Daily Archives: July 24, 2008

Isu Liwat Anwar bukan Isu Dalaman – Polis Dunia

Dalam perkembangan yang kemungkinan menyinggung Malaysia sekali lagi, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleezza Rice hari ini menggesa Malaysia supaya bertindak telus dan mematuhi lunas undang-undang apabila mengendalikan tuduhan meliwat, yang kedua membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh 10 tahun.

“Amerika Syarikat telah lama bercakap (mengenai isu ini) dan akan terus bercakap mengenai kes-kes yang kami merasakan perlu disentuh dari segi kedudukan politik,” kata Rice yang berada di Singapura untuk menghadiri persidangan keselamatan serantau sempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN.

“Kami hendak melihat ketelusan dan undang-undang dipatuhi sepenuhnya di sini,” kata beliau hari ini.

Beliau yang dipetik AP menambah, AS sentiasa bercakap mengenai hak asasi manusia dan politik tetapi dilakukan dalam semangat menghormati Malaysia.

Dalam ulasannya itu Rice menolak pendirian tegas Malaysia bahawa kes Anwar adalah isu dalaman negara ini.

“Amerika Syarikat tidak menganggap ini sebagai hal ehwal dalaman apabila keadaan seperti ini muncul, tetapi kami akan terus bekerjasama dengan Malaysia,” katanya.

Ia merupakan respons Rice yang pertama sejak Malaysia mengemukakn nota bantahan kepada AS awal bulan ini ekoran campur tangannya dalam isu terbaru Anwar ini.

Pada 4 Julai lalu, Rais berkata,Kementerian Luar telah menghantar surat bantahan kepada Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Menurut Rais, surat yang dikeluarkan oleh Wisma Putra itu telah dihantar kepada Rice.

Surat tersebut dihantar bagi menyatakan rasa dukacita Kuala Lumpur berhubung kenyataan yang dibuat oleh jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey mengenai dakwaan liwat ke atas Anwar.

Kelmarin Anwar telah memberi taklimat kepada 38 orang duta asing berhubung dakwaannya bahawa kerajaan Malaysia mahu mengekang penglibatannya dalam politik.

Semalam laporan Bernama yang memetik Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, AS bersetuju dengan pandangan Malaysia berkenaan kedaulatan undang-undang.

“Sewaktu mesyuarat dengan Amerika Syarikat hari ini, Malaysia membangkitkan fakta bahawa kami mengiktiraf peranan Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia dan kami menghargai apa yang diberikan dari segi bantuan, dan apa yang bermakna kepada kebebasan, persamaan, demokrasi dan sebagainya.

“Bagaimanapun kami menekankan kepada kedaulatan undang-undang – sistem di setiap negara yang perlu dihormati. Ini kami nyatakan dengan jelas kepada Setiausaha Negara Amerika (Dr Condoleeza) Rice dan beliau memberi maklum balas dengan berkata itu adalah hak setiap negara dan demokrasi mestilah dilihat dilaksanakan berdasarkan hak sesebuah negara,” katanya.

nota: sudah tentu ramai penyokong DSAI bersorak gembira dengan desakan dan campur tangan dari polis dunia iaitu Amerika Syarikat dalam kes liwat Anwar. Inilah bakal menyaksikan pepatah menang sorak kampung tergadai bakal terjadi akibat sikap campur tangan Amerika. Mari berdoa agar negara kita ini dilindungi dari anasir luar yang sememangnya menunggu saat yang sesuai untuk ‘menyerang’ negara kita yang sememangnya aman dan tenteram ini. Janganlah disebabkan mempertahankan tabiat seseorang yang kononnya paling layak menjadi PM Malaysia, kita bergembira dengan perkhabaran yang Amerika mula bersuara berkenaan kes anwar. Tidak ada guna DSAI diselamatkan oleh pengaruh Amerika sekiranya jutaan rakyat Malaysia bakal ‘dikongkong’ dan dirantai oleh pihak Amerika kelak.

49 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Muzakarah tukar ke muqabalah

dari mstar

Empat hari selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan tiga pertemuan telah diadakan membabitkan beliau dan tiga pemimpin PAS sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu, pemimpin-pemimpin PAS petang ini sebulat suara menolak muzakarah antara Umno-PAS.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin kanan PAS yang bertemu di Kelantan petang ini mengesyorkan diadakan muqabalah sahaja – pertemuan bersemuka.

Perkembangan ini menandakan PAS menolak sebarang dialog kerjasama politik kedua-dua parti.

Majlis Tertinggi Umno akan mengadakan mesyuarat petang esok.

Sambil menegaskan PAS sememangnya berminat untuk mengadakan pertemuan dan bersemuka dengan pemimpin Umno bagi membincangkan mengenai masa depan umat Islam, pemimpin-pemimpin parti itu berkata, perbincangan yang disyorkan perlu diadakan secara bersemuka berbentuk “muqabalah” dan bukannya dalam bentuk perdebatan yang dinamakan muzakarah seperti diminta oleh Umno.

Justeru, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekarang beliau menutup fail berhubung syor “muzakarah” tetapi membuka konsep “muqabalah”.

“Apa yang saya dimaklumkan ialah pertemuan-pertemuan (sebelum ini) dengan Umno hanya diadakan atas dasar peribadi. Kesemua itu adalah benar dan ia dilakukan untuk memperkukuhkan Islam,” kata beliau kepada pemberita

Kata sepakat itu dicapai dalam satu pertemuan yang diadakan kira-kira tiga jam di kediaman Menteri Besar Kelantan itu di Kota Bharu.

“Saya mahukan muzakarah itu ditukarkan kepada muqabalah dalam membincangkan isu berkaitan umat Islam kerana ianya lebih sesuai,” kata Nik Abdul Aziz.

Pertemuan itu diadakan tiga hari selepas beliau menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan pertemuan bersifat muzakarah antara pemimpin Umno-PAS.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa turut hadir pada mesyuarat itu.

Nasharudin merupakan antara tiga pemimpin yang telah menemui Abdullah dalam tiga pertemuan lalu.

Abdul Hadi mengetuai rombongan empat wakil Majlis Syura menemui Nik Abdul Aziz bagi menerangkan isu muzakarah dan tiga pertemuan yang telah diadakan dengan Umno.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz melahirkan pandangan bahawa sebarang usaha untuk mengadakan muzakarah antara PAS dan Umno perlu dihentikan segera kerana jika ia diteruskan, parti berteraskan Islam itu bakal menghadapi perpecahan.

Beliau mendakwa muzakarah itu merupakan gimik Umno semata-mata untuk menjatuhkan PAS.

“Saya nak tanya kepada orang PAS sama ada nak jaga PAS atau Islam. Kalau nak jaga PAS, ini (muzakarah) bukan caranya dan jika nak jaga Islam juga bukan ini caranya kerana berkawan dengan Umno seperti menghancurkan Islam,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata jika muzakarah itu menjadi realiti, PAS akan menjadi seperti “kera sumbang” dan tidak lagi dipercayai oleh sekutunya daripada Pakatan Rakyat termasuk penyokong PAS sendiri.

Pada Ahad lalu, Perdana Menteri mendedahkan Umno telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan PAS bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.

Abdullah berkata, bagaimanapun pertemuan dengan pemimpin tertinggi PAS itu tidak disertai Nik Aziz.

Nik Abdul Aziz berkata, tidak timbul isu pertemuan PAS dan Umno akan membawa kepada penggabungan kedua-dua parti kerana pertemuan itu lebih berbentuk kerjasama demi satu matlamat dan turut menafikan isu muzakarah itu telah memecahbelahkan kepimpinan PAS.

Abdul Hadi yang dipetik Bernama pula berkata, muzakarah yang dinamakan oleh Umno lebih kepada bentuk perdebatan sedangkan apa yang dimahukan oleh Umno adalah muqabalah iaitu perbincangan untuk selesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata, PAS boleh menjalinkan kerjasama dengan Umno berdasarkan satu matlamat iaitu membincangkan masa depan Umat Islam di negara ini.

Kata beliau, adalah menjadi satu kewajipan agama bagi PAS untuk mengadakan perbincangan itu kerana PAS sememangnya parti yang memperjuangkan Islam demi kepentingan orang Islam dan bukan Islam.

Abdul Hadi menafikan bahawa pertemuan itu akan menyebabkan PAS menyertai Umno kerana PAS mampu memenuhi kehendak politik rakyat berdasarkan sokongan rakyat yang dicerminkan dalam pilihan raya umum lepas.

“Walaupun berbeza pendirian politik ia tidak akan menjadi halangan untuk PAS dan Umno duduk berbincang,” katanya.

Jelas beliau, pertemuan untuk mengadakan perbincangan secara muqabalah itu telah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat sejak April lalu.

Abdul Hadi turut menafikan pertemuan tiga pemimpin PAS sebelum ini dengan Abdullah selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno dilakukan atas arahan beliau.

“Tiga pertemuan itu dilakukan atas usaha Presiden Umno dan bukan Presiden PAS,” katanya.

nota: walaupun terminologi yang digunakan, penulis amat berharap agar pertemuan ini dapat mengukuhkan semula umat Islam di Malaysia. Semakin hari semakin lemah kekuatan Islam yang selama ini mekar subur di Malaysia akibat tindakan politik sesetengah pihak yang ingin berkuasa.Tidak kira dipihak UMNO atau PAS, hasil muqabalah ini diharap dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda