Daily Archives: September 18, 2008

Anwar Di Mata Ketua Demonstrasi Baling 1974

Anwar sentiasa kaya muslihat untuk perdaya orang ramai

Abdul Rahman Sulaiman

SEPERTI diduga dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan melalui pembelotan ahli Parlimen Barisan Nasional pada hari ulang tahun pembentukan negara Malaysia, kelmarin jelas meleset.

Hari Selasa, 16 September berlalu begitu saja tanpa sebarang peristiwa mengejutkan walaupun beberapa jalan utama di Kuala Lumpur pada hari itu agak lengang. Mungkin ada yang takut untuk keluar, terutama selepas polis memberi amaran untuk bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang mungkin mengadakan tunjuk perasaan atau cuba menimbulkan kekacauan.

Bagaimanapun, pejabat kerajaan dan gedung perniagaan dibuka seperti biasa dengan orang ramai menjalankan urusan masing-masing seperti lazimnya.

Sebenarnya penulis adalah salah seorang daripada mereka yang tidak pernah terdetik di dalam hati untuk mempercayai rancangan pembelotan ahli Parlimen BN itu seperti pernah dibayangkan dalam ruangan ini beberapa kali.

Anehnya, sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 hampir enam bulan lalu, seluruh negara seolah-olah berada dalam penantian menunggu peralihan kuasa yang diuar-uarkan itu. Mengapa ini berlaku? Sebabnya tentulah banyak. Sebahagian daripadanya terletak pada batang tubuh Anwar sendiri.

Sejak zaman remajanya, bermula sebagai pemimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) pada penghujung tahun 60-an sehinggalah kepada zaman beliau memimpin Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pergerakan Pemuda Umno, Naib Presiden serta Timbalan Presiden Umno, beliau berjaya menonjolkan imej dan kredibiliti yang cemerlang sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah sebagai manusia, beliau tidak mempunyai sebarang kelemahan dan kecacatan.

Walaupun ada masa-masanya imej beliau mengalami musim pasang surut, beliau berjaya mengatasinya secara pantas dengan kebijaksanaannya mempermainkan emosi orang ramai. Pada satu segi, atas kebijaksanaan beliau memanfaatkan the art of deception ini, beliau patut diberikan sekalung tahniah.

Ada beberapa lagi sifat semula jadi Anwar yang mungkin tiada pada pemimpin lain. Antaranya beliau cukup fokus terhadap sesuatu yang ingin dicapainya, bijak meyakinkan orang dengan hujahnya dan sanggup mengorbankan dirinya untuk mencapai sesuatu di samping mahir berpidato.

Penulis tidak pernah lupa bagaimana beliau dan rakannya dalam PKPIM meyakinkan penulis untuk terus mengetuai kumpulan mahasiswa di Pulau Pinang berdemonstrasi berminggu-minggu berhubung isu kemiskinan di Baling pada 1974 sehinggalah polis bertindak.

Hanya selepas ditahan polis baru disedari bahawa cerita mengenai penduduk kampung di Baling yang mati kebuluran hanya cerita rekaan yang ditokok tambah untuk menyedapkan cerita.

Begitu juga dengan keputusan beliau untuk menentang Tun Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden semasa berada dalam Umno dulu. Pada awalnya ramai rakan tidak bersetuju dengan rancangan itu kerana beliau masih baru dalam Umno, tetapi akhirnya semua akur apabila beliau berjaya meyakinkan bahawa itu adalah kehendak akar umbi parti atau kerana adanya apa yang dikatakan groundswell.

Sebenarnya groundswell itu beliau sendiri yang mewujudkan dengan orang-orang kuatnya sebelum itu.

Betapa beliau sanggup mengorbankan dirinya untuk mendapat simpati orang ramai jelas dapat dilihat daripada kesanggupannya menghadapi tahanan ISA beberapa kali serta kesediaan beliau berhujan dan berpanas memimpin gerakan Reformasi tanpa menghiraukan kesihatan diri apabila beliau dipecat daripada kerajaan pada 1998.

Itulah dia Anwar yang penulis kenal. Ada pihak berpendapat selepas dakwaannya untuk menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pada 16 September gagal, kredibiliti beliau akan terjejas teruk dan orang tidak akan mempercayai lagi kata-katanya.

Pada pendapat penulis, kalau pun ini benar, ia hanya bersifat sementara. Dalam tempoh terdekat, nama Anwar akan melantun semula. Lihat saja bagaimana beliau dengan cara yang bersahaja mendakwa bahawa satu pertemuan akan diadakan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, untuk membincangkan soal peralihan kuasa secara teratur.

Untuk itu, Anwar mendakwa menulis surat kepada Abdullah. Abdullah yang mengakui menerima surat tersebut menjelaskan bahawa apa yang diperkatakan dalam surat itu hanya perkara umum dan langsung tidak timbul soal penyerahan kuasa.

Anwar juga mendakwa sudah mempunyai senarai 31 orang anggota Parlimen BN, kebanyakannya daripada Umno yang sudah bersetuju untuk melompat ke pihak beliau.

Seperti yang dijelaskan oleh Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini hanyalah satu taktik untuk memerangkap Perdana Menteri. Adalah dipercaya bahawa selepas gagal memujuk anggota BN melompat pada 16 September, pemimpin PKR itu masih mempunyai banyak taktik untuk digunakan apabila tiba masanya.

Dengan itu beliau akan terus bertindak dengan pelbagai kerenah untuk memesongkan pemikiran orang ramai dan melemahkan kerajaan yang ada. Ketidakstabilan politik yang wujud sekarang akan berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Seorang teman wartawan bertanyakan cara terbaik untuk mengendalikan kenyataan Anwar selepas ini selepas jelas bahawa sebahagian kenyataan beliau didapati tidak benar atau menyangsikan. Jawapan penulis ringkas, iaitu ‘Pandai-pandai sendirilah’.

Media pasti tidak mampu menghitamkan (blackout) kenyataan beliau kerana beliau kini adalah ketua pembangkang di Dewan Rakyat. Kalau pun media memilih tidak menyiarkan kenyataan Anwar, beliau sendiri mempunyai ramai rakan bloggers yang bersimpati di samping mempunyai blog sendiri untuk memuatkan apa saja kenyataan yang beliau keluarkan.

Media asing juga rata-rata menganggap Anwar sebagai kekasih. Bagi kerajaan, Umno dan BN, opsyen mereka juga terhad. Kalau selama ini dengan kekuatan dan kecanggihan jentera penerangan yang ada di samping pekerja parti yang jauh lebih ramai mereka mendapatinya sukar, bagaimana pula dalam keadaan parti yang mungkin berpecah dan lemah.

Jelaslah bahawa untuk mengatasi Anwar, Umno dan BN perlu ada orang yang memiliki kredibiliti lebih baik daripada beliau. Tumpuan perlu diberikan kepada soal penonjolan imej dan pembinaan persepsi. Seperti yang lazim dikatakan, politik itu tidak lebih dari permainan imej dan persepsi. – Berita Harian

Datuk Abdul Rahman Sulaiman adalah bekas Ketua Pengarang Bernama

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PM mungkin bersara awal – Malaysiakini

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau menyerahkan jawatan menteri kewangan kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengambil alih jawatan menteri pertahanan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar tengahari ini, Abdullah berkata, pertukaran jawatan itu berkuatkuasa serta merta.

Perdana menteri yang memegang jawatan menteri kewangan sejak 2004 berkata, beliau telah memaklumkan keputusannya itu kepada kabinet.

Abdullah yang juga presiden Umno berkata, beliau mungkin bersara lebih awal daripada tahun 2010 bergantung kepada prestasi Najib.

“Tempoh waktunya fleksibel. Ia mungkin jika saya mahu pergi lebih awal tetapi tidak melangkaui 2010,” katanya. Najib turut hadir.

Abdullah berkata pelan peralihan kuasa itu antara lain bergantung kepada prestasi Najib.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin tersebut tetap berpegang kepada pelan peralihan kuasa pada 2010.

Abdullah berkata, beliau dan Najib akan mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan Umno Disember ini.

Najib turut hadir di sidang akhbar tersebut dan apabila ditanya komennya, menjawab: “Kami telah bersetuju. Saya menyerahkannya kepada parti. Kami menawarkan diri kepada parti dan saya berharap mereka akan menerimanya”.

Najib juga turut dilantik sebagai timbalan pengerusi badan pelaburan kerajaan, Khazanah Holdings.

Terdapat desakan yang semakin meningkat ke atas Abdullah supaya bersara lebih awal, tetapi kini nampaknya Najib telah mencapai persetujuan dengan bosnya itu untuk menenangkan tuntutan dari akar umbi Umno.

Kedua-dua mereka kini berdepan dengan kekalutan politik yang berpunca daripada pergeseran dalam Umno, di tengah-tengah cabaran ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha untuk menubuhkan kerajaan baru.

nota: Mubarak juga ingin peralihan kuasa ini dipercepatkan. Apa2 pun tekanan terhadap PM, penulis percaya Pak Lah mempunyai alasan yang kuat utk tidak bersara awal. Seorang pemimpin haruslah memimpin dengan tanggungjawab. Mungkin dengan sifat ini Pak Lah tidak mahu bersara awal, masih ada kerja yang masih belum selesai.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Penulis blog Kickdefella ditahan bawah Akta Hasutan

Penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Aziz, ditahan polis di rumahnya di Demit di sini mengikut Akta Hasutan.

Isteri Syed Azidi, Bariah Ishak berkata, polis yang datang ke rumah mereka dengan menaiki sebuah Pajero berwarna putih dan bercermin gelap, menahan suaminya 5.05 petang.

“Tiga lelaki, yang berpakaian preman, datang ke rumah kami dan memaklumkan bahawa mereka datang untuk menahan suami saya di bawah Akta Hasutan.

“Mereka datang dengan baik walaupun tidak mempunyai waran untuk menahan suami saya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, salah seorang daripada pegawai polis itu memaklumkan suaminya akan dibawa ke Kuala Lumpur hari ini untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC II Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi tidak dapat mengesahkan mengenai tangkapan itu kerana tiada maklumat yang diterima oleh polis Kelantan mengenainya.

“Kita akan periksa dahulu mengenai perkara itu,” katanya.

Syed Azidi, 38, adalah Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Menerusi blog Kickdefella, beliau pernah pernah mencadangkan agar bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik semasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Beliau juga pernah mengarahkan filem pendek bertajuk ‘Lautan Biru di Waktu Subuh’.

nota: diharap para pembaca dapat menjaga tatasusila ketika memberi komen di laman ini. sejak kebelakangan ini terdapat banyak komen2 yang tidak diluluskan oleh moderator kerana terlalu ‘keras’ dan ‘kasar’. perlu diingatkan kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab. terima kasih atas sokongan anda kepada laman weblog ini.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda