Daily Archives: February 19, 2009

Satu lagi PRK bakal diadakan – malaysiakini

Elizabeth Wong menyatakan pendirian tidak berganjak daripada keputusannya untuk melepaskan kedua-dua jawatan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan.

Kenyataan terbaru ini, yang ketiga dalam tempoh empat hari, dikeluarkan selepas semalam Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengatakan bahawa isu itu akan diselesaikan selepas Wong bercuti selama sebulan dan akan menghadap Sultan Selangor Rabu depan.

Semalam juga polis mengunjungi rumah Wong untuk siasatan susulan.

Dalam kenyataan hari ini, Wong, 37, memberitahu: “Saya telah memaklumkan pemimpin-pemimpin parti saya bahawa saya bertekad untuk melepaskan kesemua jawatan saya.”

Pada sidang media kelmarin, Wong mengumumkan bahawa beliau berhasrat untuk melepaskan kedua-dua jawatan itu ekoran pendedahan bahawa gambar atau video yang beliau dalam keadaan separuh bogel kini disebarkan menerusi internet dan MMS.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan parti atas keprihatinan dan galakkan mereka… saya meminta pemahaman mereka tentang nasib saya,” kata beliau dalam kenyataan satu yang diakhiri dengan nama “Elizabeth Wong”.

Dua kenyataan terdahulu diakhiri dengan nama dan jawatan beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Bukit Lanjan. – mstar

3 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

MB Perak dilarang hadir DUN 18 bulan, 6 Exco 12 bulan – malaysiakini

Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir digantung sertamerta dan dilarang daripada menghadiri sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak selama 18 bulan.

Sementara enam Anggota Majlis Mesyuarat (Exco) kerajaan negeri digantung selama 12 bulan daripada menghadiri sesi DUN juga berkuatkuasa hari ini.

Speaker DUN Perak V. Sivakumar mengumumkan keputusan itu selepas Zambry dan enam Exco berkenaan tampil di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN di sini hari ini.

Kesemua tujuh Adun BN itu sebelum ini diberi notis saman supaya tampil di hadapan jawatankuasa itu berikutan aduan Adun Canning (DAP), Wong Kah Woh, bahawa majlis angkat sumpah jawatan mereka bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perak dan menghina DUN kerana Menteri Besar Ke-10, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, belum meletak jawatan secara rasmi.

Sivakumar berkata setelah meneliti aduan tersebut, beliau mendapati satu kes prima facie terhadap Zambry (Adun Pangkor), Datuk Ramly Zahari (Manong), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Hamidah Osman (Sungai Rapat), Zainol Fadzi Paharuddin (Sungai Manik), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Dr Mah Hang Soon (Chenderiang).

“Keputusan ini diambil selepas mendapati kesemua mereka gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan hari ini.

“Mereka telah gagal menawarkan sebarang penjelasan atas tindakan mereka yang menghina Dewan Undangan Negeri,” kata Sivakumar dalam satu kenyataan akhbar empat perenggan di sini lewat petang ini.

Selain Sivakumar, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN dianggotai Husin Din (Pas-Selingsing), Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai), Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (DAP-Kepayang) dan Sum Chok Leng (DAP-Bercham), manakala wakil tunggal Barisan Nasional (BN) ialah Datuk Hasbullah Osman (Temenggor).

Sebelum itu, kesemua tujuh Adun terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan pada pukul 3 petang di Bilik Mesyuarat Bahagian Kewangan, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Zambry dan enam Exco itu yang dilihat keluar dari bilik mesyuarat itu pada kira-kira 3.30 petang enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita yang menunggu.

Sementara itu, Zambry Abdul Kadir berkata beliau dan enam Exco kerajaan negeri akan mengambil tindakan susulan mengikut peraturan dan undang-undang berhubung tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang menggantung dan melarang mereka daripada menghadiri sesi DUN.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan apakah tindakan susulan itu.

Zambry berkata jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar tidak boleh membuat keputusan itu dengan sewenang-wenangnya tetapi sebaliknya perlu membawanya ke sidang DUN terlebih dahulu.

“Keputusan jawatankuasa itu juga adalah menidakkan kuasa Sultan Perak yang membuat pelantikan Menteri Besar dan barisan Exco berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Katanya tindakan jawatankuasa berkenaan juga adalah subjudis memandangkan isu pelantikan beliau sebagai Menteri Besar telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang ingin mencabar kesahihan pelantikan berkenaan. Menteri Besar berkata Sivakumar juga telah melakukan satu penipuan yang besar apabila mendakwa di dalam kenyataan akhbarnya hari ini bahawa Zambry dan enam Exco berkenaan telah gagal dan tidak memberikan sebarang penjelasan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang diadakan petang tadi.

Menurut Zambry, beliau dan Exco berkenaan telah memberikan penjelasan kepada jawatankuasa tersebut dan turut mengemukakan bantahan awal dengan mengemukakan sebab-sebab mengapa beliau dan enam exco berkenaan tidak boleh dikenakan tindakan terhadap pertuduhan yang dikenakan.

“Oleh itu dakwaan Speaker bahawa kami telah gagal menawarkan sebarang penjelasan merupakan satu penipuan paling serius yang dilakukan oleh seorang speaker,” katanya.BERNAMA

12 Comments

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda