Daily Archives: October 13, 2008

UMNO perlu bentuk Majlis Ulama sendiri — REF Malaysiakini

Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mencadangkan agar Umno mengambil langkah berani dengan menubuhkan Majlis Ulama parti berkenaan.

Beliau membuat cadangan tersebut kerana ingin melihat parti tersebut kembali kepada landasan yang betul.

“Saya akui hakikat yang sukar untuk dinafikan oleh sesiapa pun adalah UMNO pada hari ini begitu tenat dengan berbagai penyakit yang tidak putus mengunjungi tubuh parti itu.

“Sebagai seorang rakyat dan pengkaji Islam, saya rasa beberapa cadangan perlu dikemukakan kepada UMNO, mudah-mudahan penyakitnya itu boleh diubati.

“Cadangan ini perlu dibuat di atas sebab di tangan parti tersebut masih ada kuasa pemerintahan yang mana pergolakannya akan memberi kesan kepada sekelian rakyat,” jelas mufti yang mengesahkan persaraan beliau baru-baru ini.

Menurut beliau, parti tersebut perlu kembali kepada landasan yang betul bagi menyelamatkan umat Islam yang berada dalamnya.

“Saya dengan ini mencadangkan agar UMNO mengambil langkah berani dengan menubuh Majlis Ulama parti berkenaan. Namun, penubuhan itu bukan sekadar mengujudkan sebuah replika tanpa fungsi, sebaliknya hendaklah Majlis Ulama tersebut berperanan membimbing perjalanan parti selaras dengan kehendak Islam dalam segala aspek,” katanya.

Tokoh agama yang seringkali lantang menyuarakan pendapatnya yang berani itu percaya tokoh-tokoh agamawan yang jujur, amanah dan progresif yang cintakan parti itu perlu diberi kebebasan untuk membetulkan UMNO.

“Sekali gus kemelayuan UMNO itu akan kelihatan begitu terikat dengan prinsip-prinsip Islam secara syumul. Jika tidak, dengan pergolakan yang ada sekarang UMNO akan terus kehilangan ruh Islami.

“Sebaliknya, ia akan menjadi padang perlumbaan kuasa yang sebahagian besar mereka bercita-cita mengaut kekayaan harta,” katanya lagi.

Tambah Asri, dengan wujudnya Majlis Ulama yang progresif, diharapkan ahli-ahli UMNO sentiasa berada dalam disiplin dan diberi kesedaran tentang tanggungjawab kuasa adalah bagi melaksanakan amanah Allah dengan bijaksana dan jujur.

“Hendaklah dipastikan bahawa Majlis Ulama itu didokongi oleh mereka yang tidak takut melainkan Allah, bukan ulama fulus yang dalam sejarah UMNO telah banyak merosakkannya,” kata Asri.

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Pemuda Di UMNO Hanya Bersifat Reotroritik? ==== REF Malaysiakini

Sayap Pemuda di Parti UMNO yang selama ini dipandang hanya sebagai tempat latihan untuk golongan Ahli Politik Muda untuk menggantikan tempat senior-senior mereka di pucuk Parti UMNO dan digunakan sebagai “Batu Loncatan” untuk segolongan Ahli Politik yang bercita-cita tinggi perlu diubah.

Sudah tiba masanya Ahli Politik Muda di UMNO lebih bersifat lebih realistik dengan memainkan peranan penting dalam merangka dasar masa depan parti UMNO.Ahli Politik Muda dalam Parti perlu diberi ruang yang lebih luas bagi jadikan mereka layak untuk membuat keputusan (decision Makers) untuk menentukan masa depan UMNO. Apa jua agenda tentang reform yang diura-urakan itu perlu pembabitan Ahli Politik Muda yang berkait rapat dengan masa depan mereka sendiri.

Tanpa pembabitan Ahli Politik Muda sebarang reformasi dalam parti akan menjadi kelam dan reotrik saja.Adalah tidak dikira adil yang punya badan tidak diberi ruang untuk membuat keputusan untuk masa depan mereka.Sekiranya Ahli Politik Muda tak berani berjuang untuk mendapatkan suara dan kuasa membuat keputusan dalam dasar pembaharuan UMNO pada masa ini, janganlah salahkan orang lain kemudian hari.Salahkanlah diri sendiri yang akan bakal memikul bebanan yang tak terpikul dalam UMNO di kemudian hari!.

Ahli politik Muda dalam UMNO perlu tampil dan berani membuat cabaran dalam Pemilihan Pucuk Pimpinan Parti.Ahli Politik Muda jangan hanya bertumpu untuk berebut mendapatkan jawatan dalam sayap Pemuda UMNO saja.Sayap Pemuda UMNO Semakin hari semangkin semak, kaku dan tak bermaya.Sistem senioriti dalam pucuk Pimpinan Parti perlu dikikis sedikit demi sedikit dan Pucuk Pimpinan UMNO perlu berubah untuk memberi ruang yang luas untuk golongan Ahli Politik Muda untuk menerajui parti di masa akan datang.Golongan Senior dalam parti boleh berkerja sama rapat dengan golongan Ahli Politik Muda tanpa kongkongan ekstream dari pihak ahli politik senior dalam parti.

Sekiranya Bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair menjadi Perdana Menteri semasa Umurnya hanya 44 tahun (July 1994).Tony Blair yang dianggap muda itu membawa Parti Buruh ke zaman kegemilangan dengan memenangi pilihanraya kebangsaan sebanyak tiga kali berturut-turut (1997-2007).Keadaan ini tercipta kerana reform yang unjurkan dalam Parti Buruh dengan menghapuskan polisi-polisi Parti Buruh yang berabad-abad.Umur bukanlah terlalu penting untuk ukuran dalam kepimpinan.Kalau kita perlukan pembaharuan perlulah memileh pemimpin Ahli politik Muda untuk membuat pembaharuan dalam Parti yang akan membekalkan idea-idea baru.

Hanya segelintir Ahli Politik golongan orang-orang tua (senior) dalam parti mempunyai hati yang luhur untuk bersara secara sukerela dan terhormat.Golongan pemimpin orang tua (senior)dalam parti masih tidak faham dan sukar untuk menerima hakikat dan kenyataan sebenarnya yang mana kepimpinan mereka tidak lagi perlukan dalam parti!.Mereka ini mempunyai Sindrom Everyday sempena jenama bateri Everyday yang pada suatu ketika dulu mengiklankan congan kata “diteruskan lagi dan lagi”.Perbuatan seperti sini lebih bersifat kepentingan diri atau hipokrit dari kepentingan parti itu sendiri.

oleh Mamak Penang

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

TSMY Calon Terbaik Utk TPM: Tun =======REF Malaysiakini

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan “tokoh terbaik” untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Terdapat banyak petanding bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, tetapi saya fikir Muhyiddin adalah tokoh terbaik untuk menjadi timbalan kepada (Datuk Seri) Najib (Tun Razak),” kata bekas Perdana Menteri itu.

Dr. Mahathir berkata, Menteri Perdagangan dan Antarabangsa itu kebelakangan ini “amat lantang” berhubung isu kepimpinan.

Sambil menyatakan sokongan kepada Najib bagi jawatan Perdana Menteri, Dr. Mahathir berkata, Muhyiddin mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas di peringkat akar umbi.

“Dengan kerja keras dan saling bekerjasama, Najib dan Muhyiddin akan mampu menerajui kerajaan dengan baik.

“Dengan kemelut kewangan global, Malaysia memerlukan kepimpinan yang utuh dan bijak membuat keputusan,” kata Dr. Mahathir yang berada di sini untuk berucap pada simposium pelbagai kebudayaan antarabangsa. BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Temuramah Bersama Datuk Mukhriz Mahathir ————-REF Malaysiakini

TEMU BUAL PENUH DENGAN DATUK MUKHRIZ

Bagaimana persediaan Datuk bagi menghadapi pemilihan Ketua Pemuda?

MUKHRIZ:Setakat ini kerja-kerja untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk pencalonan dan kemudiannya untuk mendapatkan undi daripada perwakilan telah saya jalankan sejak beberapa bulan yang lalu. Saya jalankan perkara ini dengan cara berjumpa perwakilan di peringkat akar umbi bagi menerangkan apa yang hendak saya lakukan demi mengukuhkan parti khususnya Pemuda.

Saya lihat penerimaan yang begitu baik sekali kerana rata-rata ada satu perasaan cemas di kalangan Pemuda kita tentang apa yang sedang berlaku sekarang iaitu situasi Umno itu sendiri terutamanya dalam keadaan sekarang ini. Mereka percaya bahawa satu perubahan yang besar perlu berlaku untuk menyelamatkan keadaan.

Sebelum ini Datuk tidak yakin untuk bertanding, tapi sekarang menyatakan keyakinan itu sudah ada. Apa yang mendorong Datuk untuk bertanding?

MUKHRIZ:Graf itu turun naik… jadi ada ketikanya turun dan ada ketikanya naik balik. Seingat saya selepas pilihan raya umum lalu, waktu itu grafnya naik tinggi juga setelah saya keluarkan surat meminta Presiden menyerahkan tugasnya kepada timbalannya. Tapi bila mulanya mesyuarat Pemuda di peringkat cawangan, saya dapati bahawa sudah bermula amalan-amalan yang kurang sihat dalam pemilihan. Waktu itu kesannya begitu buruk terhadap saya. Oleh sebab itu saya telah keluarkan kenyataan bahawa kalau keadaan ini dibenarkan berterusan, maka peluang saya untuk mendapat pencalonan sekalipun akan tipis.

Sekarang ini saya lihat mungkin mesej itu dah sampai kepada semua peringkat. Ada sedikit kesedaran mengenai peripentingnya menjalankan pemilihan dengan cara yang telus. Jadi nampaknya sokongan tu dah meningkat semula, itu yang saya maksudkan graf turun naik.

Boleh Datuk huraikan tentang amalan kurang sihat yang dikatakan tadi?

MUKHRIZ:Begini, tahapnya serius tapi tidaklah teruk sangat. Ia dilakukan melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) atau melalui panggilan telefon di mana arahan diberikan kepada perwakilan mahupun yang berjawatan tinggi di Pemuda bahagian supaya jangan hadir perjumpaan-perjumpaan bersama saya. Ada juga yang sampai diberitahu pastikan jangan berikan pencalonan kepada saya. Jadi itu dalam bentuk sekatan.

Lebih teruk lagi ialah amalan rasuah politik. Saya dimaklumkan amalan ini memang berlaku dan rasuah politik ini dalam pelbagai bentuk. Ada yang dijanjikan imbuhan, jawatan dan sebagainya. Ada yang terus diberikan sogokan dalam bentuk wang, kononya bermula dengan salam pengenalan.

Maksudnya tidak terhad kepada yang itu sahaja (pemberian pertama). Selain itu ada juga ugutan lebih-lebih lagi bagi kawan-kawan kita yang bertanding di peringkat bahagian, kononya kalau terlampau menunjukkan sokongan mereka terhadap saya maka mereka akan menerima padahnya di peringkat bahagian. Jadi perkara-perkara ini nampaknya berlaku dan ini sudah tentu bukan amalan yang sihat kerana sudah tentu ahli-ahli Umno yang lain memerhatikan perjalanan pemilihan ini, malah saya ingat rakyat Malaysia keseluruhannya pun agaknya memberi perhatian kepada pemilihan Umno.

Sekiranya mereka lihat bahawa amalan-amalan terkeji seperti ini masih berlaku di dalam Umno, maka tidak kiralah siapapun yang kita pilih nanti sudah tentu rakyat akan menolak kerana mereka tahu bahawa naiknya orang seperti itu adalah kerana unsur-unsur atau elemen yang tidak baik. Jadi saya amat risau kesan amalan seperti ini kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Adakah Datuk mengesyaki halangan untuk berjumpa itu datang dari saingan lain yang turut bertanding jawatan Ketua Pemuda?

MUKHRIZ:Itu saya tidak pasti. Tetapi walau apa pun, mungkin mereka yang mendapat faedahnya. Kalau tak boleh jumpa saya tapi boleh jumpa orang lain, kita boleh buat andaian-andaian tertentu. Tak ada pula pihak saya mengarahkan agar sesiapa pun jangan pergi berjumpa sesiapa (calon).

Sebabnya kita amalkan demokrasi dalam Suasana yang terbuka. Saya pasti dalam proses ini sudah tentu kita membuat penilaian kita sendiri mengenai calon-calon yang menawarkan diri. Kalau mereka tidak dapat berjumpa dengan calon-calon ini bagaimana mereka nak buat penilaian tersebut.

Saya tidak pernah, tidak menggalakkan perwakilan untuk berjumpa dengan calon-calon lain walaupun calon-calon yang bersaing dengan saya untuk jawatan yang sama. Tetapi perkara ini tidak berlaku untuk saya pula. Jadi kita boleh buat andaian-andaian tertentulah mengenai perkara ini.

Sehingga sekarang berapa peratus pencalonan daripada bahagian-bahagian untuk Datuk?

MUKHRIZ:Saya tak dapat nak pastikan, hanya tuhan yang tahu apa sahaja dalam hati manusia ini. Tapi saya ingat setakat pencalonan itu mungkin cukup sebab kita tentukan lebih kurang 38 pencalonan daripada bahagian-bahagian dan saya ingat kalau tiada halangan seperti yang saya nyatakan tadi InsyaAllah cukup untuk pencalonan.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin merupakan salah seorang calon yang ingin bertanding. Adakah Datuk rasa beliau adalah saingan yang hebat kerana beliau sekarang memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno?

MUKHRIZ:Saingan semuanya sukar, tak ada yang mudah. Masing-masing yang bertanding mempunyai kemampuan tersendiri. Tapi saya lihat dari segi prinsip, dari segi pendekatan yang kami gunakan agak berbeza. Saya percaya perwakilan akan menilai rekod calon-calon ini dari segi prestasi kerja yang telah ditunjukkan sebelum ini dan matlamat yang mereka ingin bawakan kepada Pemuda.

Rasanya saya pun telah menunjukkan satu cara kerja yang tersendiri. Khairy dan calon lain pun mungkin ada cara-cara mereka sendri, jadi terpulanglah kepada perwakilan nanti untuk membuat keputusan siapa di antara kami yang sepatutnya memegang tampuk kepimpinan sayap ini.

Antara calon-calon yang bertanding kerusi Ketua Pemuda, Datuk dilihat lebih lantang bersuara terutama sekali berkaitan dengan soal peralihan kuasa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Tidakkah ini akan memberikan kesan kepada pencalonan Datuk?

MUKHRIZ:Apa yang saya hendak tonjolkan ialah saya pro-Umno. Maksudnya apa yang saya buat, apa yang saya perkatakan, saya ingat tidak sesiapa pun menafikan ia adalah semata-mata untuk menguatkan parti. Sekiranya ada elemen yang saya lihat melemahkan parti, perkara itu akan saya bangkitkan, saya akan bercakap mengenai perkara ini. Amat penting bagi kita untuk sedar mengenai elemen-elemen yang melemahkan parti dan tindakan yang harus kita ambil untuk memperkuatkan parti.

Jadi sebab itu saya lantang kerana kebelakangan ini begitu banyak sekali faktor yang melemahkan parti. Saya fikir bila saya bercakap sedikit sebanyak saya juga mencerminkan apa yang terbuku dalam hati ahli-ahli kita lebih-lebih lagi diperingkat akar umbi.

Selagi saya bercakap apa yang ada dalam hati saya, dan saya fikir apa yang saya cakap itu benar dan yang ketiga, saya fikir ramai juga yang berkongsi pendapat dengan saya. Pastinya yang berpendirian sama seperti saya dalam hal ini, maknanya saya fikir tidak ada salahnya saya meneruskan dengan kelantangan bersuara ini, malah tidak menjejaskan sekalipun kedudukan saya dalam parti.

Contohnya kita semua tahu peringkat awal saya telah mengkritik keputusan kerajaan membatalkan projek jambatan antara Johor dan Singapura. Walaupun perkara ini dibincangkan di mesyuarat Exco Pemuda, tetapi tiada tindakan yang diambil ke atas saya walaupun Pemuda telah membuat ketetapan bersetuju dengan keputusan kerajaan itu.

Keduanya, kenyataan saya mengenai ucapan dasar Presiden Umno pada 2006 apabila saya menyatakan bahawa tiada perkara yang baru yang dibangkitkan oleh Presiden untuk kita gunakan sebagai panduan. Perkara ini juga diselar oleh pelbagai pihak dalam parti dan ada suara-suara kedengaran supaya tindakan disiplin dikenakan ke atas saya.

Ada juga minta saya digantung dan ada juga yang harap supaya saya dipecat daripada parti, hanya kerana mengeluarkan komen mengenai ucapan dasar Presiden. Tapi akhirnya tiada juga sebarang tindakan yang diambil ke atas saya.

Terakhirnya, saya telah mengeluarkan surat supaya Presiden berundur dan serahkan jawatannya kepada Timbalan Presiden. Saya ingat setakat ini tiada pihak lain yang melakukan perkara ini walaupun ada yang menyatakan perkara yang sama. Tetapi dalam bentuk surat, saya ingat saya seorang sahaja yang melakukannya. Itu juga tiada tindakan yang diambil ke atas saya. Jadi ini membuktikan kepada saya bahawa kelantangan suara saya ini langsung tidak menjejaskan kedudukan saya dalam parti. Kita mesti ingat saya telah dipilih dalam Pergerakan Pemuda Umno ini melalui pemilihan 2004.

Alhamdulillah saya menang dengan undian terbanyak. Saya kira itu satu petanda bahawa terletak di atas bahu saya satu harapan yang besar oleh Pemuda untuk terus bersuara demi kepentingan parti dan saya rasa apa yang saya lakukan ini memang menepati permintaan Pemuda itu sendiri.

Adakah kelantangan Datuk didorong oleh Tun Dr. Maharhir Mohamad?

MUKHRIZ:Tidak, saya didorong oleh rakyat. Rakyat telah menyampaikan mesej yang cukup jelas. Kalau kita masih belum faham lagi mesej yang rakyat sampaikan kepada kita, pilihan raya yang akan datang, saya tak tahulah apa lagi mesej yang rakyat hendak sampaikan. Adakah kita nak tunggu sampai kita dah kalah semua, kalah majoriti Parlimen, kalah negeri-negeri kita, baru kita nak sedar? Waktu itu kita sudah terlambat. Apa gunanya kita nak tunggu sampai dah tergadai kesemuanya sebelum kita nak sedar dan lakukan sesuatu?

Jadi oleh sebab itu, bila saya fikirkan mengenai keputusan pilihan raya umum yang ke-12, saya lihat ada hikmahnya walaupun kita kalah begitu teruk kali ini berbanding dulu iaitu kalah di lima negeri, hilang majoroti dua pertiga di Parlimen dan juga majoriti keseluruhan pun telah menurun. Maksudnya undi popular kita juga menurun dengan mendadak. Bagaimanapun dalam keadaan itu jua kita masih menguasai kerajaan, itu hikmahnya. Hikmahnya ialah agaknya Tuhan memberikan satu mesej kepada kita serta memberi kita peluang kedua untuk memperbetulkan diri kita sendiri supaya akhirnya akan diyakini semula oleh rakyat.

Mesej ini begitu jelas. Tetapi sekarang ini saya lihat masih ada lagi sindrom menidakkannya, di mana kita seolah-oleh tidak terjaga dari lena kita dan juga seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Kita rasa masih lagi berkuasa dan masih lagi kuat.

Ramai juga kawan lain yang bersetuju dan rasa begitu cemas dengan keadaan sekarang. Seolah-olah paras air dah sampai ke hidung, tunggu nak tenggelam dan nak lemas sahaja. Tapi kita macam tidak mula hendak berenang pun untuk menyelamatkan diri, jauh sekalilah nak tunggu orang lemparkan kita pelampung untuk selamatkan diri. Jadi itulah yang saya rasa sedih sangat apabila kita sudah sampai satu tahap di mana mungkin kerana gilakan kuasa… kita sanggup menggadai kepentingan parti. Saya lihat kepentingan peribadi mendahului parti. Kalau begini dibenarkan oleh ahli-ahli kita di peringkat akar umbi untuk terus menguasai keadaan, maka akhirnya kita semua akan menerima padahnya.

Saya minta sekarang ini ialah untuk kita selamatkan parti. Jangan kita benarkan arahan-arahan tertentu daripada pihak atas dan kita terima bulat-bulat, kita membuta tuli dan biarkan ditarik hidung walhal arahan-arahan ini adalah semata-mata untuk mempertahankan kepentingan peribadi individu tertentu sahaja bukannya untuk parti. Saya rasa kecewa bila kadang-kadang itu apabila saya bercakap banyak-banyak, mereka faham dan sedar mengenai perkara ini, namun masih tidak buat apa-apa.

Itu yang saya rasa pelik seolah-olah analogi yang saya pakai tadi iaitu kita dah dekat nak lemas dan kita diarah jangan buat apa-apa jadi maksudnya kita sendiri lemas begitu sahaja. Saya tak faham kenapa kita tidak selamatkan diri, selamatkan parti.

Apa pembaharuan yang Datuk akan bawa dalam Pemuda nanti (jika memimpin Pemuda)?

MUKHRIZ:Saya ingat kita kena balik ke pangkal jalan. Bermula dengan Pemuda, dan Pemuda akan menjadi satu sayap yang amat-amat penting. Kita belum fikirkan mengenai satu juta pengundi baru yang akan mengundi pada pilihan raya ke-13 nanti, yang boleh dikatakan 100 peratus orang muda. Maksudnya pelajar tingkatan enam sekarang ini akan mengundi tahun 2012 nanti. Kita perlu fikirkan mengenai apa yang kita ingin buat untuk mereka supaya mereka yakin kepada kita. Pertama sekali ialah muhasabah diri. Maksudnya kita perlu melalui satu proses penilaian diri mengenai kelemahan kita dan bagaimana nak kuatkan lagi faktor-faktor kekuatan kita dan macam mana kita nak hapuskan kelemahan-kelemahan kita.

Seperti yang saya sebutkan tadi, budaya kita dah tak kena. Dulunya rasuah politik ini satu kegiatan yang diamalkan oleh beberapa orang di bawah meja dan tersembunyi. Sekarang ini dibuat terang-terangan dan amalan ini sudah jadi budaya. Amalan menjadi kebiasaan dan kebiasaan menjadi budaya. Kita tahu apabila sesuatu amalan itu menjadi budaya, cukup susah untuk bertukar. Contohnya bagi orang Islam, makan babi itu adalah haram. tapi bila kita mula dengan sikit-sikit, lama-kelamaan makan babi itu adalah budaya.

Mungkin orang cakap benda ini tak mungkin berlaku. Tapi kita kena lihat, dahulu rasuah politik kita fikir tak akan jadi, tapi sekarang dah jadi budaya. Malah sekarang ada orang mengatakan ia sebagai sesuatu yang biasa untuk cari makan. Itu sebabnya kalau kita tak boleh nak perbaiki diri kita sendiri ia semacam tiada harapan harapan pula.

Mujurlah saya ini jenis orang yang masih optimis dan berharap sangat iaitu yang pertamanya kepada keikhlasan manusia dan keduanya kepada keagungan Tuhan. Sama ada kita berjaya melepasi peringkat yang pertama iaitu ikhlas atau tidak pada diri dan juga dalam parti, ia perlu dipersoalkan. Jadi kalau saya diberi jawatan ini, saya nak cuba terapkan semula nilai-nilai murni yang saya fikirkan amat-amat penting untuk membersihkan diri kita dari gejala-gejala yang tidak baik dan akhirnya dapat memperkuatkan diri kita ke satu tahap yang tidak boleh dijejaskan oleh mana-mana pihak, individu-individu dalam parti, mahupun pihak pembangkang dari luar. Itu hasrat saya dan saya percaya perkara itu boleh dilakukan.

Datuk menyebut mengenai rasuah politik. Adakah perkara tersebut semakin menular dalam Pemuda?

MUKHRIZ:Memang berlaku. Laporan-laporan yang saya terima daripada pelbagai pihak seluruh negara mengenai amalan rasuah. Ada yang dianggap kecil, tapi amalan rasuah ini tak ada kecil tak ada besar, semuanya sama sahaja. Orang yang tak ada jawatan dalam Pemuda, jika ada sahaja perjumpaan boleh dapat RM100. Bagi yang berjawatan pula kadang-kadang dapat RM1000. Apa nak jadi dengan parti kita ini? Kita sanggup jual maruah, sanggup gadaikan parti. Jadi tak terkejutlah ia berlaku diperingkat Pemuda. Tapi yang mengejutkan ialah itu baru peringkat cawangan, belum lagi peringkat bahagian.

Datuk pernah keluarkan kenyataan tidak akan menerima jawatan dalam kerajaan sekiranya terpilih sebagai Ketua Pemuda, mengapa?

MUKHRIZ:Jawatan Ketua Pemuda untuk penggal akan datang ini saya kira adalah jawatan sepenuh masa kerana kita mesti beri tumpuan 100 peratus kepada usaha memulihkan parti. Kita tidak harus terlari perhatian kita dengan tugas-tugas yang lain seperi jawatan dalam kerajaan. Satu lagi yang saya lihat, ada juga orang-orang beritahu saya kalau tidak ada jawatan dalam kerajaan, bagaimana nak gerakkan Pemuda? Itupun saya lihat sebagai satu kesilapan kerana maksudnya kita menggunakan kemudahan jabatan kerajaan ataupun kementerian itu untuk kerja-kerja politik kita.

Masyarakat khususnya golongan muda tidak boleh terima perkara ini. Sebab dari segi prinsipnya ia tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi kalau kita inginkan jawatan menteri atau timbalan menteri supaya memudahkan kerja-kerja kita sebagai pemegang jawatan dalam parti. Itupun bagi saya salah. Keduanya kita nak pegang jawatan dalam parti semata-mata nak dapatkan jawatan dalam kerajaan, itu tidak betul.

Jadi itu sebabnya saya kira ia sepatutnya diasingkan. Terutama sekali dalam keadaan sekarang di mana usaha-usaha untuk menawan semula negeri-negeri yang kita kalah. Untuk meningkatkan juga bilangan kerusi dalam Parlimen memerlukan tumpuan dan masa yang secukupnya. Jadi itulah sebabnya saya fikir kalau menang dalam pemilihan kali ini biarlah saya tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan. Saya tak mahu teralih perhatian saya kepada tugas yang penting ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin pernah mengeluarkan kenyataan bahawa jawatan Ketua Pemuda seharusnya dipegang pemimpin yang tidak dipengaruhi hubungan persaudaraan dengan Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri. Tidakkah itu dilihat sebagai satu serangan peribadi, komen Datuk?

MUKHRIZ:Itu mungkin serangan peribadi. Tetapi adakah sebab itu kita pilih pemimpin? Tidakkah lebih wajar kalau kita lihat apakah sifat-sifat yang kita inginkan dalam pemimpin itu… berwibawa, berwawasan, bertenaga, jujur, amanah dan sebagainya. Tidakkah itu yang lebih penting? Tak kiralah apa latar belakang mereka. Kalau tidak ada hubungan sama ada dengan Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri, tetapi masih tidak berwibawa, tidak berwawasan, masih tidak berkemampuan ataupun berkebolehan untuk memimpin, apa gunanya?

Apa yang penting, latar belakang seseorang itu atau kebolehannya? Jangan kita termakan dengan hujah-hujah seperti itu. Itu hanya sekadar memikat sokongan. Saya pun tak pernah nak sentuh peribadi mana-mana pihak. Apa yang saya selalu tekankan ialah peripentingnya pemimpin itu mempunyai sifat-sifat kepemimpinan. Mereka boleh datang daripada kampung sekalipun, jika ada sifat-sifat kepemimpinan, maka boleh jadi Perdana Menteri.

Kalau ada kemampuan, ada kebolehan apa salahnya? Itu yang kita mahukan. Jadi kesempatan ini saya ingin mencabar orang-orang muda yang mempunyai semangat untuk menyelamatkan parti kita ini, yang ada keyakinan tidak kira sama ada memegang jawatan atau tidak dalam parti untuk menawarkan diri bertanding untuk memegang jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno. Sebabnya kita amat-amat memerlukan satu proses peremajaan dalam parti walaupun diperingkat MT Umno.

Saya cabar untuk mereka menawarkan diri supaya kita dapat kenal pasti siapa mereka untuk disokong. Kita nak tarik mereka naik. Lebih elok lagi jika dalam tawaran itu mereka nyatakan seperti saya bahawa mereka tidak berminat memegang sebarang jawatan dalam kerajaan. Jadi itu sekali gus dapat menolak sebarang andaian bahawa mereka ini hanya nak merebut atau mengejar jawatan atau untuk kepentingan peribadi sahaja. Jadi kita mahu orang yang begitu ikhlas ingin membantu dan menyelamatkan parti.

Lebih elok jika yang berumur bawah 40an. Tidak kisah walaupun 20an. kerana sekarang ini kita sedang fikrkan bagaimana kita nak hubung semula dengan orang-orang muda. Jadi lebih baik kalau kita ada orang-orang seperti ini yang berjawatan dalam parti. Tak perlulah nak bertanding cawangan ataupun bahagian, terus sahaja ke MT, apa salahnya? Itu kita nak pecahkan tradisi kita, nak cuba buat satu perubahan.

Kita bercakap berani berubah, jadi kita perlu berani berubahlah. Mesti betul-betul bawa perubahan kepada parti. Saya turut berbangga dengan sejarah Umno selama 62 tahun ini. Tetapi pada masa yang sama, orang lihat parti kita ini macam terlalu lama. Ini pandangan orang, saya tak fikir sebegitu. Jadi bagaimana kita nak meremajakan parti kalau tidak dengan diberikaan suntikan yang baru melalui penyertaan orang-orang muda dalam parti hingga ke peringkat MT.

Akhirnya, apakah harapan Datuk dalam pertandingan Ketua Pemuda kali ini?

MUKHRIZ:Untuk menang, untuk diberi kepercayaan dan disokong untuk menyelamatkan parti yang kita sayangi ini. – mstar

nota: Tahniah kpd Datuk Mukhriz, Tan Sri Rafidah dan juga Datuk Hishammudin kerana berjaya melepasi kuota pencalonan masing-masing.

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda