Daily Archives: October 1, 2008

Tak Patut Bergantung MP Lompat —- Malaysiakini

DAP menentang sebarang penyeberangan ahli-ahli Parlimen walau apa pun jua alasannya, tegas Pengerusi DAP Karpal Singh.

.
“Mestilah difahami dengan jelas bahawa DAP menentang sebarang penyeberangan untuk apa jua alasan,” The Sun memetik penegasan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu.
.
Malah, beliau menyifatkan sebarang penyeberangan ahli-ahli Parlimen menyertai Pakatan Rakyat (PR) adalah “sangat dikesalkan dan tidak beretika”.
.
Beliau berkata, PR tidak sepatutnya bergantung kepada “anasir-anasir pengkhianat dan tidak setia” dari Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baru.
.
PR, katanya, akan berhadapan dengan risiko kehilangan sokongan rakyat di dalam pilihan raya akan datang jika ia menubuhkan kerajaan pusat dengan penyeberangan itu.
.
PR, katanya lagi, tidak sepatutnya bergantung kepada ahli-ahli Parlimen yang tidak setia untuk berada di dalam kerajaan. “Rakyat tidak akan menerima pengkhianatan sedemikian,” tegas beliau.
.
Sebaliknya, kata Karpal, PR hendaklah berusaha sendiri untuk mendapatkan sokongan rakyat bagi menubuhkan kerajaan.
.
Beliau menyatakan kekesalannya kerana kerajaan tidak bersedia menggubal undang-undang anti lompat parti.
.
Walaupun Parti Bersatu Sabah (PBS) telah mewujudkan undang-undang anti lompat parti ketika parti itu memerintah Sabah dari 1985 hingga 1994, tetapi undang-undang itu diisytiharkan bertentangan dengan Perlembagaan.
.
Mahkamah juga menolak pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan yang menyatakan kerusi seseorang Adun hendaklah diisytiharkan kosong apabila ia tidak lagi menjadi ahli parti asalnya ketika bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi Adun dalam kes antara Nordin Salleh dan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1992.
.
Pindaan itu disifatkan bertentangan dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Malaysia yang mengizinkan kebebasan berpesatuan.
.
Beliau mempersalahkan kerajaan BN kerana enggan meminda Perlembagaan untuk mengharamkan perbuatan lompat parti.
.

Beliau telah menyarankan bahawa DAP akan menyokong undang-undang anti lompat parti untuk membolehkan ia mendapat sokongan dua pertiga yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan – harakahdaily

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Umno cabar Anwar umum nama MP BN – malaysiakini

Umno mencabar Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang didakwa telah menyatakan sokongan untuk melompat ke perikatan pembangkang itu.

“Nampaknya drama Penasihat (Parti Keadilan Rakyat) PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin hari semakin tidak ada penghujungnya.

“Sepatutnya ‘drama’ tersebut berakhir pada 16 September lalu, tapi nampaknya kena disambung lagi. Itupun tidak tahu bila?” kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib hari ini.

Pada 1 April lalu, Anwar mengumumkan pembentukan Pakatan Rakyat dan sekali gus menetapkan 16 September sebagai tarikh membentuk kerajaan baru persekutuan.

Bagaimanapun Isnin lalu, Anwar hanya mengumumkan pihaknya sudah ada cukup anggota untuk mengambil alih kerajaan persekutuan dan mahu menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi tujuan peralihan kerajaan secara lancar dan aman.

Abdullah telah menolak permintaan itu dan satu lagi permintaan Pakatan Rakyat, yang mahu Parlimen mengadakan sidang khas pada Selasa ini – yang hanya boleh dibuat dengan arahan Perdana Menteri.

Malah, Abdullah juga telah meminta supaya Anwar dan Pakatan Rakyat mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen BN yang telah pun menyatakan sokongan kepada mereka.

Oleh itu, kata Muhammad yang juga anggota Kabinet, bagi menamatkan ‘drama’ tersebut, beliau memberi tempoh 48 jam kepada Anwar untuk umum atau mendedahkan nama-nama Ahli Parlimen BN yang kononnya telah bersetuju menyertai pembangkang.

“Tempoh 48 jam itu bermula semalam, Sabtu dan menjelang Isnin jika benar ada Anwar perlu mengumumkan nama-nama tersebut,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu memberitahu, Anwar terus memainkan sentimen rakyat dengan menggembar-gemburkan isu Pakatan Rakyat akan mengambil alih Kerajaan Pusat, sedangkan “ia hanyalah lakonan semata-mata.”

“Kita cabar siarkan dalam tempoh 48 jam ini, siarkan kalau betul ada angka seperti mana yang dia dakwa, apa dia nak takut-takut,” kata beliau dalam blognya hari ini.

Muhammad mengakui, memang Umno dan BN tidak menafikan ada seorang dua yang akan menyertai Pakatan Rakyat tetapi jumlah itu tidak sehingga parti pembangkang boleh mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan.

“Saya ingat yang nak ‘lompat’ pun dua tiga orang sahaja daripada parti yang telah mengumumkan keluar daripada BN, yang lain tak ada.

“Ada pula timbul cerita, kononnya Anwar akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri jika mendedahkan nama-nama ahli BN terbabit merupakan satu lagi gimik Penasihat PKR itu sambil menyifatkannya seperti ‘macam budak-budak’,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Muhammad, beliau berharap rakyat dapat menilai sendiri tindak-tanduk Anwar yang terus menggambarkan keadaan ekonomi dan politik negara ini sedang bergolak sehingga boleh melemahkan serta mencemarkan imej negara.

Tegasnya, rakyat perlu berhenti daripada melihat ‘drama’ dan mempercayai pelbagai spekulasi yang dibangkitkan pembangkang terutamanya Anwar dan memberi kepercayaan kepada kerajaan BN untuk memimpin negara ini selepas diberi mandat sekali lagi pada pilihan raya Mac lalu. – mstar

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda