Blog kecam Husam, ‘kumpulan Erdogan’

sila layari http://antihusam.blogspot.com

Isu muqabalah PAS-Umno dan hubungannya dalam Pakatan Rakyat masih berlarutan di internet walaupun selepas berakhir muktamar tahunan parti itu pertengahan bulan ini.

Kali ini satu blog khas dibangunkan secara khusus untuk mengecam Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang dianggap mewakili kumpulan yang menentang rundingan sulit parti itu dengan Umno.

Selain itu ia juga mengutuk beberapa pemimpin kanan PAS yang digelarnya “kumpulan Erdogan” yang didakwa diketuai oleh Husam.

Setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaafar dan bendahari Dr Hatta Ramli turut menjadi mangsa serangannya. Terbaru, sasarannya dihadapkan kepada timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad.

Dipercayai dibina oleh orang dalam parti itu sendiri menjelang muktamar PAS ke-54 baru-baru ini, Anti Husam (www.antihusam.blogspot.com) turut mendakwa pemimpin kanan itu ke luar negara bersama penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa restu PAS.

Blog turut mendakwa Anwar berjanji “memberikan jawatan timbalan perdana menteri kepada Husam (setelah dilantik sebagai senator) apabila kerajaan persekutuan yang baru dibentuk oleh Pakatan Rakyat pada 16 September nanti.”

Jawatan Husam itu didakwa dijanjikan oleh Anwar sewaktu mereka di Dubai pada Jun lalu – yang digelar blog itu sebagai “Deklarasi Dubai” – bagi membincangkan strategi menghalang muqabalah PAS-Umno.

“Pertemuan (PAS-Umno) itu adalah ancaman besar buat Anwar dan Husam. Maka mereka merancang supaya sebarang usaha mempertemukan PAS dan Umno akan gagal sama sekali di masa hadapan,” satu artikel blog itu dipetik.

Ia mendakwa, untuk mencapai matlamat sedemikian, exco kerajaan Kelantan itu mengumpulkan “orang-orangnya” termasuk dua ahli jawatankuasa pusat Dr Dzulkifli Ahmad serta Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, dan ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Penulis blog Anti Husam, yang tidak mendedahkan identitinya, menamakan pemimpin-pemimpin ini sebagai “kumpulan Erdogan”, dipercayai merujuk nama perdana menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mewakili parti Islam beraliran moderat untuk menyesuaikan dengan konteks politik negara itu yang pro-sekular.

“Maka bersungguh-sungguhlah mereka (secara sedar mahupun tanpa disedari) mempertikaikan dan menyanggah keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang mengizinkan presiden dan timbalannya mengadakan pertemuan dengan Umno.

“Manakala tugas terpenting buat Husam ialah untuk mempengaruhi Tok Guru Mursyidul Am (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) supaya beliau juga tidak bersetuju dengan sebarang bentuk pertemuan di antara PAS dan Umno.

“Sebab itulah kita melihat Tok Guru kita seringkali membuat kenyataan yang agak bercanggah dengan Tuan Guru Presiden dan Majlis Syura…,” coretan yang sama bertarikh 11 Ogos dipetik.

Dalam muktamar PAS di Ipoh antara 14 hingga 17 Ogos lalu, isu muqabalah dengan Umno dan kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat terus-meneruskan dibangkitkan sehingga memperlihatkan kecenderungan dua aliran dalam parti itu yang condong kepada muqabalah dan satu lagi yang pro-kerjasama dengan Pakatan.

Di sidang muktamar Pemuda PAS, isu muqabalah memuncak sehingga jelas membelah kumpulan perwakilan dewan itu yang menyokong muqabalah, antaranya disuarakan perwakilan-perwakilan Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Seorang perwakilan Terengganu mendesak Husam bersama Salahuddin dan ketua penerangan PAS Mahfuz Omar dikenakan tindakan disiplin dengan alasan pernah mengeluarkan kenyataan terbuka yang dianggap melanggar keputusan pucuk kepemimpinan PAS termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pro-muqabalah.

Dalam ucapan penggulunggannya, Abdul Hadi menegaskan PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat tetapi tidak menolak pertemuan dengan mana-mana pihak, termasuk Umno.

Tidak betah dengan kritikan Anti Husam minggu lalu, Khalid kelmarin melalui blognya (www.khalidsamad-shahalam.blogspot.com) menjawab tuduhan beliau “biadab, tiada akhlak dan menuju ke arah syakhsiyah jahiliyah” kepada presiden PAS.

“Cubalah kita bayangkan betapa rendahnya martabat tuan guru presiden menurut kaca mata Khalid sehingga di-aku-engkau-kan,” dakwa Anti Husam.

Sambil menegaskan rasa hormatnya sewaktu berkata-kata kepada Abdul Hadi dan Nik Aziz, Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam menjawab:

“Kalimah ‘aku’ kadang-kadang saya gunakan semasa bergurau dengan sahabat handai, tetapi tidak sekali-kali semasa bercakap dengan mereka. ‘Engkau’ saya tidak pernah pakai dan sebaliknya menggunakan ‘awak’ secara kebiasaan.”

Khalid juga menafikan beliau sebahagaian pengikut Husam dan menafikan wujudnya puak-puak dalam PAS.

“Dalam mesyuarat, adakalanya saya menyanggah pandangan Dr  Dzulkifli, adakalanya pandangan Husam dan juga sebaliknya. Itu perkara biasa bagi kami. Kita ingin mencari keputusan yang terbaik,” katanya lagi.

Pemimpin kanan PAS Selangor itu juga menjawab dakwaan beliau “berlagak pandai” mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat di negeri itu yang kini ditadbir oleh gabungan tersebut.

Anti Husam berkata pemimpin yang berhak bercakap hubungan parti itu dalam Pakatan di Selangor adalah pesuruhjayanya Datuk Dr Hassan Ali dan ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mukhyi.

Khalid menjelaskan, sebagai pemimpin kanan di Selangor, beliau juga dilantik sebagai pengerusi PASKAD iaitu unit kajian dasar dan strategik PAS negeri.

“Saya tahu apa yang berlaku. Namun saya merasakan masalah yang kita sedang hadapi dalam Pakatan Rakyat adalah perkara biasa,” jelas Khalid.

Bagaimanapun, Khalid tidak menafikan wujudnya perbezaan dengan Sallehen, namun menurutnya “kita tahu adabul ikhtilaf dan tidak membodohkan satu sama lain.”

Anti Husam juga mendakwa Khalid cuba membela kaum Cina dengan meminggirkan Melayu sendiri di Selangor, termasuk pengagihan kerusi ahli Majlis Bandaraya Shah Alam yang didakwa sewajarnya untuk ahli PAS.

Bagaimanapun, ahli parlimen Shah Alam menjelaskan, bahawa Anti Husam menganut sikap perkauman dan berfikiran sempit.

“Sebenarnya, peruntukan untuk PAS diisi oleh orang PAS. Ada pula peruntukan untuk NGO dan profesional. Ang yang saya cadangkan adalah pengerusi Persatuan Penduduk Taman Berkeley. Saya cadangkan nama beliau untuk mengisi peruntukan NGO,” kata Khalid.

Khalid menjelaskan, pemimpin persatuan penduduk itu “amat berjasa kepada PAS kerana berkerja keras untuk PAS semasa pilihanraya umum 1999 hingga 2008”.

Khalid juga menolak dakwaan Anti Husam yang menyifatkan dirinya sebagai “hero DAP” kerana cuba menenangkan pertikaian dua ahli parlimen Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat, Zulkifli Nordin (PKR-Kulim Bandar Baharu) dan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) minggu lepas.

“Sebenarnya Zulkifli dan Chong bertelagah hasil jolokan Umno-BN. Isu asal berhubung bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi sengaja dikaitkan kepada forum Majlis Peguam.

“Saya masuk untuk menghentikan perbalahan di antara dua wakil Pakatan Rakyat dengan membawa perbahasan kembali kepada isu asal iaitu Bahasa Kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi,” jelas Khalid.

Anti Husam mendakwa bendahari PAS pernah berkata “hah… masuklah Umno kalau macam itu!” sewaktu Timbalan Mursyidul Amnya Datuk Dr Harun Din menggulung perbahasannya di muktamar.

Oleh itu, blog itu mendakwa Dr Hatta bersikap “cukup kurang ajar” kepada tokoh ulama PAS itu.

Blog itu juga mendakwa Dr Hatta menyelewengkan sumber kewangan parti dan menegaskan “kalau ada masa dan setelah mendapat bukti yang cukup, saya akan bongkarkan penyelewengan yang beliau lakukan dalam menguruskan kewangan PAS.”

Mengenai setiausaha agung parti, Anti Husam mengkritiknya berhubung isu rasa tidak puas hati pemimpin PAS Pulau Pinang dalam pengagihan jawatan di negeri itu dan hasrat mereka untuk memboikot kempen Anwar dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh yang berakhir hari ini.

Kamaruddin menganggap isu ini “sudah selesai” tetapi blog itu pula mempersoalkan sama ada masalah PAS negeri berkenaan pernah dibincangkan dengan Abdul Hadi dan timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa.

“Atau Datuk (Kamaruddin) hanya perlu menerima arahan daripada bos lama Datuk, iaitu Anwar dan Husam Musa sahaja?

“Ataupun Datuk dah cukup besar kepala, nak langkah bendul mendahului presiden dan timbalan presiden PAS dan cuba menyelesai dan memadam kemelut PAS Pulau Pinang ini dengan cara Datuk sendiri,” Anti Husam terus mengecam lagi.

nota: ini adalah kisah pertembungan golongan ulama dan golongan profesional di dalam parti yang berpaksikan ajaran Islam. Para ulama lebih mengutamakan soal perpaduan bangsa manakala satu kumpulan lagi mengutamakan soal kuasa. Jika dalam umno, KJ dilihat tidak disukai ramai, dalam pun KJ juga tidak disukai ramai.

Advertisements

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s