Daily Archives: November 25, 2008

PKR Pun ‘kena’ Demam Peralihan Kuasa – Malaysiakini

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak bercadang mengadakan peralihan kuasa antara penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada kongres nasional tahunannya Sabtu ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim berkata, perkara itu tidak timbul meskipun Dr Wan Azizah telah melepaskan jawatannya sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar, untuk bertanding.

“Cadangan itu tidak ada sama sekali dalam kongres nasional kita nanti. Kenapa nak tukar pula? Dia (Dr Wan Azizah) adalah orang yang sesuai untuk mengendalikan parti,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini ketika diminta mengulas desas desus kononnya ada cadangan untuk peralihan kuasa antara kedua-dua pemimpin itu pada kongres parti kali ini.

Pemilihan parti akan hanya berlangsung pada tahun 2010.

Sementara itu, Salehuddin berkata secara peribadi beliau bersetuju dengan usul Wanita parti itu yang mahukan manamana Anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat dengan skandal seks dan rasuah meletak jawatan.

“Pada dasarnya ia baik tetapi perlulah dibuktikan dahulu yang mereka ini bersalah. Tak boleh letak jawatan begitu sahaja,” katanya.

Dua anggota Exco Kerajaan Negeri Perak PKR Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi kini menghadapi tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Ipoh berhubung projek pembangunan di Seri Iskandar yang bernilai RM180 juta.

Selain itu, Anwar juga sedang menghadapi tuduhan di Mahkamah Sesyen di sini kerana didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun lepas.

Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor pada 29 dan 30 November ini, akan disertai 1,900 perwakilan daripada 180 bahagian di seluruh negara.

Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR akan mengadakan kongres nasional tahunan masing-masing pada 28 November juga di Shah Alam. BERNAMA

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Hassan Ali Panas Punggung? – Malaysiakini

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali didakwa menggugurkan dua pemimpin kanan parti itu kerana “kepanasan” dengan kritikan yang diterimanya berhubung isu agama dan kaum dalam pentadbiran negeri.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dilucutkan jawatan sebagai timbalah pesuruhjaya II PAS negeri itu digantikan  ahli parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat, Jumaat lepas.

Sementara ketua penerangan diserahkan kepada setiausaha akhbar presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Sharir bagi menggantikan wakil rakyat Hulu Kelang, Saari Sungib.

Keputusan mendadak itu diputuskan dalam mesyuarat Dewan Harian parti itu yang diumumkan dan diluluskan dalam mesyuarat badan perhubungan PAS negeri itu pada hari yang sama.Sumber-sumber dalaman PAS Selangor memberitahu Malaysiakini, pengguguran itu dicadangkan sendiri oleh Dr Hassan menggunakan kuasanya sebagai pemimpin nombor satu dengan mendominasi kedua-dua mesyuarat itu.

Menurut sumber lagi, keputusan pengguguran Khalid dan Saari itu tidak dipersetujui di kalangan ahli mesyuarat yang terdiri daripada yang dipertua PAS kawasan.

Ramai di antara mereka dikatakan berdiam diri kerana tidak berpeluang mengeluarkan pandangan.

“Tidak ada kebebasan bersuara dalam mesyuarat. (Agenda) tidak bincang isu betul-betul dan selalu disapu di bawah permaidani,” kata sumber.

Kedua-dua tokoh gerakan Islam itu dikatakan sering bersuara lantang menyebabkan Dr Hassan jadi sensitif, terutamanya dalam isu pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan peruntukan RM10 juta kepada rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.

Malaysiakini difahamkan kedua-dua tokoh yang digugurkan itu berpandangan, isu-isu berunsur perkauman melibatkan penyertaan golongan bukan Melayu dalam kerajaan Selangor tidak harus menjadi keutamaan PAS di negeri itu.

“Isu-isu Melayu ini kita sudah tidak mahu layan,” kata sumber.

Bagaimanapun, pandangan Khalid dan Saari ini dikatakan bertentangan dengan pendekatan Dr Hassan yang didakwa tidak mengendahkan teguran-teguran yang dibuat terhadapnya.

Dr Hassan sebelum ini dilaporkan menolak pelantikan Low atas alasan beliau bukan Melayu dan beliau mahu segera menggantikan pemimpin korporat itu dengan seorang calon Melayu.

Tindakan Dr Hassan itu mengundang kontroversi dan reaksi pelbagai pihak.Isu-isu sebegitu, kata sumber, tidak selari dengan slogan “PAS Untuk Semua” yang dilaungkan parti itu.

Penyingkiran kedua-dua tokoh itu juga dikatakan kesan daripada tindakan mereka yang mahukan PAS “kembali kepada asal” dengan memfokuskan kepada usaha mengukuhkan Pakatan.

Dihubungi selepas sidang parlimen hari ini, Khalid mengakui rombakan PAS negeri terpaksa dibuat kerana perbezaan pendapat, kaedah dan cara beliau menyebabkan Dr Hassan tidak dapat melaksanakan tugas dengan berkesan.

Beliau bagaimanapun enggan memperincikan perbezaan-perbezaan itu seperti disebut oleh sumber-sumber.

Perbezaan itu, katanya, bermula sejak pilihanraya umum Mac lagi apabila PAS bersama PKR dan DAP kali pertama berjaya menawan Selangor.

Khalid menambah, pelantikan Roslan dan Dr Che Rosli yang “lebih serasi” dengan Dr Hassan bertujuan membolehkan pesuruhjaya itu menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan.

Tambahnya, atas kapasitinya sebagai yang dipertua PAS Shah Alam, beliau akan terus menegur kepemimpinan negeri jika wujud kesalahan walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai timbalan pesuruhjaya II.

Menurutnya lagi, Saari sebagai wakil rakyat PAS masih boleh menghadiri mesyuarat badan perhubungan negeri, cuma tidak boleh terlibat membuat keputusan atau mengundi.

Badan itu mempunyai 63 ahli (termasuk enam anggota dilantik), melibatkan pemimpin tertinggi di peringkat negeri, wakil Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, dan ketua serta setiausaha PAS kawasan-kawasan.

Khalid yang hadir pada mesyuarat Dewan Harian dan badan perhubungan minggu lalu tidak menentang keputusan Dr Hassan yang, menurut ahli parlimen itu, mendapat sokongan majoriti badan perhubungan PAS negeri.Saari  ketika dihubungi enggan mengulas pengguguran beliau daripada badan perhubungan negeri.

Sementara itu, Roslan yang juga yang dipertua PAS Kelana Jaya mengakui idea merombak organisasi parti itu disarankan oleh Dr Hassan sendiri bertujuan untuk menguatkan organisasi parti.

Beliau berkata, hanya jawatan dalam organisasi PAS negeri sahaja digugurkan bertujuan meringankan beban kedua-dua wakil rakyat itu.

Jawatan-jawatan lain yang dipegang, diteruskan seperti biasa.

Menurut Rolsan lagi, rombakan minggu lepas itu merupakan “perkara biasa” dan diamalkan di pelbagai negeri.

“Pahang dan Melaka juga membuat rombakan tetapi tidak tidak dibicarakan,” katanya kepada Malaysiakini.

Rombakan itu, tambahnya, hanya mencetuskan spekulasi kerana Selangor merupakan negeri bawah pemerintahan Pakatan yang melibatkan PAS sebagai rakan gabungan.

Mengulas pelantikan beliau dan Dr Che Rosli, Roslan berkata, kedua-dua mereka bukanlah orang baru.

Beliau sebaliknya pernah memegang jawatan ketua penerangan PAS Selangir sebelum ini, berpengalaman dan mempunyai hubungan baik mempromosikan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di negeri itu sewaktu pilihanraya umum Mac lalu.

“Dr Che Rosli pula merupakan bekas (seorang) timbalan pesuruhjaya PAS Perlis,” katanya.

Dr Hassan gagal dihubungi untuk mengulas dakwaan ini, beliau kini dilaporkan berada di luar negara.

Beliau semalam dilaporkan berkata, PAS Selangor memerlukan rombakan kecil selepas melihat perlunya ada usaha memberi peluang kepada barisan kepimpinan baru.

Rombakan itu, tambahnya lagi, mengambil kira komitmen dan penglibatan sepenuh masa dalam organisasi itu.

Beliau mendakwa Khalid dan Saari berperanan besar sebagai wakil rakyat di tempat masing-masing.

Selain pemimpin kawasan Shah Alam, Khalid juga ahli lajnah politik PAS pusat.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda