Daily Archives: February 8, 2009

Zambry jamin bela nasib kaum India di Perak – malaysiakini

Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir hari ini memberi jaminan nasib orang India di negeri ini akan terus dibela walaupun kaum itu tidak mempunyai wakil daripada Barisan Nasional (BN) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata kaum India tidak perlu bimbang kerana kepentingan mereka tidak akan dipinggirkan kerajaan negeri BN.

“Walaupun tidak ada wakil kaum India. Namun dijamin semuanya akan dijaga dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas hadir di majlis sambutan Thaipusam di Kuil Arulmigusubramania, Gunung Cheroh, di sini pagi ini.

Beliau mengulas mengenai pertimbangan yang diambil oleh kerajaan negeri BN yang tidak mempunyai wakil kaum India dalam pembentukan barisan Exco kerajaan negeri Perak yang baru, yang dijadual mengangkat sumpah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Selasa ini.

Terdahulu, Zambry yang diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T. Murugiah dan Pengerusi MIC Perak Datuk G. Rajoo tiba di kuil itu pukul 8.30 pagi, telah meluangkan masa selama lebih 40 minit beramah mesra dengan penganut Hindu yang menyambut Thaipusam.

Dalam ucapan ringkas, Zambry menegaskan kepentingan semua kaum untuk terus bersatu padu bagi menjaga keamanan negara selain komitmen kerajaan BN untuk menjaga kepentingan semua pihak.

“Mari kita kembali bersatu, buang perkara yang tidak bawa kebaikan,” katanya.

Sebagai bukti segera komitmen BN, beliau turut mengumumkan bahawa peruntukan RM100,000 akan diberikan kepada kuil Hindu itu untuk menjalankan aktivitinya termasuk aktiviti keagamaan seperti meraikan Thaipusam.

Sementara itu, Murugiah yang juga bekas ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) berkata parti itu tidak akan meminta sebarang jawatan daripada kerajaan negeri BN memandangkan hal ehwal kaum India telah diperuntukkan di bawah bidang kuasa seorang timbalan menteri dalam kerajaan persekutuan.

“Kita tak mahu tekan. Apa yang penting bentuk kerajaan dulu,” kata Murugiah yang percaya Zambry akan mencari mekanisme terbaik bagi memastikan nasib semua kaum dijaga.

Rajoo pula berkata tiga nama telah dihantar kepada pucuk pimpinan BN untuk dipertimbangkan selaku speaker Dewan Undangan Negeri bagi mewakili kaum itu.

Beliau yang enggan mendedahkan nama yang disenaraikan berkata kerajaan negeri juga boleh melantik wakil kaum India bagi jawatan yang setaraf dengan Exco kerajaan negeri untuk menjaga kepentingan kaum itu.

“Kita harap perkara ini akan ditimbang sebaiknya,” katanya.

Perayaan Thaipusam berjalan dengan meriah di sini dengan penganut agama Hindu membawa kavadi dan berarak ke beberapa kuil utama di negeri ini, sekalipun situasi politik dicemarkan dengan insiden tunjuk perasaan sejak beberapa hari lepas.

Demonstrasi itu disertai penyokong Pakatan Rakyat yang tidak dapat menerima hakikat bahawa pakatan itu telah tumbang apabila empat wakil rakyatnya keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN.

— BERNAMA

12 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Karpal gesa Anwar henti ketuai Pakatan – malaysiakini

Ketika krisis politik di Perak masih belum menemui penyelesaian muktamad, Pengerusi DAP, Karpal Singh pula menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya berhenti daripada memimpin ikatan pembangkang.

Ia merupakan kenyataan seumpama itu sejak Pakatan Rakyat ditubuhkan April lalu.

Karpal mendakwa Ketua Umum itu yang mencetuskan budaya melompat parti selain menjejaskan ‘keharmonian’ dalam Pakatan Rakyat.

“Beliau (Anwar) telah menyebabkan cukup masalah dan sudah tiba masa bagi Anwar bertaubat.

“Kini masa untuk Pakatan Rakyat memerlukan seorang lagi pemimpin,” kata Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menyatakan demikian pada sidang media di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di sini bagi mengulas laporan polis oleh Pemuda Umno berhubung kenyataannya untuk mengemukakan saman terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung peralihan kuasa di negeri itu.

Karpal turut menegaskan bahawa Anwar harus menjawab banyak persoalan terhadap kekecohan yang berlaku dalam PR hari ini.

Karpal menambah, anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah terperangkap dengan retorik Anwar yang menyokong perbuatan wakil rakyat melompat parti.

Kenyataan itu dikeluarkan dua hari selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri Perak yang sebelum ini diterajui Pakatan.

Pakatan kehilangan Perak selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka bertindak keluar.

Tiga daripada mereka kini bertindak sebagai wakil rakyat Bebas manakala seorang lagi iaitu ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR, kembali ke Umno dalam tempoh tidak sampai 10 hari.

Pakatan Rakyat ditubuhkan April lalu selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu dengan dianggotai DAP, PAS dan PKR.

Anwar telah dilantik sebagai Ketua Umum.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipilih sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan kemudian sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Sejak pembentukan Pakatan Rakyat, Anwar mengumumkan sasaran membentuk kerajaan persekutuan yang baru menjelang 16 September.

Bagaimanapun sasaran itu tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya beliau terus meyakinkan penyokong Pakatan Rakyat bahawa beliau mempunyai sejumlah wakil rakyat BN yang secukupnya untuk tujuan tersebut.

Karpal turut melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pemimpin PKR dan DAP yang memberi sokongan terhadap tindakan lompat parti.

Katanya, sebagai Pengerusi kebangsaan DAP, para pemimpin dalam parti itu seharusnya memberikan sokongan terhadapnya dan bukan menyokong Anwar.

“Saya kesal kerana saya tidak berupaya mendapat sokongan malah daripada pemimpin parti saya sendiri. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng sepatutnya menyokong saya, bukan mengeluarkan kenyataan untuk menyokong Anwar Ibrahim.

“Saya mohon sokongan… saya adalah Pengerusi DAP hingga sekarang. Saya memberi amaran kepada pemimpin parti saya jangan keterlaluan mendesak saya… saya telah banyak bersabar selama ini.

“Janganlah jadikan perkara ini semakin meruncing demi kepentingan Pakatan dan demi kepentingan DAP,” katanya.

Karpal menegaskan bahawa Pakatan seharusnya terus memastikan kekukuhan parti dan mendapatkan sokongan rakyat sepenuhnya pada pilihan raya umum akan datang untuk membentuk sebuah kerajaan bagi mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional.

“Jangan ambil mudah kepercayaan yang diberikan oleh rakyat, mandat untuk pembentukan sebuah kerajaan harus datang daripada rakyat,” katanya. – mstar

nota: Undur Lah ANWAR

7 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Tarikh Elektrik Turun 1 Mac – malaysiakini

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, kementeriannya akan mengumumkan kadar baru lebih rendah bagi tarif elektrik pada 1 Mac ini.

Katanya, ia dijangka akan memberikan kesan positif di mana kadar penurunannya dijangka akan dikurangkan sebanyak 7 hingga 10 peratus melibatkan beberapa industri yang berdaya maju selain dari rumah kediaman.

“Kita telah pun berbincang dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan pembentangan mengenainya akan dibuat dan dibincangkan kepada jemaah Kabinet pada Rabu ini.

“Bagaimanapun saya tidak boleh menyatakan jumlah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis ‘Olek Sekampung’, program pengurangan kemudaratan di Pejabat Kesihatan Daerah Tampin di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, kata beliau, kementeriannya juga akan memberikan rebat kepada industri yang menggunakan tenaga elektrik yang banyak bagi sesebuah industri seperti kilang pembuatan besi dan air.

Untuk itu, kata beliau, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengenal pasti beberapa syarikat industri yang dianggap strategik.

Shaziman, Ahli Parlimen Tampin, berkata turut diberi keutamaan ialah beberapa industri kritikal antaranya makanan yang dilihat menggunakan pekerja yang ramai selain mempunyai peralatan industri yang menggunakan sumber elektrik.

“Oleh yang demikian kita telah meminta Petronas untuk mengurangkan harga gas kepada sektor berkenaan yang dilihat dapat membantu mengurangkan kos penggunaan elektrik dan Kabinet juga telah meminta kementerian untuk melihat perkara ini,” katanya.

Katanya, adalah lebih baik menilai tarif berdasarkan perkembangan semasa tanpa menunggu lebih lama untuk menyemaknya. BERNAMA

2 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Daulat Tuanku!!!!

daulattuankuperak

1 Comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda