Daily Archives: August 21, 2008

Debat gagal kemuka langkah tangani isu seleweng tanah di Pulau Pinang

Debat bertajuk ‘Kontroversi Isu Tanah di Pulau Pinang’ antara Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tidak menyentuh mengenai langkah-langkah yang patut diambil untuk menyelesaikan isu tersebut.

Koh dalam debat itu berkata tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengenai isu penyelewengan tanah pernah berlaku ketika zaman pentadbiran beliau selama 18 tahun, bermotifkan politik.

Sungguhpun dicabar beberapa kali oleh Lim untuk menjawab dakwaan tertentu mengenai apa yang dipanggil “penipuan tanah” di Pulau Pinang, Koh berkata beberapa kes masih didengar di mahkamah dan beliau enggan mengulas mengenainya kerana ia subjudis.

Menurut Koh, pihaknya hanya boleh memberikan jawapan selepas kes berkenaan selesai didengar oleh mahkamah.

Koh berkata sepanjang 18 tahun, lebih 10,000 fail tanah berjaya diselesaikan.

“Peratusan pencapaian kerajaan BN menyelesaikan fail tanah di Pulau Pinang ialah 99.9 peratus,” katanya.

Sementara itu, Lim mendakwa ada lima kes membabitkan penyelewengan tanah dan berkata pihaknya ingin tahu siapa yang bertanggungjawab untuk mencari kebenaran.

Beliau mendakwa kesilapan kerajaan terdahulu itu hanya merugikan rakyat kerana wang yang terlibat boleh digunakan untuk pembangunan rakyat, terutama bagi menghapuskan kemiskinan tegar.

Debat anjuran portal Agendadaily itu disiarkan secara langsung menerusi TV9 dan NTV7. Pengerusi DBP Datuk Johan Jaafar bertindak sebagai pengantara.

Selain itu, bekas Ketua Pengarah DBP Datuk Aziz Deraman bertindak bertanya soalan bagi pihak Koh manakala Editor Politik media internet Malaysian Insider, Wan Hamidi Hamid bagi pihak Lim.

Koh pada sidang akhbar selepas itu berkata berkata pihaknya berpendapat adalah tidak baik untuk mempolitikkan isu-isu mengenai tanah demi kepentingan kerajaan negeri sekarang.

“Saya sebenarnya berhasrat baik di mana saya menasihatkan sebagai satu syarat untuk debat bahawa kita berdebat selepas pendengaran mahkamah selesai tapi beliau (Lim) tidak mahu dengar,” katanya.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai isu tersebut selepas menyaksikan debat berkenaan. BERNAMA

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Lompat: Teck Lee enggan ulas dakwaan Jeffery

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee enggan mengulas dakwaan 13 anggota Parlimen Sabah, termasuk dua dari SAPP, akan melompat parti dan menyertai Pakatan Rakyat tidak lama lagi.

“Kami telahpun mengumumkan pendirian kami (pada 18 Jun) untuk menyokong usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Pendirian itu kekal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan papan iklan “Malaysia 1963” di ibu pejabat SAPP di Luyang, Rabu.

Yong diminta mengulas dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada Isnin lalu kononnya 13 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat sekiranya Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos.

Jeffrey juga mendakwa dua daripada anggota Parlimen itu ialah daripada SAPP dan bakinya daripada Umno.

“Soalan ini patut ditanyakan kepada anggota Parlimen BN yang lain,” kata bekas Ketua Menteri itu tanpa mengulas lanjut.

Dua anggota Parlimen SAPP ialah Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Chua Soon Bui (Tawau).

Sementara itu, Yong menggesa kerajaan negeri Sabah “berlaku adil” terhadap perintis Sabah dan pengasas Malaysia, dan mengisytiharkan 2008 sebagai Hari Kebangsaan ke-45 dan bukan Hari Kebangsaan ke-51.

Yong mendakwa “kerajaan negeri Sabah telah tersilap atau patuh sahaja untuk mengguna pakai tarikh 1957 dengan mengisytiharkan Hari Kebangsaan tahun ini sebagai yang ke-51 dan bukannya ke-45”.

“Kami sedar yang Sarawak adalah betul apabila menyambut Hari Kebangsaan Ke-45 dan bukannya ke-51. Penduduk di Sabah (ketika itu Utara Borneo) dan Sarawak tidak mempunyai apa-apa tetapi pemerintahan penjajah untuk disambut pada 1957.

“Sebagai rakyat Malaysia sejati, kita patut menyambut pada 1963 (tahun pembentukan Malaysia). Kami menggesa ahli akademik, pakar sejarah, kakitangan awam dan pemimpin politik untuk bersuara demi kepentingan sejarah dan fakta yang betul supaya kerajaan akan menghormati sejarah dan kebenaran itu,” katanya.

nota: diberitakan bahawa YTL akan ditawarkan sebagai menteri di JPM sebaik sahaja DSAI melangkah masuk ke Putrajaya sebagai PM. Apa-apapun, pada zaman YTL sebagai KM Sabah lah, DSAI beriya2 ingin mendesak kelulusan permit lesen nombor ekor di Sabah.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pemuda Pas Selangor cabar Anwar bersumpah

Dewan Pemuda Pas Selangor mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melakukan sumpah laknat jika beliau di pihak yang benar.

Ketuanya, Sallehen Mukhyi berkata, ia merupakan langkah terbaik bagi bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk menyelesaikan masalah peribadinya sekali gus membersihkan namanya.

Beliau berkata, semua pihak harus menerima baik sumpah laknat bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang berbuat demikian kerana mahu menjaga nama baik diri dan keluarga.

“Terdapat dua cara untuk menyelesaikan kes ini sama ada pihak penuduh mengemukakan bukti kukuh di mahkamah atau tertuduh (Anwar) sendiri membuat pengakuan.

“Namun, sekiranya Anwar merasakan beliau tidak bersalah, beliau boleh membuat pengakuan di mahkamah ataupun membuat sumpah laknat… terpulang kepadanya,” kata Sallehen ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan pelbagai pihak yang mahu Anwar, calon PKR dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, berhenti mempertikaikan sumpah laknat Mohd. Saiful yang dilafazkan pada 15 Ogos lalu.

Menurut Sallehen, tindakan Mohd. Saiful, 23, itu dapat dilihat sebagai salah satu cara yang membolehkan beliau memberitahu masyarakat bahawa dakwaannya mengenai perbuatan liwat Anwar adalah benar.
sumber utusan.

nota: terdapat beberapa khabar angin bahawa DSAI akan membuat pengakuan bersumpah esok selepas solat Jumaat. walaubagaimanapun kesahihan maklumat ini masih belum dapat dipastikan.

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar pernah desak luluskan Sabah lesen empat ekor

Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, pernah menghentak meja dan membuang fail meminta kerajaan Sabah meluluskan lesen empat ekor kepada syarikat yang beliau mempunyai kepentingan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata kejadian itu berlaku semasa Datuk Yong Teck Lee menjadi Ketua Menteri Sabah.

“(Beliau) nak lesen itu kerana abangnya pengerusi syarikat berkenaan,” katanya semasa berucap di Peti Undi Barisan Nasional di Simpang Empat Seberang Jaya di Permatang Pauh Rabu malam.

Yong dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada 1996 hingga Mei 1998, sementara Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri dari 1993 hingga beliau dipecat daripada Umno pada September 1998.

Najib berkata beliau bangga dengan tindakan kerajaan Sabah yang berprinsip daripada Anwar kerana tidak meluluskan lesen itu.

“Sekarang dia menyebut-nyebut tentang masyarakat Madani tetapi dulu minta luluskan lesen judi,” katanya.

Bernama melaporkan sebelum itu, pada satu majlis di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah di sini, Najib mengumumkan sumbangan khas sebanyak RM100,000 bagi setiap masjid dan RM30,000 bagi setiap surau di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Beliau juga telah meminta umat Islam bersatu demi menegakkan syiar Islam dan perpaduan ummah.

Katanya tindakan itu amat perlu memandangkan ketika kini banyak pihak yang cuba mencabar Islam terutama melalui penganjuran forum terbuka.

“Dengan bersatu tidak bermakna kita hendak menggugat hak orang lain, tetapi kita perlu membuat orang merasa segan dan hormat kepada kita,” katanya. – agendadaily

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda