Teks wawancara Mohamad Sabu Dengan Malaysiakini

Tuan Haji sebut kemenangan besar PAS disebabkan peralihan undi dari bukan Melayu. Jadi, apakah makna peralihan undi ini kepada PAS?

Politik Malaysia ini lebih berdasarkan kaum, terutamanya selepas merdeka, memang parti Umno, walaupun memperjuangkan Melayu, tetapi orang-orang bukan Melayu merasakan mereka sebagai sahabat, sebagai kawan. Tetapi PAS memang ditakuti orang Melayu, terutamanya orang bukan Melayu.

Kita tahulah, pilihanraya, parti politik, ini atas persepsi. Kita boleh bercakap apa pun tetapi persepsi orang begitu, digambarkan begitu. Jadi, kita kata dua parti dominan pembangkang – PAS dengan DAP – selagi orang Melayu takut kepada DAP, selagi DAP takut kepada PAS, selagi itulah BN akan berkuasa.

Ini trend politk dalam negara kita. Sebab itu kita lihat pada tahun 1986, 1994 dan 1999, isunya banyak, tetapi kita hendak bawa orang Cina mengundi PAS, orang PAS mengundi DAP memang agak sukar, walaupun kami di peringkat pimpinan, boleh bertemu dan berbincang.
Oleh kerana berlaku peristiwa (perhimpunan besar) Bersih, Hindraf , kemudian dengan (krisis badan) kehakiman, (kes) VK Lingam, berlaku kenaikan harga minyak pada waktu tu, kenaikan harga barang, maka rakyat kali ini tidak peduli, sampai orang buat khidmat pesanan ringkas (SMS) mudah – ABU – Asalkan Bukan Umno – kita undi.

Tuan Haji lihat peralihan  undi daripada golongan Cina ini menggambarkan mereka mula menerima dasar-dasar PAS, bersifat sementara kerana tidak sukakan BN atau tanda demokrasi kita makin matang?

Saya melihat tanda demokrasi semakin matang. Perkara ini bukan jadi dengan begitu saja, walaupun ia tsunami. PAS sendiri membuat pendekatan dengan orang bukan Melayu ini secara agak agresif, bermula pada pilihanraya umum 1986 melalui Majlis Perundingan Cina (CCC). Tetapi oleh kerana badan itu kecil, ia kurang berjaya.

Kemudian, kita terus dengan DAP pada tahun 1999. Tetapi propaganda BN menyebabkan orang Tionghua sendiri takut untuk mengundi DAP. Disebarkan di Pulau Pinang (foto) Lim Kit Siang pakai serban dalam pilihanraya itu. Jadi, itu propaganda. Jadi, sampai bila rakyat Malaysia hendak berada dalam suasana itu? 

Sekarang ini rakyat Malaysia ada akses kepada internet, kepada laman-laman web, blog dan sebagainya.

Jadi, teknologi informasi membantu kemenangan PAS?

Ya, juga pendekatan PAS kebelakangan ini.

Tetapi adakah dasar-dasar PAS itu dapat diterima?

Kita tidak kata mereka menerima secara bulat. Sekarang ini mereka datang dengar penerangan langsung daripada kita. Dan saya rasa perubahan ini tidak sementara. Tetapi kita tidak boleh diam begitu sahaja. Kena teruskan pendekatan yang dibuat.

Bagaimana faktor Anwar Ibrahim memainkan peranan mengubah undi?

Faktor Anwar Ibrahim di kalangan orang bukan Melayu. Beliau hendak memperkenalkan dasar baru. Walaupun beliau tidak lagi meletakkan apakah dasar baru itu, tetapi memberi harapan kepada orang bukan Melayu.

Bagi orang Melayu, faktornya ada tetapi tidak sebesar mana. Kepada orang bukan Melayu, memberikan harapan.

Bagaimana peranan beliau menggabungkan ketiga-tiga parti dalam Pakatan?

Setakat ini, kita di peringkat jawatankuasa penyelaras. Sudah ada di peringkat pusat. Ia berjalan dengan baik di Perak dan di lain-lain negeri. Kita buat dalam bentuk mesyuarat. Pertama sekali, Pakatan ini berjalan dengan baik walaupun kita, majoritinya kecil di Perak ini, tetapi berjalan dengan baik.

Selain itu ada dakwaan PKR mendominasi Pakatan sedangkan semua parti-parti yang bergabung bersetuju tiada pihak lebih besar dalam Pakatan.

Iyalah, siapa pun mendapat kerusi lebih, jadi mereka merasa mereka hebat. Biasalah itu. Macam dalam BN, Umno kerusi terbanyak. Sekarang dalam Pakatan, dalam pilihanraya lepas, keadilan yang
terbanyak (dengan) 31 kerusi, DAP 28 kerusi, PAS 22 kerusi. Jadi, kalau orang-orang PKR merasakan begitu, tidak ada masalah. Sebab dia masa sekarang ini mendahului daripada sudut jumlah kerusi.
Tetapi dominan saya tidak nampak, tidak timbul dalam parti (PAS) ini.

Anwar Ibrahim yang dominan membuat kenyataan bagi pihak Pakatan, adakah itu juga pandangan bersama PAS dan DAP bersama?

Kenyataan Anwar dalam bentuk umum, kita kata itu pandangan beliaulah. Jadi, beliau sendiri pun jarang membuat kenyataan di atas nama Pakatan Rakyat, di atas nama peribadi dia. Tetapi kenyataan
misalnya kalau memerintah, harga minyak akan turun, walaupun itu peribadi, tetapi itu boleh diterima akal. Itu tidak ada masalah.

PAS setuju bincang dengan DAP dan masalahnya persepsi media?

Orang Melayu tidak ada masalah dah sejak tahun 1999 lagi. Tetapi kita faham masalah DAP ini, orang Cina takut kepada negara Islam. Sebab itu kita kata, persefahaman, perundingan itu banyak berlaku dan orang tengahnya adalah PKR.

Persefahaman parti-parti dalam Pakatan dikatakan sebagai “tersimpul mati”?

(Ketawa) Tidak sampai “tersimpul mati”. Itu bahasa saya. Itu hendak gambarkan perpaduan, sebab dalam politik ini, payah hendak baca. Buat masa sekarang, Pakatan itu makin baik.

Maksudnya PAS masih merisaukan hubungan dalam Pakatan di masa akan datang? Begitu? Tidak “tersimpul mati” itu maksudnya ada kerisauan lagi.

Ya, Kita kena terbukalah. Sikap parti politik ini memang begitu keadaannya.

Tetapi kerunsingan utama PAS atas dasar apa?

Politik ini adalah saingan kuasa. Dan PAS tidak dapat lari, kelangsungannya selama 57 tahun di atas dasar Islam. Sebab itu kita hendak mempertahankan dasar, dalam masa yang sama bekerjasama dengan orang lain. Bila ahli kita melihat PAS tidak lagi memperdulikan soal dasar dan sebagainya, itulah yang merunsingkan kita.

Jadi, jaminan hendak mempertahankan perlembagaan PAS, sebab apabila tandatangan saja borang PAS, kalau dia seorang cikgu, mungkin dia kena tukar. Kalau dia pegawai, mungkin tidak naik pangkat. Dan dia memilih PAS kerana dia menjunjung dasar yang kita janjikan.

Sebab dalam Pakatan, kita hendak berkawan dan bagaimana dengan mempertahankan dasar kita itu. Ini yang menjadi, bukan kerunsingan, tetapi antara cabaran yang kita kena (hadapi)…

Oleh kerana hubungan persefahaman yang kuat setakat ini, kenapa ada suara-suara dalam PAS ingin berunding dengan Umno?

Begini, berunding bukan hendak berkuasa bersama. Sebab ada di kalangan pemimpin dan ahli-ali PAS melihat orang-orang Islam berpolitik, bergaduh dalam semua perkara.

Kita lihat misalnya kalau di kalangan parti-parti politik bukan Melayu ini, ini fikiran orang yang hendak berbincang dengan Umno, kita lihat dalam isu pelajaran, DAP dan MCA berlainan parti tetapi bercakap
mempertahankan hak bangsa, kaum mereka senada. Ada juga di kalangan intelektual Melayu senada, kenapa  orang Islam tidak boleh buat begitu?

Dalam Pakatan, apa masalah lain yang dihadapi untuk ke depan?

Bagi kami, itulah, dalam hendak mempertahankan dasar Islam dan DAP yang secara terang menyebut mereka menolak negara Islam dan sebagainya, bagaimana dua kumpulan ini hendak bnekerjasama. Ini
merupakan cabaran yang besar kepada kami. Tetapi kami tidak melihat itu sebagai satu masalah yang tidak boleh selesai.

Yang paling penting sekali ialah bersedia duduk semeja berunding. Itu yang paling penting.

Macam mana hendak selesai? Baru-baru ini, dalam kongres DAP, beberapa perwakilan mendakwa PAS tidak menghargai undi bukan Melayu kerana hendak melaksanakam undang-undang Islam, sedangkan DAP tetap dari dulu hingga sekarang menolak sebarang usaha menjadikan Malaysia sebagai negara teokratik. Bagaimana kita hendak mempertemukan kedua-dua pandangan itu?

Ini satu cabaran kepada kita. (Penyelesaian objektif) A, B, C, D tidak boleh. Ini soalan kemanusiaan, soal persepsi. Bagi kita, pencapaian setakat ini pun orang PAS mengundi calon DAP, orang Cina
mengundi calon PAS. Itu sudah besar. Jadi yang lain-lain, prosesnya mesti melalui pertemuan dan perundingan. Akan ada pantang laranglah.

Setakat mana PAS boleh bertolak ansur tentang dasar, undang-undang Islam?

Sekurang-kurangnya paling minimum ialah perlembagaaan, Islam agama rasmi, kuasa Islam di peringkat negeri dan sebagainya. Dan saya rasa DAP pun tidak ada masalah. Di sini ada pertemuan. Dan kita pun sebut, kalau di peringkat persamaan undang-undang syariat, dia akan kena pada orang Islam.

Iyalah, tetapi itu pun tidak dapat diterima oleh DAP untuk penguatkuasaan undang-undang Islam itu?

Tidak mengapa. Dari masa ke semasa kita bincang teruslah, kalau kita hendak menjadi parti pemerintah. Tidak menjadi masalah kepada kita untuk terus berbincang. Macam sekarang ini, kita boleh berjalan di Perak, di Selangor.

Jadi, adakah Tuan Haji melihat sebuah jalan yang sukar oleh PAS dalam Pakatan untuk tempoh akan datang?

Sukar tetapi boleh dilalui. Sukar sebab kita mentadbir manusia. (Ketawa) Umno sama Umno pun kita tengok lagi teruk. Tidak ada benda yang tidak boleh kita cabar, benda-benda seperti ini.

Sekarang ini PAS disebut-sebut mempunyai dua aliran, pertama moderat, kedua konservatif. Apa komen Tuan Haji?

Itu biasa dalam mana-mana parti politik dan aliran pemikiran. Jadi, parti politik yang mencecah sejuta, aliran-alirannya itu adalah perkara biasa. Tetapi sudah tentu keputusan parti, keputusan muktamar itu yang didokong bersama. Aliran pemikiran tidak ada masalah.

Maksudnya wujud?

Dalam mana-mana parti politik biasalah. Macam Umno dulu, kononnya ada aliran kiri, ada aliran kanan. Tetapi mereka itu Umno-lah. Ini pun semacamlah, ada dikatakan aliran keras, ada aliran sederhana. Tetapi semuanya mendokong dasar Islam. Bagi saya berlainan pendekatan itu lumrah.

Sebenarnya, berapa aliran dalam PAS setakat ini?

(Ketawa) Satu aliran saja, aliran Islam.

Apa perbezaan antara kedua-dua aliran tadi (konservatif dan moderat)?

Kalau di sebelah Pantai Barat, tentulah kecenderungan hendak mendekatkan ideologi Islam kepada non-muslim menjadi agenda utama. Kalau di sebelah Pantai Timur, bagaimana hendak mendekatkan Islam kepada orang yang sudah Islam menjadi agenda utama.

Jadi, kalau kita lihat, secara individunya, orang-orang itu, tidak ada perbezaan sama ada satu kumpulan menerima pandangan komunis (contohnya) atau satu kumpulan pandangan Islam. Tidak ada sampai ke peringkat itu.

(Ketawa) macam kita kata, gaya belah rambut sahaja. Sama ada hendak belah tengah atau belah tepi. Sampai peringkat pertarungan ideologi dalam parti, itu tidak ada.

Tuan Haji dengar, baru-baru ini ada satu kumpulan dalam PAS dikenali sebagai Kumpulan Erdogan disebut dalam sebuah blog.  Katanya Kumpulan Erdogan ini diketuai Datu Husam Musa.  Beberapa pemimpin PAS diletakkan dalam kategori ini?

Saya berpendapat, begitulah, kalau ada, pandangan-pandangan peribadi, tetapi semuanya bekerja dalam konsep tidak lari daripada dasar Islam tadi.

Tetapi kumpulan ini wujud atau tidak dari segi kesefahaman, ideologi dan pendekatan yang serupa?

Tidak ada, tidak ada. Saya tidak nampak ada.

sumber mkini

Advertisements

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

6 responses to “Teks wawancara Mohamad Sabu Dengan Malaysiakini

  1. A Tribute to RPK For Your Dreams. (Suatu Penghormatan kepada RPK atas Impian Mu)
    ———————————————————

    The latest news about RPK in Malaysiakini and Malaysia Today, that he would be detained under the ISA have moved me to dedicate this speech by one of the great Freedom Fighters in the world, Martin Luther King Jr. ” I Have a Dream” to him.

    (Berita terbaru tentang RPK di Malaysiakini dan Malaysia Today, bahawa beliau akan ditahan dibawah ISA telah mengharukan hati saya untuk mendedikasikan ucapan oleh seorang Pejuang Kebebasan Dunia, Martin Luther King Jr. bertajuk “Saya ada Impian” kepada beliau.)

    Let us reminiscent over it at http://patek1472.wordpress.com

    (Marilah kita mengenangkan tentangnya di http://patek1472.wordpress.com )

  2. Patek..patek!
    Kamu ini nak samakan Martin Luther King Jr. dengan si dia ini apalah punya haparak kepala otak engkau ini!.RPK ini biarlah dia ini Rest in Peace di Kemunting.Itu adalah tempat sebaik-baik baginya..kalau ikutkan hati mamak dia patut di masuk kat Tanjung Rambutan je!.Terlalu Illusi dalam kepala otak dia ini!.Hang tanyalah wartawan-wartawan yang ada ini hah…tulisannya hanya boleh buat novel…kamukan suka script filem kamu jadikanlah tulisan dia ini buat filem ….kalau filem Hindustan mamak boleh jadi producer!.Lepas Raya iniMai kita bollywood!!!.Tolonglah jangan umpakan dengan dia ini dengan Dr.King ,marah American Blacks!!!!.

  3. Patek..

    RPK tak layak langsung nak dikatakan pejuang rakyat..pejuang bacul yang bertopengkan kepandaian mencipta suasana kecelaruan dalam masyarakat dengan mempolitikkan keperibadian Rasullullah SAW yang amat kita kasihi..

    Kecelaruan minda ditambah dengan penasihat khas – isteri mualaf menjadikan RPK tuli dalam mengenali erti perjuangan..mensensasikan cerita dan memporakperandakan kehidupan orang lain dah jadi asam garam kehidupan RPK..blognya penuh dengan unsur fitnah, benci dan dendam terutama terhadap bangsanya sendiri..atau apakah RPK jugak sudah hilang jatidiri kemelayuannya..aku rasa dah nampak bukti2 itu..

    Martin Luther berjuang dengan ikhlas dan keikhlasan itu nampak bermakna dengan kebebasan bangsanya..tapi RPK? berjuang atas fahaman dan dakyah sendiri..berjuang membuta tuli dengan mempolitikkan agama..berjuang untuk menyempitkan minda Melayu yang sedia sempit..melaga2kan melayu persis ejen yahudi ..itu bukan pejuang..itu petualang..

  4. AbangTuah

    SALAM,

    TAHNIAH, KEPADA WEBLOG PEMUDAENGGANG DAN MR. MODERATOR.

    COUNTER PELAWAT TELAH MENCECAH MELEBIHI 300,000. , SATU PENCAPAIAN YANG MEMBANGGAKAN!!

  5. Salam Putera,

    Hang Memang hebat!.Tentag Ust.Mat Sabu ini teringat wawancara oleh sebuah majallah Islam pernah mengelar “Anwar ini lebih ganas dari TDM!!!agaknya wartawan pro-keadilan itu lupa tanya Ust.Mat Sabu agaknya!.Mungkin masa itu kawasan Parlimen Permatang Pauh kubu kuat PAS jatuh ketangan BN agaknya!.

  6. Kuntakinte

    Salam, teman berbangga teman salah seorang penyumbang counter pelawat 300r abang tuah.

    Sahabat2 semua sihat ke? kuntakinte nak ambil kesempatan nak ucapkan Selamat habis kan puasa dan Selamat menyabut Aidil Fitri semuga semua berbahagia, aman sentosa, hidup sejahtera. dan maaf pada semua sekiranya berlaku kesalahan bahasa dan penulisan. wassalam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s