Sah…Abu Zahar Masuk PAS – malaysiakini

Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim hari ini sah menyertai PAS.

Penyertaan beliau turut disertai oleh 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan dalam satu majlis khas yang diadakan di sini, hari ini.

Dalam sidang medianya, Zahar berkata, beliau menyertai PAS kerana dasar perjuangan parti itu yang memperjuangkan kaum Melayu dan Islam.

“Bagi orang-orang Melayu yang mahu aktif dalam politik, kita tidak ada pilihan lain kerana Umno pada hari ini banyak berbeza dengan Umno dengan yang saya sertai 26 tahun dulu.

“Saya tidak terfikir untuk menyertai PAS kerana ia parti alternatif sebaliknya PAS adalah lebih baik dari Umno,” katanya selepas menyerahkan borang keahliannya dan 41 pemimpin bahagian tersebut kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Zahar berkata, keputusan untuk keluar daripada Umno dan menyertai parti pembangkang itu tidak ada kena-mengena dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu menggantung keahliannya selama tiga tahun berkuat kuasa 2 Disember lalu.

“Saya tahu kemasukan saya ke dalam PAS telah menimbulkan banyak spekulasi. Rata-rata media menganggap keputusan saya ini dibuat setelah saya digantung.

“Sebenarnya saya dan rakan-rakan di PJ Selatan sudah mula kecewa dengan Umno semasa berlaku peralihan pentadbiran di Selangor pada Mac atau April lalu lagi.

“Daripada situ, kita berbincang baik buruk kekal dalam Umno…mahu terus bersara dari politik atau menyertai parti lain. Tapi bila MT dah buat keputusan begitu (menggantung keahliannya), tak payah lah fikir lagi…kita terus keluar,” katanya.

Zahar berkata, beliau sudah ‘meluat’ dengan Umno terutamanya di Selangor termasuk pelantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Ketua Penerangan parti peringkat negeri dan Senator.

Sambil mengakui bahawa hubungan beliau yang pada satu ketika dahulu amat baik dengan Muhammad kini telah menjadi renggang, Zahar berkata, ia berlaku disebabkan sikapnya yang suka berterus terang dalam menyuarakan pendapatnya termasuk tindakan pemimpin itu yang kadangkala tidak dipersetujuinya.

Beliau berkata, pemimpin Umno tidak menitikberatkan tentang isu agama dan banyak keputusan yang dibuat parti itu tidak mengambil kira kepentingan rakyat.

“Secara terus terang, saya tidak menghormati pemimpin tertinggi dalam Umno. Banyak keputusan yang dibuat tidak mengambil kira keperluan dan kehendak rakyat khususnya orang-orang Melayu,” katanya.

Ditanya sama ada kritikannya terhadap Umno ada kaitan dengan pembelian Eurocopter yang tidak memihak kepada syarikatnya, Mentari Services Sdn Bhd, Zahar berkata, hal itu memang dipertikaikannya berikutan pembelian Eurocopter tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata, dengan penyertaannya hari ini ke dalam PAS, pejabat Umno di PJ Selatan akan menjadi pejabat PAS bahagian itu mulai esok.

Beliau percaya, baki 68 ketua cawangan bahagian itu akan turut sama menyertai PAS selepas pejabat parti itu mula beroperasi.

Beliau turut menafikan bahawa beliau menyertai PAS kerana inginkan jawatan sebaliknya beliau mahu menjadi sebahagian daripada jentera PAS yang memperjuangkan kepentingan Islam dan orang Melayu.

“Saya sebelum ini pernah ditawarkan untuk bertanding menjadi ahli Parlimen selama tiga penggal dan Speaker Dewan Undangan Negeri pada tahun 2007 tetapi saya menolaknya kerana merasakan peluang itu patut diberikan kepada orang lain,” katanya.

Zahar berkata, beliau dan rakan-rakannya akan ke Kuala Terengganu pada 5 Disember ini bagi mengukuhkan jentera PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil kawasan itu 17 Disember ini. – mstar

nota: majlis diadakan pada jam 10pagi tadi di de palma hotel.

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

One response to “Sah…Abu Zahar Masuk PAS – malaysiakini

  1. slyderrose

    Tahniah, Datuk Zahar. Biar pun sudah terhantuk baru nak mengadah, tak apalah. Setidak kesedaran itu ada dan berani membuat perubahan demi kebaikan diri, famili, ugama dan negara. Tetapi masih ramai yg tidak nampak dan rabun dari realiti demi ketuanan melayu entah apa benda, walhal ketuanan melayu yg merangkumi, kesultanan, undang2 tubuh, keistimewaan melayu memang termaktub dalam perlembagaan yg tidak mungkin diubah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s