Daily Archives: August 13, 2008

ADUN BN Seberang Jaya calon BN di Permatang Pauh

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar) dipilih untuk mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi di sini.

Menurut Najib, pemilihan Ariff Shah, 52, dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor tempatan dan semasa.

Katanya, beliau adalah calon terbaik menentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merebut kerusi kawasan parlimen berkenaan.

Najib mengumumkan demikian di hadapan kirakira lebih 3,000 penyokong BN di Pusat Konvensyen Sunway Carnival di sini malam ini.

Beliau turut melancarkan jentera BN bagi pilihan raya kecil itu malam ini di Pusat Konvensyen Sunway Carnival.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan pengunduran penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga penasihat parti itu.

Penamaan calon ialah pada Sabtu ini.

Kerusi Parlimen Permatang pauh meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang iaitu Seberang Jaya yang diwakili oleh Arif Shah, Permatang Pasir (diwakili Hamdan Abd Rahman dari PAS) dan DUN Penanti, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR. – mstar

22 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Kadar pinjaman PTPTN hanya 1 peratus mulai 1 Jun lalu

Kerajaan hari ini mengumumkan kadar baru pengiraan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) ialah satu peratus mulai 1 Jun lalu.

Mengumumkan demikian, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kadar satu peratus itu adalah kadar rata ke atas semua pinjaman peringkat pengajian.

Katanya, ia membabitkan semua bakal peminjam, peminjam sedia ada dan peminjam yang sudah tamat belajar tetapi belum selesaikan pinjaman. – bharian

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Cadangan Khalid Ibrahim Berbaur Politik

Beberapa ahli akademik dan pemimpin persatuan belia hari ini menyifatkan cadangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya 10 peratus kuota kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing berbaur politik.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ismail Hussein berpendapat cadangan itu sangat “relevan” dengan sikap Pakatan Rakyat yang tidak mempedulikan masalah yang dihadapi orang Melayu.

“Pihak pemerintah Selangor perlu selesaikan masalah perkauman yang semakin meningkat dan bukan menambahkan lagi kecurangan ekonomi, sosial dan pendidikan antara kaum,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Abdul Khalid ketika mencadangkan perkara itu dua hari lepas berkata, langkah itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi itu.

Dr Ismail berkata semua pihak perlu sedar UiTM dibina untuk menyelesaikan sebahagian daripada kecurangan yang wujud di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera.

Presiden Majlis Belia Malaysia Datuk Shamsul Anuar Nasarah pula berkata, kenyataan Abdul Khalid itu umpama ingin meraih sokongan daripada kaum bukan Melayu dalam Pakatan Rakyat.

“Kenyataannya berbaur politik. Bukan untuk menjaga kepentingan dan kualiti kaum Melayu. Mereka perlu faham matlamat penubuhan UiTM, iaitu untuk memberi kemahiran kepada pelajar Bumiputera sejak dari awal penubuhannya,” katanya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Datuk Reezal Merican Naina Merican pula dalam SMS beliau kepada Bernama menyifatkan perbuatan Abdul Khalid seperti mengkhianat amanah teras orang Melayu.

“Seharusnya orang Melayu membuka mata dengan kenyataan Tan Sri Abdul Khalid. Saya juga percaya UiTM tidak pernah berkompromi soal merit dan pencapaian para pelajarnya walaupun ia diwujudkan khusus untuk kaum Bumiputera,” katanya.

Reezal berkata dakwaan Abdul Khalid bahawa langkah membuka peluang kepada kaum bukan Bumiputera memasuki UiTM itu sebagai satu usaha untuk wujudkan persaingan yang sihat adalah cadangan tidak berasas.

Tokoh sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata cadangan Abdul Khalid itu sepatutnya tidak menjadi isu kerana perkara itu pernah dibangkitkan dan cuba dilaksanakan beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun menurut Dr Khoo, cadangan itu tidak mendapat sambutan daripada kaum bukan Bumiputera kerana mereka kurang senang berada dalam universiti yang didominasi oleh satu kaum sahaja.

Sejarah UiTM bermula sebagai Dewan Latehan Lembaga Kemajuan Perusahaan dan Kampung (Rida) yang beroperasi mulai November 1956 di Petaling Jaya sebagai pusat percubaan menawarkan kursus persediaan untuk remaja luar bandar aliran Inggeris.

Kemudian pada Jun 1965, Dewan Latehan Rida diletakkan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan namanya ditukar kepada Maktab Mara. Pada tahun 1967, ia bertukar menjadi Institut Teknologi Mara (ITM) dan dinaik taraf sebagai universiti pada tahun 1996 dan ditukar nama kepada UiTM pada tahun 1999.

Walaupun beberapa kali bertukar nama namun objektif dan matlamat penubuhannya masih kekal ke hari ini iaitu untuk mempertingkat dan menjamin keutuhan status sosio ekonomi Bumiputera. BERNAMA

24 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS Rela Tinggalkan Pakatan Demi Islam

PAS tegas mempertahankan Islam sebagai asas perjuangan parti dan sanggup meninggalkan Pakatan Rakyat jika ia tidak menguntungkan Islam.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap merasmikan konvensyen PAS Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ia disahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin diketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Akhbar tabloid harian, Sinar Harian melaporkan perkara yang sama di muka hadapannya hari ini.

Hafiz berkata, pendirian tersebut menunjukkan bahawa perjuangan PAS mempertahankan Islam konsisten sejak dahulu lagi.

Katanya, ucapan Abdul Hadi itu merujuk tanggal 16 September depan apabila ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat kepada Pakatan Rakyat.

Seperti yang telah dinyatakan oleh penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyertaan mereka cukup untuk memboleh Pakatan mengambil alih pemerintahan negara.

Bantu calon PKR

Sementara itu, Hafiz berkata, dalam ucapannya Ahad lalu, presiden PAS itu menegaskan jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai daripada ahli Parlimen Islam, PAS tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat.

“Tuan Guru (Abdul Hadi) menegaskan dalam ucapannya bahawa kita bukan perkauman tetapi menjadi tanggungjawab parti untuk mempertahankan dasar Islam.

“Beliau juga menegaskan bahawa setelah 50 tahun orang Melayu memerintah negara ini, tetapi jika orang bukan Melayu mengambilalih, (maka) ia sukar kepada negara dan rakyat.

“Oleh itu, kata Tuan Guru lagi, jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai, ia akan menggugat orang Islam,” kata Hafiz.

Katanya, ucapan Abdul Hadi mendapat sokongan dari lebih 100 pemimpin PAS negeri yang menghadiri konvenyen tersebut.

Bagaimanapun, kata Hafiz, Abdul Hadi telah menyatakan bahawa PAS akan tetap menyokong calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. – MALAYSIAKINI

NOTA: Alhamdulillah, kelantangan PAS demi menegakkan Islam amat penulis puji. Jangan digadai Islam demi kuasa. Alangkah elok sekiranya PAS bekerjasama dengan UMNO di Perak dan Selangor.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PKR Nafi Arah YB Zulkifli ‘hilangkan diri’

dari mstar
(Mutakhir) PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak khabar angin Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin , yang menyertai demonstrasi membantah forum Majlis Penguam Sabtu lalu, sengaja telah diarah menghilangkan diri bagi mengelak beliau menjadi satu isu ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Dakwaan terbaru ini mula tersebar selepas Zulkifli ‘hilang’ sejak tiga hari lalu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika dihubungi mStar Online menafikan dakwaan sedemikian.

“Saya sendiri tidak tahu di mana dia (Zulkifli) berada. Jadi bagaimana pula ada pihak boleh mendakwa kami (PKR) mengarahkan dia untuk bersembunyi,” kata beliau.

Dr. Wan Azizah yang kini sibuk menumpukan perhatian ke atas pilihan raya kecil Permatang Pauh, yang ditandingi suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau turut ada menerima maklumat mengenai ‘kehilangan’ Zulkifli, namun tidak pasti kedudukan sebenar mengenainya.

Zulkifli merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan difahamkan tidak pulang ke rumahnya sejak Sabtu lalu.

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, tiada sebab untuk pimpinan PKR mengarahkan Zulkifli bersembunyi atau menghilangkan diri.

“Mengapa pula kita nak arah beliau berbuat demikian? Saya sendiri risau dengan ‘kehilangan’ dia,” katanya.

Katanya, berdasarkan pengetahuan beliau, PKR tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian yang dianggap karut dan tiada faedah.

Shamsul juga hairan mengapa khabar angin seperti ini disebarkan sedangkan semua jentera parti PKR sedang sibuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya kecil nanti.

Bagaimanapun Shamsul berkata sehingga ke hari ini beliau masih berusaha menjejaki Zulkifli melalui teman-teman rapat untuk mendapatkan perkembangan lanjut.

Usaha mStar Online menghubungi Zulkifli sehingga petang ini juga tida berjaya kerana telefon bimbitnya tidak diaktifkan.

Semalam dua pemimpin PKR mengeluarkan kenyataan bagi mengelak mana-mana usaha cuba mengaitkan tindakan Zulkifli ketika demonstarsi membantah Majlis Peguam sebagai pendirian PKR.

Ketua Penerangan PKR, Tian Chua memberitahu New Straits Times bahawa Zulkifli perlu menjelaskan kepada pemimpin tertinggi parti mengenai pendiriannya dan tindakan akan diambil selepas penjelasan diberikan.

Kata beliau, pihaknya tidak kisah jika beliau mengambil bahagian atas kapasiti peribadi untuk memberi pandangannya tetapi sewajarnya dilakukan dalam cara yang baik.

Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali juga mengkritik tindakan seorang penguam dan yang juga Ahli Parlimen yang mendakwa bertindak bagi pihak umat Islam tetapi menggunakan kata-kata tidak bertamadun dan kasar ke arah penganjur forum berkenaan.

Difahamkan beliau merujuk kepada Zulkifli.

Kelmarin polis menafikan berita yang tersiar dalam beberapa laman blog hari ini bahawa Zulkifli ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyifatkan berita itu sebagai khabar angin semata-mata.

Pada 29 September 1998, Zulkifli, 46, pernah ditahan di bawah ISA selama 60 hari kerana terlibat dalam gerakan reformasi bersama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai ialah pagi semalam di ibu negara ketika menyertai perhimpunan membantah forum anjuran Majlis Peguam.

nota: utk pengetahuan semua, laman blog YB Zulkifli di http://zul4kulim.blogspot.com/ juga telah disekat dari tatapan umum. di manakah kebebasan bersuara seperti dilaung2kan oleh PKR. Ini baru MP mereka sendiri yang bersuara menyatakan protes terhadap forum yang disokong oleh pemimpin PKR. Apa akan jadi kepada rakyat sekiranya PKR memerintah apabila rakyat bersuara lantang mengkritik mereka. ISA?

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda