Israel lakukan ‘holocaust’ – Hamas – malaysiakini

Pemimpin Hamas, Khaled Meshaal menuduh Israel melakukan ‘holocaust’ di Genting Gaza dan menganggap serangan rejim Yahudi itu hanya sekadar berjaya menenggelamkan wilayah Palestin tersebut dalam “lautan darah.”

Khaled dalam ucapannya yang disiarkan secara meluas oleh media Arab semalam berkata, sokongan rakyat Israel terhadap keganasan yang sudah memasuki hari ke-16 itu telah menjejaskan moral negara Yahudi itu.

“Saya ingin bertanya kepada rakyat Israel, apakah yang sudah kamu capai daripada perang yang kamu sokong ini?

“Apakah yang sudah kamu capai, selain membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa dan menyebabkan tengkorak penduduk Palestin berkecai dan memandikan Genting Gaza dengan lautan darah?” kata Khaled yang hidup dalam buangan di Syria.

Rakyat Israel tidak mencapai apa-apa kecuali mendapat holocaust yang hendak dijadikan sebagai bahan politik oleh para pemimpin mereka untuk memenangi pilihan raya Israel yang akan datang, kata pemimpin Hamas itu.

Beliau merujuk kepada peristiwa pembunuhan kira-kira enam juta Yahudi oleh rejim Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Khaled berkata, Israel sengaja menjadikan penduduk awam sebagai sasaran untuk menghancurkan semangat seluruh penduduk Palestin di Gaza.

Katanya, serangan dahsyat Israel itu telah meleburkan sebarang peluang untuk mewujudkan perdamaian berkekalan antara negara Yahudi itu dengan dunia Arab di sekelilingnya.

“Kamu telah menghancurkan peluang terakhir untuk berunding kerana tiada siapa yang akan mempercayai kamu lagi.

“Kamu perlu mengetahui hukum Tuhan bahawa tidak ada masa depan untuk entiti dan negara yang didirikan atas dasar penindasan dan keganasan. Sama ada Islam, Yahudi atau Kristian, semuanya tertakluk kepada hukum ini,” ujar Khaled yang merujuk kata-katanya kepada rakyat Israel.

Katanya, serangan Israel ke atas Gaza juga gagal mencapai objektif ketenteraannya kerana Israel terus dihujani roket Hamas dari Gaza.

– Reuters

Advertisements

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s