Daily Archives: November 26, 2008

Tiada larangan jualan alkohol di Selangor – Anwar – malaysiakini

Tiada larangan jualan alkohol di 7-Eleven, pasaraya dan kedai kopi di Selangor, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bagaimanapun, keputusan untuk mengenakan sebarang larangan adalah sepenuhnya dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan exco negeri, katanya kepada pemberita di Parlimen.

Beliau yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata dasar membataskan jualan arak bukan perkara untuk dibincangkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Perkara seumpama itu mesti dirujuk kepada kerajaan negeri dan ia akan dibincangkan di peringkat itu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Prinsip asasnya, kata beliau, ialah supaya kedai-kedai berkenaan tidak dilihat seperti menggalakkan minuman alkohol terutama di kalangan generasi muda dan orang Islam.

Tetapi, katanya, tiada sebarang cadangan daripada kerajaan Selangor untuk melarang sepenuhnya jualan alkohol di premis terbuka yang membabitkan orang bukan Islam.

Menurut Anwar lagi, beliau tidak ada sebarang masalah dengan dasar-dasar sekarang kerana fundamentalnya sudah jelas.

Exco negeri bincang

Bagaimanapun, beliau menambah, sebagai sebuah negara yang demokratik, mesti ada ruang untuk membuat cadangan dan perbincangan.

“Rakyat memberi pandangan dan maklum balas dan kita mesti mendengarnya tetapi dalam aspek dasar, tidak ada sebarang masalah,” katanya.

Menurut beliau, tiada apa yang harus dibimbangkan kerana dasar sekarang kekal dan “kami tidak menggalakkan umat Islam minum (alkohol) atau makan babi tetapi kita tidak akan menafikan hak orang bukan Islam untuk makan babi atau minum alkohol”.

Akhbar-akhbar berbahasa Cina hari ini menyiarkan di muka depan laporan bahawa PAS Selangor bimbang dengan keadaan sekarang di mana minuman alkohol mudah didapati di kedai-kedai.

Dimaklumkan bahawa majlis-majlis perbandaran akan diberi tugas – selepas mendapat kelulusan majlis tersebut – untuk mengenakan larangan penjualan alkohol di kawasan masing-masing.

Menteri Besar Selangor yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu pemberita di Parlimen bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini. –

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

PAS ‘bongkak’, kata DAP – malaysiakini

PAS dianggap “bongkak dan sukar bekerjasama” apabila cuba memperkenalkan peraturan membataskan jualan alkohol di Selangor tanpa merujuk parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Tindakan parti Islam yang membelakang sentimen sokongan pengundi bukan Islam yang memberikan kemenangan kepada Pakatan boleh melemahkan kerajaan gabungan itu, kata ketua publisiti DAP Tony Pua.

“Walaupun PAS Selangor berhak mencadangkan sebarang peraturan yang difikirkannya perlu, mereka jangan lupa bahawa di negeri ini, mereka sebahagian gabungan bersama dua lagi parti dengan menguasai lapan daripada 36 kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat,” katanya.

“Oleh itu, sebarang percubaan oleh PAS Selangor untuk menegakkan dasarnya tanpa mengambil kira rakan gabungannya booleh dianggap bongkak dan sukar bekerjasama, yang hanya boleh melemahkan kerajaan campuran.”Ahli parlimen Petaling Jaya Utara menambah, tindakan PAS sedemikian boleh membawa keretakan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Tony mengulas laporan akhbar-akhbar berbahasa Cina hari ini yang menyebut PAS sedang memperkenalkan langkah sedemikian di restoran, kedai runcit dan kedai serbaguna 24 jam melalui anggota-anggotanya yang berada di majlis-majlis pihak berkuasa tempatan.

Beliau menambah, dengan bantahannya ini, tidak bermakna DAP menggalakkan peminuman alkohol tetapi larangan meluas bahan itu boleh dianggap melanggar hak sejumlah warga Selangor.

“Kami berharap kepemimpinan PAS negeri sudi mendengar pendapat-pendapat yang lebih wajar, bukan hanya daripada rakan-rakan gabungan (Pakatan) tetapi juga daripada dalam parti (PAS) itu sendiri yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut,” kata Tony dalam satu kenyataan.

Beliau juga menggesa PAS segera memahami kerumitan kerajaan campuran Pakatan pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang jauh berbeza daripada Barisan Nasional yang menyaksikan Umno menundukkan rakan-rakan gabungannya.

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Saiful muncul utk tepis tohmahan – malaysiakini

Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, pemuda yang mendakwa diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) esok pada jam 11 pagi.

Hal ini diberitahu oleh salah seorang ahli keluarga Saiful ketika dihubungi mStar Online, petang tadi.

Menurut sumber itu, kehadiran Saiful adalah berhubung laporan tuntutan qazaf (tuduhan palsu) yang dibuat oleh Anwar terhadapnya di Mahkamah Syariah pada 9 Julai lalu.

Anwar pada 7 Ogos lalu turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Damansara, di sini pada 26 Jun.

Sehubungan itu, Mohd Saiful telah diminta hadir memberi keterangan kepada JAWI berhubung tuntutan qazaf tersebut pada 19 Ogos.

Sebelum itu, pada 15 Ogos, Mohd Saiful ditemani bapanya, Azlan Mohd Lazim, melafazkan sumpah laknat (mubahalah) di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dengan disaksikan Imam Ramlang Porigi, menyatakan dia diliwat Penasihat PKR terbabit.

Dalam sumpah laknat itu, Mohd Saiful mendakwa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar.

Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu lagi, kemunculan Mohd Saiful di JAWI esok mampu menangkis tohmahan dan laporan palsu yang tersebar sebelum ini kononnya beliau ditimpa bala dan sumpah memakan dirinya.

“Saiful perlu hadir di JAWI esok. Pada masa yang sama, beliau ingin menunjukkan yang cerita beliau ditimpa bala adalah tidak benar,” jelas sumber itu. – mstar

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

BN-Pakatan Rakyat sepakat kutuk Zionis — malaysiakini

Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Dr. Mohd Puad Zakarshi (BN-Batu Pahat) bagi menangguhkan sidang Parlimen agar membincangkan mengenai keganasan terbaru rejim Zionis di Gaza selepas terlucutnya perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.

Penolakan usul tersebut dibacakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana tidak perlu disegerakan.

Bagaimanapun keputusan penolakan tersebut mendapat bantahan daripada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Rakyat yang beranggapan bahawa Parlimen Malaysia perlu membuat satu ketetapan dan pendirian terhadap tindakan kejam rejim Zionis itu.

Ronald memaklumkan bahawa usul berkenaan tidak perlu disegerakan atas dasar Malaysia melalui Kementerian Luar telah mengeluarkan kenyataan akhbar pada 21 November lalu bagi mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Zionis.

Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) bangun dan meminta Speaker mempertimbangkan semula keputusan beliau itu kerana ia melibatkan kepentingan oarng awam yang dianiaya.

“Saya merayu usul yang sebaik ini perlu dibahaskan kerana melibatkan kepentingan orang awam di Gaza, mereka kebuluran atas kekejaman Zionis.

“Biarlah Parlimen Malaysia melahirkan satu keputusan bagi mengutuk kekejaman ini,” katanya.

Selepas itu Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok) bangun bagi menyokong usul yang dibawa itu.

“Saya mewakili rakan-rakan di sebelah sini menyokong penuh usul ini untuk dibincangkan dan dibahaskan.

“Jika hanya dibuat (bantahan) oleh Wisma Putra sahaja itu tak berapa serius, kita mahu Parlimen Malaysia menjadi medan untuk menyatakan (pendirian) bahawa kita tak mengenal parti politik sama ada di sebelah sana (kerajaan) atau sebelah sini (pembangkang),” katanya.

Bagaimanapun Ronald menjelaskan bahawa ahli Dewan masih berpeluang untuk membahaskan mengenai perkara ini apabila tibanya giliran perbahasan bagi Kementerian Luar.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) turut memohon pertimbangan semula bagi membenarkan usul berkenaan dibahaskan.

“Pada hemat saya ini adalah kesempatan yang cukup baik menunjukkan ada isu-isu penting yang boleh diputuskan bersama oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik.

“Kita faham Kementerian Luar telah nyatakan pendirian, tapi bezanya ia bukan lagi sikap atau pendirian satu kementerian jika ia melibatkan Parlimen yang didokong oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah beliau pendirian yang dinyatakan oleh kementerian dan Parlimen adalah dua perkara yang berbeza dan mempunyai impak yang berlainan.

Bagaimanapun Ronald berkata keputusan beliau itu adalah muktamad setelah meneliti bahawa tindakan Kementerian Luar adalah cukup memadai bagi mewakili kerajaan Malaysia yang sensitif dengan isu kekejaman yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra pada 21 November lalu menyatakan bahawa Malaysia mendesak masyarakat antarabangsa terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara-negara kuasa besar bertindak bagi menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza.

Malaysia juga mendesak Majlis Keselamatan PBB mengetepikan perbezaan politik dan ideologi di atas nama perikemanusiaan dan menyelamatkan penduduk Gaza terutama kaum wanita dan kanak-kanak daripada tindakan agresif rejim Zionis.

nota: Baguslah kalau dah mula tunjukkan sifat kesepakatan….isu global harus diberi pertimbangan apatah lagi ia melibatkan nyawa orang yang tak berdosa…

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda