Daily Archives: August 7, 2008

PM nafi UMNO Boikot Permatang Pauh

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan dakwaan kononnnya Umno dan Barisan Nasional (BN) akan memulaukan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, 26 Ogos ini.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, di sini, petang ini, Abdullah berkata BN tetap akan meletakkan calonnya bertanding di kerusi berkenaan.

Awal hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pada 16 Ogos ini, manakala tarikh mengundi 26 Ogos.

Kerusi itu kosong apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengundur diri bagi membolehkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding. – bharian

nota: Penulis ada menulis semalam mengenai “Boikot Permatang Pauh”. Memang betul pepatah Melayu Pantang Berundur. Tetapi melihat senario politik hari ini, dengan isu-isu nasional yang lebih perlu diberi keutamaan, maka pendekatan ‘ukur baju badan sendiri’ perlu dilakukan oleh BN khususnya UMNO. Tidak mustahil selepas pilihanraya kecil ini, sekiranya DSAI menang dan didapati bersalah, maka kosong semula kerusi Permatang Pauh ini. Cakap-cakap yang mengatakan UMNO kekurangan calon setanding dengan DSAI ada benarnya dan tidak boleh dinafikan. Lawan di Permatang Pauh bukanlah calang-calang orang tetapi merupakan Mantan TPM. Slogan lawan tetap lawan tidak begitu sesuai digunakan pada pilihanraya kali ini. Pihak BN/UMNO seharusnya pada ketika ini, perlu memberi tumpuan kepada isu-isu nasional di dalam mendapatkan semula keyakinan rakyat.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar: Pejabat PM dan Polis Terlibat

dari malaysiakini

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pertuduhan liwat yang akan dihadapkan kepada penasihat PKR itu di mahkamah sesyen esok.

“Saya minta perdana menteri bertanggungjawab bagi kerosakan yang bakal dilakukan kepada negara ini dan integriti dan kehormatan orang Melayu,” katanya di sidang media khas tentang kes mahkamahnya.

Polis tengah hari tadi menyerahkan notis bertulis di rumah Anwar memintanya hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jalan Duta pada pukul 10 pagi esok untuk mendakwanya bawah kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Penasihat PKR itu juga mendakwa beberapa individu di keliling perdana menteri bertegas mahu beliau dituduh di mahkamah, selain pegawai-pegawai polis walaupun pandangan profesional di pejabat Peguam Negara berbeza.

“Esok saya akan didakwa dengan satu jenayah yang saya tidak lakukan.

“Penjenayah-penjenayah sebenarnya, dalam usaha mereka menghina saya dan mengalihkan hasrat orang ramai menyaksikan perubahan, bersembunyi di belakang tabir yang dicipta oleh media arus perdana,” katanya.

“Ia akan berlaku dengan sokongan aktif dan pembabitan berunsur jenayah peringkat tertinggi pasukan polis dan ahli politik – termasuk pejabat perdana menteri.”

Anwar menuduh Abdullah berbuat demikian kepadanya demi menyelamatkan imejnya yang merosot teruk, termasuk gagal memajukan ekonomi Malaysia.

“Beliau sekarang membakar seluruh hutan demi menyelamatkan sebatang pokoknya sendiri,” katanya.

Mantan timbalan perdana menteri malah menyifatkan Abdullah sebagai “penasihat ulung” kepada “jaksa negara” ketika menjawab soalan seorang pemberita daripada media Indonesia.

Diminta mengulas gesaan Mohd Saiful agar beliau bersumpah untuk membuktikannya tidak bersalah, Anwar berkata persoalan sumpah bukanlah isu politik, tetapi jenayah.

Daripada segi Islam, tambahnya, tuduhan yang dibuat mesti dikemukakan dengan bukti.

Mengulas lanjut soalan seorang wartawan Agendadaily.com berhubung perkara itu, Anwar berkata:

“Sumpah hanya cadangan Putera Umno yang patut belajar baca al-Fatihah supaya betul. Sebab itu saya tanya, apa motif saudara bertanya, kalau nak bincang soal politik atau budaya Melayu, kita sumpah demi angin dan lautan dan jembalang, saya bersumpah.”

“Tetapi kalau hendak sebut (sumpah) guna nama Allah, jangan politikkan hal ini,” katanya lagi, menyebabkan kumpulan wartawan ketawa.

Mengulas kesediaan bekas setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Nor mendedahkan “rahsianya” jika dikaitkan dengan konspirasi terhadapnya, Anwar enggan mengulas.

Tidak mengapa, itu (isu Mohamad Ezam) pun macam sumpah juga,” katanya.

Pada 12 Julai lalu, Mohamad Ezam berkata beliau akan membongkar segala keaiban Anwar jika pemimpin PKR itu dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengaitkan bekas ketua Pemuda PKR itu dengan konspirasi politik berhubung kes liwat.

Ditanya bagaimana beliau akan membuktikan dirinya tidak bersalah di mahkamah, Anwar berkata:

“Rakyat umum sudah tahu. Kamu buat tuduhan jahat tentang sodomi, sudah diperiksa duburnya (Mohd Saiful) tidak ada kesan (diliwat).

“Bagaimanapun, saya hendak katakan, doktor itu (dari Hospital Pusrawi) didera berhari-hari (supaya) menukar keterangannya. Ini negara apa? Ini hukum rimba namanya.”

Cara Anwar menjawab soalan pemberita Indonesia menggunakan telo republik itu menyebabkan pemberita tempatan ketawa kecil.

Ditanya lagi tentang bukti berbentuk dokumen, beliau berkata:

“Dokumen itu bukan sekadar kuat. Sudah sah, ‘nggak boleh dipertikai lagi. Sudah terlalu kuat. Sebab itu, mereka punya masalah tatkala mendapatkan pengesahan jaksa negara untuk memerintah supaya pendakwaan berlaku.

“Kalau begitu, apa motif mereka meneruskan pendakwaan? Motifnya politik, (ia bertujuan) untuk mengalihkan pandangan (awam) bahawa Pak Abdullah gagal mentadbir negara dan tahap popularitasnya merudum jatuh.”

Selain Dr Wan Azizah, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan para pemimpin kanan PKR, kelihatan di sidang media itu peguam- peguamnya Sulaiman Abdullah dan Sankara Nair.

nota: Laporan polis dibuat, kertas siasatan pun siap. Setelah dikaji maka laporan liwat ini harus dibawa ke mahkamah. Soal dakwaan ke mahkamah bukanlah satu soal yang boleh dibuat secara membuta-tuli. Ia harus dikemukakan dengan fakta. Kredibiliti badan kehakiman hanya dipertikaikan oleh DSAI semasa dakwaan dibuat keatas beliau. Bagaimana persepsi beliau dengan badan kehakiman semasa beliau dibebaskan tempohari?? Apabila ada bukti dan dakwaan terhadap DSAI, semua ‘fabrication’ dan bukti itu diada-adakan. Adakah DSAI seorang individu yang sememangnya bebas dari melakukan kesilapan atau pendek kata maksum???

Penulis tidak menafikan kehebatan ‘aura’ DSAI. Penulis pernah duduk satu pesawat dengan beliau sambil berborak tanpa menyentuh isu politik. Cara beliau menyampaikan hujah dalam satu perkara amat ‘convincing’ . Arwah ayahanda penulis pernah berkhidmat bersama-sama DSAI semasa beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia di mana Dato’ Najib Naib Ketua. Ketika itu arwah ayahanda penulis merupakan Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Malaysia. Agak terkejut beliau apabila penulis menunjukkan gambar lama beliau bersama Dato Najib dan arwah ayahanda yang penulis simpan di dalam telefon bimbit. Gambar persidangan agung Pemuda UMNO Malaysia. Tersipu-sipu DSAI melihat gambar tersebut.

Bukanlah tujuan penulis ingin menulis sejarah lama di sini, cuma penulis ingin tekankan bahawa ‘aura’ DSAI berjaya mempengaruhi rakyat. Segala hujah yang beliau berikan sekiranya tidak dikaji dan diterima bulat-bulat, pasti ramai yang percaya. Janganlah kita terlalu percaya atau yakin dengan apa yang dikata tanpa mengkaji setiap sudut fakta yang ada. Biarlah JPM atau polis yang terlibat, tunggulah sehingga prosiding mahkamah selesai.

20 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

BPR akan siasat dakwaan rasuah terhadap pemimpin UMNO

Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang meneliti dan menyiasat laporan terhadap pucuk pimpinan tertinggi Umno yang didakwa melakukan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemilihan parti.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata setiap laporan yang diterima akan disiasat dengan teliti sebelum memanggil mana-mana pihak untuk memberi keterangan.

“Bagilah kita peluang untuk melakukan kerja kita. Ketika ini sesiapa sahaja yang membuat laporan mesti mempunyai bukti yang kukuh dan tiada elemen-elemen jahat,” katanya kepada pemberita selepas menyertai pertandingan menembak Piala Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan veteran Umno, Datuk Mazlan Harun kepada BPR terhadap pucuk pimpinan tertinggi Umno yang didakwa melakukan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemilihan parti semalam.

Laporan itu dibuat berdasarkan dakwaan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapt (B) Datuk Zahar Hashim dalam sepucuk suratnya kepada Setiausaha Agung Umno yang mendakwa bahawa pucuk pimpinan parti telah melakukan rasuah politik.

Ditanya sama ada pemimpin berkenaan akan diambil kenyataan mereka, Ahmad Said berkata: “Siapapun kita akan ambil kenyataan”.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Said berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian berkenaan bagi menyiasat punca sebenar keretakan jejambat Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang menghubungkan Kepong dengan Selayang, di Kuala Lumpur.

“Kita akan tengok dulu apa yang sebenarnya berlaku dan kita juga bekerjasama dengan beberapa kementerian berkaitan berhubung masalah keretakan MRR2 itu”.

Ahad lalu, jejambat sepanjang 1.7 kilometer bernilai RM238 juta itu terpaksa ditutup selepas sebatang tiangnya dikesan mengalami rekahan.

Penutupan itu kali ketiga dalam tempoh empat tahun – kali pertama pada Ogos 2004 dan kedua, Februari 2006. MRR2 itu mula dibuka pada 1999.

Ditanya mengenai perkembangan siasatan laporan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Datuk Gani Patail, Ahmad Said berkata; “Siasatan kes itu sedang dijalankan, beri ruang kepada BPR untuk menjalankan tugas dan menyiasat”. — Bernama

nota: Syabas kepada BPR !!! Kembalikanlah integriti di dalam negara ini. Mana yang salah harus dibetulkan, mana yang betul harus diperbaiki lagi supaya ia dapat meningkatkan lagi integriti pentadbiran negara kita.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

KENYATAAN MEDIA PEGUAM SAIFUL, SAIFUL BERSYUKUR

dari mstar
1) Anak guam saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan bersyukur ke hadrat Allah S.W.T bahawa suspek sebagaimana laporan polis yang dibuat oleh beliau pada 28.6.2008 akhirnya akan dibawa ke muka pengadilan untuk diadili.

2) Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan juga akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya bagi memastikan proses keadilan berjalan lancar di Mahkamah kelak.

3) Mohd Saiful juga berharap semua rakyat Malaysia berdoa agar proses undang-undang dapat berjalan dengan lancar agar kebenaran dapat dibuktikan dengan seadilnya.

Kenyataan media bertarikh pada 6 Ogos 2008 ini telah ditandatangani oleh peguam Saiful, Zamri Idrus.

Peguamnya, Zamri Idrus berkata, Saiful bersyukur kerana Anwar akhirnya dihadapkan ke mahkamah untuk diadili.

“Anak guam saya memberi jaminan bahawa beliau akan memberi kerjasama yang sepenuhnya bagi memastikan proses keadilan dapat berjalan lancar,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Saiful juga meminta semua rakyat Malaysia membiarkan proses perundangan berjalan dengan lancar agar kebenaran dapat dibuktikan.

Sementara itu, ketika ditanya, sama ada Saiful akan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, Zamri berkata, anak guamnya tidak akan hadir atas sebab keselamatan.

“Saiful tidak perlu datang esok ke mahkamah dan beliau hanya akan datang sebagai saksi kelak.

“Sebagaimana yang dijanjikan Saiful akan buat akuan bersumpah di hadapan al-Quran dalam masa terdekat, tarikhnya sedang diteliti,” katanya.

Pada 28 Jun lalu, Mohd Saiful membuat laporan polis mendakwa Anwar yang merupakan bekas majikannya meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara dua hari sebelum laporan polis itu dibuat.

nota: penulis berharap agar orang ramai tidak menjadi ‘hakim’ dalam kes ini. biarlah mahkamah bersidang. sesungguhnya sekiranya Allah Maha Adil. Pihak yang benar pasti menang dalam kes liwat ini. Jangan kita cuba menjadi ‘hakim’ ketika perbicaraan sedang berjalan. Biarlah apa DSAI dan Saiful kata konspirasi lah, bersumpah lah dan sebagainya. Yang paling mengetahui hanyalah Allah SWT.

23 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda