Daily Archives: January 12, 2009

Pengerusi Senat Kolej New Era Kena Tumbuk – malaysiakini

Majlis konvokesyen sebuah kolej, di sini, semalam yang sepatutnya ceria tiba-tiba bertukar menjadi kacau-bilau apabila pengerusi senat kolej tersebut diserang seorang lelaki ketika sedang memberi ucapan.

Lelaki tersebut tiba-tiba naik ke atas pentas dan memukul Pengerusi Senat Kolej New Era, Dr Yap Sin Tian di bahagian muka di hadapan 500 orang termasuk pelajar, ibu bapa dan tetamu.

Lelaki tersebut bagaimanapun berjaya melarikan diri.Dr Yap yang juga Presiden Dong Zong (Pertubuhan Lembaga Sekolah Cina Malaysia) kemudiannya segera dibawa ke kerusi akibat mengalami pendarahan dipercayai patah tulang pipi dan hidung.

Sebuah ambulans kemudiannya tiba dan membawa beliau ke Hospital Pakar Kajang.

Pengetua kolej, Mok Soon Choong kemudiannya mengambil alih podium dan meneruskan ucapannya dan meminta hadirin supaya bertenang.

Saksi yang ditemui berkata, penyerang tersebut memakai kemeja-T yang digunakan ahli-ahli untuk mengutip derma di kolej tersebut.Dia dipercayai bekas graduan kolej tersebut.

Pengarah Pusat Pendidikan Dong Jiao Zong yang duduk berdekatan dengan pentas cuba menangkap lelaki terbabit namun gagal.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada serangan itu mempunyai kaitan dengan perselisihan yang sedang berlaku antara Dr Yap dan bekas pengetua kolej tersebut, Dr Kua Kia Soong.

Dr Yap sebelum ini menyokong Dong Zong apabila pertubuhan itu tidak menyambung kontrak Dr Kua yang tamat Disember lalu.

Pihak berkuasa kolej berkata, mereka akan menjalankan penyiasatan berhubung insiden itu.

Di Pulau Pinang, Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai melahirkan kekesalannya berhubung serangan itu.

“Adalah sesuatu yang menyedihkan insiden sedemikian berlaku di sebuah badan pendidikan. Sebarang masalah sepatutnya diselesaikan tanpa menggunakan kekerasan,” katanya. – mstar

nota: utk makluman Kolej New Era adalah kolej yang ditaja oleh Dong Zong. Jadi tepuk dada tanya selera.

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Karpal letak syarat pada PAS dan PKR – malaysiakini

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, parti itu sanggup bekerjasama dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekiranya PAS dan PKR tidak meneruskan usaha untuk melaksanakan undang-undang hudud.

“Dalam politik telah dikatakan bahawa tiada musuh atau rakan yang kekal, tetapi prinsip yang kekal perlu dimiliki oleh setiap parti politik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Karpal berkata, PAS dan PKR perlu menerima hakikat bahawa hudud tidak pernah termaktub dalam perundangan negara.

“Keamanan dan keharmonian di kalangan rakyat pelbagai anutan di negara ini tidak boleh digugat dengan percubaan untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Semalan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penganut Kristian tidak perlu merasa gusar sekiranya masyarakat Islam mahukan undang-undang Islam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata hukum hudud adalah untuk orang Islam sahaja sementara bukan Islam boleh memilih untuk dibicarakan di bawah undang-undang sivil.

Karpal berkata hujah tersebut tidak logik.

“Apa akan terjadi sekiranya seorang Islam dan bukan Islam menghadapi tuduhan bersama. Yang Muslim memilih untuk dibicarakan menerusi hudud sementara yang bukan Islam memilih undang-undang sivil. Bagaimana mahkamah akan mengatasi dilema ini.” katanya.

Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan hanya menetapkan satu bentuk undang-undang sahaja iaitu undang-undang sivil bagi orang Islam dan bukan Islam. BERNAMA

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Israel lakukan ‘holocaust’ – Hamas – malaysiakini

Pemimpin Hamas, Khaled Meshaal menuduh Israel melakukan ‘holocaust’ di Genting Gaza dan menganggap serangan rejim Yahudi itu hanya sekadar berjaya menenggelamkan wilayah Palestin tersebut dalam “lautan darah.”

Khaled dalam ucapannya yang disiarkan secara meluas oleh media Arab semalam berkata, sokongan rakyat Israel terhadap keganasan yang sudah memasuki hari ke-16 itu telah menjejaskan moral negara Yahudi itu.

“Saya ingin bertanya kepada rakyat Israel, apakah yang sudah kamu capai daripada perang yang kamu sokong ini?

“Apakah yang sudah kamu capai, selain membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa dan menyebabkan tengkorak penduduk Palestin berkecai dan memandikan Genting Gaza dengan lautan darah?” kata Khaled yang hidup dalam buangan di Syria.

Rakyat Israel tidak mencapai apa-apa kecuali mendapat holocaust yang hendak dijadikan sebagai bahan politik oleh para pemimpin mereka untuk memenangi pilihan raya Israel yang akan datang, kata pemimpin Hamas itu.

Beliau merujuk kepada peristiwa pembunuhan kira-kira enam juta Yahudi oleh rejim Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Khaled berkata, Israel sengaja menjadikan penduduk awam sebagai sasaran untuk menghancurkan semangat seluruh penduduk Palestin di Gaza.

Katanya, serangan dahsyat Israel itu telah meleburkan sebarang peluang untuk mewujudkan perdamaian berkekalan antara negara Yahudi itu dengan dunia Arab di sekelilingnya.

“Kamu telah menghancurkan peluang terakhir untuk berunding kerana tiada siapa yang akan mempercayai kamu lagi.

“Kamu perlu mengetahui hukum Tuhan bahawa tidak ada masa depan untuk entiti dan negara yang didirikan atas dasar penindasan dan keganasan. Sama ada Islam, Yahudi atau Kristian, semuanya tertakluk kepada hukum ini,” ujar Khaled yang merujuk kata-katanya kepada rakyat Israel.

Katanya, serangan Israel ke atas Gaza juga gagal mencapai objektif ketenteraannya kerana Israel terus dihujani roket Hamas dari Gaza.

– Reuters

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda