Daily Archives: January 16, 2009

Pantang Dapat Peluang..Isu Palestin Pun Dipolitikan – malaysiakini

Umno Pulau Pinang membidas aktivis politik Hishammudin Rais kerana menyalahgunakan forum mengenai keganasan Israel di Palestin yang diadakan di Dewan Sri Pinang di sini Rabu lepas bagi mengutuk kerajaan Barisan Nasional.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim berkata beliau bersama lima lagi rakannya dari Umno bertindak keluar dewan apabila Hishammudin menyamakan kerajaan BN dengan Israel pada forum anjuran negeri itu.

“Dia tuduh kerajaan BN runtuh kuil Hindu dan macam-macam lagi, menyamakan BN seperti Israel. Mana boleh dia kata macam tu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Azhar berkata semua anggota panel forum itu antaranya Ketua Menteri Lim Guan Eng, kedua-dua Timbalan Ketua Menteri, Mohammad Fairus Khairuddin dan Dr P.

Ramasamy dan beliau sendiri, hanya menyentuh soal kekejaman rejim Israel terhadap penduduk Palestin.

“Saya ada bercakap dengan Ketua Menteri mengenai perkara itu pada malam itu dan beliau sendiri tidak bersetuju dengan tindakan Hishammudin itu,” katanya.

Azhar berkata dalam usaha membantu rakyat Palestin, semua pihak perlu bersatu dan mengetepikan fahaman politik masing-masing.

“Topik forum itu tentang Israel dan Palestin, kenapa perkara penting macam ni pun nak dipolitikkan? Lagipun siapa dia (Hishammudin) nak cakap tentang perkara itu. Dia hanya aktivis politik,” katanya.

— BERNAMA

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Babi di Melaka sudah tiba di UM pula… – malaysiakini

Pelajar Universiti Malaya (UM) pagi ini gempar dengan penemuan kepala seekor khinzir terbelah dua di hadapan pintu dalam surau Akademi Pengajian Islam universiti tersebut.

Kepala khinzir berkenaan dijumpai diletakkan di atas bendera PAS yang ditulis ‘PMI, PRO M, PAS’.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 hingga 5 pagi setelah disedari oleh penyokong kumpulan pro-Mahasiswa yang bertugas dalam kempen pilihan raya kampus Um yang akan diadakan 19 Januari depan.

Presiden pro-Mahasiswa UM, Norazali Zainuddin berkata kejadian itu merupakan provokasi terbaru pihak-pihak tertentu terutamanya sewaktu musim kehangatan pilihan raya kampus.

“Ini adalah satu lagi provokasi melampau oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Tapi kali mereka lebih agresif kerana ‘bermain’ dengan sentimen agama dan perkauman,” katanya kepada mStar Online.

Suaru Akademi Pengajian Bahasa menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab dipercayai kerana akademi tersebut merupakan kubu kuat bagi kumpulan pro-Mahasiswa.

Malah calon kumpulan berkenaan bagi kerusi akademi tersebut juga telah diisytiharkan menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon yang diadakan Rabu lalu.

Menurut Norazali lagi, satu laporan polis telah dibuat di balai polis Brickfield awal pagi tadi berhubung perkara itu.

Ditanya sama ada beliau mengesyaki mana-mana pihak berhubung perkara berkenaan, beliau enggan membuat sebarang spekulasi namun percaya ia adalah perbuatan pihak yang ‘tidak senang’ dengan kumpulan pro-Mahasiswa terutamanya dengan pembongkaran isu rasuah yang didakwa melibatkan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni universiti itu, Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris.

“Saya tak mahu tuduh siapa-siapa, namun kita berharap pihak polis menyiasat perkara ini.

“Sepanjang saya terlibat dengan pilihan raya kampus, ini adalah kejadian terburuk yang pernah saya alami,” katanya. – mstar

4 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda