Pemimpin muda sukar naik dalam Umno – Malaysiakini

Ketua Umno bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, beliau menawarkan diri bertanding untuk jawatan timbalan presiden Umno sebagai mewakili suara orang muda dalam Umno.

“Saya menawarkan diri ini supaya diberi peluang untuk menarik orang muda, bukan sahaja yang ada dalam parti tetapi yang di luar supaya menyokong semula Umno.

“Orang muda dalam Umno susah hendak naik kerana birokrasi, iaitu kenaikan berdasarkan kekananan jawatan dalam parti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di ibu negara semalam.

Ahad lalu, Nur Jazlan,42, menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

Selain beliau, dua lagi pemimpin yang menawarkan diri bertanding jawatan tersebut ialah naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Nur Jazlan berkata, selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu, MT  nampaknya tidak begitu berupaya melakukan perubahan untuk menarik orang muda menyokong dan menyertai Umno.

“Sistem birokrasi dalam Umno menyebabkan orang perlu naik setapak demi setapak,” katanya.

‘Mesej orang muda’

“Parti (Umno) ada memberi tempat kepada orang muda tetapi lambat dan oleh kerana itu perlu mencari mekanisme supaya bakat baru dapat ke depan,” katanya.

Nur Jazlan berkata, beliau mula memikirkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno selepas Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Bagaimanapun, katanya, ia menjadi serius selepas Ahmad Zahid mengumumkan beliau bertanding jawatan tersebut baru-baru ini.

“Saya cuma menawarkan diri tetapi bahagian yang menentukan. Jika tidak cukup pencalonan, saya tidak layak bertanding.

“Jika tidak mendapat pencalonan mencukupi saya tidak kecil hati, saya masih siuman, saya tidak gila.

“Saya hendak menyampaikan mesej orang muda iaitu perubahan-perubahan yang dituntut oleh mereka.

“Orang muda perlukan seseorang dan sebenarnya tiada sebab untuk mereka tidak menyokong Umno,” katanya.

‘Tahu ukur baju’

Nur Jazlan berkata, niat beliau bertanding jawatan timbalan presiden Umno ialah untuk membawa perubahan dalam parti.

Katanya, dalam Umno hanya suara presiden dan timbalan presiden yang boleh membawa perubahan dalam parti.

“Jika wajar saya bertanding jawatan itu, maka calonkan saya tetapi saya tahu ukur baju di badan sendiri.

“Saya akan tulis surat kepada ketua-ketua Umno bahagian untuk menerangkan sebab-sebab saya bertanding,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau juga tidak pernah berunding dengan ketua-ketua Umno bahagian di Johor berhubung keputusannya untuk menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden.

Katanya, Umno perlu membuat perubahan dan meremajakan parti dengan cepat untuk menarik semula sokongan pengundi khususnya di kalangan orang muda.

Beliau berkata, orang muda dalam pembangkang telah diberi tempat  untuk memegang pelbagai jawatan seperti wakil rakyat dan menteri besar.

“Ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng umpamanya masih muda kerana baru berumur 40-an,” katanya.

Nur Jazlan pernah menjadi exco pergerakan Pemuda Umno selama lapan tahun iaitu dari 1996 hingga 2004.

Selain menjadi ahli Parlimen Pulai, beliau juga merupakan ketua Umno bahagian tersebut sejak 2003.

nota: tidak dinafikan bahawa golongan muda amat sukar utk ‘naik’ di dalam UMNO. ini adalah salah satu penyebab kenapa golongan muda kurang berminat utk berada di dalam UMNO itu sendiri. contoh terdekat ialah semasa di dalam PRU yang lepas, berapa ramai golongan muda diberi peluang utk menjadi calon BN. bukan niat penulis utk memuji pembangkang, tetapi realitinya strategi mereka meletakkan calon2 muda benar2 berkesan terutama bagi meraih undi dari golongan muda. perlu diingatkan bahawa golongan muda pada hari ini memerlukan ‘icon’ atau ‘role model’ utk menjadi ikutan mereka. Sebagai contoh beberapa golongan muda telah diberikan peluang oleh PKR spt YB Nik Nazmi dan YB Jenice Lee(DAP).

soalnya sekrg adakah ia memang budaya dalam UMNO itu sendiri yang menyekat golongan muda utk ‘naik’ sebagai pemimpin. perkara yang sama berlaku semasa salah seorang ahli pemuda menawarkan diri utk bertanding sebagai Naib ketua pemuda UMNO Ampang. kata-kata seperti ‘engkau masih muda dan mentah’, ‘kau dah jumpa ke kitaorang exco-exco pemuda sebelum nak bertanding ni’ serta ‘siapa kau utk bertanding naib ketua pemuda…exco pun bukan’ jelas menyokong hujah bahawa golongan muda disekat utk ‘naik’ di dalam UMNO.

Persoalan yang menarik lagi ialah apabila ingin bertanding utk satu jawatan tinggi di dalam UMNO itu, calon hendaklah melalui beberapa hierarki kuasa. Sebagai contoh ingin bertanding ketua pemuda, sebelum itu hendaklah berada di dalam kelompok exco dan kemudiannya naik sebagai naib ketua pemuda . Dah cukup syarat barulah boleh bertanding Ketua Pemuda. Adakah jawatan di dalam UMNO ini hak eksklusif bagi ahli-ahli exco sahaja??Atau mereka ini takut periuk nasi mereka tergugat apabila kepimpinan pemuda berubah?? Mana yang lebih penting periuk nasi sendiri atau kepentingan seluruh ahli pemuda??

Pemikiran kolot dan tamakkan kuasa ini menyebabkan ramai golongan muda mula menjauhkan diri dari UMNO. Ada dikalangan mereka yang menggangap UMNO ialah sebuah badan eksklusif yang hanya terbuka bagi kroni-kroni mereka.

Tidak ada fasal di dalam perlembagaan UMNO pun yang menghendaki seseorang itu perlu memanjat hierarki jawatan di dalam UMNO. Amat malang bagi UMNO kerana sesudah lebih setengah abad penubuhannya pemikiran ahli-ahli masih lagi tertutup dan kolot sehingga menyebabkan golongan muda mula mendekatkan diri mereka dengan parti pembangkang.

Salah satu lagi budaya yang agak songsang di dalam UMNO ialah menaikkan seseorang itu sebagai pemimpin hanya disebabkan atas dasar ihsan. Sebagai contoh ialah ingin mencalonkan seseorang itu sebagai ketua pemuda kerana beliau berada di dalam penggal terakhir peringkat umur pemuda iaitu 40tahun. Kenaikan atas dasar ihsan seperti ini jelas tidak memberi nilai kepada UMNO itu sendiri. Kenaikan ‘tangkap muat’ ini juga memakan UMNO itu sendiri. Ya tidak dinafikan yang tua kita hormati tetapi di dalam perjuangan politik yang tua atau yang muda, soal utama ialah kebolehan utk memimpin. Jangan mulut cakap lain, hati cakap lain nanti.

Perlu diingatkan bahawa golongan muda memerlukan pemimpin yang boleh dijadikan sebagai aspirasi, idol dan ‘role model’. Bukannya populariti!! Selagi pemikiran sempit berada di dalam minda ahli-ahli UMNO tidak mustahil UMNO akan dilabel tidak relevan dengan politik Malaysia.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s