Daily Archives: October 8, 2008

Kenyataan media Pak Lah – Malaysiakini

KENYATAAN MEDIA DATUK SERI ABDULLAH SELEPAS MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT DEWAN TERTINGGI BN DI KUALA LUMPUR DAN MENGUMUMKAN TIDAK PERTAHAN JAWATAN PRESIDEN

Saya telah berkhidmat kepada negara lebih dari 45 tahun. Saya telah berkhidmat sebagai penjawat awam dan juga sebagai seorang wakil rakyat. Saya telah bertugas sebagai ahli pentadbiran sehingga, Alhamdulillah, saya berpeluang untuk memegang jawatan yang tertinggi di dalam kerajaan. Saya telah melihat Malaysia melangkah maju dari sebuah negara yang miskin kepada sebuah negara yang moden dan disegani.

Walaupun prestasi pencapaian negara adalah membanggakan, saya percaya bahawa negara kita berada di sebuah persimpangan. Kita perlu berani membuat perubahan, kita perlu mempercepatkan evolusi dan proses pematangan. Sekiranya kita gagal membuat perubahan tersebut, segala pencapaian kita selama lebih 50 tahun mungkin tergadai. Dalam menghadapi perubahan dan transformasi ini, rakyat perlu berdiri teguh dan bersatu hati.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat. Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional berpecah belah. UMNO dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran-cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara yang maju – sebuah negara yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

Tempoh saya sebagai Presiden UMNO akan tamat pada bulan Mac 2009. Namun, ada beberapa inisiatif yang saya ingin laksanakan sebelum saya menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada bakal pengganti saya. Inisiatif-inisiatif ini adalah penting untuk membolehkan negara kita terus melangkah maju. Inisiatif-inisiatif ini akan memperbaiki daya saing negara dan membolehkan Malaysia mengharungi cabaran-cabaran luaran yang pasti mendatang. Saya menyeru seluruh rakyat agar bersatu bersama saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.

Pertama, institusi negara perlu diperkukuhkan:

– Badan kehakiman perlu memperkukuhkan kedudukan dan kredibilitinya di mata rakyat. Saya akan membawa rang undang-undang ke Parlimen bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya ini akan diberi mandat untuk mencadangkan pelantikan para hakim dengan cara yang telus.

Negara juga memerlukan sebuah institusi yang dapat memerangi gejala rasuah dengan efektif. Oleh itu, saya juga akan membawa rang undang-undang ke parlimen untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang akan mempunyai kuasa penyelidikan dan penguatkuasaan yang lebih besar berbanding kuasa yang sedia ada pada Badan Pencegah Rasuah.

· Saya juga akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

6. Kedua, saya telah begitu kerap dan sering menegaskan bahawa kekayaan dan hasil kemakmuran Negara perlu diagihkan secara lebih adil ke serata Negara. Ketika membentangkan Bajet 2009 yang lalu,saya telah menjelaskan tentang komitmen Kerajaan untuk memperkukuh dan memperluaskan Jaringan Keselamatan Sosial. Kita akan meningkatkan usaha bagi memastikan perlaksanaan inisiatif ini dapat disegerakan bagi membantu rakyat Malaysia yang miskin dan memerlukan, tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama. Saya juga akan bekerja keras untuk memastikan manfaat yang jelas akan dapat mula dinikmati di Iskandar, dan juga koridor-koridor pembangunan yang lain di serata Negara.

7. Ketiga, saya ingin melihat Kerajaan dan Barisan Nasional memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah Negara yang bersatu dan harmoni. Hakikatnya, kita telah sama-sama melihat bahawa keharmonian hubungan antara kaum dan agama semakin merosot dan terhakis. Pelbagai isu telah dibangkitkan yang berupaya meretak dan menghancurkan perpaduan yang telah kita jalin sekian lama, yang kita banggakan selama ini. Isu-isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, melalui dialog; tangani isu-isu ini secara konstruktif dan adil; bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan; dan berikan fokus kepada aspek-aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek-aspek yang makin memecah-belahkan kita semua. Bagi tujuan ini, saya akan mengadakan Konvensyen Barisan Nasional pada awal tahun depan. Ini sememangnya satu usaha jangka panjang yang saya harap dapat saya mulakan dan akan terus saya berikan sumbangan bagi memastikan kejayaannya.

8. Saya serius dan komited untuk mencapai segala misi yang saya gagaskan, dan saya yakin bakal pengganti saya akan meneruskan usaha-usaha ini. Saya ingin menyerahkan kepada bakal pengganti saya, Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu untuk berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global; Malaysia yang tidak mengira atau memandang miskin atau kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan, apatah lagi kaum atau agama; melainkan peraduan dan keharmonian. Ini bukan masanya untuk kita berbalah sesama sendiri atau untuk kita berpolitik secara sempit. Ini adalah masa untuk memperkukuhkan peraduan dan kerjasama antara kita Ini adalah masa untuk kita meletakkan kepentingan negara di hadapan, mengatasi segalanya.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PM Tidak Pertahankan Jawatan Presiden UMNO – REF Malaysiakini

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Presiden Umno Mac depan, sekali gus dijangka akan membuka luas gelanggang persaingan pemilihan parti kali ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman lusa sama ada bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Dengan keputusan Abdullah, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sudah pasti akan dicalonkan merebut jawatan Presiden.

Ia diumumkan oleh Abdullah pada pertemuan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang bertemu di Menara Dato’ Onn sebentar tadi.

Abdullah mengetuai Umno sejak Oktobet 2003 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Beliau, Presiden Umno yang keenam menang tanpa dicabar pada pemilihan 2004.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bermula pukul 3.45 petang dan berlangsung lebih sejam.

Persidangan perwakilan bahagian Umno bermula esok.

Pendirian itu selari dengan pelan peralihan kuasa antara beliau dengan timbalannya, Datuk Seri Mohd, Najib Tun Razak.

Terdahulu, Menara Dato’ Onn yang menempatkan Ibu Pejabat Umno menjadi tumpuan dengan kawasan pekarangan premis itu sudah sesak dengan orang ramai yang menanti pendirian Abdullah.

Penyokong-penyokong Abdullah berkumpul di pekarangan Menara Dato’ Onn dengan membawa sepanduk tertera mesej “Hormati Peralihan Kuasa, Elakkan Perpecahan Lagi” sambil melaungkan “Hidup Pak Lah”.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak tiba pukul 3.25 petang.

Abdullah tiba 10 minit kemudian untuk mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, yang disusuli dengan laungan “Hidup Pak Lah” dan “Pak Lah Presiden, Najib Timbalan”.

Abdullah akan memperjelaskan pemimpin komponen BN tentang pelan peralihan kuasa beliau dengan Najib. – mstar

nota: Terima Kasih Pak Lah kerana mendengar pandangan akar umbi. Sudah pasti jasa2 Pak Lah akan diingati oleh rakyat. Difahamkan juga bahawa Pak Lah akan mula bercuti dua bulan sebelum tarikh penyerahan kuasa kepada pengganti beliau.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Jangan Guna WANG!!! -Malaysiakini

Menjelang persidangan perwakilan bahagian yang bermula esok, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen hari ini memberi amaran kepada ahli-ahli Umno yang bertanding tidak amalkan politik wang.

“Saya ingin memberi amaran kepada sesiapa yang bertanding, tidak bertanding atau minat seseorang calon juga gunakan politik wang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Disiplin di sini hari ini.

Setakat ini lembaga berkenaan telah menerima 512 aduan politik wang.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pengumuman Pak Lah Jam 3.30 ptg hari ini – Malaysiakini

1.  Dijangkan satu pengumuman penting akan dibuat penting ini selepas mesyuarat MT BN.

2. Banyak spekulasi diwar-warkan mengenai pengumuman ini.

3. Pengumuman yang bakal dibuat akan menentukan hala tuju kepimpinan negara.

4. Ada juga pihak berkata bahawa Pak Lah akan mempertahankan jawatan beliau. Ada pula kata beliau tidak akan bertanding.

5. Pelbagai andaian boleh dibuat atas dasar politik. Tapi yang penting ialah apapun keputusan yang dibuat hendaklah dibuat atas kepentingan rakyat.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Lupakan Anwar, tumpu kerja: Muhyiddin – Malaysiakini

Semua pihak diminta supaya berhenti mempercayai pembohongan berterusan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang rancangannya untuk mengambil alih kerajaan dalam tempoh terdekat.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaliknya, rakyat perlu memberikan kepercayaan dan peluang kepada kerajaan sedia ada meneruskan agenda pembangunan serta menghadapi situasi ekonomi global yang lembap.

“Saya fikir lebih baik kita tak usah fikir soal ini kerana rakyat pun sudah bagi mandat yang boleh dikatakan berpatutan kepada Barisan Nasional (BN).

“Memang kita tahu sejak beberapa minggu atau bulan lepas banyak polemik politik yang kita lakukan dan ramai rakyat kata kita buang masa. Tetapi apa nak buat, kerana apabila ada pembangkang membuat kenyataan membohongi rakyat, kita perlu memperbetulkan.

“Sebaiknya, selepas ini kita terus kembali bekerja keras,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri bersama pemimpin UMNO tempatan di sini malam ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Anwar hari ini bahawa rancangannya untuk mengambil alih kerajaan akan tetap dilaksanakan tanpa mengira keputusan sama ada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan Presiden UMNO ataupun tidak.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, ini kerana rancangan itu bukan bersifat peribadi terhadap Abdullah ataupun timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Muhyiddin, semua pihak perlu berhenti mempercayai ‘angan-angan mat jenin’ yang diuar-uarkan Anwar.

“Dulu kata 16 September, rakyat pun tertunggu-tunggu tapi tak jadi. Kini semua sudah tahu ia tidak boleh menjadi kenyataan.

“Bagi saya, beliau sudah gagal tapi tetap mahu mempertahankan angan-angan mat jenin,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, semua pihak perlu menumpukan kepada usaha membangunkan ekonomi negara.

“Sekarang ini kalau kita lihat senario global, krisis kewangan yang agak tenat di Amerika Syarikat dan Eropah. Sudah tentu meninggalkan kesan hebat dan Malaysia tidak terkecuali,” katanya.

nota: Hidup TSMY!! elok rakyat dengan nasihat TSMY bekas rakan kuat DSAI dari dulu.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Utusan pula yang dipersalahkan – Malaysiakini

Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh laporan akhbar Utusan Malaysia mengenai tindak-tanduk keterlaluan pertubuhan haram Hindraf bertujuan membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap kaum India.

Sambil mengelak daripada mengulas perlakuan kumpulan itu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menimbulkan rasa kurang senang pelbagai pihak, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa isu sebenarnya ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkannya sebagai zalim.

”Jangan dengar Utusanlah. Isunya bukan tunjuk perasaan Hindraf yang disebut oleh Utusan Malaysia. Dalam akhbar Utusan Malaysia, ceritanya cuma nak bangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap Hindu. Saya katakan isunya adalah ISA yang zalim.

”Orang ditahan di bawah akta yang zalim kena dibebaskan. Jangan nak tukar (topik), makan anjing ke, makan beruk ke. Itu bukan soalnya.

”Orang zalim kena dibetulkan kesalahan mereka. Kalau orang Melayu beragama Islam tunjuk zalim kepada orang Hindu, orang Melayu tak layak memimpin negara ini. Utusan Malaysia boleh catat perkara ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anwar menegaskan rancangan beliau untuk mengambil alih kerajaan akan tetap dilaksanakan tanpa mengira sama ada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melepaskan jawatan Presiden UMNO atau tidak.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, rancangannya itu bukan bersifat peribadi terhadap Abdullah atau timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

”Kita tunggu pengumuman esok. Namun, walau apa pun yang berlaku, (rancangan ambil alih kerajaan) bukanlah sesuatu yang bersifat peribadi terhadap Abdullah atau pun Najib,” katanya.

Beliau ditanya peluangnya untuk menjadi Perdana Menteri berikutan kenyataan Abdullah yang akan mengumumkan hari ini atau esok, keputusan sama ada bertanding jawatan Presiden UMNO atau tidak pada pemilihan parti Mac tahun depan.

Ditanya seorang pemberita asing sama ada ketiadaan penyokong PKR di mahkamah hari ini menandakan kekurangan sokongan terhadap beliau, Anwar berkata, parti itu tidak menggerakkan penyokong mereka hari ini kerana menyangka Hakim Sesyen, S. M. Komathy Suppiah hanya membuat keputusan berhubung perkara teknikal.

”Kami sangka hakim akan memberi keputusannya dan menetapkan tarikh baru,” katanya.

Mengulas prosiding hari ini, Anwar berkata, pihak pendakwaan cuba menyusahkan mahkamah dan enggan mengiktiraf kemampuan serta keupayaan Hakim Komathy daripada mendengar kes itu, malah berkeras mahu memindahkan perbicaraan ke Mahkamah Tinggi yang didakwa Anwar, hakimnya boleh ”dipilih-pilih.”

nota: Apalah DSAI, dulu masa TPM dia control media bukan main lagi….Melayu zalim tak layak jadi PM, DSAI pun lebih kurang lah. nak jadi PM dengan mengkhianati pilihan rakyat pada PRU yang lepas.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Cermin diri dulu: Muhyiddin – Malaysiakini

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan ahli-ahli parti yang menawarkan diri secara terbuka untuk merebut beberapa jawatan utama dalam UMNO memikirkan dengan betul-betul apakah tujuan dan matlamat sebenar mereka menawarkan diri.

Menurutnya, mereka perlu memikirkan baik-baik hasrat tersebut sebelum membuat sebarang keputusan muktamad.

”UMNO tidak menghalang atau menyekat sesiapa sahaja ahli parti untuk bertanding kerana UMNO mengamalkan demokrasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Ke-14 Jawatankuasa Bersama Perdagangan Malaysia-Australia di sini hari ini.

Mengulas mengenai minat mendadak ahli-ahli parti dan lebih mengejutkan dengan hasrat Ketua Cawangan UMNO Kampung Umbai, Pekan, Pahang, Mohammad Hanapi Salleh bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, beliau berkata, mereka ini perlu memikirkan semasak-masaknya hasrat tersebut.

Berhubung pendirian beberapa pemimpin UMNO mengumumkan keinginan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin berkata, beliau akan membuat kenyataan selepas pengumuman yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi nanti.

Setakat ini, mereka yang telah menawarkan diri secara terbuka untuk bertanding jawatan tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ditanya mengenai pandangan beberapa ahli parti yang melihat persaingan merebut jawatan-jawatan utama parti dilihat seolah-olah UMNO semakin teruk seperti tidak ada pemimpin, beliau berkata, itu adalah pendirian masing-masing.

”Bagi saya adalah pihak yang ada kepentingan, pandangan-pandangan tersebut perlu diambil kira,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin sekali lagi menegaskan beliau hanya akan mengumumkan pendirian bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas Abdullah dan Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan pendirian masing-masing.

Menurutnya, beliau perlu menunggu pengumuman yang akan dibuat oleh Abdullah sebelum disusuli oleh pendirian daripada Najib.

”Selepas itu, barulah saya akan buat keputusan. Setakat ini, saya belum membuat sebarang pendirian.

”Kalau mungkin Perdana Menteri buat pengumuman esok, saya jangka Najib akan nyatakan pendirian untuk jawatan Presiden, saya jangka begitu.

”Kalau ada ruang terbuka, saya akan buat kenyataan yang tertentu,” katanya.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Anwar(Hindraf) Dibidas – Malaysiakini

Beberapa ahli Parlimen hari ini membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mempertahankan tindakan pertubuhan haram Hindraf pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.

Mereka dalam masa yang sama turut melihat bahawa kenyataan Anwar itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan Hindraf diketahui umum sebagai penyokong kuat kepada Anwar.

Sehubungan itu, kata mereka, atas dasar tersebut, Anwar dilihat akan melakukan apa sahaja bagi membela penyokongnya kerana pemimpin pembangkang itu sememangnya seorang yang terdesak.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau percaya sekiranya Hindraf melakukan perkara yang serupa ketika Anwar masih menjadi Timbalan Perdana Menteri, nasib pertubuhan itu pastinya berbeza.

Katanya, malah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sendiri mungkin akan menjadi orang pertama yang mengecam Hindraf di atas perbuatan pada sambutan hari raya yang lalu.

”Kalau Anwar masih Timbalan Perdana Menteri, dia orang pertama akan mengutuk Hindraf, tetapi kerana hari ini pertubuhan haram itu merupakan penyokong utama kepada Anwar, maka pertubuhan itu dipertahankan.

”Sebab itu, saya minta supaya masyarakat India termasuk parti politik kaum itu supaya tidak mengikut rentak Hindraf kerana pertubuhan itu menjejaskan perpaduan kaum di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anwar ketika diminta mengulas tentang kelakuan Hindraf yang dilihat keterlaluan kebelakangan ini bukan sahaja mempertahankan pertubuhan haram itu sebaliknya menyalahkan pula Utusan Malaysia kerana membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap penganut Hindu.

Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim berkata, tindakan Anwar mempertahankan Hindraf ternyata berlaku atas faktor politik semata-mata.

”Cara Hindraf bukan untuk datang berhari raya. Kita tidak persoalkan hasrat pertubuhan itu untuk menyampaikan memorandum. Namun, soalnya apakah tidak ada hari lain selain daripada majlis hari raya.

”Malangnya, ada pula pemimpin Melayu yang terdesak boleh menyokong perbuatan itu hanya demi mengekalkan sokongan politik,” jelasnya.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, sokongan Anwar terhadap tindakan Hindraf pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kabinet bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Katanya, Anwar dari awal sanggup bersekongkol dengan pertubuhan yang telah memburukkan kerajaan di luar negara sebagai kerajaan yang melakukan pembersihan etnik.

”Dari awal lagi kenapa nak bersama dengan Hindraf. Mana perginya maruah kita kerana kumpulan ini yang menghina kerajaan kita yang ditunjangi kepimpinan Melayu Islam dengan pelbagai tuduhan yang tidak benar sama sekali.

”Sebab itu, setakat sokong yang baru ini, saya memang tidak hairan, bukan kita tidak tahu Anwar ini macam mana orangnya,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata, Anwar tidak perlu membangkitkan sentimen perkauman dengan melaga-lagakan orang Melayu dan India.

Katanya, isu mengajak orang Melayu membenci orang India seperti yang didakwa Anwar tidak timbul kerana perbuatan Hindraf pada sambutan hari raya itu dapat dinilai semua pihak termasuk media.

”Orang tak pergi ziarah hari raya pakai uniform. Orang yang macam itu tentunya ada niat lain. Jadi, kenapa kita nak pertahankan pula tindakan seperti itu.

”Jangan kita mengancam perpaduan kaum hanya kerana desakan politik kita,” ujarnya.

nota: DSAI, jangan jadi desperado dalam meraih sokongan……jangan sebab berangan nk jadi PM semua benda tak baik jadi baik…..nnt merana rakyat…bukan DSAI…..keluarkanlah statement pasal ethnic cleansing yang didakwa oleh Hindraf. Jangan tanya lain jawab lain

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Datuk Aziz tawar tanding Timbalan Pengerusi Tetap Umno – Malaysiakini

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Umno pada pemilihan parti itu Mac depan.

Katanya, beliau mengambil keputusan itu selepas penyandang jawatan itu Datuk Badruddin Amiruldin mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Pengerusi Tetap.

“Pada saya, macam jawatan itu (Timbalan Pengerusi Tetap Umno) kosonglah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau mendapat sokongan untuk bertanding jawatan itu, Mohamad berkata kebanyakan ketua bahagian yang mengetahui hasratnya berjanji untuk memberi sokongan.

“Saya tidak dapat hendak tentukanlah (sokongan). Kita lihatlah bagaimana pencalonan apabila mesyuarat bahagian mula adakan persidangan perwakilan tidak lama lagi,” katanya. BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pemimpin Pakatan Rakyat bincang opsyen baru bentuk kerajaan – Malaysiakini

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengadakan mesyuarat di ibu negara malam ini, dipercayai untuk membincangkan opsyen-opsyen baru bagi merealisasikan usaha membentuk kerajaan baru persekutuan.

Mesyuarat itu, yang diadakan kurang seminggu sebelum Dewan Rakyat bersidang, berlangsung di kediaman Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan itu dihadiri oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jaafar.

mStar Online dimaklumkan, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, dipercayai mengenai isu yang sama.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS telah meletakkan sasaran 16 September lalu untuk mengambil alih kerajaan pusat dengan membawa masuk ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini Anwar mendakwa mempunyai bilangan wakil rakyat BN yang mencukupi untuk tujuan tersebut tetapi tidak membentuk kerajaan pada tarikh tersebut.

Pada 16 September lalu, Anwar berkata, pemimpin Pakatan Rakyat mahu menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan membincangkan peralihan kerajaan secara aman dan lancar.

Permintaan itu telah ditolak. Malah permintaan Pakatan Rakyat supaya sidang khas Parlimen pada 23 September juga ditolak Abdullah.

Tengah hari tadi, Anwar ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkata, beliau akan menemui pemimpin-pemimpin malam ini bagi membincangkan beberapa strategi baru termasuk membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Pada Isnin ini Anwar selaku Ketua Pembangkang akan membahaskan Bajet 2009.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat belum menerima sebarang usul undi tidak percaya, yang luas diperkatakan ketika sesi sidang Parlimen lalu.

mStar Online difahamkan, sehingga semalam Parlimen tidak menerima sebarang usul daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang.

“Tak ada apa-apa usul yang cuba dibawa setakat sekarang. Saya fikir ada usul undi tak percaya terhadap Perdana Menteri, mungkin tak timbul lagi sekarang,” kata sumber.

Bagaimanapun katanya jika pihak pembangkang ingin membawa usul undi tidak percaya seperti mana yang dihebohkan, mereka boleh berbuat demikian sehari sebelum Parlimen bersidang. – mstar

nota:Apakah strategi terbaru yang akan digunakan utk tipu rakyat?? DSAI sudah penin….kalau pak lah umum tak pertahan jawatan….alamatnya…lagi laa pening!!!

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda