: Muhyiddin mampu tewaskan Najib

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menewaskan Datuk Seri Najib Tun Razak jika beliau bertanding jawatan timbalan presiden Umno dalam pemilihan parti yang akan datang.

Beliau berkata, Najib tidak akan dapat menjadi perdana menteri kerana beliau seorang pemimpin yang lemah dan tidak ada pendirian tetap.

muhyiddin yassin and najib and umnoNajib adalah timbalan perdana menteri dan juga timbalan presiden Umno. Beliau menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti yang lalu.

Sebaliknya, Dr Mahathir meramalkan Muhyiddin lebih mudah diterima oleh ahli-ahli Umno yang menyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mereka yang tidak menyokong presiden parti sekarang.

“Orang-orang ini yang menentukan siapa yang menang dalam pilihanraya, berbanding dalam pemilihan Umno kerana (ia) boleh dimanipulasi dngan pemberian wang ringgit dan pemberian lain,”katanya.

“Saya rasa Tan Sri Muhyiddin patut diberi peluang bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti yang akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di ibunegara pagi ini.

“Saya tidak kata saya menyokong Tan Sri Muhyiddin, tetapi saya menyokong sesiapa sahaja kerana saya bukan lagi ahli Umno.

Perlu pencalonan

“Jika Tan Sri Muhyiddin melawan Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddn akan menang, Najib akan kalah…,” tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, jika muhuiddin menang timbalan presiden Umno, beliau sepatutnya dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Katanya, semasa Tun Musa Hitam meletak jawatan, beliau memberi jawatan timbalan perdana menteri kepada Tun ghafar Baba, setelah beliau menang dalam pertandingan umno.

Muhyiddin merupakan naib presiden Umno yang terkanan dari segi lama memegang jawatan tersebut. Seorang lagi ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Manakala kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dibatalkan selepas didapati bersalah terbabit dalam politik wang.

Untuk layak bertanding jawatan timbalan presiden, Muhyiddin perlu mendapatkan 20 peratus atau 38 pencalonan daripada 191 bahagian Umno yang akan mula bermesyuarat pada 9 Oktober depan.

Usul tidak percaya

Pada 10 Julai lalu,Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan menyerah kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak pada Jun atau pertengahan tahun 2010.

Beliau juga mengumumkan akan bertanding mempertahankan jawatan presiden parti dalam pemilihan Umno pada 16 Disember depan.

Ketika ditanya mengenai usul tidak percaya Pakatan Rakyat terhadap kerajaan Abdullah, Dr Mahathir berkata, ia patut benarkan kerana BN tahu parti lawan tidak cukup wakil rakyat.

“(Tetapi) itupun BN tidak berani, mengapa takut sangat,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kemasukan parti kaum India, selain MIC ke dalam BN, tidak berjaya kerana presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menentang kemasukan mereka.

Beliau berkata, dalam BN kemasukan parti baru adalah mustahil jika tidak mendapat persetujuan penuh dari komponennnya.

“Samy Vellu menentang parti kaum India lain masuk BN kerana dia hendak menjadi wakil kepada kaum India,” kata Dr Mahathir.

sumber malaysiakini

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Transkrip Penuh Pak Lah Mengenai Peralihan Kuasa

S:Kelmarin, Datuk Seri mengumumkan tarikh peralihan kuasa akan diadakan pada tahun 2010. Kenapa Datuk Seri memilih 2010 sebagai tarikh peralihan kuasa dan bukan tahun-tahun lain?

J:Itu adalah tahun penamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Tahun 2010 itu juga saya berharap tahun kejayaan menghapuskan kemiskinan tegar.

S:Ada yang kata tempoh dua tahun itu terlalu lama dan ada juga dalam masa yang sama berkata tak cukup untuk Pak Lah untuk menyelesaikan kerja-kerja yang hendak dilakukan?

J:Banyak yang perlu dikerjakan dan pembangunan perlu diteruskan dan kerja-kerja yang hendak saya laksanakan itu adalah kerja-kerja yang ada hubungkait dengan yang dijanjikan dalam manifesto, yang perlu saya laksanakan. Tambahan pula ada pembangunan Koridor (pembangunan wilayah) masih belum lagi dilaksanakan.

S:Jadi, pada 2010 itu Pak Lah merasakan waktu itu segala-galanya akan nampak hasil dan kejayaan?

J:Harapan saya ialah pada tahun 2010 banyak dah (kerja diselesaikan), dah pun bergerak dengan baik, itu harapan saya.

S:Dari segi kepuasan diri, adakah Datuk Seri merasakan pada 2010 segala apa yang dirancang, dibina dan dilaksanakan sudah menampakkan kejayaan dan ia satu tempoh yang mencukupi bagi semua itu?

J:Seperti saya katakan tadi, janji-janji kepada rakyat telah dibuat, janji di dalam manifesto dan antaranya ialah janji-janji yang dilihat sebagai janji saya (walaupun) manifestonya adalah manifesto Barisan Nasional. Saya rasa worth it untuk saya melaksanakannya.

S:Nampaknya dalam hati kecil Datuk Seri, masih ada rasa tanggungjawab untuk menyelesaikan kerja-kerja yang dimulakan dan janji yang dibuat.

J:Saya masih ada tanggungjawab pada waktu ini dan sebab dua tahun lamanya itu, memang saya akui memang tanggungjawab Perdana Menteri itu adalah tanggungjawab saya. Kuasa ada pada saya, dan saya perlu gunakan dengan sebaik-baiknya untuk menjayakan pembangunan dan lain-lain lagi.

S:Mungkin Pak Lah boleh jelaskan sekali lagi tentang tidak adanya sebarang tekanan luar sehingga keputusan ini dibuat.

J:Sebenarnya begini. Sayalah orang yang mula-mula sebut perkara ini iaitu pada satu pertemuan tertutup dengan pegawai-pegawai penerangan Umno dari seluruh negara. Saya sebut tentang proses peralihan kepimpinan parti sebagai proses biasa apabila tiba pemilihan parti. Seperti biasa, yang nak pergi pergilah, yang patah, patahlah tetapi yang ganti mesti ada. Inilah proses yang berlaku di dalam Umno yang dah lama, jadi, bila dah sebut yang lama itu, apa jadi pada kita? Ada yang kata you also dah berumur, dah lama, dah lama terlibat dalam parti pun, dah mula menjadi anggota parti sejak tahun 1965, mula aktif dalam pentadbiran pada 1978. Satu hari saya akan pergi juga dan saya juga mahukan proses peralihan itu berjalan dengan baik, daripada saya kepada pengganti saya. That was the one that makes the people talk (Itulah yang membuatkan orang mula bercakap).

S:Bolehkah Datuk Seri jelaskan kebaikan pelan peralihan kuasa yang diumumkan berbanding dengan jika ada pertandingan di peringkat tertinggi parti yang boleh menggugat kestabilan parti?

J:Lebih baik pada parti (jika tiada pertandingan). Orang yang bergaduh (bertanding) ni, bila lihat orang atas berkelahi, semua habis terlibat daripada cawangan sampai ke bahagian. Ini menyusahkan, dengan orang bawa macam-macam teori, pandangan.

S:Jadi, pelan peralihan kuasa yang diumumkan adalah bagi mengekalkan tradisi yang sedia ada di dalam Umno?

J:Tradisinya ialah supaya peralihan itu berjalan dengan baik, jika peralihan itu berjalan dengan baik, kita perlu rancang.

S:Apa signifikannya Pak Lah umumkan pada waktu ini apabila menjelang hanya sehari dua sebelum bermula mesyuarat Umno di peringkat cawangan.

J:Jika nak buat pengumuman, lebih baik dibuat sebelum bermulanya pemilihan di peringkat cawangan. Let’s the people get settled first (Biarkan mereka bertenang dahulu). Sebelum pemilihan cawangan, buat siap-siap, supaya semua orang tahu awal-awal, jadi inilah keadaannya. Bila ada pertandingan, yang menang tak rasa selesa, yang kalah lagi rasa tak selesa. Kita mahu pastikan pemilihan dalam parti berjalan lancar.

S:Adakah Pak Lah yakin ahli parti di semua peringkat dapat menghayati niat baik Pak Lah itu atau menghormati apa yang diputuskan oleh Pak Lah?

J:Ramai yang telahpun menunjukkan bahawa mereka puas hati.

S:Bila sebenarnya Datuk Seri buat keputusan tentang peralihan kuasa itu?

J:Bila tarikh pemilihan mesyuarat cawangan dah nak bermula, pada masa itulah pada saya ia perlu dipercepatkan.

S:Ada yang menganggap proses peralihan kuasa itu hanya satu strategi Datuk Seri untuk memberi masa memperkukuhkan kedudukan Datuk Seri sendiri?

J:Memang dah nak retire (bersara), yang pentingnya kita buat kerja. Dalam period (tempoh) ini pun, saya buat kerja, Datuk Seri Najib pun buat kerja. Dan jika kerja-kerja yang dilaksanakan bakal membuahkan hasil yang dapat dinikmati oleh rakyat yang bakal diterima baik oleh rakyat. Dengan itu, ia juga membantu menguatkan lagi parti untuk mendapat sokongan rakyat.

S:Adakah Datuk Seri Najib akan diberi peranan yang lebih dari sekarang sehingga 2010?

J:Adalah peranan-peranan yang saya akan bagi kepada dia. Saya juga perlu melakukan lebih lagi. Dalam kombinasi presiden dan timbalan, ia tentang membantu untuk memperkukuhkan parti. Ia mengenai pelaksanaan banyak perkara yang kami ingin lakukan. Kami juga perlu memperoleh sokongan daripada rakyat. Kita akan membuat kerja untuk menguntungkan mereka.

S:Adakah kemungkinan Pak Lah akan melanjutkan tempoh sebagai Perdana Menteri (selepas 2010) sekiranya sesuatu berlaku seperti krisis ekonomi atau perkara lain?

J:Saya sama sekali tidak akan berbuat demikian. Saya tidak akan pergi kepada Najib dan berkata kepadanya “Mereka sukakan saya sekarang, bolehkah anda benarkan saya teruskan untuk setahun lagi?” Kalau ada apa yang berlaku (seperti krisis ekonomi), dia yang selesaikanlah. Kalau (ada apa yang) berlaku (pada ketika itu) dan bila tiba masanya untuk saya pergi, saya akan pergi. Paling buruk, beliau perlu menanganinya. Dan dengan sesiapa sahaja yang beliau pilih untuk menjadi gandingannya.

S:Siapakah tokoh-tokoh dalam dalam UMNO yang layak untuk menjadi Timbalan Presiden yang baru kemudian?

J:Saya tidak mahu menyebut nama sesiapa. Ada beberapa orang yang akan menjadi calon yang baik.

S:Pak Lah mahu dikenang sebagai apa?

J:Tak payahlah. Saya tidak tahu. Terpulang kepada orang ramai untuk menilai. (Masih terlalu awal dan saya masih Perdana Menteri) dan dalam masa dua tahun akan datang kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Secara jujur, I tak pernah fikir. Saya mahu bersara dengan rasa puas bahawa saya telah melakukan sesuatu.

S:Ada orang kata Pak Lah akan dikenang sebagai orang yang membawa negara ke tahap lebih demokratik?

J:Satu-satunya perkara perkara yang saya boleh beritahu anda ialah pandangan popular yang saya telah dengar.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Presiden PAS stabil di IJN

Keadaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) petang semalam akibat mengalami lemah jantung, kini dilaporkan stabil.

Menurut Setiausaha Akhbarnya Roslan Shahir, laporan kesihatan Abdul Hadi hari ini menunjukkan keadaan beliau bertambah baik dan tidak membimbangkan.

“Kesihatannya tidak lagi berada pada tahap yang membimbangkan. Beliau sudah minta daripada doktor untuk keluar (dari IJN) dan balik ke Terengganu tetapi doktor belum lagi beri keputusan berhubung perkara itu.

“Dalam tempoh dua hari lagi mungkin beliau dapat balik semula ke Terengganu dan akan dirujuk ke Hospital Besar Kuala Terengganu jika perlu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Roslan berkata jadual kerja yang padat adalah antara punca Abdul Hadi dimasukkan ke IJN.

Presiden PAS itu dimasukkan ke IJN pada kira-kira pukul 2 petang semalam selepas beliau mengadu kurang sihat ketika mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Pusat di Ibu Pejabat parti itu di Jalan Raja Laut di sini.

Pada malam Sabtu lepas Abdul Hadi berceramah di Alor Setar, Kedah sebelum berlepas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kritikan Hadi pada Anwar, DAP

Pemuda PAS menyifatkan pandangan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam wawancara minggu lepas sebagai isyarat kritikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua lagi parti dalam Pakatan Rakyat “agar tidak menimbulkan masalah” kepada PAS.

“Kita bersetuju dengan kenyataan presiden PAS dan ia juga sebagai satu isyarat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga PKR dan DAP agar tidak sekadar meraih populariti bukan Islam yang akhirnya akan merugikan orang Islam itu sendiri.

“Jangan buat sesuatu yang yang menimbulkan masalah kepada PAS (sebagai parti Pakatan Rakyat) dari luar dan dalam,” kata satu sumber yang dekat dengan Dewan Pemuda.

Kata sumber, insiden-insiden yang boleh meresahkan PAS termasuklah keengganan wakil rakyat DAP memakai songkok dalam persidangan Dewan Undangan negeri Johor dan perbincangan berhubung soal kebebasan dan hak istimewa orang Melayu dan Dasar Ekonomi Baru.

“Jangan tumpu sangat (pada isu-isu itu), nanti orang Melayu marah,” kata sumber.

Menurutnya, beliau tidak mahu hubungan PAS dan Pakatan Rakyat menjadi renggang.

Sumber itu menambah, berharap agar Pakatan Rakyat sama-sama menghormati antara satu dengan lain berhubung dasar masing-masing.

“Dalam soal Melayu dan Islam, kita (PAS) tidak kompromi. Kita bela habis-habisan,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau bimbang dengan perkembangan dalam parti PAS sendiri kerana mulai wujud suara-suara memprotes bentuk kerjasama dalam Pakatan, misalnya isu konsert Mas Idayu dan Ella dan kontroversi kumpulan punck rock Carburetor Dung di stadium Kelana Jaya, minggu lalu.

“Ahli-ahli PAS melihat PAS tidak tegas dalam soal Melayu Islam. Kalau PAS tak tegas, orang lain tambah lagi,” kata sumber tersebut.

Beliau berkata demikian setelah melihat adanya suara-suara kelompok yang dianggap beraliran konservatif yang mencari alasan untuk mendapat ruang dan menguasai parti daripada perkembangan terbaru dalam pembangkang.

Katanya, penguasaan kelompok ini akan menyukarkan kelompok yang digelar “pro-engagement” terutama sekali dalam Dewan Pemuda yang dilihat lebih terbuka.

“Kita tidak mahu kelompok konservatif (sebahagiannya dalam Dewan Ulama)  mendapat balik sokongan ahli-ahli PAS,” tambah sumber itu lagi.

Menurutnya, beliau difahamkan ada ura-ura untuk memperkasakan Dewan Ulama dan ia akan dibincangkan dalam muktamar PAS bulan depan.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS juga menafikan adanya perundingan antara parti dengan Umno bagi menyertai BN demi membela dan mengukuhkan orang Melayu.

Ketegasan dewan tersebut, yang diketuai Salahuddin Ayub, dinyatakan dalam mesyuarat mereka pada Sabtu lalu.

Menurut sumber, Pemuda PAS tetap komited dengan pendirian berada dalam Pakatan Rakyat dan menentang sebarang usaha pimpinan PAS untuk bergabung dengan Umno.

“Kita berasal kesal dengan rakan-rakan dalam PKR yang menganggap PAS tidak boleh dipercayai. Kita sudah lama bertanding dan tidak semudah itu untuk kita bekerjasama dengan Umno,” kata sumber.

Katanya barisan anggota exco dewan itu sepakat menolak bekerjasama dengan Umno.

“Ahli PAS tidak dapat menerima jika PAS bekerjasama dengan Umno,” kata sumber.  – malaysiakini

14 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Risikan buktikan rancangan pembangkang

Pihak polis mempunyai maklumat risikan lengkap mengenai cubaan pakatan pembangkang mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Parlimen pagi ini sehingga memaksa pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan raya yang menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, maklumat itu diperoleh daripada ceramah pakatan pembangkang, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada pemimpin peringkat bahagian.

”Kita tidak boleh kompromi dan hanya mengambil sikap menunggu kejadian berlaku sebelum ambil tindakan. Kita juga tidak memandang ringan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa dia akan menggunakan kuasa rakyat jika tidak berjaya membawa undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

”Polis terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan ketenteraman awam berikutan terdapat maklumat risikan bahawa demonstrasi ini juga akan melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Tenaganita dan Majlis Peguam,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di bangunan Parlimen hari ini.

Syed Hamid mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini yang menuduh kerajaan cuba menjadikan kawasan Parlimen sebagai ‘medan perang’ apabila menempatkan 600 anggota polis dan memasang kawat berduri di sekitarnya.

Wan Azizah yang menafikan pakatan pembangkang bercadang mengadakan demonstrasi hari ini mendakwa tindakan polis itu berpunca kerana Anwar sebelum ini ada membuat kenyataan untuk hadir ke Parlimen bagi mendengar perbahasan.

Kawalan ketat polis pagi ini menyebabkan hanya ahli Parlimen dan pegawai kerajaan dibenarkan masuk manakala kira-kira 20 wartawan yang ditugaskan membuat liputan persidangan turut dihalang dan hanya dibenarkan masuk satu jam kemudian dengan syarat meninggalkan kenderaan dua kilometer dari Parlimen.

nota: penulis yakin dengan kebenaran risikan yang dilakukan oleh pihak polis. risikan seperti ini tidak harus dinilai dari sudut politik. penilaian dari segi politik terhadap segala risikan polis mahupun pihak tentera sudah tentu mengundang penafian dari pihak yang terbabit. sebagai contoh Pakatan rakyat menafikan pembabitan mereka di dalam merancang untuk mengadakan perhimpunan haram di Parlimen semalam.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pak Lah terima baik cadangan berbincang dengan PAS

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima baik cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berbincang dengan Umno mengenai isu-isu yang berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

Perdana Menteri berkata Umno sedia untuk berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan yang berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan.

“Jika ada persefahaman, maka kuranglah satu masalah yang melibatkan orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan mengenai golongan miskin dan berpendapatan rendah di bandar, di sini hari ini.

Namun, katanya, Abdullah apa sahaja yang perlu dilakukan untuk kebaikan orang Melayu juga perlu mengambil kira kebaikan rakyat keturunan lain.

Dalam satu temubual dengan akhbar PAS, Harakah, baru-baru ini, Hadi mengakui bahawa terdapat individu PAS mengadakan perbincangan dengan individu Umno bagi menerokai kerjasama.

Mengenai tindakan polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di ibu negara, Perdana Menteri berkata pasukan keselamatan hanya menjalankan tugas, terutamanya untuk mengurangkan gangguan kepada lalu lintas akibat tunjuk perasaan  anti kerajaan.

“Kumpulan yang mahu mengadakan tunjuk perasaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Polis cuba menyekat kekacauan,” katanya.

Abdullah berkata demonstrasi sebegitu tidak seharusnya berlaku dalam bandar raya kerana ia menjejaskan perniagaan dan aktiviti harian orang ramai.

“Pekedai mahu berniaga dan mereka mempunyai hak terhadap jaminan tidak ada kekacauan. Oleh itu, polis mengambil langkah memastikan kekacauan jalanan tidak berlaku.

“Pada masa yang sama, penunjuk perasaan kata mereka tidak sepatutnya dihalang. Namun, polis bertanggungjawab memastikan tidak ada kekacauan,” katanya.

Abdullah berkata perhimpunan seperti itu sepatutnya diadakan di stadium supaya tidak berlaku gangguan kepada orang ramai.  – mstar

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Debat Khas: Datuk Ahmad Shahbery Cheek vs Datuk Seri Anwar Ibrahim

Tarikh: 15 Julai 2008

Tempa: Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka,Kuala Lumpur

Jam: 9 malam (siaran langsung di TV9 @astro #119

Tajuk : Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak!

Anjuran: Agendadaily

Selamat berdebat kepada kedua-dua panel dan amat diharapkan supaya panelis-panelis tidak menyalahgunakan platform debat ini. Gunakanlah platform debat ini yang bakal disaksikan oleh jutaan penonton sebaiknya dengan berhujah mengenai tajuk yang telah ditetapkan. Jangan menggunakan platform ini untuk ‘mempromosikan’ ideologi politik parti masing-masing seperti yang terjadi pada debat khas terdahulu mengenai kenaikan harga petrol.

23 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda