Umno ibarat ayam dalam raga – malaysiakini

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, politik Melayu mesti diperkukuhkan menerusi bilangan mereka yang banyak bagi mengelak daripada terus diaib dan dicemuh oleh bangsa lain.

Beliau berkata, kebelakangan ini, terlalu banyak cemekan yang menghina orang Melayu seolah-olah bangsa tersebut sudah hilang maruah dan punca.

“Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan-luahan yang mempersenda bangsa mereka.

“Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tidak kisah dan lantas membiarkan sahaja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing,” katanya dalam ucaptama pada program wacana isu perundangan dan hakhak pribumi dalam perlembagaan di Memorial Tun Hussein Onn, di sini.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata orang Melayu perlu mengenal sejarah bangsa untuk dijadikan panduan perjuangan politik mereka.

“Fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mulamula mendiami Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali dunia sebagai Malaya atau Land of the Malays,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu sama seperti India dikenali sebagai negara bagi orang berketurunan India dan China bagi mereka yang berbangsa Cina atau orang Arab di Timur Tengah yang negaranya dikenali sebagai Arab Saudi.

Rais berkata, struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini.

Katanya, apa yang dianggap sebagai ketuanan Melayu sebenarnya adalah kedaulatan dan keistimewaan Raja-Raja Melayu.

“Ini adalah kerana institusi Raja atau kesultanan Melayu itu sentiasa rapat dengan jiwa ke-Melayuan,” kata beliau.

Bangsa Melayu juga, katanya, perlu mengenal pasti kelemahan politik dan ekonomi serta mengatasinya dengan muhasabah diri.

Beliau berkata, kenyataan mengenai ketuanan Melayu tidak boleh dibuat secara kosong atau egopolitik kerana keistimewaan itu perlu dilampini dengan kebolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan.

“Bila kita kuat, barulah kita boleh kata kita tuan. Perkara ini perlu diperhalusi dan seseorang pemimpin Melayu perlu menunjukkan kebolehan serta kekuatan dalam politik.

“Tetapi jika ada pemimpin Melayu masih membeli undi untuk naik maka sampai bila-bila pun kita tidak akan kuat dan dihormati sebagai tuan di tanah air sendiri,” katanya.

Rais berkata sehubungan itu, politik Umno sebagai parti kaum Melayu perlu dirobah dan Fasal 3 Perlembagaan parti (Asas dan tujuan) tersebut perlu dihayati kerana terkandung agenda Melayu yang sebenarnya.

Selain itu, beliau berkata, orang Melayu juga perlu mewujudkan lapisan muda yang berilmu dan berbudaya Melayu.

“Dalam perlembagaan, takrif Melayu itu sendiri mempunyai tiga syarat asas, pertama, seseorang itu hendaklah menganut agama Islam, kedua bercakap dalam bahasa Melayu secara lazim dan ketiga, menurut atau mengamalkan adat istiadat Melayu,” katanya.

Rais juga berkata, orang Melayu perlu menolak nisbah “sekurang-kurangnya 30 peratus” dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan negara untuk dimiliki oleh Bumiputera.

Selain itu, katanya, semua dasar berkaitan Melayu dan pribumi serta Islam perlu diputuskan terlebih dahulu oleh tapisan politik sebelum diputuskan kerajaan.

“Dalam hal ini, Umno perlu ke depan dan memainkan peranan bagi menyatu padukan orang Melayu dengan mencari faktor-faktor kesamaan antara mereka seperti agama Islam, kebudayaan dan kuasa tradisi,” katanya.

Selain itu, Rais berkata, orang Melayu perlu menghindari perkara-perkara yang mampu melemahkan imej mereka.

“Pada ketika ini, Umno ibarat ayam dalam raga. Orang lain yang berada di luar hanya memerhatikan siapa yang cedera, terkorban atau yang kena sembelih,” katanya.

Beliau berkata, di sebalik polemik yang berlaku pada masa ini, perkara positif yang timbul ialah tindakan Raja-Raja Melayu yang tampil ke hadapan memberi bantuan ketika diperlukan.

“Mungkin Raja-Raja Melayu berasa terpanggil untuk berbuat demikian dan kita amat menghargainya. Tindakan Raja-Raja Melayu ini juga nampaknya diterima oleh pengamal politik di negara ini,” katanya.

Rais turut mengesyorkan sistem penguatkuasaan undang-undang dan dasar yang dijamin pantas dan saksama bagi mengekang pihak-pihak tertentu daripada terus mempertikaikan hakhak dan keistimewaan orang Melayu. BERNAMA

Advertisements

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

3 responses to “Umno ibarat ayam dalam raga – malaysiakini

  1. Apai Ngelai

    Salam semua,

    Kita sedar sejak kebelakangan ni begitu banyak kritikan-kritikan yang sebahagian besarnya membawa kepada caci-maki dan penghinaan terhadap UMNO. Kebebasan mengkritik dasar kerajaan juga menyeret ke arah UMNO. Seolah-olah UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO.

    Perlu pertimbangkan apabila menyatakan sesuatu terhadap kerajaan kepada dunia luar, secara automatik ia merangkumi seluruh parti politik tanahair baik parti kerajaan mahupun pembangkang. Tidak guna menghentam kerajaan terus menerus dan cuba untuk menumpaskannya secara tidak demokratik sedangkan ahli parlimen dan wakil2 rakyat dari pihak pembangkang juga diiktiraf memainkan peranan dalam parlimen yang menjadi tempat persidangan suara-suara rakyat. Tanpa pembangkang, kita kini berada di bawah pemerintahan kuku besi. Adakah negara kita mengamalkan pemerintahan sebegini? Apakah pembangkang kerajaan dinafikan hak dan suara mereka? Adakah kerajaan negeri di bawah naungan pembangkang tidak mendapat perhatian dan bantuan kerajaan pusat?

    Janganlah terus memburukkan UMNO tanpa sebab. Pihak pembangkang di kalangan orang melayu hendaklah sedar, memburukkan dan mencaci UMNO kerana tidak sehaluan dalam politik mencacatkan dan menjatuhkan maruah melayu itu sendiri. Inikah gambaran yang hendak diberikan kepada kaum lain akan sifat-sifat dan wajah sebenar bangsa melayu? Kita patut peka, apabila ada di kalangan pembangkang yang terlalu lantang mencaci dan mengutuk UMNO tidakkah bermakna dia telah mengkhianati bangsanya sendiri? Pernahkah kita menganggap UMNO ini parti kaum cina? Kaum india? Atau paling hampir
    kepada parti yang dianggotai oleh semua kaum? Apakah kita lupa, bahawa UMNO adalah identiti melayu sebenarnya. Jadi mengapa kita hendak memburukkan parti dan pemimpin-pemimpin yang keseluruhannya dianggotai orang melayu belaka?

    Tidak hairanlah, sekarang ini tiada lagi rasa hormat orang lain pada melayu. Malah sehingga berani mencabar hak melayu itu sendiri. Ia tidak akan berlaku jika tiada orang melayu yang memburuk -burukkan lawan sebangsanya sendiri. Dimanakah silapnya? Fikirlah, jika hendak memperbetulkan kesilapan UMNO, bukan cara yang betul dengan memusnahkannya.

  2. Putera81

    Assalamualaikum & salam seperjuangan

    Apai..Putera bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Apai itu..kadang2 kita terlupa bahawa lawan kita itu adalah sebangsa dengan kita..memburukkan dia bererti memburukkan diri sendiri..ibarat menepuk air di dulang, akhirnya terpercik muka sendiri..

    Ramai musuh2 yang sentiasa menunggu & sanggup mengapi2kan sesama Melayu kerana tidak mahukan Melayu menjadi seikat lidi..terlalu susah malah hampir mustahil dipatahkan seikat lidi penyapu..tapi kalau secara satu-satu, terlalu mudah sekali..itulah Melayu yang Putera tengok sekarang..

    Orang Melayu apabila bermusuhan akan terbawak2 hingga ke luar..Pemerhatian peribadi Putera yang dangkal ini melihatkan trend ini tidak terjadi dalam masyarakat Cina..mereka “bermusuh” dalam gelanggang tetapi ketika di luar, mereka masih boleh berkawan & bergurau senda..seolah2 itu semua lakonan mereka di pentas politik..tapi jika orang melayu, silap2 boleh dihalau dari rumah jika bapaknya PKR @ PAS & anaknya UMNO..kita lupa politik hanya satu daripada jalan kehidupan..ada banyak lagi jalan2 lain yang perlu dilalui..jalan ekonomi..jalan sosial, jalan budaya & yang terpenting jalan agama..

    Putera memberi contoh terdapat sebuah masjid di Jalan Langgar, Alor Setar yang dinding pagarnya dicat hijau dan dihiasi logo2 parti PAS..ini seolah satu isyarat bahawa masjid itu hanyalah untuk penyokong PAS sahaja sedangkan masjid itu milik Allah..mengapa harus dibeza2 fahaman kepartian ketika masing2 bersujud menyembah Allah yang satu..

    Satu lagi contoh di kampung tok wan Putera..setiap kali ke surau @ masjid @ menghadiri kenduri dan mesyuarat kampung, semua penyokong PAS berkopiah putih..Putera jugaklah yang terhegeh2 bersongkok hitam sehingga ada pakcik2 otai di sana yang memandang serong kedatangan Putera..apakah songkok hitam itu hanya untuk orang UMNO & kopiah putih itu hak milik azali orang PAS?

    Senario inilah yang meletakkan kedudukan orang Melayu ibarat dalam raga, reban atau mungkin di gelanggang sabung..kita bermati2an bertarung, orang luar mendapat untung..kalau kita menang pun, saudara sebangsa kita juga yang kalah, orang di luar menang judi dengan meriah!!!

    Rasanya Raja Melayu juga lebih menerima & memahami perjuangan UMNO melebihi parti2 Melayu yang lain..cuma kedudukan mereka membataskan untuk mereka turut masuk campur..semoga suatu masa nanti PAS kembali bersatu dengan UMNO seperti zaman Datuk Asri & PKR kembali merujuk kerana mereka juga pernah menjadi rusuk kiri UMNO ketika zaman Anwar Ibrahim dulu..Wassalam..

  3. Kuntakinte

    Salam, sdr apai ngelai, teman tertarik bila sdr ungkapkan kesilapan tafsiran UMNO itu Kerajaan, Kerajaan itu UMNO.

    Parlimen Malaysia yang bersidang setiap tahun membahaskan berbagai – bagai bentuk perkara keseluruhan nya disokong dan ia di laksanakan oleh egawai2 Kerajaan, dalam isu ini rakyat perlu faham didalam Parlimen terdapat 3 bentuk Ahli Parlimen yang mengambil peranan didalam meluluskan apa saja dasar mengikut sistem demokrasi 1 Ahli Parlimen BN, 2 Ahli Parlimen PKR,DAP,PAS yang menwujudkan pakatan, 3 Ahli Parlimen Bebas, untuk difahamkan mereka2 ini lah kerajaan yang bersidang didalam bangunan Parlimen tak kira dia dari parti mana apabila dia memenangi Pilihanraya maka dia adalah Kerajaan, Ahli Parlimen semua sekali tak kira dari mana Parti di bayar elaun oleh Kerajaan, bermakna mereka menerima habuan dan imbuhan dari kerajaan tanpa memilih bulu ini bermakna mereka adalah kerajaan seperti juga kakitangan kerajaan yang lain2 jawatan.

    UMNO adalah sebuah parti yang memperjuang kan hak2 Parti mengikut dasar dan perlembagaan Parti begitu juga Parti2 lain mengikut dasar dan perlembagaan mereka, Kerajaan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai kerajaan walau pun parti mana yang memerintah seperti di negeri2 yang di perintah oleh pembangkang, pegawai2 kerajaan mereka2 yang sama juga menjalankan tugas masing2.

    Sebab itu kebanyakan Ahli Parlimen atau ADUN pembangkang telah lari dari konsep sebenar dan tak tahu meletak diri mereka dimana sebagai Wakil Rakyat yang dipilih oleh rakyat, gaji dan elaun dibayar oleh kerajaan seharusnya mereka memperjuangkan bagi mempertingkat dan memajukan negara dengan bersama2 dengan Ahli Parlimen dari Parti BN, bukan bersikap meruntuhkan negara seperti yang dilakukan sekarang ini, yang baik tetap baik dan harus disokong bukan disebaliknya yang baik pun di tuduh tidak baik agar masyarakat keliru seterusnya memberi sokongan kepada parti mereka untuk mereka memimpin negara.

    Seperti yang dijawab oleh Tan Sri Muhd Taib di Parlimen semalam bahawa kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi kaum, walau pun kawasan tertentu diwakili oleh Wakil Rakyat pembangkang kerajaan tetap melaksanakan pembangunan dan sebagainya untuk rakyat tidak memilih bulu hanya memberi pembangunan kepada Wakil Rakyat BN dan ini terbukti keseluruhan kawasan telah menampakkan pembangunan sejak dulu hingga kini. Pegawai Kerajaan banyak juga yang menyokong pembagkang di PRU12 tidak pula mereka2 ini diambil tindakan, mereka tetap bekerja sebagai kakitangan kerajaan malah ada yang dinaikkan pangkat dan sebagainya kerajaan di terajui oleh BN tidak mengambil pun tindakan kepada mereka, begitu lah baiknya kerajaan BN.

    Oleh itu kita selaku rakyat kena faham antara parti dan Kerajaan, dengan memilih Parti mana kah yang layak mengetuai kerajaan, kuasa bukan ditangan Parti tetapi ditangan kerajaan yang dasarnya di lakukan dan diluluskan oleh Ahli Parlimen dan dilaksanakan oleh kerajaan atas pangkah yang dibuat oleh rakyat, kita kena cari Parti yang berpengalaman untuk menerajui kerajaan bagi menghadapi cabaran yang sengit ini, bukan mencari parti yang baru hendak belajar akhirnya segala dasar dan perkara yang dibuat merosakkan sistem pentadbiran kerajaan hingga mewujudkan ketidak stabilan politik, hubungan, ekonomi dan sebagainya seperti yang berlaku di Selangor, Kedah dan terutamanya Perak. akhirnya rakyat juga lah yang bertanggungjawab diatas apa jua yang berlaku.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s