Daily Archives: December 1, 2008

Wukuf 7 Disember – Malaysiakini

Tarikh Wukuf di padang Arafah di tetapkan pada hari Ahad 7 Disember dan Aidiladha di tanah suci disambut pada Isnin 8 Disember.

Pengumuman tarikh Wukuf dan Aidiladha itu dibuat Majlis Tertinggi Kehakiman Arab Saudi.

Akhbar harian Arab memetik laporan yang disiarkan menerusi Saudi Press Agency (SPA), bahawa Majlis itu dalam kenyataan berkata Sabtu (29 Nov) ialah 1 Zulhijjah, dan tiada hari ke 30 dalam Zulkaedah “kerana majlis tidak menerima sebarang laporan anak bulan kelihatan”.

Sementara itu, beratus ribu jemaah berkumpul di bandar suci ini, termasuk lebih 20,000 dari Malaysia yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tiada angka rasmi diumum sehingga kini mengenai jumlah keseluruhan jemaah musim ini tetapi dianggar kirakira tiga juta jemaah akan berkumpul di padang Arafah yang luasnya 10.4 kilometer persegi, kira-kira 22 kilometer dari sini.

Ahmad Zahid yang melawat beberapa penempatan untuk jemaah Malaysia hari ini menasihatkan mereka supaya menjaga kesihatan agar mereka boleh mengerjakan wukuf dengan sempurna, yang merupakan kemuncak ibadat haji.

Pegawai Tabung Haji berkata agensi itu telah membuat persiapan untuk pergerakan secara berperingkat kirakira 26,000 jemaah Malaysia ke padang Arafah Sabtu ini dengan bas yang diatur oleh agensi haji Arab Saudi, Muassasah. BERNAMA

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

YB Arif Merajuk??

Umno bahagian Permatang Pauh tidak pernah mengenepikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar) dalam urusan pentadbiran parti bahagian itu seperti yang didakwa beliau sebelum ini.

Ketua penerangan Umno bahagian, Ahmad Sahar Shuib berkata, apa yang dikatakan oleh Arif Shah seperti yang disiarkan sebuah akhbar pada 29 November lalu adalah tidak benar sama sekali.

“Saya ingin nyatakan bahawa Umno Permatang Pauh tidak pernah mengenepikan YB Datuk Arif Shah.

“Kita sentiasa menjemputnya untuk hadir dalam mesyuarat bahagian kerana kedudukannya sebagai ADUN yang mewakili Umno dan BN (Barisan Nasional),” katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Ahmad Sahar berkata, Umno bahagian itu juga tidak pernah mengeluarkan surat yang melarang Arif Shah daripada melibatkan diri dengan kerja-kerja di kawasan yang bukan di bawah penguasaannya seperti yang didakwa.

Berhubung kenyataan Arif Shah yang beliau belum membuat keputusan berhubung tawaran daripada pembangkang untuk melompat parti, Ahmad Sahar berkata, sebagai ADUN yang mewakili Umno, Arif Shah tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian.

“Sebagai YB yang mewakili Umno, beliau seharusnya menolak tawaran tersebut tanpa menimbulkan keraguan di kalangan ahli Umno. Ahli boleh menilai yang mana pejuang sejati (Umno) atau pun tidak,” katanya.

Ahmad Sahar berkata, beliau turut tidak menolak kemungkinan isu ini timbul disebabkan Arif Shah tidak berpuas hati kerana tidak terpilih sebagai Ketua Umno bahagian setelah tewas kepada penyandang jawatan itu, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid pada pemilihan Oktober lalu.

“Datuk Arif telah bertanding merebut jawatan ketua bahagian dan tewas dengan hanya meraih 84 undi berbanding, Datuk Jalil yang mendapat 162 undi, manakala (bekas naib ketua bahagian) Datuk Pirdaus Ismail dengan 144 undi.

“Perwakilan telah menterjemahkan hasrat mereka dalam memilih kepimpinan Permatang Pauh.

“Kita berharap Datuk Arif menerima kekalahan itu dan menghormati keputusan kepimpinan Umno bahagian yang telah dipilih oleh perwakilan baru-baru ini,” katanya.

Ahmad Sahar berkata, dakwaan Arif Shah bahawa berlaku penyalahgunaan kuasa yang teruk dalam kepimpinan Umno bahagian itu adalah tidak berasas sama sekali kerana perwakilan sudah matang dalam memilih pemimpin mana yang mereka inginkan untuk menerajui parti.

“Jangan keruhkan suasana yang boleh menggugat usaha memperkukuh perpaduan di kalangan ahli serta pengundi.

“Jika ada sebarang masalah, elok diselesaikan di peringkat dalaman parti,” katanya.

Hari ini, sebuah akhbar melaporkan, Arif Shah berada dalam keadaan dilema sama ada ingin terus kekal bersama Umno atau menyertai pembangkang setelah mengaku mendapat tawaran untuk mellompat parti.

Menurut Arif Shah yang tewas kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lalu, beliau turut dijanjikan ganjaran jika bersetuju untuk menyertai pembangkang.

Arif Shah sebelum ini dilaporkan terkilan dengan tingkah laku Ketua Umno bahagian itu yang mengetepikannya dalam setiap urusan pentadbiran parti itu di peringkat bahagian.

Katanya, beliau kecewa kerana sebagai ADUN Seberang Jaya, beliau tidak dilantik sebagai ahli tambahan dalam Jawatankuasa Bahagian, selain tidak diberi tugas dan tanggungjawab yang sesuai. – mstar

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda