Monthly Archives: November 2008

30% dakwaan rasuah wang fitnah???

Di sebalik kecaman lantang pelbagai pihak terhadap amalan rasuah politik dalam Umno serta peraturan dan tindakan tegas parti bagi membanteras gejala ini, perbuatan ini dikatakan terus berleluasa setiap kali Umno melalui proses pemilihan pemimpinnya di pelbagai peringkat.

Dalam keghairahan anggota parti untuk bertanding jawatanjawatan dalam Umno ini, kita mendengar dakwaan-dakwaan ada pihak menyogok untuk mendapat pencalonan, tidak kurangnya ada juga pihak meminta sogokan sebagai syarat untuk memberi pencalonan dan dakwaan tentang jual beli undi.

Ketika pihak luar memerhati dan mencebik sinis mengenai apa yang sedang berlaku ini, ada anggota parti yang pantas menuding jari kepada Lembaga Disiplin Umno, yang didakwa lembab menjalankan tanggungjawab menghukum mereka yang bersalah.

Adakah dakwaan mereka ini benar dan adil kepada lembaga itu?

Ketika persoalan ini diaju Bernama kepada Lembaga Disiplin, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili pengerusi lembaga itu Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail, menjelaskan bahawa badan itu bukan sekadar menghukum tetapi bertanggungjawab memastikan hanya mereka yang bersalah dikenakan tindakan.

“Kami sedar banyak rungutan konon kami tidak menjalankan tugas, tak ada tindakan keras, tak ada siasatan, tetapi pada ketika kami mahu memenuhi kehendak ramai ini, kami ada tanggungjawab besar iaitu memastikan keadilan dicapai walaupun ia akan mengambil masa,” katanya.

Mohd Hafarizam yang juga anggota lembaga disiplin itu serta penasihat undang-undang Umno berkata badan itu berpendapat adalah lebih baik orang yang bersalah terlepas daripada menghukum orang yang tidak bersalah.

“Menerusi penelitian saya, daripada sejumlah aduan yang kita terima, 30 peratus adalah berunsur fitnah atau ‘frame up’ iaitu orang yang kalah nak aniaya calon yang menang dan sebagainya,” kata beliau.

Justeru itu kata Mohd Hafarizam, lembaga mengambil masa untuk menyiasat dan bertindak terhadap setiap aduan salah laku yang diterima, bagi memastikan tidak ada pihak yang teraniaya.

“Dengan kaedah sekarang kita memang ambil masa untuk menyelesaikan satusatu kes. Paling cepat pun tiga bulan, sebab sekarang kita ada panel penyiasatan. Kali ini kita lebih efektif dan komprehensif sebab itu ambil masa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hafarizam berkata setiap aduan politik wang yang diterima akan dihalusi dan jika mempunyai asas serta bukti yang kukuh, panel penyiasatan akan dihantar untuk mengambil keterangan.

“Panel ini terdiri daripada anggota Lembaga Disiplin dan tugas mereka adalah mendapatkan keterangan daripada pengadu dan yang diadu, yang akan dipanggil pada masa dan di tempat yang berbeza.

“Panel inilah yang menentukan sama ada aduan itu ada prima facie atau tidak. Jika tak ada kita tutup kes, tetapi jika ada kita akan adakan siasatan dalaman,” katanya.

Beliau berkata orang yang dituduh akan diberi surat tunjuk sebab dan diberi masa antara tujuh hingga 10 hari untuk menyediakan pembelaan.

“Pada peringkat ini sekali lagi kita panggil pengadu dan jika maklumat yang diberi adalah konsisten dengan laporan panel penyiasatan maka tribunal akan mendengar pembelaan yang dituduh. Selepas itu barulah anggota tribunal berbincang dan membuat keputusan,” katanya.

Keputusan itu kemudian akan dibentang dalam mesyuarat tribunal Lembaga Disiplin yang dipengerusikan Tengku Ahmad Rithaudeen sebelum jenis hukuman diputuskan, jelas Mohd Hafarizam.

Beliau juga menegaskan bahawa adalah sukar untuk menentukan sama ada rasuah politik benarbenar berlaku memandangkan orang Melayu adalah masyarakat yang mempunyai adat resam dan berbudi bahasa.

“Lembaga Disiplin tak menafikan Umno ini sebagai parti orang Melayu, jadi kita ada adat resam, bila orang datang rumah kita bagi makan, bila buat majlis kita bagi cenderamata dan sebagainya. Ini bagi Lembaga Disiplin tak salah.

“Yang salah apabila ia berleluasa dan menjadi satu tujuan utama, iaitu tujuan utama pemberian itu ialah untuk mempengaruhi seseorang itu memberi undi atau tidak memberi undi maka di sinilah kesalahan itu boleh dikatakan telah berlaku,” katanya.

Berdasarkan kepada pindaan Tataetika Ahli Umno yang dipersetujui 27 Mac lalu, sogokan politik didefinisikan kepada tiga kategori iaitu menyalahgunakan kuasa untuk mendorong atau memaksa orang mengundi atau tidak mengundi mana-mana calon; memberi, meminjam, meminta atau bersetuju untuk memberi atau meminjam atau meminta atau menawarkan sebarang balasan bernilai untuk tujuan seperti yang tersebut; dan memberi atau menerima atau membenarkan anggota keluarganya atau mana-mana pihak menerima bagi pihaknya apa jua hadiah dan faedah bagi tujuan yang sama.

Mengulas mengenai jumlah aduan yang meningkat pada pemilihan kali ini, beliau berkata kira-kira 40 peratus daripadanya adalah berkenaan perjalanan mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian yang baru berakhir. “Jadi bila kami terima aduan begini, kami akan halusi sama ada ia tertakluk di bawah bidang kuasa kami.

“Kalau ia berkaitan salah laku ketika menjawat jawatan maka ia di bawah kuasa kami, tapi selain daripada itu ia adalah di bawah kuasa badan perhubungan atau pucuk pimpinan,” katanya.

Ditanya sama ada gejala rasuah politik semakin buruk di dalam Umno, Mohd Hafarizam berkata ukuran tidak boleh dibuat berdasarkan statistik aduan yang diterima sematamata.

“Untuk katakan ia semakin teruk saya rasa tidak, sebab statistik menunjukkan banyak aduan yang kita terima tak jatuh dalam bidang kuasa kami. Lagipun ada aduan hanya sekadar tuduhan tanpa asas, dia mengadu saja minta kita turun dan siasat. Ini kita masukkan di bawah NFA (no further action (tiada tindakan lanjut)) dan dicampur dengan jumlah yang bukan di bawah bidang kuasa kita dah dekat 300 aduan,” katanya.

Sehingga Jumaat lepas, badan itu telah menerima 837 aduan dan daripada jumlah itu 181 telah disiasat oleh panel penyiasatan, 75 belum disiasat, 57 aduan memerlukan dokumen tambahan, 119 (NFA), 114 (bukan bawah bidang kuasa), 251 aduan baru, dan lima aduan dalam perhatian (KIV).

Daripada 181 aduan yang telah disiasat sebanyak 31 didapati tidak ada prima facie, 31 telah dipanggil untuk tunjuk sebab (tribunal Lembaga Disiplin), 18 telah didapati bersalah, dan 13 tertuduh didapati tidak bersalah, manakala selebihnya belum diputuskan.

Mohd Hafarizam juga menegaskan Lembaga Disiplin tidak menggunakan laporan pasukan pemantau yang sedang bergerak di kalangan anggota Umno sebagai asas mengambil tindakan.

Sebaliknya kata beliau, lembaga hanya mengeluarkan amaran terlebih dahulu kepada pihak yang didakwa pemantau terlibat dalam gejala sogokan politik.

“Kami beri amaran dulu kerana kadangkadang kami perlu juga balance up (seimbangkan). Dalam masa nak memantau kami tak menganiaya. Kadang-kadang pemantau ini ada interest (kepentingan)dia, jadi kita tak boleh hanya terima bulat-bulat dan proceed (teruskan siasatan).

“Kita kena buat first warning (amaran pertama) dulu, kalau dia betul-betul buat dia akan stop (berhenti). Tapi ini bergantung kepada kes juga, kalau dah 20, 30 orang cakap berlaku, siap ada gambar maka itu dah dikira macam aduan dan kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau juga menolak cadangan sesetengah anggota Umno agar Lembaga Disiplin menyiasat berdasarkan ‘cakap-cakap’ semata-mata.

“Lembaga Disiplin tak boleh buat macam tu, kita cuma akan hanya siasat jika ada aduan bermerit. Untuk kita pergi tanpa ada aduan ‘it’s no longer prosecution but persecution’ (ia bukan lagi pendakwaan tetapi penganiayaan), kita boleh dikatakan menganiaya seseorang,” katanya.

Sambil mengakui lembaga itu berdepan dengan tugas yang lebih mencabar berikutan masa berkempen yang panjang pada pemilihan kali ini, Mohd Hafarizam berkata pihak lembaga telah memohon tambahan anggota daripada Jawatankuasa Pengurusan parti bagi memastikan penyiasatan dapat dipercepatkan.

“Sekarang kita ada 18 orang. Tengku (Ahmad Rithaudeen) mohon tambah tiga orang lagi. Tapi kita faham bukan mudah untuk cari orang yang layak kerana untuk menjadi anggota Lembaga Disiplin, orang itu adalah anggota yang tak ada jawatan dalam parti dan tidak terlibat dalam pemilihan,” katanya.

Mohd Hafarizam berkata sekalipun ada tindakan tegas daripada Lembaga Disiplin, gejala rasuah politik dalam Umno sukar dibendung melainkan anggota parti mengubah minda mereka.

“Sekarang yang saya dengar di peringkat akar umbi yang banyak berlaku adalah pihak yang meminta. Jadi bayangkanlah calon yang nak bertanding tu nak buat macam mana…diberi salah, tak diberi kalah. Tapi aduan yang banyak kita terima adalah aduan tentang pihak yang memberi,” katanya. BERNAMA

nota: apa nak jadi dengan UMNO pada hari ini? sanggup juga orang buat laporan palsu demi kuasa. Ya Allah selamatkanlah UMNO.

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Mukhriz nak jadi Ketua Pemuda sahaja….

Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir tetap dengan pendiriannya untuk tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya diberi mandat sebagai ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana beliau mahu menumpukan sepenuh perhatian untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Sebelum ini saya telah umumkan kalau boleh saya tidak berminat memegang jawatan dalam kerajaan sekiranya diberi mandat untuk menjadi Ketua Pemuda Umno sebab kerja politik kita dalam tempoh waktu empat tahun menjelang pilihan raya umum ke-13 ini penting dan saya tidak mahu dialih perhatian dengan tugastugas rasmi kerajaan daripada tugas yang saya ingat jauh lebih penting pada masa ini iaitu tanggungjawab untuk meyakinkan semula rakyat terhadap parti kerajaan,” katanya.

“Saya kira walaupun saya anggota Parlimen dan biasanya jawatan penting dalam kerajaan dipilih dari kalangan anggota Parlimen saya rasa biar dulu lah kot,” katanya dalam sidang akhbar sempena taklimat Anugerah Francais Malaysia 2008 di sini semalam.

Mukriz ialah Pengerusi Persatuan Francais Malaysia.

Mengulas amalan rasuah, Mukhriz berkata, proses pemilihan parti sepatutnya memberi kekuatan kepada parti.

“Kalau ada amalanamalan dalam proses pemilihan ini yang sebenarnya melemahkan parti, ini akan menambahkan lagi ketidakyakinan rakyat terhadap Umno, katanya.

Beliau berkata, Umno mesti mengambil satu tindakan yang meyakinkan semula rakyat kepada parti iaitu dengan melakukan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan yang sepatutnya. BERNAMA

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Shahrizat Lawan Rafidah – malaysiakini

PETALING JAYA: Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan beliau akan bertanding mencabar ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.

Dalam reaksi segera beberapa ketua Umno Wanita bahagian menyatakan sokongan ke atas keputusan Shahrizat itu.

Terdahulu, Shahrizat, bekas anggota Kabinet dan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai, melalui kenyataan dua perenggan mengesahkan beliau menerima pencalonan dan sokongan untuk bertanding jawatan itu.

“Wanita Umno mesti bersatu dalam mengukuhkan parti serta berani membawa perubahan dan pembaharuan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, Rafidah ketika diminta mengulas tentang keputusan Shahrizat itu memberitahu bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataan esok.

“Kenyataan saya esok,” katanya menerusi jawapan SMS yang dikirim kepada mStar Online.

Keputusan beliau itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Rafidah untuk menyerahkan kepimpinan pergerakan itu pada Shahrizat Jun depan.

Denagan keputusan itu juga bermakna Shahrizat akan memberi laluan kepada satu-satunya saingan beliau bagi jawatan Naib Ketua iaitu Datuk Kamilia Ibrahim untuk menang tanpa bertanding pada pemilihan akan datang.

Dalam pada itu, pengumuman Shahrizat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno mendapat sokongan terbuka daripada beberapa ketua wanita bahagian.

Di JOHOR BAHARU, timbalan ketua wanita Johor Senator Sharifah Azizah Syed Zain berkata kirakira 80 peratus daripada 26 ketua wanita Umno bahagian di negeri itu menyokong pendirian Shahrizat.

“Percayalah ada ramai ketua wanita Umno bahagian di Johor yang hanya kulitnya Tan Sri Rafidah Aziz, tetapi isinya lebih daripada 80 peratus menyokong Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil,” kata ketua wanita bahagian Kluang itu.

Di IPOH, anggota exco wanita Umno Datuk Khamsiyah Yeop berkata keputusan Shahrizat untuk bertanding jawatan nombor satu pergerakan itu adalah tepat dan mengikut kehendak akar umbi.

Beliau berkata bagaimanapun, anggota wanita masih menaruh harapan agar Rafidah membuat keputusan mempercepatkan peralihan kuasa itu dari Jun ke Mac depan agar jawatan berkenaan tidak dipertandingkan.

“Kami masih menaruh harapan supaya (Tan Sri) Rafidah membuat keputusan terbaik, itu lebih cantik kerana selama ini suasana politik Wanita disanjung oleh semua sayap parti kerana memberi satu contoh terbaik dengan mencapai keputusan yang kolektif,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata jika Rafidah bersetuju dengan permintaan akar umbi supaya peralihan itu dipercepat, segala pertikaian dan masalah akan selesai.

Naib Ketua Wanita Umno Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata walaupun Shahrizat mengumumkan untuk bertanding, anggota akar umbi sangat berharap pertandingan bagi jawatan tertinggi sayap parti itu tidak berlaku.

Beliau berkata, pada dasarnya semua anggota wanita bersetuju peralihan kuasa daripada Rafidah kepada Shahrizat dilakukan, cuma mahu ia disegerakan.

“Wanita Umno Perak sebenarnya sangat sayang dan hormat kepada Rafidah. Beliau memang mahu menyerahkan kepada Shahrizat.

“Jadi, kami hanya mahu beliau pertimbangkan semula (supaya dipercepatkan). Kami merayu supaya beliau memikirkan perasaan orang lain (akar umbi),” katanya.

Di ALOR STAR, 12 daripada 15 Ketua wanita Umno bahagian di Kedah berikrar menyokong Shahrizat merebut jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti akan datang.

Ketua Penerangan Wanita Umno Kedah, Noorhasnita Mat Isa berkata, ketua wanita Umno bahagian yang menyokong Shahrizat ialah dari Padang Terap, Kuala Kedah, Kubang Pasu, Kulim Bandar Baharu, Merbok, Sungai Petani, Jerlun, Baling, Langkawi, Sik, Padang Serai dan Pendang.

“Hanya Wanita bahagian Jerai, Pokok Sena dan Alor Star belum membuat keputusan mereka,” katanya.

Noorhasnita, yang juga ketua wanita bahagian Kuala Kedah berkata kenyataan ketua wanita Umno Kedah Datin Salmah Mat Isa kononnya semua wanita Umno di Kedah sebulat suara menyokong Rafidah sebenarnya pendapat peribadi beliau sahaja.

Beliau berkata ketuaketua wanita Umno di negeri ini tidak pernah diajak berbincang dan mereka terkejut dengan kenyataan Salmah itu.

Noorhasnita berkata walaupun beberapa wanita Umno bahagian memberi pencalonan kepada Rafidah, mereka kini beralih menyokong Sharizat berdasarkan tiga alasan utama.

Antara alasan itu ialah sudah tiba masanya Rafidah melepaskan jawatan kerana telah terlalu lama memegangnya dan peralihan kuasa selama tiga bulan selepas pemilihan Umno dilihat tidak releven, katanya.

Kamilia sebelum ini telah berulang kali berkata beliau tidak menyetujui pelan peralihan Jun itu dengan alasan ia bertentangan dengan perlembangaan Umno.

Rafidah buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lalu dan mesyuarat exco Wanita Umno pada minggu lalu mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.

Kamilia tidak hadir pada mesyuarat itu sebagai tanda beliau tidak menyetujui pelan berkenaan.

Pelan peralihan itu juga dianggap oleh ramai pihak sebagai tidak logik kerana jika Shahrizat mengambil alih jawatan daripada Rafidah pada Jun mengikut pelan itu, beliau akan hanya menjadi pemangku Ketua Wanita sehingga pemilihan Umno yang diadakan tiga tahun selepas Mac depan.

Sebilangan Wanita bahagian juga mula bersuara menolak peralihan kuasa tersebut dan menyifatkan ia bukan kehendak akar umbi.

Bagi jawatan Ketua Wanita Umno, Rafidah mendapat 117 pencalonan manakala Shahrizat 73.

Sementara bagi jawatan Naib Ketua pula, Shahrizat menerima 113 pencalonan dan Kamilia 54 pencalonan.

Rafidah telah menerajui Wanita Umno selama 20 tahun sejak 1984 kecuali untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan 1993.

Bagaimanapun, beliau memenangi semula jawatan itu daripada Dr Siti Zaharah pada pemilihan 1996. – mstar

nota: Eloklah kalau Datuk Seri Shahrizat (DSS). Dah cukup kuota pencalonan pun. Apa nak kisah kalau kalah. Yang memang wanita UMNO yang kalah pun wanita UMNO. Yang penting ialah bila kita cukup kuota pencalonan, itu tanda kita ada sokongan. Biarpun yang menyokong datang dari bahagian sendiri. Teruskan perjuangan, menang kalah itu cerita lain.

8 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Lembu pun tahu tutup kemaluan, kata Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pihak yang menganjurkan demonstrasi berbogel sebagai tidak bertamadun dan lebih buruk daripada binatang.

Mursyidul Am Pas itu berkata tindakan seumpama itu bercanggah dengan sifat orang Islam dan mereka yang melakukan tindakan itu sudah hilang naluri kemanusiaan dalam diri mereka.

Bahkan, katanya, bagi orang Islam untuk masuk ke dalam tandas, yang tiada siapa melihat ketika berbogel bersendirian, Islam tetap meminta umatnya menjadikan amalan membacakan doa supaya dijauhi daripada syaitan.

“Binatang seperti lembu pun, walaupun dia telanjang bulat, Tuhan ciptakan ekor untuk tutup kemaluannya daripada dilihat inikan kita manusia yang dianugerahkan akal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan restoran London Fish Tales di sini hari ini.

Beliau mengulas hasrat Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis) meneruskan rancangan mengadakan demonstrasi berbogel di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor kerana membantah kenaikan sewa di bawah Program Perumahan Rakyat.

Presiden Reformis, Ramlan Abu Bakar berkata pihaknya membantah kenaikan sewa itu dari RM124 kepada RM250 sebulan.

Sehubungan itu, Nik Abdul Aziz menasihatkan pihak Reformis supaya mengambil pendekatan yang lebih baik dan rasional dalam menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Beliau berkata cara demonstrasi berbogel itu bukannya cara manusia menyelesaikan masalah tetapi lebih kepada cara binatang atau “monyet”.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihati ibu bapa supaya menjaga anakanak mereka ketika musim tengkujuh yang semakin hampir kerana khuatir mereka menjadi mangsa banjir.BERNAMA
nota: bila kehidupan sudah sebati dan sinonim dengan demonstrasi jalanan, kini ada pihak yang ingin mencuba demostrasi jalanan yang lain sedikit caranya..

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Bahagian UMNO yang bermasalah….

kepada pembaca yang mempunyai info mengenai Bahagian2 UMNO yang menghadapi masalah seperti Larut, Tenom dan beberapa bahagian lagi. Diharap dapat berkongsi maklumat dalam laman ini.

Terima Kasih

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Minyak Turun Lagi – malaysiakini

Selepas turun sebanyak 15 sen pada awal bulan ini – buat kali kelima, harga minyak turun lagi mulai esok.

Harga petrol RON 97, RON92 dan diesel turun sebanyak 15 sen seliter berkuat kuasa hari ini.

Harga runcit untuk petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen seliter kepada RM2.00 seliter daripada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan 15 sen kepada RM1.90 sen seliter dan harga diesel dikurangkan 15 sen seliter kepada RM1.90 seliter, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata ini merupakan penurunan yang kelima sejak bulan Ogos, sebagaimana janji Kerajaan untuk menurunkan harga runcit petrol jika ada penurunan dalam pasaran dunia.

Jelasnya, kerajaan berharap para peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak, supaya orang ramai mendapat manfaat yang sepenuhnya.

Beliau berkata para pengguna juga diharapkan akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walau pun harga telah turun, selaras dengan hasrat Kerajaan memastikan penggunaan tenaga yang efisien.

Minggu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menyatakan tentang harga minyak yang dijangka turun pada pertengahan bulan ini.

Ini berikutan harga purata minyak yang berada di paras AS$70 setong pada masa ini.

“Pada bulan Oktober lalu harga minyak berada di paras antara AS$74-AS$77 dan menurun kepada AS$70 semasa lapan hari terakhir bulan tersebut,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad di Johor Bharu.

Shahrir berkata, harga niaga hadapan minyak iaitu pada bulan Disember juga menunjukkan ia akan berada pada paras di bawah AS$70.Trend harga minyak yang menurun itu, kata beliau, akan membolehkan harga minyak di pampam stesen minyak dikurangkan lagi pada harga yang berpatutan.

Awal bulan ini, harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter dan diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Ia merupakan kali kelima kerajaan menurunkan harga minyak selepas 23 Ogos, 24 September dan 15 Oktober.

Sebelum ini, harga petrol RON97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol RON92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20.Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.

Mengenai kenaikan harga minyak pesawat ringan, Shahrir berkata, ia bukan bahan yang dikawal oleh kerajaan.

Katanya, kenaikan harga minyak tersebut dari RM6.20 kepada RM9.53 seliter di Kuala Lumpur dan RM9.80 seliter di Langkawi adalah berikutan kekurangan bekalan bahan itu.

Dalam pada itu, di Tashkent, Uzbekistan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu peniaga mengurangkan harga barangan agar pengguna boleh menikmati harga petrol dan diesel yang lebih murah di negara ini.

Perdana Menteri berkata masalahnya ialah harga kerana kebanyakan harga barang belum dikurangkan walaupun harga minyak di negara ini telah turun lima kali dengan yang terakhir bermula esok.

“Apabila harga minyak turun, harga barang tidak turun. Ini yang saya tidak suka dengar,” kata Abdullah.

Beliau berkata peniaga hanya berminat membuat keuntungan besar yang membebankan rakyat.

nota: Harga minyak sekarang sudah tentu boleh dikurangkan lebih dari 15sen semlm. Walaupun minyak di negara agak mahal berbanding harga kerajaan, penurunan harga minyak sudah tentu dibuat atas keputusan menang-menang bagi pihak pengguna, peruncit dan juga kerajaan. Penulis percaya harga minyak akan dikurangkan lagi dalam tempoh terdekat. Kepada pembekal dan penjual barang keperluan, harga minyak sudahpun turun, harga barang macam mana?? bila hendak turun?

30 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Umno ibarat ayam dalam raga – malaysiakini

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, politik Melayu mesti diperkukuhkan menerusi bilangan mereka yang banyak bagi mengelak daripada terus diaib dan dicemuh oleh bangsa lain.

Beliau berkata, kebelakangan ini, terlalu banyak cemekan yang menghina orang Melayu seolah-olah bangsa tersebut sudah hilang maruah dan punca.

“Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan-luahan yang mempersenda bangsa mereka.

“Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tidak kisah dan lantas membiarkan sahaja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing,” katanya dalam ucaptama pada program wacana isu perundangan dan hakhak pribumi dalam perlembagaan di Memorial Tun Hussein Onn, di sini.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata orang Melayu perlu mengenal sejarah bangsa untuk dijadikan panduan perjuangan politik mereka.

“Fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mulamula mendiami Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali dunia sebagai Malaya atau Land of the Malays,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu sama seperti India dikenali sebagai negara bagi orang berketurunan India dan China bagi mereka yang berbangsa Cina atau orang Arab di Timur Tengah yang negaranya dikenali sebagai Arab Saudi.

Rais berkata, struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini.

Katanya, apa yang dianggap sebagai ketuanan Melayu sebenarnya adalah kedaulatan dan keistimewaan Raja-Raja Melayu.

“Ini adalah kerana institusi Raja atau kesultanan Melayu itu sentiasa rapat dengan jiwa ke-Melayuan,” kata beliau.

Bangsa Melayu juga, katanya, perlu mengenal pasti kelemahan politik dan ekonomi serta mengatasinya dengan muhasabah diri.

Beliau berkata, kenyataan mengenai ketuanan Melayu tidak boleh dibuat secara kosong atau egopolitik kerana keistimewaan itu perlu dilampini dengan kebolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan.

“Bila kita kuat, barulah kita boleh kata kita tuan. Perkara ini perlu diperhalusi dan seseorang pemimpin Melayu perlu menunjukkan kebolehan serta kekuatan dalam politik.

“Tetapi jika ada pemimpin Melayu masih membeli undi untuk naik maka sampai bila-bila pun kita tidak akan kuat dan dihormati sebagai tuan di tanah air sendiri,” katanya.

Rais berkata sehubungan itu, politik Umno sebagai parti kaum Melayu perlu dirobah dan Fasal 3 Perlembagaan parti (Asas dan tujuan) tersebut perlu dihayati kerana terkandung agenda Melayu yang sebenarnya.

Selain itu, beliau berkata, orang Melayu juga perlu mewujudkan lapisan muda yang berilmu dan berbudaya Melayu.

“Dalam perlembagaan, takrif Melayu itu sendiri mempunyai tiga syarat asas, pertama, seseorang itu hendaklah menganut agama Islam, kedua bercakap dalam bahasa Melayu secara lazim dan ketiga, menurut atau mengamalkan adat istiadat Melayu,” katanya.

Rais juga berkata, orang Melayu perlu menolak nisbah “sekurang-kurangnya 30 peratus” dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan negara untuk dimiliki oleh Bumiputera.

Selain itu, katanya, semua dasar berkaitan Melayu dan pribumi serta Islam perlu diputuskan terlebih dahulu oleh tapisan politik sebelum diputuskan kerajaan.

“Dalam hal ini, Umno perlu ke depan dan memainkan peranan bagi menyatu padukan orang Melayu dengan mencari faktor-faktor kesamaan antara mereka seperti agama Islam, kebudayaan dan kuasa tradisi,” katanya.

Selain itu, Rais berkata, orang Melayu perlu menghindari perkara-perkara yang mampu melemahkan imej mereka.

“Pada ketika ini, Umno ibarat ayam dalam raga. Orang lain yang berada di luar hanya memerhatikan siapa yang cedera, terkorban atau yang kena sembelih,” katanya.

Beliau berkata, di sebalik polemik yang berlaku pada masa ini, perkara positif yang timbul ialah tindakan Raja-Raja Melayu yang tampil ke hadapan memberi bantuan ketika diperlukan.

“Mungkin Raja-Raja Melayu berasa terpanggil untuk berbuat demikian dan kita amat menghargainya. Tindakan Raja-Raja Melayu ini juga nampaknya diterima oleh pengamal politik di negara ini,” katanya.

Rais turut mengesyorkan sistem penguatkuasaan undang-undang dan dasar yang dijamin pantas dan saksama bagi mengekang pihak-pihak tertentu daripada terus mempertikaikan hakhak dan keistimewaan orang Melayu. BERNAMA

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Mohon Maaf kepada para pembaca

penulis ingin memohon maaf sekiranya terdapat kelewatan di dalam menyiarkan komen dari semua. Terdapat sedikit masalah teknikal di mana kebanyakan komen dan topik terbaru tidak dapat disiarkan. InsyaAllah sedikit masa lagi masalah ini dapat diselesaikan.

Teruskan sokongan anda..

Terima kasih.

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Sah Samy Vellu bakal dicabar – malaysiakini

Semalam beliau mengumumkan sedang mengkaji hasrat akar umbi. Hari ini bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan menawar diri untuk bertanding jawatan presiden MIC, menentang penyandangnya Datuk Seri S. Samy Vellu.

Muthupalaniappan, 68, yang juga seorang peguam, kali pertama dipilih ke jawatankuasa kerja pusat pada 1979.

Pada tahun yang sama beliau dilantik ketua MIC Negeri Sembilan, dan ketua Pemuda parti.

Beliau dilantik Senator pada 1980 dan pada 1982 Muthupalaniappan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Si Rusa dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sejak mengumumkan beliau memikirkan untuk bertanding jawatan tertinggi MIC itu semalam, Muthupalaniappan berkata beliau dihujani panggilan telefon daripada anggota dan pemimpin kanan MIC menyatakan sokongan mereka, memberi galakan untuknya bertanding jawatan presiden parti.

“Selepas menerima maklum balas yang menggalakkan daripada pemimpin peringkat akar umbi, saya memutuskan untuk bertanding jawatan presiden,” katanya kepada Bernama.

Muthupalaniappan, yang pada suatu ketika adalah sekutu Samy Vellu, berharap pemilihan presiden akan dikendalikan dalam suasana yang adil, telus dan bersih.

Menjelang Mac, parti masyarakat India yang terbesar di negara ini akan mengadakan pemilihan presiden, manakala pemilihan untuk timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC) akan diadakan pada September.

Samy Vellu, yang menerajui MIC sejak 1979, telah mengumumkan akan mempertahankan jawatan tertinggi parti itu dan pada awalnya dijangka akan memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

Bagaimanapun, cubaan Muthupalaniappan menawar diri untuk bertanding jawatan tertinggi parti itu dilihat sebagai akan merosakkan jangkaan itu, jika beliau berjaya mendapat pencalonan daripada 50 cawangan.

Perlembagaan parti menetapkan calon presiden perlu mendapat sekurang-kurangnya 50 pencalonan dari cawangan sebelum dibenar bertanding jawatan tertinggi parti itu.

Setiap pencalonan mesti dicadang oleh seorang pemegang jawatan cawangan dan disokong lima pemegang jawatan yang lain.

Pemegang jawatan cawangan akan mengundi bagi memilih presiden MIC, tidak seperti jawatan lain yang akan diputus oleh kirakira 1,500 perwakilan ke perhimpunan agung parti.

“Saya harap pemilihan akan dijalankan dalan suasana yang sihat tanpa ada tekanan terhadap pemimpin cawangan. Proses pemilihan sebaiknya dikendalikan oleh jawatankuasa yang tidak berat sebelah. Keduadua pihak mesti diberi keadilan,” kata Muthupalaniappan.

Beliau berkata, undang-undang kecil pemilihan presiden menyatakan pengiraan undi untuk pemilihan presiden dikendalikan di peringkat bahagian dan klausa itu perlu dipinda.

“Undi sepatutnya rahsia. Jika bahagian mempunyai jumlah cawangan yang terhad, undi tidak lagi rahsia.

“Orang ramai akan tahu cawangan mana mengundi siapa. Saya cadangkan pengiraan undi dibuat di peringkat negeri dan bukannya peringkat bahagian,” katanya.

Katanya, beliau berharap pemilihan dijalankan dalam suasana yang sihat bagi menunjukkan MIC adalah telus.

“Saya berjanji untuk memawa perubahan kepada parti dan masyarakat keseluruhannya. Saya percaya kunci kejayaan masyarakat India di negara ini ialah perpaduan dan ini akan menjadi tema saya,” kata Muthupalaniappan yang lebih dikenali sebagai Muthu di kalangan anggota parti.

Muthupalaniappan bertanding jawatan naib presiden parti pada 1987 dan 1991 tetapi tewas keduaduanya. Beliau yang menang jawatan itu pada 1997, bagaimanapun gagal mempertahankannya pada pemilihan parti 2000 dan 2006. BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Senarai Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang – ref malaysiakini

Pengerusi Tetap

– Sdr Suhaimi Harun

Timbalan Pengerusi Tetap

– Sdr Anuar Abdul Hamid

Ketua Pemuda

– Sdr Safarizul Mustafa

Naib Ketua Pemuda

– Sdr Othman Hussain

Penolong Setiausaha

– Sdr Mohd Nizam Shith

Penolong Ketua Penerangan

– Sdr Azizi Tahrim

Penolong Bendahari

– Sdr Zulkifli Rajalie

Ahli Jawatankuasa

– Sdr Mohd Yusof Hamid

– Sdr Muhamad Shahdiq

– Sdr Khairul Anuar Che Ee

– Sdr Ahmad Nadzir Abdul Rahman

– Sdr Saiful Azuar

– Sdr Imanuddin Mohd Yusof

– Sdr Norhaizan Osman

– Sdr Faizuree

– Sdr Saiful Bahari

– Sdr Ainol Azmi

-Sdr Mohd Hashim Yusof

– Sdr Sheikh Syaharuddin

– Sdr Mohd Zaiful Adli

– Sdr Khalid Said

– Sdr Shahrol Taharmizi

nota – susunan AJK tidak mengikut undian dan nama AJK lantikan belum diumumkan.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda