Daily Archives: October 21, 2008

Bukan Manifesto Saya-Najib ref Malaysiakini

Pejabat Timbalan Perdana Menteri semalam menegaskan, laporan portal berita Malaysiakini pada Ahad lalu berhubung manifesto yang kononnya dikeluarkan Datuk Seri Najib Razak adalah usaha terancang pihak tertentu untuk mencemarkan imej beliau.

Kenyataan media Pejabat Timbalan Perdana Menteri menyatakan, sejak pelan peralihan kuasa Umno dipercepatkan kepada Mac tahun depan, beberapa laman berita berusaha secara konsisten dan berterusan untuk mengada-ada dan menyiarkan berita bagi menjejaskan kredibiliti Najib.

“Kami harap rakyat Malaysia, terutama pembaca laman web berkenaan dapat membezakan antara yang benar dan palsu apabila membaca bahan yang diterbitkan,” kata kenyataan itu.

Laporan Malaysiakini bertajuk ‘Najib unveils manifesto for top Umno job’ (Najib mengeluarkan manifesto untuk menerajui Umno) Ahad lalu itu, mendakwa Timbalan Perdana Menteri antara lain mengutuk beberapa tuduhan terbaru terhadapnya dan berikrar akan mempertahankan ketuanan Melayu sehingga ke titisan darah terakhir.

Ia juga mendakwa Najib berjanji akan menubuhkan Majlis Penasihat Presiden yang dianggotai pemimpin lama Umno dan bekas Perdana Menteri, sekali gus menjadi asas kepada spekulasi bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali berkuasa.

Laporan itu juga mendakwa Timbalan Perdana Menteri memberi amaran akan menggunakan apa juga cara yang ada bagi menghancurkan anasir yang mengancam kestabilan dan keamanan negara.

Bagaimanapun Malaysiakini semalam menyiarkan laporan yang memetik seorang pegawai Najib sebagai berkata, manifesto itu bukan dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Sebaliknya, Malaysiakini mendakwa manifesto itu dihantar oleh ‘kumpulan penyokong’ Najib dan di akhir laporan itu diletak nota pengarang yang menyatakan ‘Malaysiakini memohon maaf atas kesilapan itu’.

Kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri menegaskan, Najib tidak pernah mengeluarkan sebarang manifesto bagi menyokong usahanya memenangi jawatan Presiden Umno dan laporan Malaysiakini pada Ahad lalu itu jelas bohong serta mengelirukan.

“Keputusan Malaysiakini menyiarkan laporan itu amat tidak beretika kerana gagal mengesahkan perkara itu dengan Pejabat Timbalan Perdana Menteri sebelum penyiarannya. Perlakuan Malaysiakini itu amat dikesali dan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Kenyataan itu turut menyelar Malaysiakini kerana cuai dan tidak profesional dalam membuat laporan berita serta tidak menyiasat punca emel berniat jahat itu.

“Malaysiakini sudah memohon maaf kepada Timbalan Perdana Menteri berhubung perkara ini. Namun, adalah menjadi harapan kami bahawa Malaysiakini dan portal berita lain, tanpa mengira dasar mereka, akan sentiasa beretika dan profesional,” katanya.-  bharian

6 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda