SEBAGAI rakyat Malaysia, saya ingin mengalu-alukan perbentangan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pagi tadi.
Sebagai seorang yang pernah merengkok dalam penjara kerana menentang rasuah, saya dapat merasakan bahawa pembentangan akta hari ini merupakan satu langkah yang paling signifikan yang di lakukan oleh seorang perdana menteri untuk melakukan perubahan atau reform di negara ini.
Pembentangan akta suruhanjaya pencegahan rasuah ini juga membuktikan komitmen Perdana Menteri khususnya dan kerajaan BN am nya jauh mengatasi komitmen pemimpin dan kerajaan Pakatan Rakyat dalam janji-janji melakukan perubahan membanteras rasuah selepas pilihanaraya umum baru-baru ini.
Komitmen pemimpin Pakatan Rakyat menentang rasuah dan mewujudkan kerajaan urustadbir baik (good governance) semasa pilihanraya lalu sehingga hari ini hanya tinggal janji.
Selepas lapan bulan berkuasa, tidak ada seorang pemimpin Pakatan Rakyat yang telah menunaikan janji mengisytiharkan harta kepada umum sepertimana yang di war-warkan sebelum pilihanraya. Jelas, Perdana Menteri lebih komited dan jujur dalam usaha menentang rasuah dengan pembentangan akta SPRM hari ini.
Akta hari ini lebih serius dan tegas dalam melakukan reform terhadap kuasa BPR berbanding pindaan yang di lakukan oleh Bekas Pemangku Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1997.
Pembentangan akta hari ini juga membawa makna yang besar kepada perjuangan melawan rasuah oleh rakyat Malaysia yang prihatin, sebagai seorang pengasas NGO yang memerangi rasuah; saya berharap Akta penting ini dapat di bahaskan dengan matang dan bernas oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Penghormatan harus diterjemahkan dengan perbahasan yang melangkaui kepentingan sempit kepartian dan meletakkan isu ini sebagai sebagai isu negara dan rakyat yang mengatasi batasan parti.