Daily Archives: July 21, 2008

PAS akui bertemu dengan Pak Lah

berita dari harakahdaily

PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menterti yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu. <!–

–>

Perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam,YB Hj Abd Khalid Samad.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia. – mr/mks.

20 Julai 2008,
Presiden,
Parti Islam Se Malaysia (PAS).
_

walaubagaimanapun, masih ada pemikiran yang sempit datang dari Naib Presiden Pas sendiri yang mempunyai pandangan negatif terhadap kenyataan Pak Lah yang mengakui sudah bertemu lebih dari sekali dengan para pemimpin tertinggi PAS.

Kenyataan PM bertujuan pecahbelahkan PAS

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai perundingan dengan PAS bertujuan menabur benih perpecahan di dalam PAS yang mungkin mara mengambil alih tempat Umno pada masa depan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa. <!–

–>

Membidas kenyataan Perdana Menteri dalam sebuah akhbar harian hari ini, Exco kerajaan negeri Kelantan itu mengulangi penegasan bahawa PAS tidak mampu berpecah semata-mata untuk memenuhi impian Perdana Menteri mendapatkan ‘keldai’ korban yang boleh ditunggang, walaupun sementara.

Perdana Menteri hari ini menyatakan bahawa beliau telahpun tiga kali bertemu pemimpin PAS yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

“Pengumuman sebelah pihak oleh Abdullah tentunya ada motif tersirat. Jujurkah Abdullah bila beliau umumkan pemimpin ‘decision-makers’ PAS telah tiga kali menemui beliau?

“Atau beliau sedang memainkan PAS dengan satu strategi politik dengan umpan yang enak? Sekurang-kurang, dalam keadaan terlalu terdesak, beliau boleh mencapai matlamat politik jangka pendek,” katanya.

Presiden Umno itu, kata Husam, cuba menggambarkan gambaran positif terhadap dakwaan pertemuannya itu dengan menggunakan istilah -decision-makers’ – ‘pembuat keputusan’, walaupun dia tahu mana-mana pertubuhan, apatah lagi parti Islam seperti PAS, tidak dimiliki oleh mana-mana pemimpin, sebesar mana pun pemimpin itu.

“PAS sebagai jamaah Islam dikendalikan dengan kaedah dan etika harakah Islamiyyah yang tertentu, termasuk musyawarah,” tegas beliau.

Selain memecahbelahkan PAS, Husam menjangka, antara matlamat politik jangka pendek yang hendak dicapai Perdana Menteri dengan pengumumannya itu ialah mengukuhkan kedudukannya di dalam Umno di tengah pergolakan dalaman yang tidak menentu, menghilangkan keyakinan dalam Pakatan Rakyat dan menghalang Agenda Post Pilhanraya 2008 dan menjarakkan semula PAS dari sokongan masyarakat bukan Melayu, mungkin 40 tahun kebelakang semula.

“Mungkin Abdullah mendapat inspirasi umpan ‘Negara Islam’ yang dilemparkan oleh Dr. Mahathir selepas melihat kemaraan pembangkang dalam pilihanraya 1999 dan umpan itu menjadi sehingga pembangkang undur semula dalam pilihanraya 2004,” katanya.

Husam menegaskan bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sudah tentu tidak akan mengkesampingkan perpaduan ummat Islam dan tidak pula menjadikan perpaduan nasional agenda kedua selepas perpaduan Islam.

Perpaduan Islam, tegas beliau, dicapai dalam konteks perpaduan nasional yang semestinya diasaskan bukan di atas asas kaum semata-mata seperti dilakukan oleh Umno selama ini, tetapi di atas asas yang lebih kukuh seperti tiada diskriminasi kaum, tiada diskriminasi berdasarkan fahaman politik dan keadilan untuk semua.

“Perpaduan versi Umno sudah lusuh. Umno sesama Umno pun tidak dapat disatukan. Apatah lagi formula itu hendak digunakan bagi ummat Islam dan nasional,” tegas beliau.

Sambil menyifatkan Perdana Menteri sudah pun mencapai maksud yang diharapkan pada darjah yang tertentu yang belum parah, Husam mengingatkan tugas utama pemimpin PAS pada waktu ini ialah memastikan parti tidak berpecah, bahkan kekal bersatu.

“PASlah satu-satunya parti yang paling stabil, kukuh dan mantap buat masa ini. Jika jangkitan kuman Umno meresap dan memecahkan PAS, perkongsian kuasa dengan Umno hanyalah ulangan percantuman sementara era Barisan Nasional dulu yang berakhir PAS ditolak ke tepi selepas Umno mencapai kekuatan mereka semula,” kata beliau.

PAS juga, katanya, hendaklah memastikan kepercayaan dan harapan masyarakat bukan Islam terhadap PAS tidak dikhianati.

“Islam menekankan kepada kesetian terhadap janji,” tegas beliau.

Jika PAS mempunyai pandangan dan agenda yang berguna untuk kepentingan negara, agenda ini boleh dimaklumkan kepada rakyat secara terbuka dan tuntutan boleh dibuat untuk Umno menerima atau melaksanakannya, tanpa terikat dengan satu perkongsian kuasa yang akan meletakkan PAS selama-lamanya pemain kedua yang bertugas menyelamatkan Umno dengan faham sekularnya yang merosakkan itu, katanya.

“Berulang kali PAS memainkan peranan yang sama,” katanya lagi.

Tetapi itu tidak penting bagi Perdana Menteri, kata Husam, kerana dalam ketidaktentuan sebelum Disember ini, beliau memerlukan segala dahan yang ada untuk berpaut.

Pada waktu kepercayaan kepada kepimpinannya berada pada titik yang paling rendah, keupayaan pengurusan ekonomi yang hampir sifar, hala tuju negara yang amat kabur, keyakinan terhadap kemampuan membawa keharmonian pelbagai kaum yang amat rendah, kehilangan keyakinan terhadap institusi utama seperti kehakiman, polis dan jabatan Peguam Negara, Husam menyifatkan Perdana Menteri memang memerlukan PAS.

“Jawatan kerajaan yang mungkin ditawarkan oleh Abdullah kepada PAS tentulah bukan segala-galanya,” tegas beliau.

Advertisement

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

32 cawangan Umno Gua Musang calonkan Ku Li tanding Presiden

Sebanyak 32 cawangan Umno dalam Bbahagian Gua Musang yang mengadakan mesyuarat tahunan semalam, sebulat suara meluluskan usul mencalonkan Anggota Parlimen dan Ketua Umno bahagian itu, Tengku Razaleigh Hamzah, bertanding jawatan Presiden Umno Disember ini.
Cawangan yang bersidang itu membabitkan 17 cawangan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, sembilan cawangan dalam DUN Paloh dan enam cawangan dalam DUN Galas. Umno Bahagian Gua Musang mempunyai 116 cawangan.

Bagaimanapun, semua cawangan terbabit tidak mengusulkan sebarang nama bagi jawatan Timbalan Presiden Umno dan lain-lain jawatan kerana perkara itu terserah kepada anggota Umno di cawangan lain di seluruh negara.

Anggota Umno yang hadir pada mesyuarat tahunan cawangan-cawangan berkenaan juga mencalonkan supaya jawatan Ketua Umno bahagian dan Timbalan dikekalkan yang kini diterajui Tengku Razaleigh dan Mohamad Saufi Deraman manakala jawatan Naib Ketua dicalonkan, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Yusof Ab Ghani.

Sebelum ini, Naib Ketua disandang oleh Pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohamad Hamzah dan Ketua Penerangan Umno Bahagian itu juga kekal diterajui, ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Sementara itu, semasa berucap merasmikan Persidangan Tahunan Umno Cawangan Kijang Bahagia, di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Paloh Satu, semalam, Nozula mahu setiap anggota Umno menyokong usul untuk Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden Umno.

“Ini kerana kita mahu pemimpin dari Kelantan pula mengambil alih kepimpinan negara berikutan rakyat sudah hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya juga yakin, Ku Li yang menawarkan diri bertanding untuk merebut jawatan itu sudah mendapat restu ahli Umno peringkat akar umbi dan akan menempah sejarah kemenangannya nanti,” katanya.

Beliau juga mahu anggota Umno bertanding secara sihat bagi jawatan tertentu yang mungkin dipertandingkan dalam bahagian Gua Musang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Kita kena ada etika supaya dapat mematuhi semula garis panduan pertandingan itu dan selepas pada itu perlu bersatu kembali demi kekuatan parti untuk orang Melayu,” katanya.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pak Lah Sudah Jumpa Pemimpin PAS

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui hari ini bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin peringkat tertinggi PAS untuk membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan dengan keagamaan.

abdullah ahmad badawi pak lah 110907Beliau yang juga presiden Umno, juga mendedahkan bahawa sebenarnya pertemuan dengan PAS telah diadakan sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, kata beliau, pertemuan dengan pemimpin peringkat tinggi itu tidak disertai Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, demikian menurut laporan Bernama.

“Saya dah ada pertemuan sebenarnya, dan pertemuan ini pada peringkat awal. Tak perlulah saya bagi maklumat yang lain, nanti saudara buat spekulasi yang bukan-bukan.

“Nik Aziz tak ada, itu saya boleh katalah, yang lain tak boleh tanya….(pertemuan) pada peringkat orang yang boleh membuat keputusan,” katanya, seakan memberi gambaran bahawa antara yang terlibat dalam muzakarah itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdullah menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai muzakarah dengan PAS seperti yang dicadangkan oleh Abdul Hadi menerusi satu wawancara bersama Harakah, lidah rasmi parti itu, minggu lalu.

hadi awang 01Abdul Hadi menerusi wawancara itu menyatakan bahawa PAS berhak mengadakan rundingan bersama UMNO tanpa perlu merujuk dengan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang untuk menyampaikan mesej Islam.

Tiada syarat

Mengulas lanjut pertemuan berkenaan, Perdana Menteri berkata antara perkara yang menjadi topik perbincangan ialah kewujudan masalah yang pasti akan timbul sekiranya isu mengenai agama dipolitikkan.

“Kalau hal agama jadi isu politik, ia akan membawa kepada masalah di kalangan orang Islam, itu satu daripada tajuk-tajuknya, ada lagi tajuk yang lain, tak payahlah saya huraikan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri merasmikan sambutan Hari Koperasi Negara 2008.

Menjawab soalan sama ada Umno bakal mengenakan syarat-syarat tertentu untuk muzakarah berkenaan dan memikirkan kemungkinan untuk melantik pihak ketiga sebagai pengerusi seperti yang disyorkan oleh Nik Aziz, Abdullah berkata sebarang syarat hanya akan menyusahkan.

“Buat apa kita nak letak syarat, menyusahkan sahaja. Kita bincang dengan ikhlas. Apa juga pandangan-pandangan yang kita fikir wajar, kita bincang, kita bincanglah.

“Biarlah kita pada peringkat ini cakap pada peringkat kita sahaja, belum lagi memikirkan sama ada orang ketiga itu perlu atau tidak,” katanya.

Abdullah juga berkata, pertemuan itu berjaya melahirkan pemuafakatan dan persefahaman yang baik antara kedua-dua pihak. – malaysiakini

nota: Alhamdulillah, semoga muzakarah PAS-UMNO ini dapat memhasilkan satu hasrat iaitu memartabatkan lagi Islam di negara kita. Penulis amat bersetuju sekiranya muzakarah ini diadakan bukanlah hanya berkisarkan kepada politik tetapi skop muzakarah ini diperluaskan ke bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Ini disebabkan umat Islam terutamanya orang melayu itu sendiri tatkala ini sudah berpecah dan tidak bersatu. Penulis percaya ramai kawan-kawan PAS di dalam Pakatan Rakyat sudah tidak senang duduk dengan tindakan UMNO dan PAS utk mula berkompromi. Tidak mustahil PAS akan menjadi salah satu parti komponen BN dan meninggalkan Pakatan Rakyat yang semakin hari semakin meminggirkan kepentingan orang Melayu seterusnya secara tidak langsung meminggirkan kepentingan Islam yang dibawa oleh PAS.
Penulis juga menyeru sekiranya ada dikalangan pembaca yang menjadi ahli PKR supaya meninggalkan PKR dan seterusnya memilih UMNO atau PAS sebagai parti politik anda. Ideologi PKR yang ‘multi-racial’ berteraskan orang Melayu pada awal penubuhannya, kini sudah lupa dengan untuk memperjuangkan hak orang melayu. Ini adalah salah satu faktor kenapa ramai pemimpin tertinggi PKR telah meninggalkan parti tersebut sejurus keluarnya DSAI dari penjara. Ini kerana ideologi -multi-racial- parti bertunjangkan orang melayu mula terhakis sejak DSAI diangkat sebagai penasihat PKR.Lihatlah pada hari ini, apakah inisiatif kerajaan di bawah pimpinan PKR untuk orang Melayu Islam di Selangor???…..Bandingkanlah kelulusan RM100juta ladang babi, pembinaan rumah ibadat bukan islam tanpa had keluasan, dan penambahan dana utk agama bukan Islam dari RM3juta ke satu jumlah yang lebih besar dengan apa yang telah ditawarkan bagi umat Melayu Islam di Selangor?? Langsung tiada satu inisiatif pun di ambil kecuali insiden semasa majlis pecah tanah surau di desa mentari yang cuba dihalang oleh sekumpulan orang bukan Islam.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda