30% dakwaan rasuah wang fitnah???

Di sebalik kecaman lantang pelbagai pihak terhadap amalan rasuah politik dalam Umno serta peraturan dan tindakan tegas parti bagi membanteras gejala ini, perbuatan ini dikatakan terus berleluasa setiap kali Umno melalui proses pemilihan pemimpinnya di pelbagai peringkat.

Dalam keghairahan anggota parti untuk bertanding jawatanjawatan dalam Umno ini, kita mendengar dakwaan-dakwaan ada pihak menyogok untuk mendapat pencalonan, tidak kurangnya ada juga pihak meminta sogokan sebagai syarat untuk memberi pencalonan dan dakwaan tentang jual beli undi.

Ketika pihak luar memerhati dan mencebik sinis mengenai apa yang sedang berlaku ini, ada anggota parti yang pantas menuding jari kepada Lembaga Disiplin Umno, yang didakwa lembab menjalankan tanggungjawab menghukum mereka yang bersalah.

Adakah dakwaan mereka ini benar dan adil kepada lembaga itu?

Ketika persoalan ini diaju Bernama kepada Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili pengerusi lembaga itu Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail, menjelaskan bahawa badan itu bukan sekadar menghukum tetapi bertanggungjawab memastikan hanya mereka yang bersalah dikenakan tindakan.

“Kami sedar banyak rungutan konon kami tidak menjalankan tugas, tak ada tindakan keras, tak ada siasatan, tetapi pada ketika kami mahu memenuhi kehendak ramai ini, kami ada tanggungjawab besar iaitu memastikan keadilan dicapai walaupun ia akan mengambil masa,” katanya.

Mohd Hafarizam yang juga anggota lembaga disiplin itu serta penasihat undang-undang Umno berkata badan itu berpendapat adalah lebih baik orang yang bersalah terlepas daripada menghukum orang yang tidak bersalah.

“Menerusi penelitian saya, daripada sejumlah aduan yang kita terima, 30 peratus adalah berunsur fitnah atau ‘frame up’ iaitu orang yang kalah nak aniaya calon yang menang dan sebagainya,” kata beliau.

Justeru itu kata Mohd Hafarizam, lembaga mengambil masa untuk menyiasat dan bertindak terhadap setiap aduan salah laku yang diterima, bagi memastikan tidak ada pihak yang teraniaya.

“Dengan kaedah sekarang kita memang ambil masa untuk menyelesaikan satusatu kes. Paling cepat pun tiga bulan, sebab sekarang kita ada panel penyiasatan. Kali ini kita lebih efektif dan komprehensif sebab itu ambil masa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hafarizam berkata setiap aduan politik wang yang diterima akan dihalusi dan jika mempunyai asas serta bukti yang kukuh, panel penyiasatan akan dihantar untuk mengambil keterangan.

“Panel ini terdiri daripada anggota Lembaga Disiplin dan tugas mereka adalah mendapatkan keterangan daripada pengadu dan yang diadu, yang akan dipanggil pada masa dan di tempat yang berbeza.

“Panel inilah yang menentukan sama ada aduan itu ada prima facie atau tidak. Jika tak ada kita tutup kes, tetapi jika ada kita akan adakan siasatan dalaman,” katanya.

Beliau berkata orang yang dituduh akan diberi surat tunjuk sebab dan diberi masa antara tujuh hingga 10 hari untuk menyediakan pembelaan.

“Pada peringkat ini sekali lagi kita panggil pengadu dan jika maklumat yang diberi adalah konsisten dengan laporan panel penyiasatan maka tribunal akan mendengar pembelaan yang dituduh. Selepas itu barulah anggota tribunal berbincang dan membuat keputusan,” katanya.

Keputusan itu kemudian akan dibentang dalam mesyuarat tribunal Lembaga Disiplin yang dipengerusikan Tengku Ahmad Rithaudeen sebelum jenis hukuman diputuskan, jelas Mohd Hafarizam.

Beliau juga menegaskan bahawa adalah sukar untuk menentukan sama ada rasuah politik benarbenar berlaku memandangkan orang Melayu adalah masyarakat yang mempunyai adat resam dan berbudi bahasa.

“Lembaga Disiplin tak menafikan Umno ini sebagai parti orang Melayu, jadi kita ada adat resam, bila orang datang rumah kita bagi makan, bila buat majlis kita bagi cenderamata dan sebagainya. Ini bagi Lembaga Disiplin tak salah.

“Yang salah apabila ia berleluasa dan menjadi satu tujuan utama, iaitu tujuan utama pemberian itu ialah untuk mempengaruhi seseorang itu memberi undi atau tidak memberi undi maka di sinilah kesalahan itu boleh dikatakan telah berlaku,” katanya.

Berdasarkan kepada pindaan Tataetika Ahli Umno yang dipersetujui 27 Mac lalu, sogokan politik didefinisikan kepada tiga kategori iaitu menyalahgunakan kuasa untuk mendorong atau memaksa orang mengundi atau tidak mengundi mana-mana calon; memberi, meminjam, meminta atau bersetuju untuk memberi atau meminjam atau meminta atau menawarkan sebarang balasan bernilai untuk tujuan seperti yang tersebut; dan memberi atau menerima atau membenarkan anggota keluarganya atau mana-mana pihak menerima bagi pihaknya apa jua hadiah dan faedah bagi tujuan yang sama.

Mengulas mengenai jumlah aduan yang meningkat pada pemilihan kali ini, beliau berkata kira-kira 40 peratus daripadanya adalah berkenaan perjalanan mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian yang baru berakhir. “Jadi bila kami terima aduan begini, kami akan halusi sama ada ia tertakluk di bawah bidang kuasa kami.

“Kalau ia berkaitan salah laku ketika menjawat jawatan maka ia di bawah kuasa kami, tapi selain daripada itu ia adalah di bawah kuasa badan perhubungan atau pucuk pimpinan,” katanya.

Ditanya sama ada gejala rasuah politik semakin buruk di dalam Umno, Mohd Hafarizam berkata ukuran tidak boleh dibuat berdasarkan statistik aduan yang diterima sematamata.

“Untuk katakan ia semakin teruk saya rasa tidak, sebab statistik menunjukkan banyak aduan yang kita terima tak jatuh dalam bidang kuasa kami. Lagipun ada aduan hanya sekadar tuduhan tanpa asas, dia mengadu saja minta kita turun dan siasat. Ini kita masukkan di bawah NFA (no further action (tiada tindakan lanjut)) dan dicampur dengan jumlah yang bukan di bawah bidang kuasa kita dah dekat 300 aduan,” katanya.

Sehingga Jumaat lepas, badan itu telah menerima 837 aduan dan daripada jumlah itu 181 telah disiasat oleh panel penyiasatan, 75 belum disiasat, 57 aduan memerlukan dokumen tambahan, 119 (NFA), 114 (bukan bawah bidang kuasa), 251 aduan baru, dan lima aduan dalam perhatian (KIV).

Daripada 181 aduan yang telah disiasat sebanyak 31 didapati tidak ada prima facie, 31 telah dipanggil untuk tunjuk sebab (tribunal Lembaga Disiplin), 18 telah didapati bersalah, dan 13 tertuduh didapati tidak bersalah, manakala selebihnya belum diputuskan.

Mohd Hafarizam juga menegaskan Lembaga Disiplin tidak menggunakan laporan pasukan pemantau yang sedang bergerak di kalangan anggota Umno sebagai asas mengambil tindakan.

Sebaliknya kata beliau, lembaga hanya mengeluarkan amaran terlebih dahulu kepada pihak yang didakwa pemantau terlibat dalam gejala sogokan politik.

“Kami beri amaran dulu kerana kadangkadang kami perlu juga balance up (seimbangkan). Dalam masa nak memantau kami tak menganiaya. Kadang-kadang pemantau ini ada interest (kepentingan)dia, jadi kita tak boleh hanya terima bulat-bulat dan proceed (teruskan siasatan).

“Kita kena buat first warning (amaran pertama) dulu, kalau dia betul-betul buat dia akan stop (berhenti). Tapi ini bergantung kepada kes juga, kalau dah 20, 30 orang cakap berlaku, siap ada gambar maka itu dah dikira macam aduan dan kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau juga menolak cadangan sesetengah anggota Umno agar Lembaga Disiplin menyiasat berdasarkan ‘cakap-cakap’ semata-mata.

“Lembaga Disiplin tak boleh buat macam tu, kita cuma akan hanya siasat jika ada aduan bermerit. Untuk kita pergi tanpa ada aduan ‘it’s no longer prosecution but persecution’ (ia bukan lagi pendakwaan tetapi penganiayaan), kita boleh dikatakan menganiaya seseorang,” katanya.

Sambil mengakui lembaga itu berdepan dengan tugas yang lebih mencabar berikutan masa berkempen yang panjang pada pemilihan kali ini, Mohd Hafarizam berkata pihak lembaga telah memohon tambahan anggota daripada Jawatankuasa Pengurusan parti bagi memastikan penyiasatan dapat dipercepatkan.

“Sekarang kita ada 18 orang. Tengku (Ahmad Rithaudeen) mohon tambah tiga orang lagi. Tapi kita faham bukan mudah untuk cari orang yang layak kerana untuk menjadi anggota Lembaga Disiplin, orang itu adalah anggota yang tak ada jawatan dalam parti dan tidak terlibat dalam pemilihan,” katanya.

Mohd Hafarizam berkata sekalipun ada tindakan tegas daripada Lembaga Disiplin, gejala rasuah politik dalam Umno sukar dibendung melainkan anggota parti mengubah minda mereka.

“Sekarang yang saya dengar di peringkat akar umbi yang banyak berlaku adalah pihak yang meminta. Jadi bayangkanlah calon yang nak bertanding tu nak buat macam mana…diberi salah, tak diberi kalah. Tapi aduan yang banyak kita terima adalah aduan tentang pihak yang memberi,” katanya. BERNAMA

nota: apa nak jadi dengan UMNO pada hari ini? sanggup juga orang buat laporan palsu demi kuasa. Ya Allah selamatkanlah UMNO.

Advertisements

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s