Monthly Archives: September 2008

Surat terbuka Zaid Ibrahim- Malaysiakini

Sewaktu mengisytiharkan kemerdekaan negara, Perdana Menteri pertama kita telah melaungkan aspirasi dan mimpi indah rakyat Malaya: bahawa Malaya adalah diasaskan di atas prinsip-prinsip kebebasan dan keadilan serta di atas janji bahawa kita beramai-ramai akan sentiasa berjuang bagi meningkatkan lagi kebajikan dan kebahagiaan rakyatnya.

Bertahun telah berlalu sejak peristiwa penting itu berlangsung, namun aspirasi dan mimpi tersebut masih benar dan masih relevan kepada kita hari ini sepertimana ia benar dan relevan kepada kita sebelum ini. Ini dimungkinkan dengan adanya satu pegangan teguh terhadap asas-asas negara pada peringkat awal kewujudannya. Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang dibuat sehubungan dengannya diletakkan di atas asas yang kukuh di mana ia menggabungkan elemen-elemen penting demokrasi yang dibina di atas Kedaulatan Undang-Undang.

Satu ketika dahulu, Kehakiman Malaysia sangat dihormati oleh warga Malaysia malah turut dijadikan panduan oleh negara-negara lain. Perdana Menteri-Perdana Menteri kita yang terdahulu, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak and Tun Hussein Onn, adalah pemimpin-pemimpin yang sangat berintegriti, adalah pejuang-pejuang mengikut cara mereka yang tersendiri dan, yang paling penting sekali, adalah individu-individu yang serba sederhana. Mereka mempunyai kepercayaan terhadap prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam Perlembagaan kita dan membina negara ini berpandukan kepadanya.

Tatkala mereka terpaksa meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1960, sekalipun mereka melakukannya dengan sangat berhati-hati dan dengan bersikap apologetic mengenainya. Tunku menyatakan dengan jelas bahawa tujuan Akta ini diluluskan adalah bagi menangani ancaman komunis.

‘Saya dan rakan-rakan saya dalam kabinet berjanji kepada Parlimen dan kepada negara bahawa kuasa-kuasa luas yang diberikan kepada Kerajaan di bawah ISA tidak sesekali akan digunakan bagi mengekang bangkangan dan ketidaksetujuan yang dibuat mengikut undang-undang’ adalah apa yang diucapkan oleh Tunku dahulu. Ketetapan ini dikukuhkan lagi kemudiannya oleh Perdana Menteri ketiga kita, Tun Hussein Onn, yang menyatakan bahawa ISA bukanlah dimaksudkan untuk mengekang bangkangan politik yang dibuat secara sah atau untuk menyekat aktiviti demokrasi rakyat.

Beberapa peristiwa yang berlaku tiga minggu lepas bagaimanapun telah memaksa saya mengkaji semula cara ISA digunakan. Sungguh menyedihkan sekali kerana kesimpulan yang saya perolehi darinya ialah bahawa Kerajaan telah berulang-ulang kali menghampakan rakyat negara ini dengan berulang-ulang kali juga memungkiri janji yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman tersebut.

Ini berlaku kerana Kerajaan dan undang-undang yang digubalnya telah dengan secara tidak betul memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan sesiapa sahaja atas apa sahaja alasan yang difikirkannya perlu. Budi bicara yang subjektif ini telah disalahgunakan bagi menjaga kepentingan-kepentingan politik tertentu.

Sejarah adalah guru agung yang dapat menjelaskan banyak perkara dalam hal ini. Semakan sepintas lalu ke atas cara ISA digunakan sejak ia diluluskan sekalipun akan mendedahkan betapa tujuan asal ISA telah dikesampingkan oleh keperluan politik semasa.

Adalah dikesali yang Tunku Abdul Rahman sendiri pun telah memungkiri janjinya. Pada 1965, pentadbirannya telah menahan Burhanuddin Helmi, iaitu seorang intelektual Melayu yang cukup hebat dan seorang nasionalis yang kebetulannya juga turut menjadi seorang pemimpin PAS. Dia telah diletakkan dalam tahanan sehingga dia meninggal dunia pada 1969.

Helmi hanyalah seorang musuh politik dan tidak dapat dibayangkan yang dia boleh dikatakan terlibat dalam pemberontakan bersenjata atau komunisme yang ISA dirangka untuk menangani. Penahanannya ini adalah sesuatu yang menyimpang dan menjadi satu detik menyedihkan di mana kepentingan politik telah dibenarkan mengatasi Kedaulatan Undang-Undang.

Ia malangnya seakan menjadi satu ‘precedent’ dan banyak lagi penahanan ke atas individu-individu yang dianggap menjadi ancaman kepada pentadbiran waktu itu menyusulinya tahun demi tahun. Malah tokoh kesusasteraan kita, ‘sasterawan negara’ Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail juga telah ditahan di bawah ISA pada 1976. Bagaimana mungkin beliau boleh menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara?

Tidak perlulah saya mengingatkan anda mengenai impak dahsyat Operasi Lalang 1987. Kesannya menghantui Kerajaan sepertimana juga ia menghantui rakyat negara ini yang cintakan keamanan kerana ia menebarkan kegelapan ke atas setiap dari kita. Terdapat banyak soalan yang masih belum terjawab mengenai detik-detik gelap tersebut bila lebih daripada seratus orang telah ditahan kerana dikatakan menjadi ancaman terhadap keselamatan negara. Sebab mengapa mereka ditahan tidak pernah dinyatakan dengan jelas kepada rakyat Malaysia.

Begitu juga tiada penjelasan diberikan tentang sebab mengapa mereka tidak pernah didakwa di mahkamah. Termasuk dalam senarai mereka yang ditahan ini adalah beberapa Ahli Parlimen kanan pembangkang yang masih lagi aktif dalam Parlimen hari ini. Sesatunya perkara yang benar-benar jelas mengenai tempoh itu adalah UMNO pada waktu itu sedang berhadapan dengan satu krisis kepimpinan. Apakah ia bukan satu kebetulan yang tangkapan-tangkapan di bawah ISA baru-baru ini berlaku bila UMNO sekali lagi mengalami satu krisis kepimpinan?

Pada 2001, aktivis-aktivis ‘reformasi’ Keadilan telah ditahan dalam satu tindakan yang kemudiannya diisytiharkan sebagai dibuat secara tidak betul dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan. Penahanan berterusan mereka yang tidak dibebaskan lebih awal di pusat tahanan Kamunting hanya dibolehkan kerana ISA telah dipinda dalam cara yang meragukan pada 1988 bagi tidak lagi membenarkan semakan kehakiman dibuat ke atas arahan Menteri untuk menahan. Rakyat Malaysia dimaklumkan bahawa tahanan-tahanan ini telah cuba menggulingkan Kerajaan melalui cara-cara militan dan demonstrasi-demonstrasi liar.

Tujuh tahun telah berlalu sejak kejadian ini berlaku tetapi hingga kini belum ada sebarang bukti bagi menyokong dakwaan ini dikemukakan. Menambahkan lagi kekeliruan rakyat, salah seorang daripada mereka yang dikatakan “ganas dan militan” itu ialah Ezam Mohamad Noor. Inilah orangnya yang baru-baru ini disambut kembali ke dalam UMNO dengan sambutan besar-besaran, seolah-olah ianya merupakan satu kejayaan besar.

Lebih kurang pada masa yang sama, ahli-ahli PAS juga telah ditahan kerana dikatakan menjadi militan dan kerana kononnya mempunyai pertalian dengan rangkaian pengganas antarabangsa. Mereka yang ditahan itu termasuklah Nik Adli, anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan. Kerajaan ketika itu berjanji akan mendedahkan kepada rakyat Malaysia mengenai bukti kegiatan-kegiatan ganas dan pertalian tahanan-tahanan ini. Sehingga sekarang tiada bukti sebegini pernah diberikan.

Formula yang sama telah digunakan pada akhir 2007 bila 5 pemimpin HINDRAF ditahan. Rakyat Malaysia dimaklumkan sekali lagi bahawa individu-individu ini terlibat dalam aktiviti-aktiviti penggulingan Kerajaan dan mempunyai perkaitan dengan gerakan militan Pemisah Tamil Eelam Sri Lanka. Sehingga sekarang tiada bukti kukuh pernah dikemukakan bagi menyokong dakwaan ini.

Jadi apa yang boleh dilihat ialah kelima-lima mereka ditahan kerana melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membawa kepada satu mobilisasi masyarakat India Malaysia bagi meluahkan secara aman kekecewaan mereka ke marginalisi yang dilakukan ke atas masyarakat mereka. Perjuangan ini kemudiannya telah diiktiraf sebagai satu perjuangan yang sah. Demonstrasi HINDRAF bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana perhimpunan-perhimpunan seperti itu diiktiraf di seluruh dunia sebagai satu cara pernyataan yang sah.

Dalam nada yang sama, asas-asas yang diberikan bagi menyokong penahanan terbaru Tan Hoon Cheng, Teresa Kok dan Raja Petra Kamarudin menimbulkan banyak persoalan. Penjelasan bahawa Tan Hoon Cheng ditahan bagi menjamin keselamatan dirinya adalah melucukan. Kenyataan bahawa Teresa Kok telah menyalakan sentimen-sentimen keagamaan juga adalah tidak berasas sebagaimana terbukti oleh pembebasannya selepas itu.

Mengenai pengkritik tersohor Kerajaan, Raja Petra Kamarudin pula, semakan ke atas tulisan-tulisannya akan menunjukkan bahawa dia mungkin telah menghina Kerajaan dan individu-individu tertentu di dalam Kerajaan. Bagaimanapun, bersikap kritikal dan menghina tidak boleh dalam apa cara pun dianggap sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara. Jika tulisan-tulisannya dianggap menghina Islam, orang-orang Islam atau Nabi Muhammad (saw), dia sepatutnya didakwa di bawah Kanun Keseksaan dan bukannya ditahan di bawah ISA.

Apa pun, dia juga telah didakwa atas kesalahan menghasut dan melakukan fitnah jenayah berhubung dengan beberapa kenyataannya. Dia telah meminta dibicarakan, dan ini menunjukkan kesediaan serta kemampuannya untuk mempertahankan dirinya sendiri. Cara terbaik bagi memastikan keadilan terlaksana adalah dengan memberikannya peluang mempertahankan dirinya di mahkamah lebih-lebih lagi di mana dalam pandangan umum Kerajaan adalah dalam satu kedudukan konflik kerana telah menjadi sasaran kritikan kerasnya.

Contoh-contoh yang diberikan di atas menjadi petanda jelas bahawa Kerajaan yang ada sekarang adalah sebuah Kerajaan yang tidak demokratik. Perspektif inilah yang telah sejak lebih 25 tahun lalu membawa kepada Kerajaan kelihatan dengan sewenang-wenangnya menahan musuh-musuh politik, pejuang-pejuang pertubuhan sivil dan kepenggunaan, penulis-penulis, usahawan-usahawan, pelajar-pelajar dan wartawan-wartawan yang kesalahannya, jika ia boleh dikatakan sebagai kesalahan, adalah bersikap kritikal terhadap Kerajaan. Bagaimana individu-individu ini boleh dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara adalah di luar dari kefahaman saya. Realiti yang terbukti adalah ketidaksetujuan yang dibuat secara sah telah dan sedang dikekang melalui penggunaan secara semberono ISA.

Terdapat mereka yang menyokong dan memperjuangkan bacaan secara ‘carte-blanche’ ISA ini. Mereka akan berusaha untuk meyakinkan anda bahawa kepentingan-kepentingan negara memerlukan kuasa sebegitu dikekalkan dan bahawa keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyat Malaysia adalah disebabkan oleh kewujudan undang-undang seperti ISA ini. Ini bagaimanapun gagal mengambil kira fakta asas bahawa rakyat Malaysia dari semua kaum mengagungkan keamanan. Kita hidup bersama secara aman sejak 400 tahun lepas bukan kerana adanya undang-undang ini tetapi walaupun adanya undang-undang ini.

Saya percaya rakyat negara ini sudah cukup matang dan bergeliga bagi membezakan di antara tindakan-tindakan yang merupakan satu ancaman ‘sebenar’ terhadap negara dengan tindakan-tindakan yang mengancam kepentingan-kepentingan politik. Rakyat Malaysia telah mengetahui bahawa ISA digunakan terhadap musuh-musuh politik dan kelihatannya bila kepimpinan sedang menghadapi cabaran sama ada dari dalam parti pemerintah sendiri atau dari elemen-elemen luar.

Rakyat Malaysia hari ini mahu melihat sebuah Kerajaan yang komited terhadap proses mahkamah bagi menentukan kebersalahan atau ketidakbersalahan walaupun untuk tindakan-tindakan yang dikatakan mengapi-apikan sentimen perkauman atau keagamaan. Kini mereka tidak begitu mempercayai bahawa hanya seorang individu, iaitu Menteri Dalam Negeri, yang paling tahu mengenai soal-soal keselamatan negara walaupun mereka sebelum ini pernah mempercayainya. Mereka menghargai kebebasan dan perlindungan ke atas kebebasan-kebebasan sivil dan ini pun benar bagi rakyat negara-negara lain juga.

YAB Perdana Menteri, keputusan-keputusan Pilihan Raya Umum lalu adalah petunjuk jelas bahawa rakyat Malaysia sedang menuntut satu pemulihan semula Kedaulatan Undang-Undang. Saya telah dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang dan reformasi kehakiman, walaupun hanya sekejap. Dalam kapasiti itu, saya dapat memahami dengan lebih mendalam betapa ramai dari kita mahukan reformasi, bukan semata-mata atas kepentingan reformasi itu, tetapi atas tahap di mana institusi-institusi kita telah dilemahkan oleh kejadian-kejadian dan impak yang dihadapkannya kepada masyarakat.

Dengan restu anda, saya telah cuba menggerakkan reformasi. Berada di atas dalam senarai keutamaan saya adalah satu pemulihan semula ke atas kuasa kehakiman (judicial review) yang boleh dilakukan melalui satu pengembalian semula satu peruntukan penting perlembagaan ke bentuk sebelum ia dipinda secara kontroversial pada 1988. Tidak perlulah saya mengingatkan anda bahawa pindaan perlembagaan itu didorong oleh satu siri peristiwa sama yang membawa bukan hanya kepada Operasi Lalang tetapi juga kepada pemecatan Ketua Hakim Negara dan dua Hakim Mahkamah Agung pada waktu itu.

Salah satu keutamaan saya ialah cara dalam mana bidang kuasa dan kuasa Mahkamah-Mahkamah untuk membuat pembetulan ke atas tindakan wewenang dan di luar perlembagaan Eksekutif telah dikeluarkan oleh Parlimen dan tahap di mana ini telah menyebabkan berlakunya kemerosotan ke atas kebebasan-kebebasan sivil rakyat Malaysia. Pindaan perlembagaan inilah yang telah membuka jalan kepada peruntukan ‘ouster’ dalam ISA yang secara efektifnya memberi imuniti kepada Menteri dari semakan kehakiman, di mana ini adalah satu peruntukan yang menjadi contoh betapa pindaan perlembagaan 1988 telah membuka ruang untuk berlakunya ketidakadilan.

Saya juga telah cuba memperkenalkan cara-cara dengan mana langkah-langkah boleh diambil bagi membantu Kehakiman memperolehi semula reputasi kebebasan dan kecekapan yang pernah dipunyainya dahulu. Malangnya, ini dianggap tidak diperlukan oleh sesetengah pihak kerana Kehakiman yang bebas akan membawa makna Eksekutif akan menjadi kurang ‘berpengaruh’.

Saya telah cuba melakukan perkara-perkara ini dan perkara-perkara lain kerana menyedari Kedaulatan Undang-Undang dan tradisi-tradisi demokratik di Malaysia sedang terhimpit. Apa pun, tiada orang yang rugi dengan memberikan setiap rakyat negara ini sebuah Kehakiman yang bebas dan peluang ke atas satu perbicaraan yang adil. Ini adalah konsisten dengan norma-norma sejagat mengenai hak-hak asasi manusia dan ia juga adalah konsisten dengan ajaran-ajaran Islam, iaitu agama bagi Persekutuan.

Kuasa tidak terbatas untuk menahan atas kehendak seorang individu adalah penindasan yang paling tinggi. Malah, di Israel, iaitu sebuah negara yang sentiasa berada dalam keadaan berperang sekalipun, kuasa untuk menahan tidak diberikan pada seorang individu seperti di Malaysia dan arahan-arahan penahanan memerlukan pengesahan daripada seorang hakim.

Jika terdapat pertimbangan-pertimbangan keselamatan negara, maka ini boleh ditangani tanpa mengenepikan kawalan-kawalan keselamatan yang dimaksudkan bagi melindungi rakyat dari dihukum secara tidak betul. Dalam bidang-bidang kuasa lain yang terlibat dalam konflik-konflik bersenjata, perbicaraan-perbicaraan dikendalikan secara sulit bagi membenarkan penelitian kehakiman dibuat ke atas bukti yang dianggap terlalu sensitif untuk didedahkan kepada umum bagi memenuhi kehendak-kehendak keadilan. Jika ini boleh dilakukan dalam bidang-bidang kuasa lain, mengapa tidak di sini di mana pertempuran bersenjata terakhir dapat kita saksikan, yang menjadi punca kepada wujudnya ISA, telah berakhir pada 1980-an?

Sebarang keraguan mengenai kerelevanan ISA dalam bentuknya sekarang sepatutnya sudah terhapus oleh rekomendasi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bahawa ISA perlu dimansuhkan dan bahawa sebuah undang-undang anti-keganasan yang bersesuaian dengan masa kini perlu diluluskan bagi menggantikannya. Mengandungi satu klausa ‘sunset’ dalam masa asalnya, ISA tidak pernah dimaksudkan untuk menjadi satu ciri asas dalam landskap perundangan Malaysia.

Melalui penggunaan berterusannya dalam cara yang diterangkan di atas dan berhadapan dengan sentimen umum, adalah natural bahawa ISA telah melekat di dalam fikiran orang ramai sebagai satu alat penindasan dan Kerajaan yang ada sebagai satu Kerajaan yang membuka ruang untuk berlakunya penindasan. Penggunaan berterusannya tidak menjadi petanda baik bagi sebuah masyarakat yang sedang berjuang untuk mencari tempatnya dalam arena global. Ia juga tidak menjadi petanda baik bagi demokrasi yang sangat penting bagi membolehkan kita membangun secara berterusan.

YAB Perdana Menteri, saya mengingati dengan sangat jelasnya apa yang anda sebutkan dahulu, iaitu bahawa jika seseorang itu mempunyai kesempatan untuk melaksanakan apa yang baik dan betul untuk negaranya, maka dia mestilah melaksanakan tugasan itu. Saya sangat menghormati anda kerananya. YAB, anda masih lagi Perdana Menteri buat masa ini dan masih lagi mempunyai kesempatan untuk meninggalkan jejak anda dalam sejarah Malaysia. Saya menyeru anda berbuat begitu dengan memansuhkan terus ISA.

Marilah kita cuba memenuhi janji yang dibuat oleh Perdana Menteri pertama kita yang dikasihi kepada rakyat negara ini.

Yang benar

ZAID IBRAHIM

nota: Datuk Zaid, ISA ni ada bagusnya…janganlah kita terlalu berlembut dalam semua bidang…terutama bila kita hidup berbilang bangsa…dan jangan pula kita gunakan ISA sebagai senjata…untuk padamkan semua sengketa. Keganasan hari ni tak semesti mengangkat senjata…tetapi ia meliputi dalam minda….itu sebab ikut mulut badan binasa…banyak memfitnah ISA jawabnya…

Apakata Datuk drafkan satu undang2 untuk gantikan ISA ini. Kita tgk macam mana….tapi sejak dua menjak ini lah mula Majlis Peguam berani bersuara pertikaikan hak kita…kenape yer?? hhmmm..tepuk dada tanya selera….

Advertisement

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

97 ketua Umno bahagian menang tanpa bertanding – Malaysiakini

Seramai 97 ketua Umno bahagian telah menang bertanding selepas cawangan-cawangan selesai mengadakan mesyuarat tahunan bulan lalu.

Umno mempunyai 191 bahagian keseluruhannya.

“Sehingga tamatnya persidangan cawangan, 97 bahagian telah disahkan memberi jawatan Ketua Umno bahagian tanpa bertanding daripada 191 bahagian Umno yang terdapat di Malaysia,” kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam.

Kesemua bahagian akan mengadakan persidangan perwakilan masing-masing mulai 9 Oktober ini.

Bahagian-bahagian perlu selesai mengadakan persidangan menjelang 9 November.

Pada persidangan itu, pemilihan bahagian akan diadakan di samping menamakan calon bagi jawatan-jawatan peringkat pusat.

Turut menang tanpa bertanding ialah Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar setelah pencabarnya. A. Malek A. Rahman digantung keahliannya kerana terlibat politik wang.

Keputusan menang tanpa bertanding itu ekoran ketetapan Lembaga Disiplin Umno yang diumumkan semalam, memutuskan A. Malek digantung keahlian selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan. Sementara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Tengku Adnan berkata, keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menangguhkan Perhimpunan Agung Umno dari Disember ini ke Mac depan tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, beliau berkata, penangguhan itu yang dibuat pada mesyuarat khas MT 25 September lalu adalah berdasarkan kepada kuasa kuasa yang diberikan oleh perlembagaan kepada MT di bawah Fasal 10.17.

Fasal tersebut memberi MT hak untuk menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian serta cawangan dan penangguhan tersebut tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.

Perkara yang dipertikaikan ialah terhadap keputusan sebelum ini yang telah menangguhkan 18 bulan persidangan kesemua pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian termasuk Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan pada Disember 2008 dan ditangguhkan lagi pada Mac 2009, katanya.

Tengku Adnan berkata, kesemua pemegang jawatan di peringkat Umno Cawangan dan Bahagian telah dipilih dalam persidangan antara bulan Jun dan Julai 2004 dan Perhimpunan Agung pada bulan September 2004.

Beliau berkata, kesemua pemegang jawatan tersebut yang dikira daripada Umno cawangan akan tamat pada Jun 2007 dan Umno bahagian pada Julai 2007 serta anggota Majlis Tertinggi (MT) pada September 2007.

Perhimpunan Agung Umno yang sepatutnya diadakan pada 2007 telah ditangguhkan 18 bulan bererti akan tamat pada Mac 2009, di peringkat Umno cawangan yang telah tamat pada Jun 2007 dan ditangguhkan 18 bulan akan berakhir pada Disember 2008 manakala di peringkat Umno bahagian akan berakhir pada Januari 2009, katanya.

Tengku Adnan berkata disebabkan itu, MT tidak boleh memberikan sambungan kepada persidangan Umno bahagian kerana tidak ada keperluan penangguhan lagi memandangkan masa yang diberikan hampir sama tarikh luput pemegang jawatan pada bulan Januari 2008.

“Diharapkan dengan penjelasan ini, tidak terdapat lagi keraguan dan perdebatan sama ada keputusan itu bercanggah dengan Perlembagaan Umno atau di bawah akta Pendaftaran Pertubuhan,” katanya. – mstar

nota: Jangan ada yang berjaya menang dengan bermain cara ‘kotor’ dan ‘pengecut’ sudah lah. Apa guna menang dengan cara kotor dan jijik.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Bunga Melati 2 Dilepaskan Lanun – Malaysiakini

Kapal tangki kedua milik Malaysian International Shipping Corporation (MISC), MT Bunga Melati 2, yang ditawan di Teluk Aden oleh lanun Somalia dibebaskan jam 4.14 pagi semalam.

Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan, Kolonel Fadzlette Othman Merican, berkata semua anak kapalnya selamat dan kini sedang belayar menuju Djibouti, Timur Afrika. Katanya, pelayaran kapal itu ke Djibouti diiringi dua kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Lekiu dan KD Sri Inderapura untuk menyertai MT Bunga Melati 5.

Fadzlette berkata, wang tebusan sebanyak AS$2 juta dibayar oleh MISC untuk pembebasan kapal itu.

Sehubungan pembebasan itu MISC akan menghantar dua pasukan baru ke sana untuk menggantikan krew kedua-dua kapal itu yang akan diterbangkan pulang ke Malaysia pada 4 Oktober ini, katanya.

MT Bunga Melati 2, dianggotai 39 anak kapal dengan 29 daripadanya adalah rakyat Malaysia manakala bakinya warga Filipina.

Ia dirampas di teluk itu pada 19 Ogos lalu. Bagaimanapun, sewaktu ditawan seorang kelasi warga Filipina mati akibat terkena peluru yang tersasar.

Kelmarin lanun membebaskan kapal tangki MT Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal rakyat Malaysia dan lima warga Filipina yang ditawan pada 29 Ogos lalu, ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi menuju Singapura.

Fadzlette berkata, kehadiran kapal milik TLDM adalah antara faktor kejayaan rundingan sehingga kedua-dua kapal itu dan anak kapalnya dibebaskan.

“Ada beberapa kapal dari negara lain yang membayar wang tebusan tetapi masih belum dibebaskan dan nampaknya mereka (lanun) memberi keutamaan kepada kita,” katanya. – bharian

nota: Alhamdulillah, diharap kedatangan Syawal ini lebih bermakna bagi keluarga yang menunggu berita baik ini.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar vs Najib – Siapa Lebih Baik ~~ Malaysiakini

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai pilihan popular untuk menjadi perdana menteri, diikuti oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, demikian menurut hasil tinjauan pendapat oleh Merdeka Center.

Hasil tinjauan tersebut menunjukkan 40 peratus memilih Anwar manakala Najib memperolehi 34 peratus. Manakala satu perempat responden tidak dapat memilih atau yakin dengan kedua-dua calon tersebut.

Dalam soalan berasingan, 39 peratus bersetuju Najib boleh menjadi perdana menteri hyang baik, manakala 44 peratus lagi tidak bersetuju.

Ini dianggap sebagai satu berita baik untuk timbalan perdana menteri itu walaupun ketinggalan di belakang Anwar kerana peratusan penerimaannya sebagai perdana menteri telah meningkat lima peratus berbanding dengan tinjauan pendapat Julai lalu. Manakala peratusan untuk Anwar pula turun tiga peratus.

Ketika dihubungi, pengarah eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffin berkata ini adalah kali pertama mereka membandingkan Anwar dengan Najib.

“Antara sebab kami turut memasukkan soalan itu kali ini ialah kerana tinjauan ini dijalankan di sekitar 16 September. Juga, Anwar telah menonjolkan diri sebagai bakal perdana menteri,” kata Ibrahim.

Sebelum ini, penasihat PKR itu telah menetapkan tarikh 16 September untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat dari Barisan Nasional.

Seramai 1,002 responden dipilih untuk tinjauan pendapat tersebut yang diadakan antara 11 hingga 22 September lalu.


Ejen Amerika

Dalam tinjauan itu juga, hanya 15 peratus percaya tuduhan salahlaku seks terhadap Anwar manakala 13 peratus lagi percaya beliau seorang “penjenayah seksual”.

Walaupun 21 peratus percaya dengan tuduhan bahawa beliau menjadi “ejen Amerika” tetapi 51 peratus lagi percaya ketua pembangkang itu seorang pemimpin yang “kuat dan berwawasan” serta “seorang pengurus ekonomi yang cekap”.

Penyokong Anwar adalah lebih pelbagai kaum, berbanding dengan penyokong Najib yang sebahagian besarnya orang Melayu. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sokongan sebenar orang Melayu kepada kedua-dua pemimpin tersebut.

Sebanyak 17 peratus orang responden Melayu percaya Anwar seorang “penjenayah seks” manakala hanya 8 peratus responden Cina dan 1 peratus responden India berkongsi sentimen tersebut.

Hasilnya adalah sama berhubung tuduhan Anwar seorang “ejen Amerika/Yahudi” dengan 28 peratus Melayu berkata “iya” berbanding dengan hanya 12 peratus (Cina) dan 4 peratus (India).

Apabila ditanya secara khusus sama ada Najib boleh menjadi perdana menteri yang baik – tanpa membandingkan beliau dengan orang lain – responden Melayu 52 peratus, Cina (29) dan India (10 peratus).

Mengenai Abdullah

Hasil tinjauan tersebut juga menunjukkan ranking bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak berubah berbanding dengan tinjauan bagi bulan Julai.

Bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia (21 peratus) menyifatkan keadaan politik yang tidak menentu yang menyelubungi negara sekarang sebagai kebimbangan mereka yang paling besar – meningkat daripada 10 peratus berbanding dengan dua bulan lalu.

Sebanyak 50 peratus berkata mereka masih begitu bimbang dengan isu-isu ekonomi. – mkini

nota: Memang tidak dinafikan DSAI lebih popular berbanding DNTR. Tetapi harus diperhatikan bahawa kedua-dua tokoh politik ini menggunakan pendekatan politik yang berbeza.

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Umno hukum 10 ahli termasuk 3 tahun digantung – Malaysiakini

Lembaga Disiplin Umno memutuskan seramai 10 ahli parti itu bersalah kerana terbabit dengan rasuah politik dan sabotaj parti.

Seorang daripada yang tertuduh diberi amaran manakala sembilan anggota lain dikenakan hukuman digantung keanggotaan selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan bermula 22 September lalu.

Tertuduh yang terbabit terdiri daripada ahli Umno Bahagian Kota Tinggi, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Ia diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail hari ini.

Senarai ahli diputuskan hukuman

  • A. Malek Daing A. Rahaman (Kota Tinggi) – Perkara 5.1.2, 5.3 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
  • Mohamadon Abu Bakar (Kota Tinggi) – Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
  • Musa Ngaman (Kota Tinggi) – Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
  • Muszaide Makmor (Kota Tinggi) – Perkara 5.1.2 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
  • Mohammad Taha Madon (Kota Tinggi) – Perkara 5.3 & 5.5 Kesalahan (Tataetika ahli)
  • Datuk Mohd Zain Ismail (Rantau Panjang) – Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
  • Ghazali Ismail (Rantau Panjang) – Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
  • Fauzi Omar (Rantau Panjang) – Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
  • Pauziah Che Wook (Rantau Panjang) – Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno
  • Datuk Ismail Hassan (Tanah Merah) – Perkara 5.1.2 & 5.5, dan Fasal 20.8(B) dan (C) Perlembagaan Umno dibaca bersama dengan Perkara 3.1.2 & 3.1.4 Tataetika Ahli Umno

A. Malek merupakan individu yang mencabar Datuk Seri Syed Hamid Albar bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi.

Kecuali Mohammad Taha, tertuduh yang lain dikenakan hukuman digantung keahlian selama tiga tahun.

Kes sabotaj parti iaitu melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli Umno dan rasuah politik pula diputuskan mengikut Perkara 5 Tataetika Ahli Umno.

Ahmad Rithauddeen berkata, keputusan itu adalah hasil daripada persidangan Lembaga Disiplin pada 22 hingga 24 September lalu.

Tahun 2008 merupakan tahun pemilihan parti.

Cawangan-cawangan Umno telah mengadakan mesyuarat tahunan dan pemilihan Julai hingga Ogos manakala persidangan perwakilan bahagian akan bermula 9 Oktober ini.

Berdasarkan siasatan atau pendengaran pertuduhan, statistik aduan yang diterima secara keseluruhannya adalah sebanyak 475.

Berikut adalah butiran statistik aduan diterima dan diambil tindakan

Jumlah keseluruhan aduan: (475)

Jumlah aduan telah disiasat (Panel Penyiasatan): 115

Jumlah aduan belum dimulakan siasatan: (49)

Jumlah aduan perlu dokumen tambahan (Borang A): (38)

Jumlah aduan kategori tiada tindakan lanjut (NFA): (85)

Jumlah aduan bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin: (74)

Jumlah aduan baru: (110)

Disimpan untuk perhatian: (4)

Jumlah aduan telah disiasat (Panel Penyiasatan) dan didapati tiada kes prima facie: (22)

Jumlah kes telah didengar (tribunal Lembaga Disiplin): (10) – mstar

nota: Baguslah kalau macam ini. Tapi lagi bagus kalau keputusan dibuat dengan lebih cepat. Janganlah dah habis cawangan2 bersidang baru nak keluar keputusan. Sebenarnya lebih elok kalau Jkuasa disiplin lebih proaktif. Jangan hanya tunggu laporan baru nk siasat. Pasang lah mata-mata kat Bahagian.

12 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

MP Kapar sah mahu letak jawatan PKR Selangor – Malaysiakini

Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerusi Kapar, S. Manikavasagam mengesahkan yang beliau telah memutuskan untuk meletakkan jawatan Timbalan Badan Perhubungan PKR Selangor ekoran tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)merobohkan sebuah kuil bulan ini.

Wakil rakyat itu berkata, beliau telah membuat pendirian untuk tidak lagi memegang jawatan tersebut jika pucuk kepimpinan negeri gagal menangani isu berkenaan.

Bagaimanapun Manikavasagam berkata, beliau belum lagi menyerahkan surat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini, sebaliknya mahu memberi masa kepada Pengerusi PKR negeri itu mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawai kanan MPAJ.

Selain itu beliau mahu kuil berkenaan dibina semula.

“Saya akan tunggu, saya akan tunggu… saya hendak melihat apa tindakan Menteri Besar ke atas MPAJ. Lepas itu saya akan muktamadkan keputusan saya,” kata beliau ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Mengenai tempoh yang akan diberikan, Manikavasagam berkata, “kita tunggu sehingga selepas sambutan Aidilfitri ini, mungkin minggu depan.”

“Tak perlu tunggu sebulan…,” katanya.

Manikavasagam mengakui bahawa masyarakat India kini marah dengan tindakan MPAJ merobohkan kuil berkenaan di sebalik janji kerajaan Pakatan Rakyat.

“Selain merobohkan kuil itu, kami difahamkan notis untuk merobohkan beberapa kuil sudah dikeluarkan.

“Apa yang kami hairan ialah tindakan MPAJ diambil tanpa pengetahuan Majlis Kerajaan Negeri sedangkan surat pekeliling sudah dikeluarkan bahawa jika ada kuil atau rumah ibadat hendak dirobohkan perlu dimaklumkan kepada Exco terlebih dahulu,” katanya.

Sehubungan itu, kata Manikavasagam, beliau mahu tindakan diambil ke atas Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Pengarah Penguat Kuasa MPAJ kerana ingkari arahan kerajaan negeri.

“Jika tidak saya akan letak jawatan (sebagai Timbalan Pengerusi PKR).

“Saya sebagai Timbalan Pengerusi PKR, yang turut bertanggungjawab atas hal ehwal masyarakat India, berhadapan dengan situasi masyarakat India marah dengan tindakan MPAJ, kerana sebelum ini kerajaan negeri sudah berjanji tidak akan merobohkan rumah ibadat,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau belum menemui Menteri Selangor sehingga petang ini.

“Jika Menteri Selangor memanggil saya, saya akan menemui beliau,” katanya sambil menambah, Setiausaha Politik beliau sudah memaklumkan Pejabat Menteri Besar mengenai pendiriannya.

Beliau mengumumkan pendiriannya di Kulai kelmarin dan mahu menyerahkan surat kepada PKR Selangor hari ini.

Blognya juga ada menyebut secara ringkas mengenai keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR negeri.

Sambil mengesahkan mesej yang disampaikan di Kulai, blog tersebut berkata: “Saya bukan seperti pemimpin-pemimpin lain memegang jawatan meskipun tahu penolakan Rakyat.”

Dalam pada itu, pemimpin kanan PKR pusat ketika dihubungi berkata, keputusan Ahli Parlimen berkenaan masih belum muktamad.

“Perbincangan sedang diadakan dengan Menteri Besar Selangor (yang juga Pengerusi PKR Selangor),” kata beliau ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Sebelum kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat dikatakan telah memberi jaminan tidak akan merobohkan rumah ibadat tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Dalam pada itu, ahli Majlis Tertinggi PKR, N. Gobalakrishnan dan Ketua Penerangannya, Tian Chua menafikan yang Manikavasagam telah keluar parti.

Kata mereka, memang ada SMS sedemikian tetapi menafikan Manikavasagam telah keluar daripada PKR.

Gobalakrishnan berkata, beliau yakin Manikavasagam tidak akan meletakkan jawatan.

“Saya ada bercakap dengan beliau dua hari lalu, jangan percaya pada SMS ini,” katanya.

“Saya tidak tahu mengenainya dan tidak percaya beliau akan berbuat demikian,” kata Tian Chua. Semalam, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. A. Xavier Jayakumar mengesahkan Kuil Sri Mahakaliamman di Kampung Tasik dirobohkan oleh MPAJ awal bulan ini walaupun dinafikan pemimpin PKR sebelum itu.

Beliau berkata, pihaknya juga kesal dengan tindakan MPAJ merobohkan Kuil Sri Mahakaliamman tanpa kebenaran kerajaan negeri. – mstar

nota: Takkan roboh kuil terus nk letak jawatan. Tunggu la dulu, dapat penerangan dulu dari MPAJ.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Peralihan Kuasa: Signal Awal Dari Bahagian Bermula – Malaysiakini

Difahamkan UMNO Bahagian Cheras di Wilayah Persekutuan Ahad malam mengambil langkah pertama kearah peralihan kepimpinan yang ditetapkan pada bulan Mac tahun depan dengan mengistiharkan akan calonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden dalam mesyuarat UMNO Bahagian itu pada 12 Oktober ini.

UMNO Bahagian Titiwangsa sejurus itu mengikut jejak UMNO Bahagian Cheras dengan mengumumkan keputusan yang sama.

Ketua UMNO Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee dan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa Datuk Sulaimen Mohamad mengumumkan demikian dalam ucapan mereka di Majlis Berbuka Puasa bersama Ibu Tunggal dan Golongan Orang Kurang Upaya di dewan UMNO Bahagian Cheras di Jalan Peel Kuala Lumpur.

Ia disusuli pula dengan UMNO Bahagian Besut yang mendapat liputan Bharian.

UMNO Bahagian Besut akan mencalonkan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO pada mesyuarat perwakilannya pada 11 Oktober ini.

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata cadangan itu dibuat oleh sebahagian besar perwakilan yang akan menghadiri mesyuarat bahagian.

Bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO, katanya, pergerakan bahagian itu akan mencalonkan Exco Pemuda, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun pada mesyuarat perwakilan Pemuda pada 10 Oktober.

Sementara itu, semua jawatan utama dalam UMNO Bahagian Besut iaitu ketua, timbalan dan naib tiada pertandingan selepas pengesahan calon ditutup kelmarin.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih menang tanpa bertanding, manakala jawatan timbalan bakal diisi Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad selepas penyandang jawatan yang juga Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr Abdullah Md Zin menarik diri.

Apakah akan terjadi dengan pencalonan Tengku Razaleigh. Adakah akan terbahagi kepada 3 pencalonan bagi jawatan Presiden. Ku Li masih belum menamakan regu beliau bagi pertandingan ini manakala Datuk Seri Najib pula masih belum menyuarakan apa2 pendapat mengenai pencalonan beliau sebagai presiden walaupun pada awalnya beliau telah meminta agar cawangan2 agar tidak mencalonkan beliau sebagai presiden.

Pak Lah masih berteka teki. Tanding atau tidak…seawal minggu hadapan baru diumumkan.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Ucapan Hari Raya Tun Dr Mahathir

Saya dan isteri saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam, khususnya kepada pelayar laman blog chedet.com.

Alhamdulillah, sekali lagi dapat kita bersama-sama meraikan hari kebesaran ini setelah sebulan menjalankan ibadah puasa.

Disamping bergembira bersama keluarga, saya harap kita akan teruskan tradisi kunjung mengunjung ke rumah-rumah terbuka untuk mengeratkan lagi silaturrahim di antara kita, terutama sekali dengan rakan-rakan kita yang bukan beragama Islam.

Semoga di hari yang gembira ini hubungan kita sebagai rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara yang tercinta ini akan bertambah erat.

Saya akan mengadakan majlis rumah terbuka bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti berikut;

Tarikh : Oktober 5, 2008

Tempat : 58, Jalan Kuda Emas, The Mines Resort City, Seri Kembangan, Selangor

Masa : 10:00 pg – 1.00 tgh dan 2.30 ptg – 5.00 ptg

Kepada yang akan menyambut Aidilfitri di kampung, berhati-hatilah ketika memandu dan kami mendoakan perjalanan pulang yang selamat.

Sekali lagi saya dan isteri saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

Dr Mahathir bin Mohamad

Dr Siti Hasmah bt Mohd Ali

1 Syawal 1429 Hijrah

nota: Jika yang berkesempatan, boleh beramai2 hadir ke majlis rumah terbuka Tun Mahathir.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS Bagi AMARAN Lagi – Malaysiakini

Selepas tarikh 16 September berlalu tanpa kejutan, PAS pula mengulangi pendiriannya tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat jika kerajaan baru persekutuan yang dicita-citakan, majoritinya dikuasai oleh wakil rakyat bukan Islam kelak.

Pendirian itu dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ceramah Isu-isu Semasa di Dungun, Terengganu minggu lalu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang lebih mengharapkan wakil rakyat Umno menyertai PAS jika mahu membina kekuatan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Dipetik Harakah menerusi edisi terbaru bertarikh 29 September (hari ini), Abdul Hadi berkata, apabila jumlah wakil rakyat bukan Islam melebihi kerusi anggota Dewan Rakyat beragama Islam, maka PAS akan membuat keputusan – sedia menarik diri daripada kerajaan Pakatan Rakyat.

Kata beliau, PAS telah meletakkan syarat agar kerajaan Pakatan Rakyat itu dikuasai oleh wakil-wakil Islam Melayu.

Jika Islam tidak majoriti, bekas Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata, pembentukan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan disertai oleh PAS.

“PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak mendapat majoriti Islam. Itu syarat pertama,” kata beliau.

Susulan pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu, Barisan Nasional (BN) mempunyai 140 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang pula 82 anggota.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS masing-masing mempunyai 31, 28 dan 22 anggota Dewan Rakyat.

Salah satu parti komponen BN, Parti Maju Sabah (Sapp) telah keluar dan kini bertindak sebagai Bebas di Parlimen. Seorang lagi anggota Dewan Rakyat juga merupakan wakil Bebas.

Idea pembentukan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Rakyat telah diutarakan oleh pembangkang pada 1 April lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan 16 September yang lalu bagi mencapai sasaran tersebut.

Bagaimanapun tiada perkembangan menjelang 16 September, sebaliknya Pakatan Rakyat menerusi Anwar telah meminta agar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan pertemuan dengan pembangkang bagi membincangkan peralihan kerajaan pusat secara aman.

Surat pertemuan itu ditandatangani Anwar, Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Kemudian Anwar meminta Abdullah memanggil sidang khas Parlimen pada 23 September.

Kedua-dua permintaan itu ditolak Abdullah dan tarikh baru Pakatan Rakyat membentuk kerajaan ialah 1 Oktober.

Syarat kedua yang ditentukan Abdul Hadi ialah kerajaan yang bakal dibentuk itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh, bermakna terdiri daripada wakil rakyat yang konsisten (istiqamah).

“Kita (PAS) bersedia untuk mengubah kerajaan tetapi dengan syarat mestilah kerajaan itu lebih baik daripada yang sedia ada (BN).

“Kita tidak mahu berubah kepada yang lebih buruh tetap mesti lebih baik,” kata Abdul Hadi.

Pada minggu lalu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi di Kota Bharu bagi membincangkan perkembangan terbaru mengenai sasaran tersebut.

Difahamkan, dalam pertemuan itu Anwar sekali lagi memberi jaminan tidak akan meminggirkan PAS apabila Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru persekutuan. – Mstar

nota: Pening la DSAI….dah janji macam2 ni..satu pun tak tunai…!!! hehehe masak masak!!! Tapi awas…ramai musang berbulu ayam(penyokong kuat Anwar) di dalam PAS….gerakan meliberalisasikan PAS sedang bermula.

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Selamat Hari Raya Aidilfitri – Malaysiakini

Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Jalan Enggang, Ampang Selangor ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pengunjung laman ini. Sekiranya terdapat nukilan yang menyebabkan hati tersentuh, sepuluh jari disusun mohon maaf. Semoga Ramadhan yang akan berlalu memberi kita keinsafan dan rahmat.InsyaAllah. Bagi para pengunjung yang akan memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman, berhati-hati di jalanraya.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda