Daily Archives: March 7, 2009

Melayu – malaysiakini

Karya Usman Awang

Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda

Cadangan utk PPSMI -malaysiakini

PPSMI – satu cadangan

1. Hari ini negara dikejutkan dengan demostrasi membantah Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris.

2. Sudah lebih dari 3 tahun pelaksanaan dasar ini.

3. Tapi sekarang barulah segelintir rakyat menyuarakan bantahan.

4. Program hari ini dibenarkan utk berkumpul di Masjid Negara tetapi dilarang supaya berarak ke Istana Negara. Penulis bersetuju benar dengan larangan ini yang akhirnya menyusahkan pengguna jalanraya.

5. Secara dasar penulis menyokong Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris. Ini kerana jika kita lihat zaman sebelum KBSM, KBSR dan sebagainya yang diperkenalkan hari ini, hampir semua mata pelajaran diajar dalam bahasa inggeris.

6. Cuba kita tanya pada Tan Sri2, Datuk2, Menteri kanan, Pak Lah, Anwar Ibrahim…dulu masa mereka bersekolah bahasa pengatar apa yang digunakan.

7. Penulis bukan memandang rendah keupayaan Bahasa Melayu tetapi tidak salah sekiranya PPSMI ini diteruskan. Cuma pada peringkat perlaksanaan ada kelemahan.

8. Benih yang disemai hari ini, hasilnya tidak boleh dituai/nampak dalam tempoh yang singkat.

9. Penulis ingin mencadangkan agar PPSMI diteruskan, dengan penggunaan Bahasa Melayu juga digunakan selari dengan Bahasa Inggeris bagi kedua-dua subjek di atas. Para guru2 boleh menggunakan dwi bahasa bagi sesi pembelajaran di kelas dan murid2 juga dibenarkan untuk memilih sama ada menjawab di dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris dalam peperiksaan bagi kedua2 subjek ini.

10. Kelonggaran dengan melaksanakan sistem ‘paralel’ ini hendaklah dilakukan paling kurang bagi tempoh 6 tahun yang dimana anak2 yang memasuki darjah satu akan tamat di darjah 6.

11. InsyaAllah, PPSMI ini akan membuahkan hasil.

12. Hari ini, kita lihat pihak pembangkang mengambil kesempatan dan peluang dengan PPSMI ini. Dengan niat utk menagih sokongan orang Melayu, maka para pemimpin pembangkang menggunakan platform ini utk menjadi hero MELAYU.

13. Para pemimpin UMNO, jgn peluk tubuh sambil sibuk memancing undi pemilihan akhir bulan ini. Buatlah sesuatu …

14. Penulis ini mencadangkan juga, agar kementerian pelajaran mengkaji semula kursus2 penguruan terutama yang melibatkan PPSMI ini. Adakah tenaga pengajar yang mengajar bakal2 guru ini cukup kelayakan ataupun calon2 guru yang bakal mengajar ini mempunyai kebolehan utk mengajar subjek Sains dan Matematik ini dalam Bahasa Inggeris.

15. Tidak dinafikan ada segelintir yang memilih profesion guru sebagai ‘last resort’ akibat gagal mendapatkan pekerjaan di dalam bidang lain. Maka, adakah golongan ini sesuai untuk menjadi guru??

16. Jadi, bagi penulis PPSMI boleh diteruskan tetapi memerlukan sedikit kajian dari segi pelaksanaannya.

17. Kepada parti2 politik tak kira UMNO, PAS atau PKR, hentikanlah mempolitikkan PPSMI. JGN menang sorak, kampung tergadai.

18. Selagi Bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan dan tertulis di dalam perlembagaan, selagi itu bahasa melayu itu bermartabat!

nota:

Harap maaf kerana penulis mengalami masalah broadband yang telah menyebabkan laman ini tidak dikemaskini.
Sebelum menulis artikel ini, penulis sempat berborak dengan ibu penulis mengenai hal PPSMI ini.
Beliau sendiri merupakan pelajar melayu yang diajar menggunakan bahasa inggeris bagi kedua2 subjek dahulu. Ringkas sahaja respon beliau ‘mak pun jadi jugak orang, berjaya juga…dulu pun mak kena belajar guna bahasa inggeris…takde masalah pun”

Leave a comment

Filed under Berita & Aktiviti Pemuda