Daily Archives: January 19, 2009

DAP letak ramai Melayu tanding pilihan raya umum – malaysiakini

DAP Perak berhasrat meletakkan lebih ramai calon Melayu termasuk daripada kalangan mereka yang beragama Islam dan bergelar ustaz bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Katanya suasana politik negara kini sudah berubah dan ia memperlihatkan parti berkenaan mula mendapat tempat di kalangan pengundi pelbagai kaum terutamanya orang Melayu.

“Di sekitar tahun 1990, pengundi terutamanya orang Melayu begitu takutkan DAP sehinggakan poster dan bendera parti menjadi sasaran mereka.

“Tapi kini semuanya berubah, pengundi Melayu mula berlumba-lumba mendekati parti dan mendaftar menjadi ahli termasuk mendirikan cawangan baru yang majoriti ahlinya orang Melayu,” katanya selepas majlis penubuhan cawangan DAP Kampung Ayer Tawar di sini, semalam.

Pada majlis itu, pengerusi penaja cawangan DAP Kampung Ayer Tawar, Ahmad Ikram Abdul Karim, 45, menyerahkan 53 borang keahlian baru terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk wanita yang kesemuanya orang Melayu.

Ngeh berkata dalam ucapan dasarnya pada Konvensyen DAP Perak tahun lepas, parti itu bersetuju untuk menubuhkan cawangan DAP di seluruh pelusuk negeri termasuk di kawasan yang DAP tidak bertanding.

“Kita berharap ahli DAP di kawasan berkenaan akan dapat membantu dan menyumbang kepada calon PAS atau PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang bertanding. DAP juga berhasrat meletakkan calon di kalangan ustaz serta peguam,” katanya. BERNAMA

nota: rancangan strategik DAP utk jawat jawatan MB Perak pada PRU akan datang….nasib baik undang2 tubuh negeri ada…kalau takde…tepuk dada tanya selera

10 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Hadi mahu Abdullah kekal PM selepas Mac – malaysiakini

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus kekal sebagai Perdana Menteri selepas Mac ini.

Kata beliau, Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) perlu kekal untuk meneruskan pembaharuan-pembaharuan dalam aspek-aspek lain selain kehakiman dan rasuah.

“Saya meminta Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus kekal sebagai Perdana Menteri dan meneruskan reformasi yang diperlukan seperti dalam bidang pilihan raya dan beberapa bidang lain,” kata beliau.

Abdul Hadi berkata, Pakatan Rakyat akan memberikan kerjasama penuh kepada Perdana Menteri untuk melakukan reformasi baru tersebut.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemenangan calon PAS dan Pakatan Rakyat, Mohd Abdul Wahid Endut dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, malam tadi.

Abdullah dijadual menyerahkan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno pada akhir Mac ini.

Beliau akan digantikan dengan timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Antara perubahan yang dilakukan Abdullah adalah penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman baru-baru ini.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, pihaknya juga gembira kerana terdapat sedikit perubahan dalam sistem perjalanan pilihan raya pada kali ini.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beliau berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri terus kekal bagi meneruskan lagi perubahan dalam sistem tersebut.

Ketika ditanya sama ada beliau yakin dengan sistem pilihan raya di negara ini berikutan kemenangan PAS hari ini, Abdul Hadi berkata, masih ada banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam sistem tersebut termasuk sistem pengundian secara pos. – mstar

5 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda